Haji Mahadi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Haji Mahadi
Haji Mahadi, pengarah filem Melayu tempatan pertama.
Kelahiran
Haji Mohd Mahadi bin Haji Mohd Said

1914
Kampung Merbuk, Negeri Sembilan, Tanah Melayu (kini Malaysia)
Meninggal dunia20 Februari 1983 (berumur 68–69)
Sebab kematianSerangan jantung
DikebumikanMakam Haji Mohd. Said Seremban, Negeri Sembilan
Nama lainTuan Haji Mahadi
PekerjaanPelakon, pengarah, penulis, pendakwah
Tahun aktif1951–1975
Terkenal keranaAbdul Wahab dalam filem Tiga Abdul
PasanganMak Enon
Khatijah Khodri
Rosminah Marzuki
Anak-anak5
SaudaraAhmad Mohd. Said

Haji Mohd Mahadi Haji Mohd Said atau lebih dikenali sebagai Tuan Haji Mahadi merupakan seorang pelakon dan pengarah filem Melayu Malaysia sekitar 1950-an.

Biodata

Haji Mohd Mahadi Bin Haji Mohd Said dilahirkan pada 1914 di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan dan pernah mendapat pendidikan di Madrasah al-Falah, Makkah. Beliau anak kelapan daripada 15 beradik. Antara saudaranya ialah Ahmad Mohd Said iaitu bekas Mufti Besar Negeri Sembilan; Redza Mohd Said sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Malaysia dan Abdul Rashid seorang guru agama terkenal di Singapura dan Malaysia.[perlu rujukan]

Haji Mahadi pernah mendapat pendidikan agama di Kota Makkah sewaktu berusia 14 tahun, beliau telah dihantar mengikuti pengajian di Madrasah al-Falah selama dua tahun. Dengan pengalaman itu, maka tidak hairanlah mengapa beliau sudah pun bergelar 'Haji' ketika mula menyertai Malay Film Productions atau MFP.

Penglibatan dan kerjaya seni

Pembabitannya dalam dunia filem dikatakan sebagai kebetulan, apabila beliau tampil sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan pada 1951. Filem terbitan Malay Film Productions (MFP) diarahkan oleh (Datuk L. Krishnan) dengan pelakonnya P. Ramlee dan Rokiah Jaafar.

Sebelum itu, Haji Mahadi pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1939 ketika berusia sekitar 25 tahun. Di MFP, beliau sebenarnya tidak terus menjadi pelakon, tetapi bermula sebagai penterjemah, sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan penolong pengarah. Beliau bermula sebagai pelakon biasa sebelum ditugaskan bagi mengarah filem. Filem pertama beliau yang juga filem arahan pengarah Melayu pertama adalah filem Permata Di Perlimbahan, secara tidak langsung beliau telah mencatat sejarah sebagai anak Melayu pertama yang menjadi Pengarah Filem di MFP, mendahului bintang-bintang besar Jalan Ampas yang lain seperti P. Ramlee, M. Amin, Nordin Ahmad, Omar Rojik, S. Kadarisman serta ramai lagi. Beliau memulakan rakaman filem tersebut pada bulan Mac tahun 1952 yang dilakonkan oleh Nordin Ahmad, Maria Menado dan Salmah Ibrahim. Berbeza dengan pengarah-pengarah sebelumnya, Tuan Haji Mahadi bijak mengatur slot nyanyian dalam filem tersebut. Filem ini membuka satu langkah baru kepada pengarah tempatan lain, terutama pengarah Melayu. Sebelum ini bidang pengarah filem dipelopori pengarah luar, terutama dari India dan Filipina. Filem Permata Di Perlimbahan itu mula ditayangkan kepada umum bermula pada 18 Mei 1952 dan ternyata kurang mendapat sambutan yang baik dari segi keuntungan material. Akur dengan ketentuan beliau gagal di kerusi kepengarahan, Haji Mahadi meneruskan kerjaya seni beliau sebagai seorang pelakon.

Selepas itu, Haji Mahadi kembali berjuang dalam seni lakonan. Beliau kemudiannya ditawarkan berlakon filem Istana Impian (1953) dan Hujan Panas (1953). Satu demi satu filem keluaran MFP beliau bintangi, malah pada tahun 1956, lakonan beliau mendapat penghargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura. Dua tahun kemudian dalam tahun 1964, Haji Mahadi mencuba watak komedi dengan membintangi filem arahan P. Ramlee, Tiga Abdul, ternyata filem inilah yang benar-benar menyerlahkan nama beliau dan memahat kenangan nama Haji Mahadi hingga ke hari ini.

Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Haji Mahadi pernah berlakon hampir 76 filem. Antara yang dikenali ialah Hang Tuah (1956), Indera Bangsawan (1961), Si Tanggang (1961), Budi dan Dosa (1962), Tiga Abdul (1964), Jebak Maut (1967), Raja Bersiong (1968) dan Permintaan Terakhir (1975) - memegang watak sebagai datuk kepada Uji Rashid.

Berdakwah

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak pernah memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP di Boon Teck Road, Singapura, peranan dan sumbangan beliau dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarhammah Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan (Berita Harian, 27 Februari 1983). Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka (para artis) ialah, "jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman". Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis. (Berita Harian, 27 Februaru 1983).

Selepas bersara

Selepas bersara dari dunia lakonan, Haji Mahadi bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara, yang juga menaungi Syarikat Indra Filem.

Perkahwinan

Haji Mahadi pernah mendirikan rumahtangga dengan pelakon/pelawak Mak Enon, kemudian dengan Khatijah Khodri (kemudian menggunakan nama Jah Mahadi) isteri kedua dalam filem Madu Tiga (1964). Mereka dikurniakan tiga orang anak perempuan iaitu Rasidah, dan sepasang kembar Saemah dan Saodah. Pada 1966, Haji Mahadi berkahwin lagi bila rumahtangganya dengan Jah runtuh. Perkahwinan yang ini ada disiarkan dalam salah sebuah keluaran Majalah Filem tahun itu. Setelah menceraikan Khatijah Khodri, beliau mengahwini Rosminah Marzuki dan dikurniakan dengan dua cahaya mata perempuan, Aminah dan Sulasi. Rosminah Marzuki adalah isteri terakhir beliau.

Kematian

Haji Mahadi telah menghembuskan nafas terakhir pada 20 Februari 1983 di rumah isterinya, Rosminah Marzuki di Taman Maluri ketika berusia 69 tahun akibat serangan jantung.

Filemografi

Filem

Tahun Tajuk Watak Catatan
1951 Penghidupan Filem pertama, pelakon tambahan
1952 Permata Di Perlimbahan Juga sebagai pengarah dan penulis
Sedarah Hassan
1953 Ibu Zulkifli
Hujan Panas Hassan
Siapa Salah?
Istana Impian
Chemburu
1954 Iman Iblis / Anak Didik Tok Guru
Pawang
1955 Roh Membela Pegawai Penyiasat Polis
1956 Hang Tuah Sultan Mansur Shah
Ribut Ismail
1957 Pancha Delima Raja Kukila Kencana
Seruan Darah Doktor
Kaseh Sayang
1958 Gergasi Rahman
Doktor Prof. Mahfuz
Sumpah Orang Minyak Penghulu Bunian
Sri Menanti
1959 Samseng
Batu Belah Batu Bertangkup Raja
Raja Laksamana Bentan Raja Tua Bintan
1960 Lela Manja Sultan
Isi Neraka Tuan Guru
1961 Si Tanggang Dagang
Indera Bangsawan Raja Indera Bongsu
Singapura Dilanggar Todak Tun Jana Khatib
Sri Tanjung
1962 Gerhana Zainuddin
1963 Budi dan Dosa Lebai Ahmad
Darah Muda Dahlan
1964 Tiga Abdul Abdul Wahab
1965 Dayang Senandong Raja Ratnapura / Tok Kadi
Pusaka Pontianak Abu Kahar
1966 Anak Buloh Betong Raja Tg. Karang
Kacha Permata A. Halim
1967 Jebak Maut Mazlan @ Pak Busu
1968 Raja Bersiong Perdana Menteri
1975 Permintaan Terakhir Datuk Filem terakhir

Rujukan

  • Berita Harian (Malaysia), 25/8/06, Haji Mahadi pengarah Melayu pertama, Oleh Zainuri Misfar

Pautan luar