Kawasan Kansai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kawasan Kansai
関西地方
Kawasan
Kawasan Kansai di Jepun
Kawasan Kansai di Jepun
Keluasan
 • Jumlah33.112,42 km2 (12.78478 batu persegi)
Penduduk
 (Oktober 1, 2015)
 • Jumlah22.541.298
 • Kepadatan134,2/km2 (3,480/batu persegi)
Zon waktuUTC+09:00 (JST)

Kawasan Kansai (Jepun: 関西地方, Hepburn: Kansai-chihō) atau Kinki (Jepun: 近畿地方, Hepburn: Kinki-chihō) terletak di kawasan selatan tengah pulau utama di Jepun iaitu Honshū, merangkumi wilayah-wilayah Mie, Nara, Wakayama, Kyoto, Osaka, Hyōgo, dan Shiga. Sesetengah pihak menganggap wilayah-wilayah Fukui dan Tokushima juga tergolong dalam kawasan ini. Meskipun erti nama "Kansai" dan "Kinki" banyak berubah sepanjang edaran zaman, tetapi kini kedua-duanya sama ertinya. Kawasan bandar gabungan Osaka, Kobe dan Kyoto (Keihanshin) ialah yang kedua teramai penduduk di Jepun, mengekori Tokyo Raya.

Am[sunting | sunting sumber]

Jambatan Akashi-Kaikyō, jambatan gantung terpanjang di dunia yang berukuran 1,991 m pada rentang tengahnya.

Kawasan Kansai ialah pusat kebudayaan dan sejarah Jepun yang meliputi 11% wilayah negara dan diduduki 22,732,176 orang pada tahun 2008.[1] Dataran Kinki dengan bandaraya Osaka dan Kyoto membentuk teras kawasan ini; dari situ kawasan Kansai menganjur ke barat sepanjang Laut Pedalaman Seto ke arah Himeji dan Kobe, dan ke timur merentasi Tasik Biwa, tasik air tawar terbesar di Jepun. Kawasan ini bersempadan dengan Laut Jepun di utara, Semenanjung Kii dad Lautan Pasifik di selatan, dan di timur pula Alp Jepun (untuk Kansai) atau Teluk Ise (untuk Kinki).[2] Dalam lingkungan sempadan Kansai terletaknya empat buah taman negara Jepun, tidak lupa juga enam daripada tujuh wilayah terunggul dari segi penyimpanan khazanah negara.[3] Ciri-ciri geografi yang lain termasuk jambatan darat Amanohashidate di Wilayah Kyoto dan Pulau Awaji di Hyōgo.

Kawasan Kansai sering diperbandingkan dengan kawasan Kantō yang terletak di timurnya dan terdiri daripada Tokyo dan kawasan sekitarnya. Walaupun kawasan Kanto melambangkan pemiawaian dan penyelarasan segalanya di seluruh Jepun, namun kawasan Kansai tidak kurang pengabadiannya: kebudayaan di Kyoto, kesaudagaran Osaka, sejarah Nara, atau kekosmopolitanan Kobe; dan seluruh kawasan Kansai melambangkan titik tumpuan budaya saingan di Jepun. Persaingan antara Timur dan Barat berakar umbi sejarah yang mendalam, terutamanya dari zaman Edo. Dengan bilangan penduduk samurai yang tidak mencecah 1%, kebudayaan kota saudagar Osaka jauh berbeza dari kota Edo selaku pusat pemerintahan Kesyogunan Tokugawa.[4]

Wilayah-wilayah di Kansai.

Orang Kansai banyak mewarisi sifat-sifat tabii mereka dari budaya kesaudagaran Osaka. Catherine Maxwell, seorang penyunting surat berita Omusubi, pernah mengulas: "Penduduk Kansai dilihat bersikap pragmatik, keusahawanan, realistik dan kuat berlawak. Orang Kanto pula dilihat sebagai lebih anggih, berat mulut dan beradab, selaras dengan sejarah dan taraf Tokyo masa kini sebagai ibu negara dan metropolis terbesar."[4][5]

Antara hidangan kegemaran ramai termasuk takoyaki, okonomiyaki dan kitsune udon. Wilayah Hyōgo terkenal dengan daging lembu Kobe dan hasil tenusu. Kawasan Kansai juga terkenal dengan pengeluaran arak sake, di mana 45% keluaran sake di Jepun dihasilkan di kawasan Nada dan Fushimi.[6] Berbeza sekali dengan Jepun Timur, makanan di Kansai lebih manis, oleh itu makanan seperti nattō kurang digemari di situ.[4][5]

Loghat penduduk Kansai juga menonjol dengan kelainan pelafazan, kosa kata dan tatabahasa yang tersendiri. Kansai-ben ialah sekeluarga loghat daerah yang ditutur di kawasan Kansai, tetapi selalunya dilayan seperti satu loghat sahaja. Kansai-ben kuat berpengaruh di bandaraya Osaka, Kyoto, dan Kobe.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Istilah Kansai (Jepun: 関西), Kinki (Jepun: 近畿), dan Kinai (Jepun: 畿内) mendalam sekali sejarahnya, asalnya seawal-awal sejarah negara Jepun itu sendiri. Dalam pembaharuan Ritsuryō pada abad ke-6, sistem Gokishichidō mengasaskan wilayah-wilayah Yamato, Yamashiro, Kawachi, Settsu dan Izumi. Nama Kinai dan Kinki, yang lebih kurang membawa maksud "kawasan ibu kota", memaksudkan wilayah-wilayah tersebut. Kini, Kinai bermaksud kawasan Osaka-Kobe-Kyoto (Keihanshin) di pusat kawasan Kansai.

Peta Jepun semasa abad ke-8

Nama Kansai ("di barat sempadan") pada asalnya memaksudkan tanah di barat Osaka no Seki, iaitu sempadan antara Wilayah Yamashiro dan Wilayah Ōmi (kini Wilayah Kyoto dan Wilayah Shiga).[7] Pada zaman Kamakura, sempadan ini diubah untuk merangkumi wilayah-wilayah Ōmi dan Iga.[7] Pada zaman Edo barulah Kansai memperoleh bentuk masa kininya.[8] (lihat Kamigata) Sama dengan semua kawasan di Jepun, kawasan Kansai bukan sebuah bahagian pentadbiran, sebaliknya merupakan kawasan kebudayaan dan bersejarah.

Istana Himeji

Kawasan Kansai menuntut dirinya sebagai tempat kelahiran tamadun Jepun, kerana bandaraya Nara selaku titik paling timur sepanjang Laluan Sutera, merupakan tapak ibu kota tetap yang pertama di Jepun.[9] Zaman Nara (710–784 M) menyaksikan tersebarnya agama Buddha ke Jepun serta pembinaan Tōdai-ji pada tahun 745. Kawasan Kansai juga bermegah dengan kuil paling suci dalam agama Shinto iaitu Kuil Ise (dibina pada 690 M) di wilayah Mie.[10]

Zaman Heian menyaksikan berpindahnya ibu kota ke Heian-kyō (kini Kyoto), dan di situlah tapak ibu kotanya selama sejuta tahun lebih, sehinggalah zaman Pemulihan Meiji. Pada zaman kegemilanan ini, lahirnya kebudayaan Jepun tradisional di kawasan Kansai. Pada tahun 788, Saicho, pengasas ajaran Buddha Tendai menubuhkan biaranya di Gunung Hiei di wilayah Shiga. Cereka mahakarya Jepun yang diperkatakan sebagai novel moden terulung di dunia, iaitu Hikayat Genji dikarang oleh Murasaki Shikibu yang ketika itu bertugas sebagai dang perwara di Heian-kyo. Seni lakon pentas tradisional Noh dan Kabuki lahir dan berkembang di Kyoto, manakala persembahan boneka Bunraku berasal dari Osaka.

Oleh sebab kedudukannya yang tersendiri dalam sejarah Jepun, kawasan Kansai menempatkan sebilangan mercu tanda bersejarah dan kebudayaan yang terkenal, termasuklah lima daripada tiga belas Tapak Warisan Dunia di Jepun, iaitu: Hōryū-ji, Istana Himeji, Kiyomizu-dera, Tōdai-ji, dan Gunung Koya.[11]

Tapak Warisan Dunia di Kawasan Kansai.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Japan Reference: Kansai, retrieved January 17, 2007
  2. ^ "Mie Prefecture homepage: About Mie (pdf)" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-04-08. Dicapai pada 2010-03-22.
  3. ^ Kansai Now: History[pautan mati kekal], diterima pada 17 Jan 2007
  4. ^ a b c Omusubi - "Japan's Regional Diversity", retrieved January 22, 2007
  5. ^ a b Livingabroadin.com - "Prime Living Locations in Japan", retrieved January 22, 2007
  6. ^ Kansai Window Diarkibkan 2009-04-25 di Wayback Machine - "Japan's number one sake production", retrieved January 24, 2007
  7. ^ a b Lema 「関西」. Kōjien, edisi ke-5, 1998, [ISBN 4-00-080111-2]
  8. ^ Lema 「上方」. Kōjien, edisi ke-5, 1998, [ISBN 4-00-080111-2]
  9. ^ Kansai Economic Federation Diarkibkan 2009-02-06 di Wayback Machine: "Kansai Brief History", retrieved January 17, 2007
  10. ^ Japan Reference - "Ise Jingu Guide", retrieved January 17, 2007
  11. ^ UNESCO World Heritage Centre: Japan, retrieved January 17, 2007 - Kiyomizu-dera, Todai-ji, and Mount Koya are part of collections of sites and chosen as representative
  12. ^ Consulate-General of Japan in San Francisco Diarkibkan 2016-03-03 di Wayback Machine - "History", diterima pada 15 Mac 2007

Pautan luar[sunting | sunting sumber]