Norlida Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Norlida Ahmad atau sering menggunakan panggilan manja sebagai Connie merupakan antara pelakon wanita paling popular pada 1980-an.[1] Beliau sering dicalonkan dan meraih anugerah berasaskan populariti termasuk menerusi acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian serta pernah dua kali dinominasi untuk kategori Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia, masing-masing menerusi watak gadis liar dalam filem Tujuh Biang Keladi (1984) dan watak lagenda Mahsuri dalam Sumpahan Mahsuri (1989).

Kerjaya Lakonan[sunting | sunting sumber]

Di dunia perfileman, beliau pernah berlakon dalam filem Tujuh Biang Keladi (1984), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Suara Kekasih (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Gila-Gila Si Pikoy (1987), Dendang Remaja (1988) dan Guru Badul (1988). Dalam filem Guru Badul, Connie beraksi berani dengan berseluar pendek di tepi kolam renang serta adegannya di atas katil bersama Badul (ditapis daripada versi VCD).

Dalam tahun 1988 nama Connie mencapai tahap yang paling popular. Gambar beliau banyak dijadikan poster dalam akhbar dan majalah. Pada 1989, Connie dipilih oleh peminat hiburan tempatan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP). Connie terus menjadi rebutan penerbit filem dengan terbitnya 2 buah lagi filem lakonannya pada 1989, iaitu filem Awang Spanar dan Sumpahan Mahsuri. Populariti Connie kekal dengan menerima anugerah Pelakon Pembantu Filem Popular dalam ABP 1990.

Peralihan ke Televisyen[sunting | sunting sumber]

Pada awal 1990-an Connie berjaya menambat hati penonton TV pula setelah membawakan watak baik dalam drama bersiri Siti Zubaidah dan Siti Zulaikha hingga melayakkannya dipilih menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular dalam ABP 1992. Nama Connie kemudiannya tenggelam setelah munculnya pelakon baru yang lebih popular seperti Sofia Jane dan Erra Fazira. Connie muncul semula pada 2004 dalam filem Bicara Hati dengan melakonkan watak ibu kepada Nur Fazura. Di sebalik kejelitaan asli Connie, status perkahwinan beliau hingga kini masih lagi menjadi tanda tanya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]