Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari


Tan Sri Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin
203 3b.jpg

Menteri Besar Kedah ke-3
Tempoh jawatan
1959 – 1967
Didahului oleh Tunku Ismail Bin Tunku Yahaya
Diganti oleh Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin

Lahir (1902-07-06)6 Julai 1902
Alor Setar, Kedah
Meninggal dunia 7 Disember 1967(1967-12-07) (umur 65)
Parti politik UMNO
Pasangan Puan Rahmah Jihan Maimunah
Anak Syed Ali Bolkiah Syed Omar

Sharifah Saleha Syed Omar

Syed Areeb Daud Ismail Syed Omar

Agama Islam

Tan Sri Syed Omar bin Syed Shahabuddin (6 Julai 1902-7 Disember 1967) merupakan Menteri Besar Kedah,Kedah,Malaysia dari 1959 sehingga 1967.

Biodata[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Syed Omar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Baru dan Government English School yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Seterusnya beliau telah menyambung pelajarannya di Penang Free School, Pulau Pinang. Beliau meneruskan pengajiannya di Hong Kong University.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Selepas tamat pengajian, Syed Omar telah bertugas sebagai Pegawai Tadbir Negeri di dalam Perkhidmatan Awam Negeri Kedah bermula pada 12 Julai 1929. Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh beliau semasa berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Kedah ialah Pegawai Daerah Kulim Bandar Baharu, Kubang Pasu , Pegawai Kastam Negeri Kedah dan Pegawai Perbendaharaan (Kewangan) Negeri Kedah. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah dipertanggungjawabkan mengurus berbagai-bagai jurusan pentadbiran negeri Kedah. Pada 17 November 1954, beliau telah bersara daripada berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Kedah dan mula menceburi bidang politik.

Politik[sunting | sunting sumber]

Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan beliau diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan penting di Negeri Kedah. Beliau pernah dilantik menjadi Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ketua Perikatan Negeri Kedah, Pengerusi Kedah State Alliance, Pengerusi Aminah English School dan Presiden UMNO Kedah. Seterusnya pada tahun 1960, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tahun 1967.

Beliau telah dipilih bertanding di dalam pilihanraya umum peringkat negeri untuk pertama kalinya pada tahun 1959 atas tiket Parti Perikatan di kawasan Baling Barat. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ketiga pada 24 Mei 1959 selepas memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia 1959. Kepercayaan yang berterusan yang diberikan oleh rakyat terhadap kepimpinan beliau menyebabkan sekali lagi Parti Perikatan dapat membentuk kerajaan di Negeri Kedah menerusi kemenangan pada Pilihan Raya Umum Malaysia 1964. Tan Sri Syed Omar telah berjaya mengetuai Parti Perikatan setelah memenangi semua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri pada tahun 1964.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Syed Omar merupakan seorang pemimpin berjaya semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dari tahun 1959 hingga tahun 1967. Ini dapat diukur dari beberapa kemajuan dalam membangunkan luar bandar yang serba mundur melalui beberapa projek yang diperkenal dan dilaksanakan pada zamannya. Antaranya termasuklah pembahagian tanah kepada rakyat, mengadakan kemudahan-kemudahan insfrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, perbekalan air, kesihatan, telefon, eletrik di samping memajukan lagi bidang-bidang pertanian, ternakan, pelajaran dan lain-lain. Sewaktu mentadbir Negeri Kedah, Syed Omar telah melaksanakan projek Rancangan Pengairan Sungai Muda yang menelan belanja lebih dari RM200 juta. Beberapa jalanraya telah dibina seperti jalan baru dari Alor Setar ke Perlis serta jalanraya-jalanraya di tepi laut. Dalam usaha meninggikan taraf ekonomi bumiputera pula, beliau telah berjaya menubuhkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (P.K.N.K).

Sukan[sunting | sunting sumber]

Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang yang aktif di dalam bidang sukan. Bola sepak, kriket dan olahraga merupakan acara yang paling diminati oleh beliau. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang sukan, beliau telah berusaha membina sebuah stadium iaitu Stadium Darul Aman yang lahir dari cetusan idea dan cadangan beliau.

Terdapat beberapa bangunan terpenting di Kedah yang telah diabadikan bersempena nama beliau di antaranya ialah Dewan Dato' Syed Omar dan Sekolah Menengah Dato' Syed Omar di bandar Alor Setar dan Dewan UMNO Dato' Syed Omar Shahabuddin di pekan Baling, Kedah.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Syed Omar telah kembali ke rahmatullah pada 7 Disember 1967. Sebagai menghargai dan mengenang kembali segala sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahi pingat dan darjah kebesaran antaranya Jaksa Pendamai (J.P), Dato' Seri Mahawangsa oleh KDYMM Tunku Sultan Kedah pada tahun 1959, Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1958 dan Seri Paduka Mahkota Kedah (S.P.M.K.) oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah pada tahun 1964.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Kedah
19591967
Penyandang Kemudian
YTM Tunku Ismail Bin Tunku Yahaya T.Y.T Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin