Ismail Mohd Ali

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tun Ismail Mohd Ali adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia yang kedua (Julai 1962 - Julai 1980) dan pengerusi Perbadanan Nasional Berhad. Selaku Gabenor Bank Negara, tanda tangan beliau tertera dalam semua duit kertas Malaysia semasa era perkhidmatannya.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Klang, Selangor dan merupakan abang sulung dalam keluarga


Beliau adalah abang kepada beberapa tokoh terkenal seperti Tan Sri Hashim Muhammad Ali (bekas Panglima Angkatan Tentera) ; Dato Ahmad Razali Mohd Ali (bekas Menteri Besar Selangor) ; Datuk Jaafar Mohd. Ali; Siti Hasmah Mohamad Ali dan Datin Saleha Mohd Ali. Adik iparnya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad - Perdana Menteri Malaysia (1981-2003).

Isterinya Toh Puan Maimunah Abdul Latiff meninggal dunia dunia pada 1996. Beliau meninggalkan dua anak lelaki, Iskandar, seorang ahli bank dagang dan Ahmad Kamal, seorang arkitek.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu dan Victoria Institution (VI) 1931-1938. Semasa di VI Tun Ismail aktif dalam Pengakap, renang, bermain badminton dan berkebun. Beliau adalah pengawas Rumah Shaw. Beliau adalah pelajar Melayu kedua di negara ini memenangi Biasiswa Queen yang sangat kompetitif. Beliau belajar di Universiti Cambridge jurusan ekonomi (1938-1941). Beliau terkandas di England akibat Perang Dunia Kedua lalu menyambung belajar jurusan undang-undang tahun 1943 di Inns of Court di London, Middle Temple dan menjadi peguam selepas itu.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau kembali ke Tanah Melayu / Malaya selepas perang pada tahun 1946. Tun Ismail menyertai Perkhidmatan Awam Malaya; Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1948) - salah seorang pegawai bukan Eropah pertama yang direkrut terus ke dalam MCS. Pada tahun 1920, Setiausaha Negara British menerima cadangan agar perkhidmatan di seluruh Malaya perlu diiktiraf. Perkhidmatan Malayan Civil Service telah diterima pakai secara rasmi pada Januari 1921 dengan mewujudkan 183 jawatan. Calon-calon bagi jawatan itu mestilah "kelahiran asli rakyat British keturunan Eropah tulin ke atas kedua-dua pihak". Bilangan pegawai-pegawai Melayu dalam MCS pada 11 November 1946 semasa tempoh Malayan Union adalah 21 daripada kekuatan jumlah 230 pegawai-pegawai MCS .


Beliau telah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Ekonomi Perbendaharaan;pegawai ekonomi di Pulau Pinang; Pengawal di Jabatan Perdagangan Kementerian Perdagangan dan Industri; di Kedutaan Malaysia di Washington DC (1957-1960); Pengarah Eksekutif Bank Antarabangsa bagi Pemulihan dan Pembangunan di Amerika Syarikat.

Sekembali ke Malaya pada tahun 1960, beliau dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara dan Gabenor Bank Negara (26 Julai 1962). Beliau memegang jawatan tersebut selama 18 tahun sehingga 26 Julai 1980.

Selepas bersara[sunting | sunting sumber]

Tun Ismail terlibat dalam Malaysian Industrial Development Finance Berhad ; Permodalan Nasional Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Sime Darby Berhad. Beliau merupakan Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Lembaga Gabenor Victoria Institution.[1][2][3]

Gabenor Bank Negara[sunting | sunting sumber]

Sepanjang beliau menjadi Gsbenor Bank Negara, beliau dilihat telah memacu dunia perbankan sehingga negara ini muncul dengan konsep yang kukuh dan dihormati di mata dunia. Beliau menjadi ahli bank Malaysia paling terkemuka, menjadi Gabenor Bank Negara dari tahun 1962 hingga 1980, mencatat rekod sebagai gabenor bank pusat yang paling lama berkhidmat di Asia.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 19 Julai 1998 . Jenazah dibawa ke rumahnya di No. 23, Jalan Taman U Thant, Ampang dan dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang. Beliau meninggal dunia kerana komplikasi selesema di Hospital Pakar Ampang Puteri pada usia 80 tahun.

Turut hadir ziarah ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed.

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Ismail Ali dianugerahkan dengan gelaran Tun pada tahun 1980 apabila menerima pingat Seri Setia Mahkota, anugerah awam tertinggi negara.

Sebuah bangunan di Kuala Lumpur dinamakan sebagai 'Menara Tun Ismail Mohd Ali' di Jalan Raja Laut sempena nama beliau pada tahun 2003.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. New Straits Times - 9 Ogos, 1998
  2. ptdalumni.org
  3. Tun Ismail Mohamed Ali Story
  4. Bekas Gabenor Bank Negara meninggal dunia