Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
| Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi |
|
|
|
|
|---|---|
| Masih berkhidmat | |
| Memasuki pejabat 31 Oktober 2003 |
|
| Timbalan | Najib bin Tun Razak |
| Didahului oleh | Mahathir bin Mohamad |
| Digantikan oleh | Penjawat kini |
| Kawasan | Kepala Batas |
|
|
|
| Lahir | 26 November 1939 (umur 68) Kepala Batas, Pulau Pinang |
| Parti politik | UMNO |
| Pasangan | Endon Mahmood Ambak (meninggal dunia Okt 2005) Jeanne Abdullah |
| Agama | Islam |
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan Presiden UMNO, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.
Senarai kandungan |
[sunting] Biodata peribadi
Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk belajar Pengajian Islam[1]. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.
Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.
Dalam tempoh kurang dari 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.
[sunting] Abdullah Badawi secara dekat [2]
Beliau dikatakan mementingkan menikmati makan malam bersama keluarga dan gemar makanan Jepun. Sebagai seseorang yang dibesarkan di Pulau Pinang, beliau amat gemar mencuba pelbagai jenis makanan.
Setiap hari, selepas sembahyang Maghrib, beliau akan mengaji Al-Quran. Dan adalah menjadi kebiasaan beliau menulis nota dalam Jawi. Karangan Shakespeare kegemaran beliau ialah ‘Julius Caesar’. Selain dari keluarga sendiri, tokoh yang banyak mempengaruhinya, yang beliau anggap sebagai mentor ialah Tun Abdul Razak.
Antara peristiwa dunia yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri beliau ialah peristiwa 9/11, yang telah mendorong beliau untuk memperjuangkan fahaman Islam yang sederhana. Beliau juga adalah pencetus Islam Hadhari[1].
Beliau juga sangat berminat dengan kereta. Malangnya beliau tidak banyak berpeluang memandu kereta sendiri atas sebab-sebab keselamatan. Untuk menghilangkan lelah bekerja, beliau mungkin bermain golf, melakukan senaman yoga atau meluangkan masa bersama cucu-cucu beliau.
Beliau gemarkan pertunjukan muzikal – ‘My Fair Lady’ antara yang paling diminatinya – serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau juga mempunyai alat I-pod Nano.
Beliau menghargai hasil seni Malaysia, dan merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu, serta anyaman rotan.
[sunting] Kerjaya politik
Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.
Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.
Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:
- Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80)
- Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81)
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84)
- Menteri Pelajaran (1984-86)
- Menteri Pertahanan (1986-87)
- Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 - Januari 1999).
Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.
Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
[sunting] Sebagai Perdana Menteri
Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.
Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia.
Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.
Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.
Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.
[sunting] Sebagai Presiden Barisan Nasional
Apabila Tun Dr. Mahathir berundur dari arena politik, beliau telah menggantikan beliau sebagai pucuk pimpinan parti pemerintah, Barisan Nasional.
[sunting] Kecemerlangan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2004
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parlimen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.
Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.
[sunting] Kegagalan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008
Selepas kecemerlangan besar dalam penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila menyapu banyak kerusi pada Pilihanraya Umum Malaysia 2004, beliau menerima tamparan dan ujian hebat apabila Barisan Nasional yang diketuainya telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan kuasa pemerintahan di 4 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak kepada parti pembangkang serta sekali lagi gagal merampas balik kuasa di Kelantan dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008. Oleh ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad berpendapat bahawa Abdullah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah kegagalan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya tersebut. [2]
[sunting] Kontroversi
Setelah gerakan untuk menuduh orang-orang kenamaan seperti Eric Chia dan Isa Abdul Samad dengan rasuah, usaha pentadbiran Abdullah untuk membanteras rasuah dikatakan menjadi kurang jelas. Masih dibahaskan sama ada Abdullah masih terus melawan rasuah secara diam-diam ataupun dia telah sengaja melambatkan usaha dalam menghapuskan rasuah.
Walaupun Abdullah mengatakan bahawa dia mengalu-alukan pandangan atau kritikan yang membantu memperbaiki pentadbirannya, dia telah memberi amaran kepada Mukhriz Mahathir yang mengkritik dasar ekonominya pada Mesyuarat Agong UMNO 2006. [3] Kerajaannya juga cuba mengawal sumber-sumber "bawah tanah" seperti laman web, forum dan blog, menganggap mereka yang menyebarkan maklumat secara maya sebagai "tidak punya kredibiliti". [4] Di bawah Bill of Guarantee MSC, kebebasan Internet dijamin oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu sebarang usaha untuk menyekat kebebasan bersuara di Internet dilihat sebagai usaha sia-sia.
[sunting] Kritikan Tun Mahathir
Pada 2005, telah dikatakan bahawa di bawah pentadbiran Abdullah, terdapat suatu peningkatan yang nyata dalam kes-kes kronisme mengenai pemberian permit import (AP) untuk kereta buatan luar negara. Bekas Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad telah menyahut penyiasatan ke dalam isu tersebut. Kemudian, Mahathir mengkritik Abdullah kerana membatalkan banyak projek pembangunan yang dimulakan oleh Mahathir, contohnya pembinaan jambatan untuk menggantikan tambak yang menghubungi Malaysia dan Singapura. [3] Mahathir juga mengatakan bahawa Abdullah telah asalnya memberi kelulusan kepada tentera udara Singapura untuk terbang ke kawasan Malaysia dan menjual pasir kepada Singapura sebagai pertukaran bagi perjanjian untuk pembinaan jambatan. Mahathir melihat ini sebagai suatu tindakan yang “menjual” keluruhan Malaysia.
Pada 2006, Mahathir meneruskan kritikannya terhadap Abdullah, menuduh bahawa kebebasan media di bawah Abdullah telahpun berkurangan. Mahathir juga menambah bahawa media enggan menyiarkan komen beliau. Mahathir telah menyalahkan Abdullah kerana memecahkan janji yang dibuat oleh Abdullah berkenaan dasar kerajaan dan dalam kritikannya yang paling kuat setakat ini, mengatakan bahawa Abdullah telah mengkhianati kepercayaannya. Mahathir kesal kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya dan mengatakan bahawa dia pada asalnya inginkan timbalan Abdullah, Najib Tun Razak untuk menggantikannya. Najib yang ketika itu pada suatu lawatan rasmi ke India, segera menyatakan sokongan tidak terhingga kepada Abdullah. [4] [5]
Pada Oktober 2006, Mahathir menyalahkan Abdullah kerana telah mengamalkan suatu tabiat membohong. [6] Ia bermula ketika Abdullah telah dilaporkan mempunyai masalah dengan membuat keputusan yang efektif. Oleh itu, dia selalu menghadapi masalah apabila keputusannya menimbulkan kontroversi di kalangan orang Malaysia. Satu contohnya adalah keputusannya untuk membatalkan pembinaan jambatan yang sepatutnya menggantikan Tambak Singapura-Johor. Dalam pengumumannya, dia senantiasa menggunakan perkataan “rakyat”, dengan menganggap bahawa semua rakyat menyokong kesemua keputusannya tanpa ragu. Berikut merupakan ulasan Mahathir Mohamad:-
Umno has now become completely paralysed... Bila kawan dengan pembohong, kita jadi terdapatlah tabiat itu. Pak Lah Bohong!... Saya berasa amat sedih. Saya tahu ada rasuah. Ada money politics dalam UMNO. Ada orang yang membuat cadangan tertentu dan bertanya kepada saya apakah (adakah) sekarang ini saya perlu berhubung dengan Khairy? Siapa dianya Khairy ini? Apakah (Adakah) dia ini pegawai tinggi kerajaan? Apakah (Adakah) dia Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri ataupun Menteri? Tidak. Dia tidak. Tetapi masing-masing berpendapat mereka perlu berhubung dengan Khairy untuk meluluskan sesuatu. [7]
Tambahan pula, kepimpinan Abdullah diragui kerana dikatakan segala tindak-tanduknya perlu mendapat kelulusan daripada menantunya, Khairy Jamaluddin.
Pengkritik telah membandingkan pemerintahan Abdullah dengan pemerintahan Mahathir, mencadang bahawa Mahathir adalah lebih berjaya dalam mengekalkan keharmonian di kalangan kaum-kaum di Malaysia. [8]
Pada 19 Mei 2008, Tun Dr. Mahathir telah mengisytiharkan keluar parti dari UMNO di hadapan 1,000 ahli UMNO Kedah di Alor Star serta menyeru ahli-ahli lain untuk mengikut jejak beliau sebagai satu bentuk tekanan agar Abdullah meletakkan jawatan. Walau bagaimanapun, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain dan hanya akan menyertai UMNO semula setelah Abdullah meletakkan jawatan. Pengumuman beliau keluar parti meningkatkan kebarangkalian pemulauan parti secara besar-besaran oleh ahli-ahli lain yang setia, yang berupaya memecah-belahkan parti serta menjatuhkan kerajaan.[5]
[sunting] Kebebasan media
Abdullah juga sering dikritik oleh penulis blog Malaysia dan media luar negara kerana sentiasa mendiamkan diri dengan kritikan terhadapnya. Dia telah bersumpah untuk bertindak keras ke atas penunjuk-penunjuk perasaan yang pro-demokrasi dan memberi sokongannya kepada polis untuk menghapuskan pertunjukan perasaan dan menangkap peserta dalam pertunjukan perasaan. [9] Ini telah diikuti oleh suatu siri larangan media berkenaan beberapa perhimpunan pro-demokrasi bersifat aman seperti Perhimpunan Bersih 2007 yang diadakan pada 10 November 2007. Media tempatan yang dikawal oleh kerajaan Malaysia tidak menyiarkan hal itu (dengan penuh) sedangkan ia telah diperihalkan oleh media luar negara seperti Al-Jazeera, Reuters, BBC dan CNN. Abdullah kemudian menyatakan bahawa dia pantang dicabar. [10]
[sunting] Michelle Yeoh
Pada tahun 2007, muka hadapan Harakah memaparkan suatu gambar Abdullah yang meletakan tangannya di atas bahu yang tidak ditutup pelakon wanita terkenal Michelle Yeoh. Parti pembangkang Islam yang menerbitkan Harakah sentiasa menyalahkan kerajaan Abdullah yang gagal memelihara piawai keagamaan dan moral di negara Asia Tenggara ini, di mana hampir 2/3 daripada rakyatnya adalah kaum Melayu Muslim.[11]
[sunting] Perdana Menteri tidur
Abdullah Badawi juga dikritik oleh rakyat Malaysia kerana telah banyak kali dilihat tidur ketika menjalankan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO. [12] [13]
[sunting] Pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008
Abdullah Badawi sekali lagi dikritik mengamalkan tabiat menipu oleh ahli-ahli politik pembangkang, setelah beliau mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008. [14] Ini kerana beliau telah berjanji pada 12 Februari 2008 bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku pada hari keesokan. [15]
Walau bagaimanapun, ketika ditanya wartawan mengapa Parlimen dibubarkan pada 13 Februari sedangkan beliau pada hari sebelumnya menafikan akan membubarkan Parlimen, Abdullah Badawi mengatakan beliau tidak boleh memberi sebarang bayangan mengenai pembubaran parlimen [16].
[sunting] Fakta bercelaru tentang daya saing Malaysia
Pada 28 Januari 2008, Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia di tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara berdasarkan Laporan Daya Saing Dunia 2007 (World Competitiveness Yearbook 2007). Dakwaan itu hanya betul di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke-atas, manakala keseluruhannya Malaysia hanya menduduki tempat ke-23 di dalam dunia. [17]
Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Abdullah Badawi sengaja memutarbelitkan hakikat dan keputusan Abdullah untuk mengeluarkan fakta yang bercelaru ini adalah usaha yang sangat lemah untuk menyembunyikan fakta bahawa asas-asas ekonomi Malaysia telah gagal bergerak di bawah pemerintahannya. Menurut Anwar, daya saing Malaysia semakin merosot dan dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia dulunya setaraf dengan Singapura dan Hong Kong, Malaysia sekarang di kedudukan ke-23 di seluruh dunia, manakala Singapura di kedudukan kedua dan Hong Kong ketiga.
Anwar berpendapat bahawa Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa sekiranya Malaysia ingin memperkasakan ekonominya sebagai gagasan ekonomi bertaraf global.[18]
[sunting] Anugerah
| Tahun | Nama Anugerah | Daripada |
|---|---|---|
| 2007 | Bintang Republik Indonesia Adi Pradana | Indonesia |
| 2005 | Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin (S.U.M.Z.) | Terengganu |
| 2004 | Ijazah Doktor Persuratan (Honoris Causa) | Universiti Jamia Millia Islamia, New Delhi, India |
| 2004 | Pingat Jose Marti (Jose Marti Order) | Cuba |
| 2004 | Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) - Datuk Seri Utama | Melaka |
| 2004 | Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.J.) | Johor |
| 2003 | Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P.) - Datuk Patinggi | Sarawak |
| 2003 | Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah (S.P.S.A.) - Dato' Seri Diraja | Perak |
| 2001 | Fellowship Kehormat | Institute of Engineers Malaysia |
| 2001 | Darjah Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamallulail (S.S.S.J.) - Dato' Seri Diraja | Perlis |
| 2000 | Darjah Seri Paduka Negeri Sembilan (S.P.N.S.) - Datuk Seri Utama | Negeri Sembilan |
| 2000 | Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) - Dato' Seri | Selangor |
| 1999 | Fellowship Kehormat | London Chartered Institute of Marketing |
| 1999 | Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat DiMulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad (S.S.A.P.) - Dato' Seri | Pahang |
| 1999 | Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) - Datuk Seri Panglima | Sabah |
| 1997 | First Class Order Of Friendship Of DPRK | Republik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara) |
| 1997 | Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) - Datuk Seri | Pulau Pinang |
| 1994 | A Knight Grand Cross, First Class Of The Most Exalted Order Of The White Elephant | Thailand |
| 1994 | Grand Cross Of The Order Of Merit | Chile |
| 1992 | Dato' Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) - Dato' | Selangor |
| 1992 | Anuguerah "Qwang Hwa Chang" dari Republik Korea | Republik Korea (Korea Selatan) |
| 1991 | Grand Cordan Of The Order Of The Sacred Treasure | Jepun |
| 1987 | Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat | Amerika Syarikat |
| 1983 | Diplomatic Service Merit, The Kwangha Medal oleh Presiden Republik Korea, Chun Doo Hwan | Republik Korea (Korea Selatan) |
| 1981 | Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) - Datuk | Pulau Pinang |
| 1979 | Darjah Johan Negeri (D.J.N.) | Pulau Pinang |
| 1974 | Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) | Persekutuan |
| 1971 | Ahli Mangku Negara (A.M.N) | Persekutuan |
[sunting] Garis masa
- 1939: Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November.
- 1964 (umur 25): Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya; menjadi Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam (sehingga 1969).
- 1965 (umur 26): Berkahwin dengan Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
- 1969 (umur 30): Dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha kepada Majlis Gerakan Negara, Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1971).
- 1971 (umur 32): Dilantik sebagai Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (sehingga 1973).
- 1974 (umur 35): Dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
- 1978 (umur 39): Menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas; juga menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1980).
- 1979 (umur 40): Menjadi Ketua UMNO Cawangan Bertam serta Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
- 1980 (umur 41): Dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1981).
- 1981 (umur 42): Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO; menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1984).
- 1984 (umur 45): Dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga 1986; menjadi Naib Presiden UMNO sehingga 1990.
- 1986 (umur 47): Dilantik sebagai Menteri Pertahanan (sehingga 1987).
- 1990 (umur 51): Dilantik sebagai Ketua Delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara/Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Masyarakat.
- 1991 (umur 52): Dilantik sebagai Menteri Luar Negeri (sehingga 1999).
- 1993 (umur 54): Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO (sehingga 1996).
- 1996 (umur 57): Menjadi Naib Presiden UMNO.
- 1998 (umur 59): Menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang.
- 1999 (umur 60): Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Januari sehingga Oktober 2003; menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
- 2000 (umur 61): Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada Mei.
- 2003 (umur 64): Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada 31 Oktober.
- 2004 (umur 65): Menjadi Presiden UMNO pada September.
- 2007 (umur 68): Berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun.
[sunting] Alamat
[sunting] Alamat pejabat
- Pejabat Perdana Menteri,
- Blok 'A' Pusat Pentadbiran,
- Kerajaan Persekutuan Putrajaya,
- 62502, Putrajaya.
- Tel: 03-88888033, 03-88883430
- Faks: 03-88883430
- E-mel: ppm@pmo.gov.my
- Laman web: http://www.pmo.gov.my/
[sunting] Alamat perhubungan
- Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri,
- Pejabat Perdana Menteri,
- Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
- Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
- 62502 Putrajaya.
- Faks: 03-88884333
[sunting] Rujukan
- ↑ http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PMMain.nsf/hv_PMKiniSemasaNew/D63C3C4E562A452548256EB000304EB7
- ↑ http://bn2008.org.my/pm_bm.aspx]
- ↑ Mukhriz dikecam gara-gara kritik ucapan Pak Lah, mStar on-line.
- ↑ Nihaz Mohd Yusoff (8 Disember 2007). Media Perdana VS Media Maya. MYKMU NET.
- ↑ "Malaysia's Mahathir quits ruling party", Yahoo, 19-05-2008.
[sunting] Pautan luar
- Laman Web Rasmi
- Profil Perdana Menteri
- Profil: Abdullah Ahmad Badawi
- Laman Kerajaan Malaysia: Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
- Abdullah yang setia memenangi jawatan pesaing Anwar
- Universiti Utara Malaysia
| Penyandang Terdahulu | Perdana Menteri Malaysia 31 Oktober, 2003 – "Masih berkhidmat" |
Penyandang Kemudian |
| Mahathir bin Mohamad | "Masih berkhidmat" |
| Penyandang Terdahulu | Timbalan Perdana Menteri Malaysia 8 Januari 1999 – 31 Oktober, 2003" |
Penyandang Kemudian |
| Dato' Seri Anwar Ibrahim | Najib Tun Razak |

