Persekutuan Tanah Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Malaya)
Persekutuan Tanah Melayu
ڤرسكوتوان تانه ملايو
Federation of Malaya
1948–1963
Bendera Malaya
Jata Malaya
Bendera Jata
Lokasi Malaya
Ibu negara
dan bandar terbesar
Kuala Lumpur
Bahasa yang umum digunakanMelayu (rasmi), Inggeris
KerajaanPersekutuan sebagai naungan British (1948–1957)
Raja berperlembagaan parlimen persekutuan (1957–1963)
Raja/Ratu England (1948–1957)
Yang di-Pertuan Agong (1957–1963)
 
• 1948–1952
George VI
• 1952–1957
Elizabeth II
• 1957–1960
Tuanku Abdul Rahman
• 1960
Sultan Hisamuddin Alam Shah
• 1960–1963
Tuanku Syed Putra Jamalullail
Pesuruhjaya Tinggi 
• 1948
Edward Gent
• 1948–1951
Henry Gurney
• 1952–1954
Gerald Templer
• 1954–1957
Donald MacGillivray
Ketua Kerajaan 
• 1955–1957 (sebagai Ketua Menteri)
1957–1963 (sebagai Perdana Menteri)
Tunku Abdul Rahman
Badan perundanganMajlis Perundingan Malaya
Sejarah 
• Didirikan
31 Januari 1948
• Kemerdekaan
31 Ogos 1957
• Pembentukan Malaysia
16 September 1963
Mata wangDolar Malaya (1948–1953)
Dolar Malaya dan Borneo British (1953–1967)
Didahului oleh
Diganti oleh
Malayan Union
Malaysia

Persekutuan Tanah Melayu (bahasa Inggeris: Federation of Malaya) merupakan sebuah persekutuan 12 negeri di Tanah Melayu. Ia dibentuk pada 31 Januari 1948 oleh sembilan Negeri-Negeri Melayu dan dua negeri selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Negara ini mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 apabila British meninggalkan kawasan jajahan mereka itu.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

reka bentuk awal bendera Persekutuan Tanah Melayu

Dari tahun 1946 hingga 1948, sebelas negeri membentuk satu koloni mahkota British yang dikenali sebagai Malayan Union.[5] Disebabkan tentangan daripada nasionalis Melayu, Kesatuan telah dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang memulihkan kedudukan simbolik raja-raja di negeri-negeri Melayu.

Di dalam Persekutuan, sementara negeri-negeri Melayu menjadi naungan United Kingdom, Pulau Pinang dan Melaka kekal sebagai wilayah kolonial British. Seperti Malayan Union sebelum ini, Persekutuan tidak termasuk Singapura, walaupun mempunyai hubungan tradisional dengan Tanah Melayu.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah digubal oleh Persidangan Pleno British–Melayu antara Jun dan Disember 1946. Pada akhir mesyuarat, Persidangan Pleno menghasilkan "Buku Biru" setebal 100 muka surat.[6] Ia ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House oleh raja-raja Melayu, dan oleh Sir Edward Gent sebagai wakil kerajaan British.[7] Perjanjian itu menggantikan Perjanjian mewujudkan Malayan Union, dan bersedia untuk penubuhan.

Perjanjian Persekutuan tanah Melayu[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak antara Jun-Disember 1946. Pada akhir mesyuaratnya, Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.[1]

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British. Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan.

Antara 1946-1948, 11 buah negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.[2]

Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian daripada Malaya.

Persekutuan Tanah Melayu ini mendapat kemerdekaan daripada Negara-negara Komanwel British pada 31 Ogos 1957.[3] Merujuk kepada Akta Malaysia 1963, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (yang dinamakan semula sebagai Sabah) disekutukan dengan negeri-negeri lain yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya ia dinamakan Malaysia. Singapura kemudiannya keluar daripada Malaysia dan membentuk sebuah republik sendiri pada 9 Ogos 1965. dan polis dahulu namanya ialah Polis Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya Police).

Ahli persekutuan[sunting | sunting sumber]

Sistem kerajaan[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu.

  • Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi.
  • Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri, (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.
  • Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen.Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.

Syarat kerakyatan[sunting | sunting sumber]

Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara;

  1. Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
  2. Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15 tahun terus-menerus.
  3. Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama 15 tahun terus-menerus.
  4. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.
  5. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibu bapanya dilahirkan serta telah tinggal selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

  1. dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
  2. Telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.

Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.[4]

Pembahagian kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Persekutuan menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan British. Perjanjian Persekutuan telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.[5]

Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu[sunting | sunting sumber]

Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1948. Ia dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Dewan Perundangan Persekutuan itu adalah termaktub dalam Bahagian Empat, Perlembagaan Persekutuan 1948. Ahli majlis mestilah terdiri daripada  :

  1. Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden
  2. 3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara
  3. 11 orang ahli rasmi
  4. 34 orang ahli tidak rasmi.

Semua ahli majlis itu kecuali ahli Ex-Officio mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British. Dalam tahun 1948 terdapat :

  1. 28 orang wakil Melayu termasuk semua Menteri Besar
  2. 14 orang wakil Cina
  3. 6 orang wakil India
  4. 14 ahli bangsa Eropah yang menjadi ahli rasmi.


  • Setiausaha Negara A.T. Newboult ialah orang yang pertama berucap
  • Dato' Onn Jaafar selaku wakil orang-orang Melayu
  • Dr. Ong Chong Keng selaku wakil orang-orang Cina
  • S.B. Palma wakil orang-orang India
  • Lord Listowel selaku wakil Raja Inggeris
  • Presiden Sir Edward Gent.

Dato' Onn Jaafar menegaskan bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak ingin melihat campurtangan dan kuasa luar dalam hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu. Wakil orang-orang Cina pula menjelaskan bahawa orang-orang Cina akan taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dalam Persidangan Dewan Perundangan Persekutuan yang pertama ini beberapa Jawatankuasa kecil telah dibentuk iaitu :

  • 'Standing Committee On Finance'
  • Jawatankuasa Pemilihan
  • Jawatankuasa Keistimewaan.

Persidangan pertama itu telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbandaran Kuala Lumpur, Rang Undang-Undang Pemindahan Kuasa dan Rang Undang-Undang Peminjaman dan Hutang. Dalam persidangan itu, wakil-wakil tidak rasmi yang baru telah menunjukkan kebolehan yang baik dalam perbahasan di Dewan tersebut. Dengan cara inilah pihak kerajaan Inggeris membimbing warganegara Persekutuan Tanah Melayu untuk terus maju ke arah berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan.[6]

Pendaftaran PKMM ditolak[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1950, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menolak pendaftaran Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai sebuah parti politik yang sah. PKMM mempunyai dua sayap iaitu Angkatan Pemuda Insaf dan Angkatan Wanita Sedar. Asalnya, PKMM tidak cenderung kepada komunisme. Setelah Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presiden PKMM yang pertama pada bulan Oktober 1946, parti ini telah dipengaruhi oleh komunis. Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, dan Dr. Burhanuddin al-Helmi telah menjadi presiden PKMM yang kedua. Dr. Burhanuddin membawa PKMM ke arah pembentukan Melayu Raya iaitu gabungan Indonesia dan Tanah Melayu. Pada Disember 1947, Ishak Haji Mohamed telah menjadi presiden PKMM yang ketiga dan PKMM beralih [perlu rujukan] daripada konsep komunisme kepada nasionalistik. PKMM adalah anti-UMNO dan anti penjajah. PKKM juga telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat atau singkatannya ditulis sebagai PUTERA, iaitu gabungan parti-parti politik radikal Melayu dan kemudian bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action atau AMCJA yang menentang habis-habisan mengenai Perjanjian Persekutuan 1948 bagi menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu. PKMM telah menuduh pegawai-pegawai yang dilantik dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai 'boneka', yang menari mengikut rentak 'Pejabat Jajahan'. Bagi PKMM, tiada unsur untuk "menyediakan Tanah Melayu sebagai kerajaan yang demokratik". [7]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]