Kerajaan tempatan di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kerajaan tempatan di Malaysia merupakan kerajaan di peringkat paling rendah dalam sesuatu sistem kerajaan di Malaysia. Ia berkuasa untuk mengenakan cukai yang terhad seperti cukai pintu. Selain itu agensi kerajaan ini boleh menguatkuasakan undang-undang kecil (atau by-laws) kepada penduduk yang berada di dalam kawasan pentadbiran mereka. Lazimnya pegawai tertinggi di dalam kerajaan tempatan dipanggil Datuk bandar bagi bandar raya, manakala Yang di-Pertua Majlis atau Presiden bagi kawasan perbandaran dan juga Majlis-majlis daerah.

Sejarah perkembangan[sunting | sunting sumber]

Perkembangan awal[sunting | sunting sumber]

Sistem kerajaan tempatan yang diamalkan di Malaysia telah diwarisi daripada British yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 2 kurun sebelum kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957.[1] Maka, kerajaan tempatan yang ditubuhkan pada permulaannya adalah bermodelkan sistem yang wujud di Britain. Malah dalam kaji selidik yang lebih mendalam telah mendapati bahawa kebanyakan undang-undang dan peraturan yang wujud ketika itu menyamai undang-undang Inggeris. Tetapi, dalam peredaran masa, ciri-ciri unik yang mencerminkan sosio-budaya tempatan mula mempengaruhi perjalanan kerajaan tempatan di Malaysia.

Sebuah badan yang dipanggil Majlis Penilai (Council of Assessors) telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1801. Majlis ini diberi peranan merancang dan melaksanakan pembangunan bandar. Hal ini seterusnya membawa kepada penubuhan kerajaan tempatan di negara ini. Majlis-majlis tempatan kemudiannya dibentuk di Melaka, diikuti dengan negeri-negeri Melayu yang lainnya sehingga ke Sarawak dan Borneo Utara. Bagi melaksanakan penubuhan ini dan juga menganjurkan pilihan raya kerajaan tempatan, pihak British telah memperkenalkan pelbagai perundangan. Sebagai contoh, Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 memberi kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Selain itu, Ordinan Kerajaan Tempatan 1952 pula memberi kuasa kepada penduduk-penduduk setempat membentuk majlis-majlis tempatan di mana perlu. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Tanah Melayu.[2] Selepas kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, kuasa ke atas kerajaan tempatan diletakkan ke dalam senarai negeri.[3]

Dekad 60-an pasca-Merdeka merupakan zaman yang amat mencabar bagi majlis-majlis tempatan. Permasalahan dalaman berkaitan pentadbiran dan politik yang dihadapi oleh kerajaan tempatan dan konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia pada tahun 1963, telah memaksa penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan. Penggantungan ini dilakukan melaui dua peraturan, iaitu Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan raya Kerajaan Tempatan) 1965 dan pindaannya pada tahun yang sama. Sejak dari itu, kerajaan tempatan di Malaysia tidak lagi melangsungkan pilihan raya walaupun sistem ini telah berkembang di dalam keseluruhan sistem berkerajaan di Malaysia.[4]

Suruhanjaya Siasatan Diraja 1965[sunting | sunting sumber]

Masalah-masalah yang dialami oleh kerajaan tempatan pada tahun 1960-an telah diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai jenis majlis tempatan dan juga dengan kerumitan penguatkuasaan pelbagai ordinan, enakmen, undang-undang kecil dan peraturan yang berbeza-beza. Sehingga awal dekad 70-an, percambahan unit-unit kerajaan tempatan ini menyaksikan wujudnya entiti yang mentadbir kawasan setempat dalam jumlah yang agak banyak. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat sebanyak 374 buah majlis tempatan. Maka, kerajaan merasakan wujudnya keperluan mengkaji semula dan merombak sistem kerajaan tempatan di Malaysia bagi memperbaiki gerak kerjanya. Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas perjalanan Kerajaan Tempatan di Malaysia Barat, yang pertama seumpamanya, telah ditubuhkan pada tahun Jun 1965 bagi tujuan ini. Suruhanjaya itu diketuai oleh Senator Athi Nahappan turut dianggotai oleh D. S. Ramanathan, Awang Hassan, Chan Keong Hon, Tan Peng Khoon dan Haji Ismail Panjang Aris, kesemuanya ahli politik berpengaruh dari Parti Perikatan.[5] Suruhanjaya ini telah mengadakan pelbagai mesyuarat dan perbincangan, di samping menerima pelbagai memorandum daripada banyak pihak dan telah berjaya menyiapkan satu kaji selidik yang menyeluruh tentang selok-belok operasi kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia. Laporan mereka hanya sempat dihantar ke jemaah menteri pada bulan Disember 1969 dan hanya diedarkan kepada orang awam dua tahun kemudiannya.

Rombakan menyeluruh[sunting | sunting sumber]

Walaupun kesemua saranan Suruhanjaya Diraja itu tidak diterima, kebanyakan penemuannya telah dijadikan asas untuk menyusun semula keseluruhan sistem kerajaan tempatan di Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak). Bertunjangkan cadangan Suruhanjaya Diraja tersebut, penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang baru mentadbir hal-ehwal kerajaan tempatan yang diberi nama Akta Kerajaan Tempatan dilakukan dengan berperingkat-peringkat. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu, Ong Kee Hui melalui jawatankuasa kabinet yang mengkaji laporan Suruhanjaya Diraja, memulakan penyusunan semula itu dengan memperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan Sementara) 1973. Akta ini memberi peruntukan perlembagaan sementara kepada kerajaan persekutuan untuk mengkaji semua undang-undang berkaitan kerajaan tempatan yang dipegang oleh kerajaan negeri. Hasilnya 3 undang-undang baru diwartakan yang mengubah secara langsung sistem kerajaan tempatan di negara ini, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Beberapa perubahan penting telah berlaku dengan penguatkuasaan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Akta baru itu hanya membenarkan penubuhan 12 majlis perbandaran dan 90 majlis daerah sepanjang tiga tahun berikutnya. Ini bermakna semua majlis tempatan yang sedia ada disatukan samada bagi membentuk majlis perbandaran atau majlis daerah bergantung kepada keadaan pada waktu itu. Yang paling penting sekali ialah pemansuhan terus pilihan raya kerajaan tempatan. Melalui akta ini, pegawai-pegawai majlis tempatan akan dilantik manakala sebahagian besar majlis daerah akan diketuai oleh pegawai-pegawai daerah masing-masing. Kedua-dua perubahan ini dan beberapa peruntukan lainnya secara langsung telah memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengawal kerajaan tempatan yang sebelum ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Rombakan ini secara langsung telah mengubah peranan kerajaan tempatan. Sebelum tahun 1970-an kerajaan tempatan dianggap sebagai salah satu saluran dalam amalan demokrasi di negara ini selain parlimen dan dewan undangan negeri. Tetapi, selepas rombakan dibuat, peranan itu diubah kepada saluran untuk mempercepat dan menggalakkan pembangunan. Hal ini disimpulkan seorang pemerhati politik yang bernama Malcolm W. Norris pada tahun 1978:[1]

Visi baru untuk kerajaan tempatan di Malaysia ini mempunyai kepentingan politik yang amat besar. Penyusunan semula sistem kerajaan tempatan akan memberikan dorongan baru kepada pihak berkuasa tempatan untuk mara merentasi peranan tradisinya seperti pengumpulan sampah dan pemeriksaan kebersihan atau penyenggaraan am kepada pembangunan dan pengurusan bandar.

Peruntukan undang-undang[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan Persekutuan Malaysia meletakkan kuasa eksklusif mentadbir kerajaan tempatan kepada kerajaan negeri.[3] Bagi kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan pula, hak eksklusif ini diberikan kepada kerajaan persekutuan. Namun begitu, pindaan perlembagaan pada tahun 1960 telah memperuntukkan penubuhan sebuah jawatankuasa perunding yang diberi nama Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.[6] Keahlian di dalam majlis ini terdiri daripada seorang menteri persekutuan selaku pengerusi, wakil kerajaan negeri dan juga wakil-wakil kerajaan Persekutuan. Walaupun berpenanan sebagai majlis perunding dalam menentukan undang-undang yang mentadbir kerajaan tempatan, pindaan 1960 itu juga memberikan kuasa pemutus kepada pengerusi sekaligus memberi kerajaan persekutuan pengaruh yang besar terhadap kerajaan tempatan.

Akta Parlimen[sunting | sunting sumber]

Selain peruntukan perlembagaan, beberapa akta parlimen telah digubal bagi mengawal operasi kerajaan tempatan di Malaysia. Akta yang paling berpengaruh ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Akta ini menggariskan bentuk, struktur organisasi, tugas dan tanggungjawab kerajaan tempatan secara menyeluruh. Pada masa yang sama, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) juga digubal bagi mengatasi kelemahan perancangan guna tanah di kawasan tempatan. Akta 172 ini meletakkan tanggungjawab utama sebagai perancang fizikal di peringkat tempatan kepada kerajaan tempatan.[7] Selain itu, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133) pula menjelaskan beberapa peranan kerajaan tempatan berkaitan perparitan, penyenggaraan jalan bandaran dan juga bangunan-bangunan awam. Di samping tiga akta yang dinyatakan ini, beberapa undang-undang lain termasuk undang-undang kecil telah digubal dan dikuatkuasa bagi membantu melicinkan perjalanan kerajaan tempatan.

Sabah dan Sarawak[sunting | sunting sumber]

Perkara 95D, Perlembagaan Persekutuan walaubagaimanapun mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada Perkara 95A.[8] Hasilnya, kerajaan tempatan di dua buah negeri ini ditadbir secara langsung oleh kerajaan negeri masing-masing. Namun begitu, kedua-dua kerajaan negeri masih menghantar wakil mereka menghadiri mesyuarat rundingan majlis berkenaan sebagai pemerhati tanpa hak mengundi.

Di Sabah, kerajaan tempatan dibentuk melalui peruntukan di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961. Ordinan ini turut menggariskan tanggungjawab dan fungsi penguasa tempatan di Sabah. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, yang pertama kali dibentuk selepas pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) 1963, mentadbir perjalanan penguasa tempatan di negeri ini.

Di Sarawak, penguasa tempatan ditubuhkan di bawah Ordinan Penguasa Tempatan 1996. Ordinan ini adalah mewarisi sebahagian perundangan yang sebelum ini digubal di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1948. Di samping itu, undang-undang lain yang mengawal tugas penguasa tempatan ialah Ordinan Bangunan 1994, Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999 dan juga undang-undang kecil di bawahnya. Sementara itu, penguasa tempatan di bahagian Kuching pula ditubuhkan melalui Ordinan Perbandaran Kuching 1988 dan juga Ordinan Bandar raya Kuching Utara 1988. Di bawah ordinan ini, tiga penguasa tempatan dibentuk iaitu, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan juga Majlis Perbandaran Padawan. MBKS dan Majlis Perbandaran Padawan kemudiannya diletakkan dibawah peruntukan Ordinan Penguasa Tempatan 1996. Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam diberi tanggungjawab menyelia perjalanan penguasa tempatan di negeri ini.[9]

Hierarki kerajaan tempatan[sunting | sunting sumber]

Sebelum kerja-kerja penyusunan semula dan penguatkuasaan Akta Kerajaan Tempatan 1976, wujud 6 jenis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang keseluruhannya berjumlah 418 buah. Jenis-jenis itu ialah:

  • Dewan Bandaraya
  • Majlis Perbandaran
  • Majlis Bandaran
  • Lembaga Bandaran
  • Majlis Daerah Luar Bandar
  • Majlis Tempatan

Hasil penerapan Akta 171 itu, secara hakikinya wujud hanya dua jenis kerajaan tempatan iaitu untuk kawasan bandar (majlis perbandaran) dan desa (majlis daerah). Tetapi, Akta 171 itu membenarkan pembentukan kerajaan tempatan bertaraf bandar raya. Status ini dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Majlis Raja-raja. Selain yang dinyatakan oleh Akta 171, beberapa badan khas telah ditubuhkan dengan peranan sebuah PBT. Badan-badan ini ditubuhkan samada melalui Akta Parlimen mahupun enakmen dan ordinan negeri. Hari ini, wujud empat jenis kerajaan tempatan di negara ini yang disusun mengikut hierarki seperti berikut:

  • Bandar raya - dikenali sebagai Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya
  • Bandar - dikenali sebagai Majlis Perbandaran
  • Luar bandar - dikenali sebagai Majlis Daerah
  • Kawasan khas - dikenali sebagai Perbadanan atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Tugas[sunting | sunting sumber]

Sistem kerajaan tempatan di Malaysia dijalankan berlandaskan prinsip ultra-vires (b. Latin untuk melangkaui kuasa) dan juga kecekapan umum (b. Inggeris: general competence).[10] Namun begitu, PBT telah diberikan kuasa yang luas di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Peranan dan fungsi yang dimandatkan kepadanya bukan sahaja meliputi tugas-tugas wajib malah boleh menjalankan tugas menurut budi bicara mereka sendiri. Tugas-tugas wajib itu termasuk pengumpulan sampah, penyengaraaan lampu-lampu jalan dan juga aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan awam. Fungsi budi bicara itu pula termasuklah peranan pembangunan seperti menyediakan kemudahan-kemudahan awam, taman-taman rekreasi, perumahan dan juga kegiatan-kegiatan perdagangan. Menurut Akta 171, PBT diserahkan peranan dan tugas-tugas berikut:[10]

  • Kuasa perancang tempatan
  • Kuasa mengeluarkan lesen
  • Kuasa mengenakan cukai-cukai tertentu
  • Membina bangunan, perumahan dan unit-unit perdagangan (pasar, gerai-gerai dsb.)
  • Kuasa untuk menjalankan fungsi merancang dan menguruskan kawasan bandar
  • Mengurus dan mengawal lalulintas (termasuk mengurus sistem pengangkutan awam bandaran)
  • Kuasa untuk merancang dan menyediakan kemudahan-kemudahan awam

Secara amnya, tugas dan peranan PBT ini boleh dikategorikan kepada alam sekitar, orang awam, sosial dan juga pembangunan.

Alam Sekitar[sunting | sunting sumber]

Tugas ini berkenaan penyenggaraan dan penambahbaikan kawasan persekitaran di bawah bidang kuasa mereka. Ia meliputi perkhidmatan-perkhidmatan seperti pembersihan, pengumpulan dan pembuangan sisa-sisa pejal, perparitan dan pembentungan yang sempurna selain program-program mengindahkan kawasan.

Orang awam[sunting | sunting sumber]

Peranan ini termasuklah perkhidmatan-perkhidmatan rumah penyembelihan, perkhidmatan veterinar, pengangkutan, kawasan-kawasan pengkebumian dan juga tempat membakar mayat.

Di samping itu, PBT turut bertanggungjawab menguruskan sistem kebersihan dan sisa pejal, membersihkan parit-parit dan jalan-jalan, malah menyenggara keseluruhan persekitaran di kawasannya. Pelesenan gerai-gerai jualan, peniaga-peniaga kecil-kecilan, pekedai dan pengusaha perniagaan yang secara lahiriahnya boleh mengganggu ketenteraman awam turut dipertanggungjawabkan kepada PBT.

Sosial[sunting | sunting sumber]

Beberapa kawasan perbandaran yang lebih besar dan membangun turut menyediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti pusat penjagaan anak-anak, klinik-klinik di bawah program kesihatan mereka, ambulans dan juga kenderaan jenazah. Selain itu, mereka turut menyenggara air-air pancut, menyediakan pencahayaan jalan-jalan awam dan kemudahan-kemudahan lainnya serta menyediakan tenaga buruh manual dan membantu kerajan negeri atau pejabat-pejabat daerah dalam penganjuran kemudahan-kemudahan sosial secara ad hoc di peringkat negeri mahupun daerah.

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Peranan ini lebih menurut budi bicara PBT tersebut. Walaupun PBT dianggap sebagai alat penting dalam pemodenan sosio-ekonomi setempat, kekurangan sumber kewangan dan kemampuan fizikal mengekang takat dan fungsi yang boleh mereka sediakan. Dalam hal ini, majlis-majlis daerah selalunya menghadapi masalah.


Bidang kuasa[sunting | sunting sumber]

Hari ini, kerajaan tempatan di Malaysia dikawal selia oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga kerajaan negeri melalui ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (atau Exco, kependekan bagi Executive Counciller) yang memegang portfolio kerajaan tempatan. Penguasa tempatan di Sabah dikawal oleh kabinet negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan manakala di Sarawak pula tugas-tugas menyelia diserahkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam.

Pegawai tertinggi di sesebuah kerajaan tempatan di Malaysia bergantung kepada status kerajaan tempatan itu. Bagi sebuah bandar raya, pegawai tertinggi itu digelar sebagai Datuk bandar. Bagi sebuah majlis perbandaran mahupun majlis daerah, pegawai itu dipanggil Yang Di-Pertua. Di Sabah dan Sarawak, ketua eksekutif penguasa tempatan biasanya digelas Presiden atau Pengerusi. Pemegang jawatan ini, yang lazimnya datang daripada kalangan kakitangan kerajaan negeri, dilantik oleh ketua negeri (sultan atau gabenor) atas nasihat kerajaan negeri.

Kadangkala, bagi sesebuah kawasan luar bandar yang kurang membangun, Pegawai daerah turut dipilih memegang jawatan ini. Perkara ini telah mengakibatkan kekeliruan di kalangan orang awam terutamanya di kawasan yang baru dinaik taraf menjadi kawasan perbandaran. Tidak semua Pegawai daerah menganggotai sesebuah kerajaan tempatan, sebaliknya beliau merupakan pegawai tertinggi yang mewakili kerajaan negeri bagi seluruh daerah itu dan beliau tidak terlibat secara langsung dengan perjalanan sesebuah kerajaan tempatan.

Sebagai contoh, bagi daerah Hulu Langat di Selangor yang mempunyai dua buah kerajaan tempatan iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), jawatan Pegawai Daerah dipegang oleh Encik Zainal Abidin Aala, manakala pegawai tertinggi di kedua-dua kerajaan tempatan, masing-masing ialah Dato' Mohammad bin Yacob dan Dato' Hasan Nawawi bin Abd Rahman.

Dalam kes di Hulu Langat, MPAJ turut mentadbir sebahagian kawasan di daerah Gombak. Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa kawasan pentadbiran sesebuah kerajaan tempatan tidak ditentukan berdasarkan sempadan daerah sahaja. Contoh terbaik yang lain pula ialah di daerah Petaling, wujud tiga buah kerajaan tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). MBSA pada hari ini turut mentadbir sebahagian daripada kawasan yang terletak di dalam daerah Klang di Selangor.

Pilihan raya Kerajaan Tempatan[sunting | sunting sumber]

Berikutan pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan sejak tahun 1960-an, pegawai-pegawai tertinggi PBT dan juga ahli-ahli Majlis yang bertindak sebagai penasihat dan penggubal undang-undang kecil di PBT, tidak lagi dipilih penduduk di sekitar kawasan PBT itu, sebaliknya oleh kerajaan negeri. Amalan ini telah sekian lama dikritik terutamanya oleh penduduk-penduduk yang tidak berpuas hati dengan prestasi PBT di kawasan mereka. Antara kritikan-kritikan itu ialah PBT tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya terutamanya merancang pembangunan dengan teratur dan mampan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas, banjir kilat, pencemaran alam sekitar dan juga kadar cukai pintu yang amat membebankan penduduk.

Suara-suara yang menyeru kepada penganjuran semula pilihan raya kerajaan tempatan telah dengan lantang cuba diketengahkan oleh pelbagai pihak terutamanya daripada parti-parti pembangkang, pergerakan-pergerakan awam dan juga ahli-ahli akademik selain penduduk-penduduk sendiri. Suara ini adalah amat lantang terutamanya di sekitar kawasan pantai barat Semenanjung dan juga di Kuching, Sarawak yang menyaksikan urbanisasi yang pesat. Malah, beberapa ahli politik daripada parti pemerintah seperti Datuk Shahrir Samad pernah turut sama menyuarakan isu ini pada tahun 2007.

Sejak Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 yang lalu, parti-parti politik dari Pakatan Rakyat telah menyuarakan hasrat mereka untuk menganjurkan pilihan raya tempatan terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Antara hujah-hujah mereka untuk membawa semula pilihan raya ini ialah meletakkan tanggungjawab ke atas pegawai tertinggi PBT yang selama ini merupakan kakitangan awam kerajaan negeri yang tidak dilantik oleh penduduk di sekitar PBT itu, selain memilih barisan ahli majlis melalui pengundian yang akan mencerminkan perwakilan secara seimbang di kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Usaha memperkenalkan semula pilihan raya ini dijangkakan mendapat tentangan daripada kerajaan persekutuan lebih-lebih lagi dengan perlunya mendapat persetujuan parlimen untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula. Sehingga pilihan raya boleh diadakan, kerajaan-kerajaan negeri terutamanya di kalangan Pakatan Rakyat telah melantik ahli-ahli majlis PBT di kalangan tokoh-tokoh dan aktivitis-aktivis setempat bagi menyeimbangkan pandangan di kalangan penduduk sekitar yang akan dapat memberikan maklumat berguna bagi pentadbiran sesebuah PBT.

Daftar Majlis Bandaraya[sunting | sunting sumber]

Daftar Perbadanan[sunting | sunting sumber]

Daftar Majlis Perbandaran[sunting | sunting sumber]

Daftar Majlis Daerah[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Norris, M. W., Local Government in Peninsular Malaysia, David Green Printers, Kettering, Northants, 1980.
  2. Report of the Royal Commission of Enquity into the Working of Local Government in West Malaysia, Syarikat Percetakan Nasional, Kuala Lumpur, Malaysia 1972
  3. 3.0 3.1 Perenggan 2, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
  4. Tennant, P., The Decline of Elective Local Government in West Malaysia, Asian Survey, April 1973.
  5. Saravanamuttu, J., The Snuffing Out of Local Democracy in Malaysia, Aliran, 2000. Dicapai: 23 Julai 2008.
  6. Perkara 95A, Perlembagaan Persekutuan.
  7. Singh, G., Land Laws, Land Policies and Planning in Malaysia, Urban Management Programme Regional Office for Asia–Pacific, August 1994.
  8. Perkara 95D, Perlembagaan Persekutuan.
  9. Relationship between the Ministry of Environment and Public Health and Local Authorities
  10. 10.0 10.1 Mohd Yahya, N., The local government system in Peninsular Malaysia: with special reference to the structure, management, finance and planning, 1987