Mokhtar Dahari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari


Dato'
Mokhtar Dahari
Supermokh.jpg
Maklumat peribadi
Nama penuh Mokhtar Dahari
Tarikh lahir 13 November 1953
Tempat lahir Setapak, Selangor, Malaysia
Tarikh kematian 11 Julai 1991 (umur 37 tahun)
Tempat kematian Subang, Selangor, Malaysia
Posisi permainan Penyerang
Nombor 10
Kerjaya remaja
Selangor FA
Kerjaya senior*
Tahun Pasukan Kmncln (Gol)
1971 - 1987 Selangor FA 375 (177)
Pasukan kebangsaan
1972-1985 Malaysia Malaysia 167 (125)
* Kemunculan kelab senior dan gol dikira untuk liga tempatan sahaja dan betul sehingga 1987.

† Kemunculan (Gol).

‡ Kaps pasukan kebangsaan dan gol betul sehingga 1985

Allahyarham Dato' Mohamad Mokhtar Dahari ( 13 November 1953 - 11 Julai 1991) adalah legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor. Beliau telah diberi gelaran SuperMokh kerana kecemerlanganya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya. Dia mewakili Malaysia dari tahun 1972 hinggalah 1985.

Biodata Mokhtar Dahari[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur, Mokhtar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (1966-1970). Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin ini mula mewakili Selangor pada tahun 1971 pada Piala Burnley. Beliau juga Pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, dan Kwong Yik Bank (sekarang Bank RHB).


MULA WAKILI SELANGOR: Piala Burnley 1971

PIALA MALAYSIA: Wakili Selangor 1972

MULA WAKILI NEGARA: Pestabola Merdeka 1972

KALI TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985

KAPS: 167

GOL PIALA MALAYSIA: 177

GOL ANTARABANGSA: 125

JARINGAN TERBAIK: Gol penyamaan menentang England B pada 1978

PENCAPAIAN: Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran

ANUGERAH: Olahragawan Kebangsaan 1976

Penglibatan Dalam Bola Sepak[sunting | sunting sumber]

Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 23 tahun lalu.

Walaupun ramai generasi muda masa kini tidak begitu mengenali bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah dikancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan gelaran SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R.Arumugam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.

Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.

Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan di skuad kebangsaan pun dia masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.

Bahkan dia tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan dia idola yang paling diminati.

Apapun kehilangan permata paling berharga bola sepak negara itu tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya mencuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bola sepak negara kembali segar seperti sebelumnya.

Tahukah Anda[sunting | sunting sumber]

  • MOKHTAR dihadiahkan sepasang but bola hanya berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau lebih tepat dipanggil LCE ketika itu. Dengan kasut itulah dia menempa nama sebaris dengan wira-wira negara sebelumnya seperti Datuk Abdul Ghani Minhat dan Arthur Koh.
  • Dan dia amat menghargai pemberian itu sambil berkata: “"Kasut but yang diberi oleh ayah saya hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya."[1]

Garis Masa Karier Mokhtar Dahari[sunting | sunting sumber]

1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.


1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dari Jepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia, di Bangkok.

- Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya. Perlawanan pertama menentang Sri Lanka.


1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di Pestabola Merdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol.


1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran.


1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkan kedua-dua gol itu.


1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka.


1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1977: Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B'. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.


1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentang Tentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emas Sukan Asia Tenggara dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. - Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa.

1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final.

1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura (Piala Malaysia). Pengadil `bersejarah' itu ialah Othman Omar. Mewakili negara ke pra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua.


1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona.


1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketiga dan terakhir.


1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai `Pemain Terbaik Perlawanan Akhir'. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi `keramat' nombor 10 kepada Raja Muda Selangor.


1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi.


1987: Menyertai Kwong Yik Bank (sekarang Bank RHB) dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor. Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil.


1989: Disahkan mengidap penyakit Distrofi otot. - berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan.


1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk.


1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi

Anugerah[sunting | sunting sumber]

  • 1976 : Olahragawan Kebangsaan
  • 1977 : Ahli Mangku Negara (A.M.N)
  • 2000 : Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P), Pahang yang membawa gelaran Dato'
  • 2001 : Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), Selangor yang membawa gelaran Dato'Mokhtar Dahari

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]