Pilihan raya kecil Bagan Pinang 2009

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Profil DUN pada 2008
Profil DUN pada 2009

Pilihan raya kecil Bagan Pinang 2009 ialah pilihan raya kecil ke-9 di Malaysia selepas pilihan raya umum 2008. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor akibat jangkitan di dalam darah. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan bahawa tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober 2009 manakala 11 Oktober 2009 sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.[1] Pada 3 Oktober 2009, setelah ditutup pencalonan, didapati bahawa pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional yang diwakili oleh calon UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dengan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Zulkefly Mohamad Omar.[2] Setelah dibuat pengiraan pada 11 Oktober 2009, didapati bahawa calon BN, Tan Sri Isa Samad secara rasmi menang besar di dalam pilihan raya kecil kali ini dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 5,435 undi.[3]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Profil DUN Bagan Pinang[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Bagan Pinang di dalam Parlimen Teluk Kemang

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang (N31) sebenarnya merupakan kawasan baru akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya di dalam Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima DUN (pada pilihan raya umum 1999, Parlimen Teluk Kemang mempunyai empat DUN). Jika dilihat dari segi sejarah, DUN ini merupakan kubu Barisan Nasional (BN) sejak dua penggal bermula daripada tahun 2004 (DUN baru bermula pada tahun 2004). Sungguhpun begitu, di dalam parlimen Telok Kemang, BN hanya memenangi dua daripada lima DUN yang mana salah satunya adalah di DUN Linggi. Begitu juga keseluruhan kawasan Parlimen Teluk Kemang yang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat menerusi Ahli Parlimennya, Datuk Kamarul Bahrin Abbas.[4]

Pengundi - semakan daftar pemilih[sunting | sunting sumber]

Jika merujuk kepada data pada pilihan raya umum 2008, jumlah pengundinya adalah 14,192 yang mana peratusan mengikut kaum Melayu, Cina ,India dan lain-lain adalah 66%, 10.5%, 19.9% dan 3.5% (sila lihat profil DUN di sebelah kanan atas).[5] Akan tetapi menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof setelah dibuat semakan terkini didapati bahawa 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat profil DUN di sebelah kanan bawah). Menurut beliau lagi, daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita.[4] Apa yang menarik ialah di dalam DUN Bagan Pinang terdapat tiga kem tentera dan lapan institusi dan unit ketenteraan yang memberikan sebanyak 4,571 anggota tentera, yang merupakan sebahagian daripada 4,604 pengundi pos di kawasan itu, menjadikan undi pos sebagai "kritikal" kepada kedua-dua parti yang bertanding itu.[6] SPR juga memperuntukkan lima kawasan semakan maklumat pemilih.[7]

Sejarah pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Jadual berikut merupakan rentetan pilihan raya di DUN Bagan Pinang semenjak 2004:-

Tahun ADUN Parti Lawan Parti Lawan Majoriti
2004 Mohd. Faizal Ramli BN BN-UMNO Hassan Alias PAS PAS 4,411
2008 Azman Mohd Nor BN BN-UMNO Dato' Ramli Ismail PAS PAS 2,333

Calon bertanding[sunting | sunting sumber]

Pilihan raya kecil Bagan Pinang ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional yang diwakili oleh calon UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dengan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.[2] Seorang lagi calon Bebas yang merupakan bekas ahli PKR, Shahrudin Abdul Hamid gagal membuat pencalonan disebabkan oleh ketiadaan penyokong tempatan.

Calon Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

Pada 11 September 2009, semua 33 Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Teluk Kemang sebulat suara menamakan ketuanya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon tunggal Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana Tan Sri Isa dilihat sebagai calon terbaik memenangi kerusi DUN Bagan Pinang walaupun keputusan ini dilihat membelakangi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta senarai beberapa calon.[8] Akhirnya UMNO bersetuju bahawa Tan Sri Isa menjadi calon BN di pilihan raya kecil tersebut.[9] Pencalonan ini mendapat reaksi daripada Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata bahawa PAS menyifatkan UMNO 'sudah kehabisan gas oksigen untuk bernafas' kerana pencalonan Isa menggambarkan UMNO sudah kehilangan orang yang berwibawa dan calon yang bersih dari segi moral dan rasuah.[10] Reaksi ini dibalas oleh Isa sendiri yang mengatakan isu rasuah beliau tidak berbangkit lagi kerana beliau telahpun menjalani hukuman penggantungan keahliannya dalam UMNO selama tiga tahun. Isa digantung selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005 kerana melanggar etika pada pemilihan pucuk pimpinan UMNO 2004.[11]

Calon Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Pada kebiasaannya, calon Pakatan Rakyat di kawasan ini adalah calon Parti Islam Se-Malaysia. PAS Negeri Sembilan menyenarai pendek tiga nama untuk diputuskan di peringkat pusat iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, Yang Dipertua Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.[12] Akhirnya pada 29 September 2009, PAS memutuskan bahawa Zulkefly Mohamad Omar menjadi calon Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil tersebut.[13]

Zulkefly lahir dan membesar di Lenggeng sedangkan Mohd Isa lahir di Melaka. Mohd Isa dibesarkan di Bagan Pinang tetapi tidak pernah bertanding di Bagan Pinang tetapi selama 20 tahun bertanding di DUN Linggi. Zulkefly tewas dalam pilihan umum 1999, 2004 dan 2008 di tempat kelahirannya, Lenggeng.[14]

Calon lain[sunting | sunting sumber]

Pada 14 September 2009, seorang bekas ahli jawatankuasa PKR Kota Lukut yang juga bekas kakitangan di pejabat ahli parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abbas, Shahrudin Abdul Hamid tampil menawarkan diri sebagai calon bebas.[12] Ini akan mengakibatkan beliau dipecat daripada PKR sekiranya beliau ingin meneruskan untuk terus bertanding.[15] Lalu beliau mengisytiharkan keluar dari parti dan cuba untuk membuat pencalonan tetapi gagal kerana ketiadaan penyokong tempatan.[16]

Suasana pilihan raya[sunting | sunting sumber]

SPRM menetapkan mana-mana parti yang tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini dilarang mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen. SPR akan bertindak tegas terhadap mana-mana parti yang berbuat demikian. Pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang ini, BN menamakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calonnya, manakala Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan sebagai calon PAS. Sementara itu, SPR kemudian mengumumkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

Pra pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pada 14 September 2009, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan bahawa tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober 2009 manakala 11 Oktober 2009 sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN berkenaan. Menurut pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz, Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson setelah mengambil kira faktor-faktor kesesuaian tempat itu. SPR juga akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi.[17] Lapan pusat mengundi ialah seperti berikut:-

Di samping itu juga, SPR akan menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen. Mereka mula bertugas dari tarikh penamaan calon hingga tamat hari mengundi, dan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa, seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding. Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan.[1]

Hari penamaan calon[sunting | sunting sumber]

Satu lawan satu[sunting | sunting sumber]

Pada hari Sabtu, 3 Oktober 2009, hari penamaan calon diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. Hanya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari Barisan Nasional (BN) dan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS menyerahkan borang pencalonan sebelum jam 10 pagi. Calon bebas Shahrudin Abdul Hamid membatalkan hasratnya untuk bertanding. SPR menolak pencalonannya kerana pencadangnya bukan pengundi DUN Bagan Pinang.[16]

Dakwaan ditumbuk[sunting | sunting sumber]

Abdul Azeez dan Ismail Sabri diselamatkan

Penyokong UMNO ditempatkan di atas bukit bersebelahan MPPP dan penyokong PAS di bahagian bawah. Polis dan FRU berkawal serta menghadang bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Akan tetapi Abdul Azeez Abdul Rahim yang melalui kawasan padat penyokong PAS telah ditumbuk beberapa kali. Kesan lebam terdapat di bahagian belakang, leher dan pipi. Kejadian itu berlaku pada jam 9.45 pagi. Laporan polis telah dibuat di IPD Port Dickson pada 12.30 tengah hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Datuk Ismail Sabri Yaakob terselamat daripada insiden itu. Pengarah Pilihanraya PAS Bagan Pinang, Salahuddin Ayub menyifatkan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai mencari publisiti murahan. Katanya, pengalaman di pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang lalu, Abdul Azeez juga menggunakan taktik kotor dengan menyamar sebagai ejen di tempat mengundi. Salahuddin Ayub mendakwa tindakan ahli Majlis Tertinggi UMNO itu memang mempunyai niat untuk sengaja melalui kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan Pakatan Rakyat sekaligus sengaja menimbulkan provokasi.[18][19][20] Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA), sebuah NGO menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang boleh menunjukkan bukti bergambar Datuk Abdul Azeez ditumbuk penyokong PAS.[21]

Pemalsuan undi pos[sunting | sunting sumber]

Seorang bekas sarjan Abu Kassim, yang telah menganggotai tentera darat selama 23 tahun sehingga 1989 mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera dalam dua pilihan raya umum – pemalsuan undi yang selama ini hanya digembar-gemburkan oleh ahli-ahli politik pembangkang. Bagaimanapun beliau tidak ingat tarikh tepat dan tempat peristiwa itu dengan alasan ia "sudah lama" berlaku tetapi ia didakwa terjadi semasa bawah pentadbiran perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.[22]

Undi berganda[sunting | sunting sumber]

PAS mendakwa berjaya mengesan kira-kira 200 orang yang dimasukkan dua kali dalam daftar pemilih, termasuk menggunakan kad pengenalan tentera, pada pilihan raya kecil tersebut. Mereka ini ada kad pengenalan tentera dan ada kad pengenalan awam.[23] Ini menyebabkan Pakatan Rakyat mungkin memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan pilihan raya kecil Bagan Pinang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat membersihkan daftar pemilih DUN tersebut, yang didakwanya membolehkan pemilih pos memangkah lebih daripada sekali.[24] Akan tetapi hal ini dinafikan oleh Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPRM setelah dibuat semakan.[25]

Dakwaan rasuah BN terhadap tentera[sunting | sunting sumber]

Pada 8 Oktober 2009, Pemuda PAS mendedahkan rakaman suara dua pemimpin BN yang didakwa menawarkan rasuah politik kepada tentera dengan berselindung di sebalik majlis sambutan Aidilfitri menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang jelas melanggar peruntukan dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, berkaitan larangan menyogok pengundi secara langsung atau tidak langsung.[26]

Hari pengundian[sunting | sunting sumber]

Pengundian di pilihan raya kecil ini unik kerana ia melibatkan ramai pengundi daripada kalangan tentera dan polis. Oleh itu hari pengundian dibahagikan kepada dua tempoh hari pengundian iaitu pengundian pos dan pengundian untuk orang awam.

Pengundi pos[sunting | sunting sumber]

Para pengundi pos mula mengundi pada 8 hingga 10 Oktober 2009 untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dengan 2,000 anggota tentera yang tinggal di dalam kem mengundi di sebuah dewan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa, manakala 31 anggota polis mengundi di ibu pejabat polis Port Dickson.[27]

Pengundi awam[sunting | sunting sumber]

Pengundian awam untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pula dilangsungkan pada 11 Oktober 2009 di lapan pusat pembuangan undi bermula pada pukul 8.00 pagi dan ditutup tepat pada pukul 5.00 petang.[28]

Terdapat beberapa insiden kekasaran antara penyokong parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dilaporkan berlaku. Satu daripadanya berlaku di Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang pada jam 11.20 pagi yang membabitkan perbuatan membaling batu dan botol air galian, manakala satu lagi insiden berlaku di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan. Keadaan di pusat pengundian di SK Panglima Adnan riuh rendah dengan penyokong BN dan PAS melaung, mengejek antara satu sama lain. Penyokong sebuah parti kelihatan membaling botol air galian melintasi jalan ke arah tempat penyokong PAS berhimpun. Apapun polis dapat meredakan keadaan.[29]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Menurut perangkaan tidak rasmi awal, Mohd Isa memperolehi undi 7,521 manakala Zulkefly pula 2,331. Jika dilihat dari segi perincian:-[30]

1. Undi pos

  • BN memperolehi 3,521 undi manakala PAS 601 undi.

2. Peti undi

  • Peti undi Bradwall: BN (217) PAS (88) rosak (7)
  • Peti undi Atteron: BN (236) PAS (91) rosak (1)
  • Taman Eastern: BN (236) PAS (91) rosak (1)
  • Pekan Siliau: BN (349) PAS (113) rosak (14)
  • Sua Betong: BN (213) PAS (94) rosak (3)
  • Bagan Pinang: BN (973) PAS (400)
  • Si Rusa: BN (767) PAS (304)
  • [Teluk Kemang: BN (1,109) PAS (563).

Pada pukul 8 malam pada hari yang sama, keputusan rasmi pilihan raya kecil Bagan Pinang 2009 dikeluarkan:-

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 2009
Parti Calon Undi % ±%
PR - PAS PAS logo.svg Zulkefly Mohamad Omar 2,578 18.87% -11.12
BN - UMNO BN-100px.jpg UMNO (Malaysia).svg Mohd Isa Abdul Samad 8,013 58.64% +11.58%
Majoriti 5,435 39.78% +2.70%
Peratusan mengundi 10,591 82.00% +0.82%

Pasca pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Keputusan-undi-bagan-pinang.gif

Analisis Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata, kemenangan luar jangkaan Isa jelas menunjukkan UMNO dan BN tidak dapat berubah untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah.[31] Menurut ahli jawatankuasa PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang juga pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu pula, kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka. Pendapat beliau disokong oleh pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian yang berpendapat bahawa PAS memberikan lebih tumpuan isu rasuah dan integriti sehingga menenggelamkan isu kebajikan, isu yang pernah dianggap berjaya meraih perhatian pengundi bukan Melayu. BN juga berjaya menebus ketewasannya di tiga daripada lapan daerah mengundi pada Mac tahun lalu, semuanya didominasi pengundi bukan Melayu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong (lihat carta sebelah). Kemenangan Isa itu, selain membuktikan ketokohannya masih utuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.[32] Tambah beliau lagi, kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang semalam sebagai kemenangan calonnya Tan Sri Isa Samad, dan bukannya kemenangan UMNO. kemenangan Isa itu menjadi permulaan bagi UMNO untuk mengembalikan semula kewibawaan UMNO yang merosot teruk pada pilihan raya umum lalu.[31]

Analisis Barisan Nasional[sunting | sunting sumber]

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Azman Hassan pula berkata, kemenangan Isa berpunca daripada kekuatan jentera pilihan raya setempat. Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula berhujah, BN memenangi pilihan raya kecil DUN tersebut kerana "mengutamakan pendapat rakyat" ketika memilih calon.[31]

Analisis penganalisa bebas[sunting | sunting sumber]

Penganalisa politik, Ong Kian Ming membuat anggaran berdasarkan angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menganalisa sokongan untuk BN dari 2008 hingga 2009 mengikut saluran dan komposisi etnik di saluran-saluran masing-masing bahawa sokongan bukan Melayu kepada UMNO melonjak sebanyak 42 peratus menjadikan 73 peratus. Manakala undi untuk calon BN, Tan Sri Isa Samad mencatatkan peningkat 4 peratus dari pengundi Melayu berbanding dengan keputusan pilihan raya umum 2008 menjadikan jumlah 67 peratus.

Menurut Ong lagi, tiga faktor utama yang mendorong pengundi beralih menyokong BN:-

  • Kehadiran Isa yang begitu lama di kawasan tersebut serta merupakan bekas menteri besar. Isa juga merupakan ketua UMNO bahagian Telok Kemang.
  • Kelemahan calon dan jentera pilihan raya PAS.
  • Isu-isu tempatan yang dianggap lebih penting daripada isu-isu nasional seperti insiden perarakan kepala lembu di Shah Alam dan kes kematian Teoh Beng Hock.

Bagi hampir 40 peratus pengundi Bagan Pinang yang mengundi pos pula, reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan popularitinya ketika menjadi menteri pertahanan, menjamin UMNO mendapat sebahagian besar undi berkenaan.[33]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 "11 Okt pilihan raya Bagan Pinang", Malaysiakini.com, 14 September 2009.
  2. 2.0 2.1 "Bagan Pinang: Pertandingan satu lawan satu BN-PAS", Malaysiakini.com, 3 Oktober 2009.
  3. "Isa Samad tebus maruah BN", Malaysiakini.com, 11 Oktober 2009.
  4. 4.0 4.1 "ADUN meninggal: Speaker akan maklum SPR", Utusan Online, 4 September 2009.
  5. "Pilihan raya Umum Ke-12", Utusan Online, Mac 2008.
  6. "Undi pos jadi taruhan PAS, BN", Malaysiakini.com, 5 Oktober 2009.
  7. Laman SPR, 11 Oktober 2009.
  8. "Mohd. Isa calon tunggal", Utusan Online, 12 September 2009.
  9. "Isa Samad calon BN di Bagan Pinang", Malaysiakini.com, 29 September 2009.
  10. "Umno sudah habis gas, kata PAS", Malaysiakini.com, 30 September 2009.
  11. "Rasuah politik: Saya sudah jalani hukuman, kata Isa", Malaysiakini.com, 29 September 2009.
  12. 12.0 12.1 "AJK PKR lawan PAS di Bagan Pinang", Malaysiakini.com, 14 September 2009.
  13. "PAS pula calonkan Zulkefly", Malaysiakini.com, 29 September 2009.
  14. Zulkefly akui bukan anak tempatan Bagan Pinang Berita Harian
  15. "PKR akan pecat Shahruddin tanding Bebas", Utusan Online, 1 Oktober 2009.
  16. 16.0 16.1 "Hasrat Shahruddin tanding bebas tidak tercapai...", Malaysiakini.com, 3 Oktober 2009.
  17. "Kenyataan Akhbar SPR mengenai pilihan raya kecil Bagan Pinang, spr.gov.my. 11 Oktober 2009.
  18. Suspek tumbuk Abdul Azeez belum dikenal pasti Berita Harian
  19. "Ketua Putera Umno dakwa dipukul, diterajang", Malaysiakini.com, 3 Oktober 2009.
  20. "Salahuddin dakwa Azeez berbohong", Malaysiakini.com, 3 Oktober 2009.
  21. "Ganjaran RM1,000 jika ada foto Azeez ditumbuk", Malaysiakini.com, 6 Oktober 2009.
  22. "Bekas sarjan akui palsukan undi pos", Malaysiakini.com, 5 Oktober 2009.
  23. "400 nama berganda dikesan di Bgn Pinang", Malaysiakini.com, 7 Oktober 2009.
  24. "Ura-ura Pakatan ingin tangguh p'raya", Malaysiakini.com, 7 Oktober 2009.
  25. "Tiada nama bertindih di Bgn Pinang", Malaysiakini.com,8 Oktober 2009.
  26. "PAS dakwa BN cuba rasuah tentera", Malaysiakini.com, 8 Oktober 2009.
  27. "2,000 tentera buang undi pos", Malaysiakini.com, 8 Oktober 2009.
  28. "Kronologi Pengundian DUN Bagan Lalang", Malaysiakini.com, 11 Oktober 2009.
  29. "Insiden penyokong baling botol minuman", Malaysiakini.com, 11 Oktober 2009.
  30. "Isa menang besar", klpos.com, 11 Oktober 2009
  31. 31.0 31.1 31.2 "Kemenangan Isa, bukan Umno", Malaysiakini.com, 12 Oktober 2009.
  32. "PAS gagal, dekati pengundi waktu p'raya", 11 Oktober 2009.
  33. "42% bukan Melayu sokong BN di Bagan Pinang", Malaysiakini.com, 13 Oktober 2009.