Rancangan Malaysia Kedua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kepelbagaian tanaman diperkenalkan semasa Rancangan Malaysia Kedua, menggantikan getah dengan kelapa sawit.

Rancangan Malaysia Kedua (RMK2) (1971 - 1975) merupakan satu rancangan pembangunan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dengan sasaran melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuan rancangan ini diwujudkan adalah untuk menyusun semula masyarakat dan mengurangkan penguasaan kaum Cina dan orang-orang asing dalam sektor ekonomi di Malaysia sekaligus memperbaiki kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.[1]

RMK2 menggantikan Rancangan Malaysia Pertama (RMP) yang mempunyai tujuan sama iaitu menangani masalah kemiskinan di kalangan orang-orang Melayu. Namun begitu, RMP dilihat kurang berjaya mengatasi isu kemiskinan ini, sehinggakan masalah ini menjadi salah satu penyebab berlakunya Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 apabila rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan RMK2 dilihat oleh sesetengah golongan sebagai berlebih-lebihan dalam usahanya meningkatkan penglibatan orang-orang Melayu di dalam ekonomi. Kerajaan kemudiannya mengurangkan penekanan terhadap penstrukturan semula sosio-ekonomi apabila rancangan ini berakhir.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Walaupun orang-orang Melayu membentuk kumpulan majoriti di kalangan penduduk Malaysia, penguasaan ekonomi mereka tidak setara dengan kedudukan tersebut. Pada tahun 1970, golongan Bumiputera hanya memiliki sekitar 1.9% daripada ekonomi Malaysia, manakala golongan bukan Melayu (kebanyakannya orang-orang Cina) mengawal sekitar 37.4 % dan selebihnya dipegang oleh orang-orang asing.[2]

Berikutan ketaksamaan ini, Perkara 153 Perlembagaan Malaysia menuntut kerajaan menyediakan kuota bagi pengagihan biasiswa dan jawatan dalam perkhidmatan awam memperbaiki kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.

Namun, RMP dlihat telah gagal menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi ini.[2] Dasar-dasarnya juga menghasilkan ketidakpuasan hati masyarakat bukan Melayu yang rata-ratanya menyokong parti-parti pembangkang, yang lebih menyenangi pengurangan atau pemansuhan tindakan afirmatif bagi golongan Bumiputera, sewaktu pilihan raya umum 1969.

Sebuah perarakan kemenangan dianjurkan pada 12 Mei oleh penyokong-penyokong pembangkang yang membawa kepada perhimpunan balas pada keesokan harinya oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti utama di dalam gabungan Parti Perikatan yang memerintah ketika itu. Namun begitu, perhimpunan itu berubah menjadi rusuhan yang berlangsung selama dua hari. Sumber-sumber rasmi meletakkan jumlah kematian sekitar 200 orang. Ada pihak-pihak lain yang memberikan anggaran yang lebih besar manakala beribu-ribu yang lainnya (kebanyakan daripadanya ialah orang-orang Cina) kehilangan tempat tinggal.

Perintah darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibentuk bagi memerintah Malaysia sehingga tahun 1971, apabila Parlimen bersidang semula.[3]

Semasa berkuasa, MAGERAN melaksanakan DEB dengan tujuan utama membasmi kemiskinan di samping menyingkirkan "pengenalan kaum mengikut peranan ekonomi" melalui sebuah "ekonomi yang pesat berkembang". Selain itu, DEB mensasarkan pegangan ekonomi bumiputera sehingga 30% di dalam jangkamasa 20 tahun.[3] Malah sebuah Rangka Rancangan Jangka Panjang dibentuk dengan tujuan yang sama seperti DEB. Kedua-duanya disusun supaya tamat pada tahun 1990, manakala RMK2 diluluskan oleh Parlimen dengan tujuan kedua-dua polisi ini.[2]

Penstrukturan semula ekonomi[sunting | sunting sumber]

RMK2 meningkatkan penglibatan kerajaan di dalam ekonomi dengan sasaran utama menambah pegangan ekonomi orang-orang Melayu terutamanya di dalam bidang pengeluaran dan pelombongan.[2] Bagi mengelak daripada menyekat pegangan ekonomi kaum Cina, rancangan ini memfokuskan perkembangan ekonomi yang lebih besar, supaya pada masa yang sama pegangan ekonomi kedua-dua kumpulan — Melayu dan bukan Melayu — dapat dikembangkan berdasarkan nilai mutlak selain meninggikan pegangan Melayu dalam nilai relatif.[2]

Sejumlah M$7.36 bilion telah diperuntukkan untuk RMK2. Walaupun peruntukan ini lebih rendah berbanding RMP (M$10.5 bilion), rancangan ini berhasrat mencapai pengurangan kemiskinan yang lebih besar dan mempertingkat penglibatan orang-orang Melayu di dalam sektor swasta dengan mengenakan beberapa kekangan terhadap syarikat-syarikat persendirian yang akan menerima manfaat daripada guna tenaga dan pegangan ekonomi orang-orang Melayu.[1]

Ketika rancangan ini diumumkan, golongan bukan Melayu memiliki, menurut kata seorang pengulas, "monopoli secara langsung terhadap guna tenaga perusahaan dan perdagangan persendirian", dan bertumpu di kawasan-kawasan bandar. Tetapi, kepentingan-kepentingan asing mengawal hampir kesemua perusahaan-perusahaan moden termasuk sektor perkilangan, perbankan, kewangan, getah dan timah. Orang-orang Melayu sebahagian besarnya terlibat di dalam pekerjaan luar bandar seperti menanam padi, menangkap ikan, mengerjakan ladang-ladang getah atau kelapa sawit secara kecil-kecilan dan sebagainya. Mereka langsung tidak terlibat di dalam pekerjaan golongan kolar putih seperti perkeranian dan hanya di perkhidmatan awam sahaja — dimana 80% daripada pekerjaan di sektor ini dijamin untuk bumiputera — mereka menduduki jawatan-jawatan atasan.

Kebanyakan ahli bagi sesetengah kerjaya seperti perubatan dan guaman terdiri daripada bukan Melayu. Malangnya, dasar kerajaan, seperti yang digariskan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tampak mengekang penglibatan orang-orang Melayu di dalam sekor swasta kerana memberi mereka keutamaan di sektor awam. Pengangguran di kalangan semua kaum juga amat berleluasa, kebanyakannya diakibatkan kekurangan pendidikan, dengan 70% daripada 275,000 penganggur berdaftar pada tahun 1970 berumur sekitar 15 hingga 25 tahun. Semua inilah yang dijadikan sasaran kerajaan untuk diubah melalui perlaksanaan DEB dan RMK2.[2]

Agensi-agensi kerajaan berikut telah ditubuhkan bagi memenuhi sasaran kerajaan di dalam RMK2:

Agensi kerajaan lain seperti FELDA meneruskan usaha dalam pembukaan tanah dan penempatan baru di negeri Kedah, Terengganu, Johor dan Sabah. Projek-projek pengairan juga telah dilaksanakan seperti di Sungai Muda, Kedah, Sungai Kemubu, Kelantan dan di Sungai Kinabatangan, Sabah.

Pengindustrian[sunting | sunting sumber]

Beberapa agensi kerajaan yang ditubuhkan sebelum pelancaran RMK2 telah meningkatkan penglibatan mereka di dalam ekonomi negara sepanjang perlaksanaan rancangan ini. Agensi-agensi terbabit termasuklah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Beberapa lagi agensi pula ditubuhkan semasa RMK2 seperti Perbadanan Nasional (PERNAS), Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan juga Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).[2]

PERNAS ditubuhkan bagi membeli perniagaan-perniagaan dan menyertai syarikat kerjasama dengan sektor swasta selain membangunkan industri-industri perintis yang akan dipegang sehingga golongan Melayu memiliki modal yang mencukupi bagi mengambil alihnya kelak. Sehingga akhir perlaksanaan RMK2, PERNAS memiliki lapan syarikat dengan pegangan 100% yang terlibat di dalam bidang insurans, perdagangan, pembinaan, hartanah, kejuruteraan, sekuriti dan perlombongan. Syarikat kerjasama juga ditubuhkan dengan pihak swasta bagi membangunkan perusahaan perlombongan, pengkontenaan, pelancongan dan perundingan.[2]

Parlimen turut meluluskan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156) sewaktu RMK2 yang memerlukan kesemua syarikat pengeluaran baru dengan M$100,000 atau 25 atau lebih pekerja diberi lesen oleh Menteri Perdagangan dan Industri. Bagi mendapatkan lesen tersebut setiap syarikat perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh kementerian itu, yang boleh berubah-ubah. Pengeluar-pengeluar berketurunan Cina amat tidak senang dengan pengenalan akta baru ini kerana mereka telah beroperasi sebelum ini dengan kawalan yang minimum dari kerajaan.

Walau bagaimanapun, kerajaan menyatakan bahawa akta tersebut tidak dirancang untuk mendatangkan masalah bagi sesetengah kumpulan dan meneruskan perlaksanaannya. Menurut akta ini, syarikat-syarikat swasta dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu syarikat-syarikat yang diluluskan selepas 1 Januari 1972, syarikat-syarikat yang diluluskan sebelum itu dan syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa lesen. Kesemua syarikat yang tertakluk di bawah akta tersebut dimestikan menghantar satu rancangan atau cadangan kepada kementerian bagi mencapai sasaran jangka panjang pemilikan syarikat sebanyak 30% bagi orang-orang Melayu dan selebihya bagi bukan Melayu. Cadangan yang diterima kemudiannya dipilih menjadi garis panduan bagi menjalankan kegiatan syarikat.[2]

Sehingga RMK2, sektor perusahaan hanya bertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia. Rancangan baru ini seterusnya membentuk kawasan perindustrian di pantai timur bagi mengekang masalah perpindahan penduduk dari desa ke bandar. Pantai timur sebenarnya kurang membangun berbanding kawasan pantai barat.

Menjelang 1975, kegiatan pengeluaran membentuk sebanyak 16% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, iaitu kurang satu peratus daripada sasaran RMK2. Sektor ini berkembang dengan perlahan pada tahun 1975 akibat kelembapan ekonomi sejagat pada tahun itu. Hal ini berbeza dengan pertumbuhan 15% yang dicapai pada tahun 1974 yang melebihi sasaran sebanyak 12.5% setahun seperti yang dicadangkan oleh RMK2. Makanan, keluaran-keluaran kayu dan kimia membentuk majoriti sektor perusahaan ini. Pertumbuhan ketara sektor pengeluaran sepanjang tempoh ini telah dikaitkan dengan usaha-usaha kerajaan menubuhkan kawasan perdagangan bebas. Pada tahun 1974, kawasan-kawasan tersebut telah diumumkan di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Perusahaan yang terdapat di kawasan-kawasan ini kebanyakannya berasasakan elektronik, keluaran getah dan tekstil.[2]

Pada awal RMK2, sektor swasta menggaji kebanyakannya pekerja dari golongan berketurunan Cina. Tetapi, mereka tidak memiliki pegangan hak milik sebenar di dalam perusahaan moden.

Perlombongan[sunting | sunting sumber]

Sehingga lewat 1970-an, Malaysia merupakan pengeluar utama bijih timah dengan membekalkan sekitar 40% kepada negara-negara bukan komunis di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, simpanan bijih timah semakin berkurangan. Sumbangan sektor perlombongan kepada KDNK negara ini pula diramalkan jatuh sehingga 13% sepanjang RMK2 kerana berkurangnya simpanan bijih timah dan besi. Tetapi, bauksit dan tembaga terus menyumbang kepada sektor ini di awal 1970-an. Penglibatan kaum Melayu di dalam perlombongan adalah sangat berkurangan dan sekitar 70% daripada sektor ini masih dikawal oleh orang-orang asing.[4] Ini merupakan warisan zaman penjajahan British.

Banyak syarikat British, yang tiba pada kurun ke-19 untuk mengeksploit sumber dan hasil galian asli Malaysia masih belum beredar. Penglibatan masyarakat Melayu di sektor ini diburukkan lagi dengan kecenderungan pihak British pada kurun ke-19 membawa masuk buruh-buruh Cina yang murah dan hampir kesemua pekerja di lombong hingga lewat 1970-an ialah orang-orang Cina.[5]

Petroleum dan minyak mentah mula menyumbang dengan ketara ke dalam ekonomi Malaysia pada dekad 1970-an ketika pelantar dan loji penapis minyak yang baru dibina. Menjelang 1975, jumlah pengeluaran minyak mentah dicatat sekitar 90,000 tong sehari (14,000 m³/h) dan kesemuanya oleh syarikat minyak Shell. Pada tahun 1974, hak eksklusif untuk memiliki, mengkaji dan mengeksploitasi petroleum di Malaysia diberikan kepada syarikat milik kerajaan iaitu PETRONAS. Tahun berikutnya, Petronas dianugerahkan hak tunggal ke atas pemasaran dan pengagihan kesemua keluaran petroleum dan peruntukan untuk mengawal syarikat-syarikat lain tanpa memiliki kepentingan hak milik di dalamnya tetapi melalui terbitan pegangan-pegangan pengurusan kepada Petronas.[6]

Jumlah orang-orang Melayu yang terlibat di dalam sektor perlombongan meningkat bermula pada tahun 1970 ketika kerajaan melaksanakan dasar-dasar merombak sistem ekonomi negara. Semasa RMK2 dimulakan, kurang daripada 200,000 orang-orang Melayu diambil bekerja di dalam industri perlombongan. Menjelang tahun 1990, jumlah itu mencecah sehingga sejuta orang melebihi jumlah yang disasarkan pada asalnya.[7]

Lesen-lesen melombong diperuntukkan khas kepada orang-orang Melayu sebagai usaha menambah pegangan mereka di dalam industri ini.[8] Kerajaan tampak berusaha keras meninggikan pegangan Bumiputera itu dengan memiliknegarakan beberapa syarikat perlombongan yang pernah dimiliki orang-orang asing. Menjelang 1989, perbadanan milik kerajaan mengawal sekitar 60% keseluruhan industri perlombongan.[9] Kerajaan juga dibantu oleh faktor pengeluaran petroleum yang kemudiannya melebihi galian lain. Oleh kerana Petronas merupakan syarikat milik kerajaan, ia juga dianggap sebagai perusahaan Bumiputera. Namun, amalan kerajaan ini telah dikritik dengan hujah bahawa syarikat-syarikat milik kerajaan adalah kepunyaan semua orang dan bukan hanya Bumiputera.

Pertanian[sunting | sunting sumber]

RMK2 meneruskan usaha-usaha di bawah rancangan lima tahun sebelum itu seperti Rancangan Lima Tahun Pertama Malaya. Walaupun perbelanjaan bagi pembangunan lain telah meningkat mencecah M$1 juta, dana untuk pembangunan luar bandar juga ditambah. RMK2 menumpukan kepada usaha mempelbagaikan tanaman di Malaysia. Rancangan Buku Hijau dilancarkan pada tahun 1974 dengan tujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import makanan dengan menggalakkan petani-petani menanam sayur-sayuran sepeti kacang panjang, cili dsb. dan menternak haiwan. Keperluan aktiviti pertanian lain seperti baja, benih dan racun perosak pula diberi subsidi.

Penanaman dwimusim padi digalakkan supaya pesawah boleh menuai padi dua kali setahun sekaligus meningkatkan pengeluaran mereka.[10][11][12] Lembaga Pertubuhan Peladang ditubuhkan pada tahun 1973 bagi menyelaras kerjasama dalam sektor perladangan di antara persatuan-persatuan peladang dan agensi-agensi kerajaan.[13]

Pertumbuhan sektor peladang-peladang kecil dipandang penting dalam membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar. Oleh itu, beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah meluaskan saiz program pembangunan mereka. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah ditugaskan mempelbagaikan ladang-ladang pekebun kecil. Malah RISDA sendiri telah menetapkan satu sasaran untuk membangunkan kawasan sejumlah 150,000 ekar (610 km²) sewaktu RMK2.

Dasar utama seterusnya ialah rancangan mempelbagaikan sektor perladangan dengan penanaman kelapa sawit. Ekonomi Malaysia sebelumnya terlalu bergantung kepada getah. Pada waktu puncaknya, Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) mengeluarkan hampir separuh daripada keperluan getah sedunia. Walau bagaimanapun, Zaman Meleset sekitar 1930-an telah menyebabkan harga getah jatuh merudum dan secara langsung memberi kesan mendalam terhadap ekonomi negara ini. Maka, kerajaan berhasrat untuk mengelak daripada insiden sama berulang kembali dengan mempelbagaikan sektor perladangan. Sungguhpun begitu, RISDA dilihat telah melampaui batas kemampuannya dalam percubaan mengambil semula tanah secara tergesa-gesa dan kemudiannya dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit. Menjelang penghujung RMK2, hanya 40,000 ekar (160 km²) sahaja telah dibangunkan dengan separuh daripadanya ialah ladang kelapa sawit.[14][15]

Dasar kemajuan tanah dan penempatan semula yang dijalankan oleh kerajaan, walau bagaimanapun, telah gagal untuk memberi kesan positif terhadap masalah kemiskinan di luar bandar. Kerajaan hanya berjaya menempatkan semula sejumlah 40,000 orang meskipun dianggarkan sejumlah 535,000 keluarga yang terlibat di dalam usaha tani hidup di bawah paras kemiskinan. Akibat kelemahan program itu, orang yang mendapat faedah daripada rancangan ini tidak selalunya datang daripada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sesetengah pihak juga mengatakan bahawa proses rumit penempatan semula dan pembangunan kawasan baru diberi penekanan lebih berbanding meningkatkan daya pengeluaran ladang-ladang dan kebun-kebun sedia ada. Hal ini seterusnya dirumitkan oleh Perlembagaan Malaysia yang meletakkan kawalan ke atas hal ehwal tanah kepada kerajaan negeri sekaligus memerlukan kerajaan persekutuan berunding dengan setiap kerajaan negeri satu-persatu. Keluarga bukan Melayu di kawasan luar bandar juga tidak menerima faedah ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi peruntukan khas sebahagian kawasan sebagai tanah simpanan bagi orang-orang Melayu dan ini menghalang kerajaan menerima masuk golongan bukan Melayu ke dalam program ini.[16]

Pengusaha-pengusaha sawah padi digalakkan menuai padi dua kali setahun. Untuk tujuan itu, kerajaan membantu dengan menggalakkan penggunaan teknologi jentera.

Walaupun RMK2 telah memodenkan negeri-negeri jelapang padi seperti Kedah dan Perlis (seperti menggantikan kerbau dengan jentera membajak), bukan semua pengusaha kecil menerima manfaat teknologi ini. Di dalam sektor pertanian korporat, orang-orang Melayu hanya memiliki pegangan sekitar 0.3% berbanding 70.8% yang dimiliki oleh kepentingan asing. Berbeza pula keadaanya di dalam sektor bukan korporat yang menyaksikan orang-orang Melayu mengawal sekitar 47.1%. Disebabkan kekurangan modal, kebanyakan pengusaha-pengusaha Melayu masih terlibat di dalam kegiatan berdaya rendah apabila RMK2 tamat.[17]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

RMK2 meneruskan inisiatif sebelum ini dalam meningkatkan nilai pemakanan melalui beberapa program. Program terbabit termasuklah galakan menanam makanan berkhasiat, panduan pemakanan dan perancangan hidangan, selain peruntukan makanan bagi kumpulan-kumpulan yang kekurangan zat makanan. Sungguhpun begitu, rancangan ini dirumitkan dengan kekurangan kakitangan perubatan.[18]

Walaupun perancangan keluarga ditetapkan sebagai sasaran negara pada tahun 1964, usaha-usaha menggalakkannya dihambat oleh pengabaian kerajaan. Kebanyakan berita kejayaan yang dicapai oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara berlaku sewaktu Rancangan Malaysia Pertama (RMP) dari tahun 1966 - 1970. RMK2 berhasrat menambah 600,000 pengguna baru kaedah perancangan keluarga tetapi kemudahan dan kakitangan tidak diendahkan.[19] Yang ironiknya, pada tahun 1984, Perdana Menteri Malaysia Mahathir bin Mohamad secara efektif meninggalkan polisi perancangan keluarga dengan melancarkan Dasar Kependudukan Negara yang mensasarkan jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2100 mencapai 70 juta orang.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Walaupun pendidikan di Malaysia hampir dipinggirkan sewaktu RMK2 yang memihak kepada rancangan penstrukturan sosio-ekonomi, beberapa usaha penting dijalankan sepanjang tempoh ini.[20] Pada tahun 1970, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dijadikan bahasa perantaraan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi, menggantikan bahasa Inggeris. Peperiksaan kebangsaan yang sebelum ini berpandukan peperiksaan di Britain digantikan dengan peperiksaan tempatan dan banyak buku teks dalam bahasa Melayu diterbitkan. Menjelang tamatnya tempoh rancangan ini, hampir kesemua sekolah aliran bahasa Inggeris telah diubahsuai untuk mengajar kurikulum berasaskan bahasa Melayu.[21]

Pada tahun 1973, Pusat Perkembangan Kurikulum ditubuhkan. Misi utamanya ialah menyelaras projek merombak kurikulum yang sebelum ini dikendalikan oleh beberapa jabatan kerajaan. Pusat ini juga bertindak merombak kurikulam sains dan matematik selain memulakan usaha baru meneliti kurikulum sains-sains kemasyarakatan.[22]

RMK2 juga berharap untuk meningkatkan peluang pengajian dan latihan dalam bidang vokasional dan teknikal. Walaupun ada beberapa percubaan, kemajuan dalam usaha memperbaiki kurikulum hanyalah sedikit sahaja. Hal ini berlaku kerana penumpuan lebih diberikan terhada usaha memberikan peluang pendidikan umum yang langsung tidak membuka ruang untuk latihan vokasioal dan teknikal. Namun begitu, beberapa sekolah teknik dan vokasional telah didirikan sepanjang tempoh RMK2, tujuh daripadanya disiapkan pada tahun 1975. Adalah diharapkan usaha ini dapat mengurangkan masalah pengangguran terutamanya di kalangan belia.[23]

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

RMK2 bercita-cita memodenkan jaringan kereta api di Malaysia yang dianggap oleh kerajaan sebagai penting bagi usaha-usaha pembangunan dan juga sektor perusahaan. Semua kereta api diubahsuai bagi menggunakan bahan bakar yang lebih efisyen, iaitu diesel dan kerajaan meninggikan peruntukan bagi penyenggaraan dan pemodenan prasarana kereta api ini. Penekanan diberikan khususnya terhadap usaha-usaha menaiktaraf gerabak sedia ada, laluan dan landasan kereta api serta kemudahan baik pulih.[24]

Perkhidmatan udara juga dikembangkan di bawah rancangan ini yang memberi peruntukan membeli peralatan kawalan pelbagai cuaca dan trafik malam selain latihan bagi kakitangan teknikal. RMK2 turut menyaksikan Penerbangan Malaysia-Singapura dipisahkan menjadi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Penerbangan Singapura (SIA).[25]

Sewaktu RMK2 juga pengkontenaan diperkenalkan di Malaysia bagi mempertingkat perkhidmatan pengangkutan. Rancangan ini menuntut penubuhan sebuah syarikat logistik kebangsaan bagi mengendalikan pengangkutan darat. Maka, pada bulan Ogos 1971, syarikat Kontena Nasional Berhad telah ditubuhkan. Pada bulan Disember tahun yang sama pula, M. V. Benavon menjadi kapal kontena pertama yang berlabuh di Malaysia, iaitu di Terminal Utara Pelabuhan Klang di Selangor.[26]

Ketika RMK2 terdapat dua buah pelabuhan di Malaysia. iaitu satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Klang. Rancangan ini menggariskan usaha menubuhkan dua buah pelabuhan baru di Semenanjung Malaysia. Tempat yang dipilih ialah Johor Bahru di Johor dan Kuantan di Pahang. Dua objektif utama projek pembinaan ini ialah untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap pengangkutan laut dan membawa pembangunan kepada negeri-negeri yang kurang membangun. Pelabuhan Johor siap dibina pada tahun 1977, manakala Pelabuhan Kuantan mula beroperasi pada tahun 1984.[27]

Warisan[sunting | sunting sumber]

Pada penghujung RMK2 kadar kemiskinan mencatatkan pengurangan daripada 49% kepada 43%. Kadar pengangguran pula berkurangan sebanyak 0.1% kepada 7.4%. Peningkatan ketara bagi penglibatan Bumiputera di dalam sektor swasta juga dicatatkan. Peratusan Bumiputera yang diambil bekerja di dalam sektor pengeluaran bertambah daripada 29% kepada 33%, sektor perdagangan pula mencatatkan peningkatan 24% kepada 34%. Pegangan hak milik Bumiputera pula berlipat ganda daripada 3% kepada 7.8%. Sungguhpun begitu, rekod ini masih belum dianggap sebagai membanggakan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi kemajuan itu berlaku disebabkan pegangan syarikat perusahaan kerajaan.[28]

Walaupun rancangan ini pada awalnya mensasarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 12.5% setahun, hanya purata 11% berjaya dicatatkan. Pertumbuhan itu sangat tidak sekata. Pada tahun 1973 KDNK tumbuh sebanyak 27% manakala pada tahun 1975 pula ia hanya berkembang sebanya 3% berikutan kemelesetan ekonomi dunia pada masa itu.[29] Meskipun kerajaan berusaha menangani pengangguran dengan mencipta 600,000 pekerjaan baru sewaktu RMK2, jumlah penganggur sebenarnya semakin meningkat di antara tahun 1970 dan 1975. Pada tahun 1970, terdapat 275,000 penganggur manakala pada tahun 1975 pula sebanyak 324,000 orang direkodkan.[30]

RMK2 juga terpaksa menghadapi masalah yang tidak dijangkakan, iaitu inflasi. Di antara tahun 1972 dan 1975, indeks harga pengguna (IHP) meningkat di luar jangkaan sebanyak 40%. Kadar purata inflasi pula sekitar 18% pada tahun 1974 tetapi menurun kepada 7% pada tahun 1975.[31] Permasalahan baru seperti ini dipertimbang oleh kerajaan semasa merancang Rancangan Malaysia Ketiga (RMK3).

Sektor perladangan dipelbagaikan melalui galakan kerajaan kepada pekebun-pekebun kecil menggantikan getah dengan kelapa sawit.

Satu lagi kesan mendalam RMK2 ialah usaha-usaha mempelbagaikan tanaman. Di sebalik kegagalan RISDA memenuhi sasarannya, industri kelapa sawit di Malaysia terus berkembang. Menjelang tahun 1998, kelapa sawit merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Malaysia, di belakang keluaran elektronik.

Keseluruhannya, RMK2 lebih berjaya berbanding dengan rancangan-rancangan sebelumnya dalam menangani ketaksamarataan daripada segi ekonomi. Namun begitu, penekanan lebih bagi meningkatkan kedudukan orang-orang Melayu telah membimbangkan golongan bukan Melayu. Apabila RMK3 pula dilancarkan, kerajaan telah mengurangkan penekanan ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi lebih rancak yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.[2]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Shuid Mahdi & Mohd Fauzi Yunus (2001). Pengajian Malaysia. Longman. ISBN 983-74-2024-3. 
  2. 2.00 2.01 2.02 2.03 2.04 2.05 2.06 2.07 2.08 2.09 2.10 J. W. Henderson, N. Vreeland, Glenn B. Dana, Geoffrey B. Hurwitz, Peter Just, Phillip W. Moeller, R. S. Shinn (1977). Area Handbook for Malaysia (dalam bahasa Inggeris). Washington DC, AS: American University. ms. ms. 323. 
  3. 3.0 3.1 Gordon P. Means (1991). Malaysian Politics: The Second Generation (dalam bahasa Inggeris). Penerbitan Universiti Oxford. ISBN 0-19-588988-6. 
  4. Henderson, dll., ms. 325, 327
  5. Masariah bt Misrapi, Johara Abdul Wahab & Ridzuan bin Hasab (2003). Sejarah Tingkatan 2. Kuala Lumpur, MY: Dewan Bahasa dan Pustaka. ms. ms. 141–142. ISBN 983-62-7831-1. 
  6. Henderson. dll., ms. 329, 331
  7. Donald R. Snodgrass (1991). Successful Economic Development in a Multi-Ethnic Society:The Malaysian Case (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Cambridge, AS: Pusat Pembangunan Antarabangsa di Universiti Harvard. Diperoleh pada 2008-08-29. 
  8. Pek Koon Heng. The New Economic Policy and the Chinese Community in Peninsular Malaysia (PDF). The Developing Economies (dalam bahasa Inggeris). Tokyo: Institut Ekonomi Membangun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun. Diarkibkan daripada asal pada 2005-04-10. Diperoleh pada 2008-08-29.  Unknown parameter |origmonth= ignored (bantuan)
  9. Mohamed Aslam & Asan Ali Golam Hassan. Develompent Planning and Regional Imbalaces in Malaysia (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada asal pada 2003-12-09. Diperoleh pada 2008-08-29.  Unknown parameter |origmonth= ignored (bantuan)
  10. Nik Fuad Kamil, Syed Abdillah Alwi & Mukhtiar Singh (1996). Malaysia (PDF). Diarkibkan daripada asal pada 2006-02-09. Diperoleh pada 2008-08-29. 
  11. William Butz & Julie Davanzo (1998). First Malaysian Family Life Survey, 1976-1977 (PDF). Inter-University Consortium for Political & Social Research. Diperoleh pada 2008-08-29. 
  12. Fatimah Mohd Arshad & Mad Nasir Shamsudin (1997). Rural Development Model in Malaysia (PDF). Serdang, MY: Universiti Putra Malaysia. Diperoleh pada 2008-08-29. 
  13. Henderseon, dll., ms. 307 - 308.
  14. Henderson, dll., ms. 309, 311.
  15. Masariah, dll., ms. 131, 133.
  16. Henderson, dll., ms. 313.
  17. Henderson, dll., ms. 313
  18. Henderson, dll., ms. 36
  19. Henderson, dll., ms. 35 - 36.
  20. Henderson, dll., ms. 165.
  21. Henderson, dll., ms. 171.
  22. Henderson, dll., ms. 170.
  23. Henderson, dll., ms. 169 -170, 174.
  24. Henderson, dll., ms. 29.
  25. Henderson, dll., ms. 29 - 30.
  26. Tengku Jamaludin Tengku Mahmud Shah Al-Haj (2003). Liberalization of the Container Haulage Industry in Malaysia (PDF). Transport and Communications Bulletin for Asia and the Pacific (dalam bahasa Inggeris). Diperoleh pada 2008-08-30. 
  27. Nirupam Bajpai & Vanita Shastri (1999). Port Development in Tamil Nadu: Lessons from Chinese Provinces (PDF). Development Discussion Papers (dalam bahasa Inggeris). Cambridge, AS: Universiti Harvard. Diperoleh pada 2008-08-30. 
  28. Henderson, dll., ms. 295 - 296.
  29. Henderson, dll., ms. 285.
  30. Henderson, dll., ms. 37.
  31. Henderson, dll., ms. 150.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Gordon P. Means (1991). Malaysian Politics: The Second Generation, Penerbitan Universiti Oxford.
  • Henderson, John William, Vreeland, Nena, Dana, Glenn B., Hurwitz, Geoffrey B., Just, Peter, Moeller, Philip W. & Shinn, R.S. (1977). Area Handbook for Malaysia. American University, Washington D.C., Foreign Area Studies.
  • Masariah bt Misrapi, Johara Abdul Wahab & Ridzuan bin Hasab (2003). Sejarah Tingkatan 2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Shuid Mahdi & Mohd Fauzi Yunus (2001). Pengajian Malaysia, Longman.