Rentaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dua rentaka Melayu

Rentaka [rĕn.ta.ka][1] atau lantaka ialah sejenis meriam pusing gangsa mudah alih yang dipasang pada kapal dagang dan kapal perang di Asia Tenggara maritim. Ia biasanya dipasang pada kapal pelayar tempatan dari Filipina, Indonesia dan Malaysia. Senjata ini biasanya digunakan untuk mempertahan diri daripada lanun yang sering menuntut ufti dan pengiktirafan kepada kepala daerah atau kerajaan.

Rentaka dan lela dikenal rangkum oleh orang Melayu sebagai meriam kecil,[2][3] namun rentaka lebih pendek dan lebih kecil kalibernya daripada lela.[4]:122–123

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama ini mungkin berasal daripada perkataan bahasa Melayu lantak, yang bermaksud "memalu" atau "menabrak" (hammering down, ramming down),[5] "memukul kuat-kuat"[6][7] supaya "keras atau pepejal"[7] merujuk kepada proses pemuatan peluru (muzzle loading, isian depan) menggunakan batang khas untuk mengisi peluru dari muncung—batang besi ini dipanggil pelantak.[5] Nama ini juga ada kaitan dengan perkataan "rentak" bermaksud "hentaman" atau hentakan kaki[8][9]:I "kerana marah"[8] atau secara "bersama-sama".[7]

Keterangan[sunting | sunting sumber]

Lantaka Melayu di muzium perang Rovereto, Italia

Rentaka ialah senjata "adik" dari lela dengan badan lebih kecil serta panjang diukur kurang dari 100 sentimeter.[4]:122–123 Lazimnya diameter lubang meriam dibuat dalam julat antara 10–50 mm.[10] Banyak daripada meriam ini dipasang pada sambungan khusus bernama "cagak"[11] yang boleh dipusingkan—lalu ia turut dikenali sebagai "meriam pusing".

Rentaka yang kecil boleh dipasang di mana-mana termasuk pada tiang layar. Meriam yang lebih sederhana besar biasanya digunakan pada susuran tepi kapal yang diperkukuh (sebagai "meriam susuran"). Meriam tenggekan yang terberat dipasang pada pedati meriam bagi menjadikan ia lebih mudah alih.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Koleksi rentaka di salah satu muzium Eropah

Asal-usul senjata berasaskan ubat bedil di nusantara dapat dikesan dari akhir abad ke-13. Serangan Mongol ke Jawa (1293) membawa teknologi ubat bedil ke Jawa dalam bentuk meriam (Bahasa Cina: 炮—"Pào").[12]:1–2[13][14] Ini menghasilkan cetbang gaya Timur yang serupa dengan meriam China. Meriam berpusing bagaimanapun, hanya berkembang di Nusantara kerana hubungan maritim kepulauan Nusantara yang erat dengan wilayah India Barat setelah 1460 Masihi, yang membawa senjata jenis mesiu baru ke Nusantara, mungkin melalui perantara Arab. Senjata ini sepertinya meriam dan bedil tradisi Uthmaniyyah, misalnya prangi, yang merupakan meriam pusing. Jenis cetbang baru, yang disebut cetbang gaya Barat, berasal dari prangi Turki. Sama seperti prangi, cetbang ini adalah meriam pusing pemuatan belakang yang diperbuat daripada gangsa atau besi, menembak peluru tunggal atau tembakan berselerak (sebilangan besar peluru kecil).[15]:94-95

Ketika portugis pertama kali datang ke Melaka mereka melihat koloni besar pedagang Jawa di bawah ketua sendiri; orang Jawa telah memproduksi meriam mereka sendiri, yang kemudian, dan untuk waktu yang lama setelah itu, sama pentingnya untuk kapal dagang seperti layar.[16]

Kebanyakan lantaka diperbuat daripada gangsa dan yang terawal diisi dari belakang (breech-loaded). Michael Charney (2004) menunjukkan bahawa meriam putar Melayu awal diisi dari bahagian belakang.[17]:50 Terdapat kecenderungan peralihan meriam ke jenis pengisian di depan dalam masa penjajahan.[18] Walau bagaimanapun, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 M, baik meriam pusing yang diisi dari belakang mahupun depan ditemukan dan dirampas oleh Portugis.[17]:50

De Barros berkata selepas kejatuhan Melaka, Afonso de Albuquerque menangkap 3,000 daripada 8,000 kepingan artileri. Antaranya, 2,000 diperbuat daripada loyang dan selebihnya diperbuat daripada besi, dalam gaya meriam Berço (meriam pusing pengisian belakang) Portugis. Semua artileri memiliki pelengkap pedati yang tidak dapat ditandingi bahkan oleh Portugal.[19][20]:22, 247[21]:62-64 Afonso de Albuquerque membandingkan pengasas senjata api dan meriam Melaka sebagai berada pada tahap yang sama dengan Jerman. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah etnik pengasas senjata api di Melaka itu.[21]:128[22]:221[23]:4  Duarte Barbosa menyatakan bahawa pembuat arquebus Melaka adalah orang Jawa.[24]:69 Orang Jawa juga membuat meriam mereka sendiri di Melaka.[16] Anthony Reid berhujah bahawa orang Jawa mengendalikan banyak kerja produktif di Melaka sebelum 1511 dan pada abad ke-17 di Pattani.[24]:69

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah menjelaskan beberapa fakta tentang keadaan senjata serbuk mesiu di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain sebelum kedatangan Portugis:[25]:97-98

  1. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa bedil, meriam, dan serbuk mesiu diperbuat di negeri-negeri Melayu.
  2. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa bedil pernah digunakan oleh Kesultanan Melaka sebelum serangan Portugis, walaupun dari sumber Melayu.
  3. Berdasarkan laporan jumlah meriam yang banyak ditemui dan ditangkap oleh Portugis, ia termasuk dalam kategori artileri separa (meriam kecil), jenis inilah yang lebih banyak digunakan oleh orang Melayu.

Meriam yang ditemui di Melaka berasal dari berbagai jenis: esmeril (meriam pusing 1/4 sampai 1/2 paun,[26] mungkin merujuk pada cetbang atau lantaka), falconet (meriam pusing cor gangsa lebih besar dari esmeril, 1 sampai 2 paun,[26] mungkin merujuk pada lela), saker bersaiz menengah (meriam panjang atau culverin antara 6–10 paun),[27] dan bombard (meriam yang pendek, gemuk, dan berat).[17]:46 Orang Melayu juga memiliki 1 buah meriam besar yang cantik, dikirim oleh raja Calicut.[17]:47[20]:22

Perlu diperhatikan bahawa, walaupun memiliki banyak artileri dan senjata api, senjata kesultanan Melaka kebanyakannya dan terutamanya dibeli dari orang Jawa dan Gujarat, di mana orang Jawa dan Gujarat adalah juru senjata tersebut. Pada awal abad ke-16, sebelum kedatangan Portugis, orang Melayu merupakan bangsa yang kekurangan bedil. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa pada tahun 1509 mereka tidak memahami "mengapa peluru membunuh", yang menunjukkan mereka tidak biasa menggunakan senjata api dalam pertempuran, jika tidak dalam upacara.[23]:3 Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu:

Setelah datang ke Melaka, maka bertemu, ditembaknya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun hairan, terkejut mendengar bunyi meriam itu. Katanya, "Bunyi apa ini, seperti guruh ini?". Maka meriam itu pun datanglah mengenai orang Melaka, ada yang putus lehernya, ada yang putus tangannya, ada yang panggal pahanya. Maka bertambahlah hairannya orang Melaka melihat fi'il bedil itu. Katanya: "Apa namanya senjata yang bulat itu maka dengan tajamnya maka ia membunuh?" [28]:254-255

Buku Lendas da India oleh Gaspar Correia dan Asia Portuguesa oleh Manuel de Faria y Sousa mengesahkan cerita Sejarah Melayu. Kedua-duanya mencatat kisah serupa, walaupun tidak sehebat yang digambarkan dalam Sejarah Melayu.[29]:120–121[30]:43 Hikayat Hang Tuah mengisahkan ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Empayar Uthmaniyyah) untuk membeli bedil dan meriam-meriam besar selepas pertemuan pertama mereka dengan Portugis pada tahun 1509 Masihi, menunjukkan kekurangan senjata api dan senjata serbuk mesiu.[31]:205–248[catatan 1] Ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Turki Uthmaniyah) untuk membeli meriam jelas tidak pernah terjadi, kerana ia hanya disebutkan dalam kesusasteraan fiksyen Hikayat Hang Tuah, yang pada kenyataannya berdasarkan pengiriman rangkaian kedutaan Aceh ke Empayar Uthmaniyah pada abad ke-16.[32]

Era moden[sunting | sunting sumber]

Perahu perang Iban di Sungai Skerang.

Pada 1840-an, Kerajaan England mula menghentikan kegiatan pemburuan kepala dan pelanunan di jajahan-jajahannya. James Brooke, Raja Putih Sarawak mengedarkan beberapa meriam tangan buatan Brunei kepada ketua-ketua tempatan bagi memastikan kerjasama dan kesetiaan kepadanya.

Rentaka juga digunakan oleh tentera Moro dalam Pemberontakan Moro menentang tentera U.S. di Filipina.[33] Suatu model seumpama ia turut digunakan semasa Revolusi Filipina oleh pihak pemberontak disalin daripada model Eropah dan dituang dari loceng gereja. Salah seorang pembuatnya ialah seorang Cina Filipina yang bernama Jose Ignacio Pawa, yang juga merupakan seorang pandai besi.

Kini, rentaka boleh didapati dikebanyakan kepulauan di Pinggir Pasifik, tetapi ia biasanya didapati di kawasan Muslim di Indonesia dan Malaysia. Koleksi terbesar terdapat di Brunei di mana ia kini diharamkan eksport. Malah di negara lain, permit eksport muzium biasanya diperlukan.

Meriam ini amat digemari dan dicari oleh pengumpul, dengan sesetengahnya mencecah USD 50,000 bagi sepucuk meriam. Meriam biasa boleh dibeli di bawah USD1,000. Rentaka tiruan dan replika juga diketahui wujud.[34]

Lihat Pula[sunting | sunting sumber]

  • Cetbang, meriam Nusantara berasal dari abad ke-14
  • Lela, jenis lebih besar dari rentaka

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Maka kata Laksamana, "Adapun hamba sekalian datang ini dititahkan oleh Sultan Melaka membawa surat dan bingkisan tanda berkasih-kasihan antara Sultan Melaka dan duli Sultan Rum, serta hendak membeli bedil dan meriam yang besar-besar. Adalah kekurangan sedikit bedil yang besar-besar di dalam negeri Melaka itu. Adapun hamba lihat tanah di atas angin ini terlalu banyak bedil yang besar-besar.”

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "rentaka". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.CS1 maint: date and year (link)
  2. ^ "Cannons of the Malay Archipelago". www.acant.org.au. Dicapai pada 2020-01-25.
  3. ^ Teoh, Alex Eng Kean (2005). The Might of the Miniature Cannon A treasure of Borneo and the Malay Archipelago. Asean Heritage.
  4. ^ a b Ismail, Norain B.T. (2012). Peperangan dalam Historiografi Johor: Kajian Terhadap Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
  5. ^ a b Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hongkong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 613. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  6. ^ "lantak". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.CS1 maint: date and year (link)
  7. ^ a b c Departemen Pendidikan Nasional (2008). Kamus Besar Bahasa Indonesia Pusat Bahasa Edisi Keempat. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
  8. ^ a b Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hongkong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 340. رنتق rĕntaḳ. Stamping the feet in anger... Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  9. ^ "rentak". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.CS1 maint: date and year (link)
  10. ^ "Cannons of the Malay Archipelago". www.acant.org.au. Dicapai pada 2020-01-25.
  11. ^ "Cannons of the Malay Archipelago". www.acant.org.au. Dicapai pada 2020-01-25.
  12. ^ Schlegel, Gustaaf (1902). "On the Invention and Use of Fire-Arms and Gunpowder in China, Prior to the Arrival of European". T'oung Pao. 3: 1–11.
  13. ^ Lombard, Denys (2005). Nusa Jawa: Silang Budaya, Bagian 2: Jaringan Asia. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama. m/s 208.
  14. ^ Reid, Anthony (2011). Asia Tenggara dalam Kurun Niaga 1450-1680 Jilid II: Jaringan Perdagangan Global. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia. m/s 255.
  15. ^ Averoes, Muhammad (2020). Antara Cerita dan Sejarah: Meriam Cetbang Majapahit. Jurnal Sejarah, 3(2), 89 - 100.
  16. ^ a b Furnivall, J.S (2010). Netherlands India: A Study of Plural Economy. Cambridge University Press. m/s 9: "when Portuguese first came to Malacca they noticed a large colony of Javanese merchants under its own headman; the Javanese even founded their own cannon, which then, and for long after, were as necessary to merchant ships as sails."
  17. ^ a b c d Charney, Michael (2004). Southeast Asian Warfare, 1300-1900. BRILL. ISBN 9789047406921.
  18. ^ Hamid, Rahimah A. (2015). Kearifan Tempatan: Pandainya Melayu Dalam Karya Sastera. Penerbit USM. ISBN 9789838619332.
  19. ^ A History of Greek Fire and Gunpowder. Dicapai pada 12 December 2014.
  20. ^ a b Crawfurd, John (1856). A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries. Bradbury and Evans.
  21. ^ a b Birch, Walter de Gray (1875). The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India, translated from the Portuguese edition of 1774 volume 3. London: The Hakluyt Society.
  22. ^ Reid, Anthony (1993). Southeast Asia in the Age of Commerce 1450-1680. Volume Two: Expansion and Crisis. New Haven and London: Yale University Press.
  23. ^ a b Charney, Michael (2012). Iberians and Southeast Asians at War: the Violent First Encounter at Melaka in 1511 and After. Di Waffen Wissen Wandel: Anpassung und Lernen in transkulturellen Erstkonflikten. Hamburger Edition.
  24. ^ a b Reid, Anthony (1989). The Organization of Production in the Pre-Colonial Southeast Asian Port City. In Broeze, Frank (Ed.), Brides of the Sea: Asian Port Cities in the Colonial Era (pp. 54–74). University of Hawaii Press.
  25. ^ Hasbullah, Wan Mohd Dasuki Wan (2020). Senjata Api Alam Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  26. ^ a b Manucy, Albert C. (1949). Artillery Through the Ages: A Short Illustrated History of the Cannon, Emphasizing Types Used in America. U.S. Department of the Interior Washington. m/s. 34.
  27. ^ Lettera di Giovanni Da Empoli, with introduction and notes by A. Bausani, Rome, 1970, page 138.
  28. ^ Kheng, Cheah Boon (1998). Sejarah Melayu The Malay Annals MS RAFFLES No. 18 Edisi Rumi Baru/New Romanised Edition. Academic Art & Printing Services Sdn. Bhd.
  29. ^ Koek, E. (1886). "Portuguese History of Malacca". Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. 17: 117–149.
  30. ^ Pintado, M.J. (1993). Portuguese Documents on Malacca: 1509–1511. National Archives of Malaysia. ISBN 9789679120257.
  31. ^ Schap, Bot Genoot, penyunting (2010). Hikayat Hang Tuah II. Jakarta: Pusat Bahasa. ISBN 978-979-069-058-5.
  32. ^ Braginsky, Vladimir (2012-12-08). "Co-opting the Rival Ca(n)non the Turkish Episode of Hikayat Hang Tuah". Malay Literature. 25 (2): 229–260. doi:10.37052/ml.25(2)no5. ISSN 0128-1186.
  33. ^ Gaysowski, Richard (2000). "Lantaka' Is One Of Several Names For Small Hand-Carried Rail Guns". The Artilleryman. 22 (2). Dicapai pada 2009-07-05.
  34. ^ "used cannon for sale". Dicapai pada 2009-07-05.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]