Tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Puteh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Pertikaian mengenai status kedaulatan Pulau Batu Puteh mula tercetus pada tahun 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi yang baru, dengan memasukkan Pulau Batu Puteh di dalam perairan wilayahnya. Jarak Pulau Batu Puteh adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura (Changi) iaitu terletak 46 km (25 batu nautikal) berbanding hanya 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor (Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang) [1].

Malaysia menegaskan berikutan daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 17 Mac dan Perjanjian Crawfurd 2 Ogos 1824, apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km (10 batu nautika) pulau-pulau serta perairan di sekelilingnya kepada pihak British, penyerahan ini sama sekali tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Temenggung dan Baginda Sultan Johor ketika itu memberi kebenaran secara bertulis kepada pihak British untuk membina rumah api di atas pulau tersebut hanya pada tahun 1844. Ini sekali lagi membuktikan bahawa Kesultanan Johor sememangnya mempunyai kedaulatan serta penguasaan di perairan pulau terbabit.

Pihak koloni British dan kemudiannya Singapura hanya diberikan kebenaran mengurus rumah api tersebut bagi kepentingan industri perkapalan Singapura yang kurang penting bagi pihak Malaysia atau Malaya pada masa itu. Ini memandangkan tiadanya pelabuhan utama di Johor serta kebergantungan kebanyakan pedagang-pedagang Inggeris di Tanah Melayu ketika itu kepada kemudahan pelabuhan tukar barang Singapura untuk mengeksport hasil perdagangan mereka.

Singapura pula mengemukakan dakwaan bahawa mereka telah menguasai pulau tersebut semenjak tahun 1840-an tanpa sebarang tentangan dan halangan oleh pihak Malaysia. Sikap berdiam diri serta mengelak dari menggunakan pendekatan konfrontasi oleh Malaysia berdasarkan semangat setiakawan dua negara yang berjiran itu sebaliknya telah digunakan dengan sebaiknya di dalam penggulungan hujah pihak Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa [2] yang akhirnya dengan persetujuan 12-4 memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh milik Singapura sementara 15-1 mengesahkan Batuan Tengah milik Malaysia. Manakala status Tubir Selatan pula akan ditentukan kemudian berdasarkan di perairan mana ia terletak [3].

Perjalanan Kes[sunting | sunting sumber]

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menetapkan untuk mendengar kes pertikaian antara Malaysia dengan Singapura berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge), yang terletak di perairan luar pantai Johor, pada 6 November 2007 di The Hague, Belanda.

Pendengaran bermula dengan ucapan pembukaan oleh kedua-dua pihak sebelum penyampaian hujah lisan oleh Singapura pada hari pertama.

Singapura diberikan empat hari (6-9 Nov) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada minggu berikut iaitu pada 13-16 Nov 2007.

Ini diikuti dengan hujah lisan dua hari pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 Nov dan Malaysia pada 22 dan 23 Nov.[4]

Keputusan penghakiman hanya diumumkan pada 23 Mei, 2008.

Delegasi Singapura[sunting | sunting sumber]

Pelbagai bukti sokongan telah dikemukakan seperti peta, gambar-gambar, dan rakaman suara telah dikemukakan oleh pasukan Singapura yang diketuai oleh:

Delegasi Malaysia[sunting | sunting sumber]

Ketua Delegasi Malaysia ialah:

Delegasi Malaysia turut disertai oleh:

Hakim[sunting | sunting sumber]

Ada 16 hakim yang telah mengundi bagi menentukan kedudukan kes ini:

Presiden ICJ Hakim Rosalyn Higgins tidak layak menjadi hakim kerana pernah mewakili Singapura.

Hujah Singapura[sunting | sunting sumber]

Lukisan artis tahun 1882 menunjukkan Pedra Branca sebelum Rumah Api Horsburgh dibina diatasnya. Dipercayai John Turnbull Thomson telah memeberi kebenaran kepada artis, Kapten Thomas Robertson, untuk menghasilkan lukisan berdasarkan kepada lakaran tahun 1850 oleh Thomson.[5]
Surat dari pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 menyatakan bahawa Johor "tidak membuat apa-apa tuntutan pada Pulau Batu Puteh". Namun tiada salinan kepada Baginda Sultan Johor sebagai ketua negeri seperti kelazimannya.

Hujah Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pelbagai bukti seperti peta dan dokumen berdasarkan latarbelakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan "uti possidetis" iaitu sempadan negara-negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor diberi taklimat oleh Wisma Putra dan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 20 Ogos 2006. Malaysia sebagai sebuah negara yang matang terhadap proses mahkamah akan menerima dengan baik sebarang keputusan yang akan ditetapkan oleh ICJ.

Sebelum ini Malaysia meminta Indonesia menerima hakikat bahawa Pulau Sipadan di perairan Laut Sulawesi adalah milik Malaysia setelah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Alasan sejarah[sunting | sunting sumber]

Istilah Malaysia hanya wujud pada 1963. Sebelum itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Dari 1402 - 1511 dikenali dengan nama Kesultanan Melaka. Apabila British menjajah, ia dikenali sebagai Negeri-negeri Selat (Strait Settlement) .

Singapura yang dikenali sebagai Temasek pernah dijajah oleh kerajaan Siam melalui pemerintah Temagi. Parameswara yang lari dari Palembang telah singgah sekejap dan menukar nama Temasek kepada Singapura. Parameswara telah mengasaskan Empayar Melaka yang merupakan kesinambungan Empayar Srivijaya di Palembang.

Apabila Empayar Melaka runtuh pada 1511 oleh Portugis, Empayar Johor-Riau-Lingga telah ditubuhkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah pada 1528. Logiknya Pulau Batu Puteh dalam lingkungan pentadbiran Empayar Johor-Riau-Lingga ini.

Alasan Malaysia berdiam diri[sunting | sunting sumber]

Singapura banyak berhujah tentang sikap kerajaan dan rakyat Malaysia yang berdiam diri. Taktik 'pengantin perempuan Melayu' ini digunakan oleh Singapura secara habis-habisan. Rakyat dan kerajaan yang bersuara dan membantah dianggap mendapat hak yang lebih. Sebelum 1979 memang Malaysia tidak pernah 'berdetik' tentang pembinaan dan pentadbiran Rumah Api Horsburgh ini.

Oleh kerana Malaysia sebagai 'anak tiri' British yang pasif sedangkan Singapura 'anak angkat' British yang agresif, Singapura mendakwa berhak menjadi pewaris sah pulau-pulau peningalan Empayar British itu. Dalam sistem demokrasi Barat, kumpulan yang banyak bersuara akan mendapat lebih banyak.

Setakat pacak dan mengibarkan bendera tidaklah bermasalah sangat bagi Malaysia. Empayar British dan Syarikat Hindia Timur Inggeris pernah mengibarkan bendera mereka. Singapura juga mengibarkan bendera Singapura di pulau Batu Putih. Malaysia juga pernah mengibarkan bendera Malaysia di Woodland, Singapura dan di stesen keretapi Tanjung Pagar.

Alasan pentadbiran Rumah Api Horsburgh[sunting | sunting sumber]

Rumah api yang khusus untuk membantu pelayaran kapal dagang di Pulau Batu Puteh tidak diperlukan pada zaman Melaka atau zaman kerajaan Johor-Riau. Tetapi rumah api Tanjung Tuan di sempadan Melaka-Negeri Sembilan telah wujud sekian lama untuk membantu kapal berlabuh di Pelabuhan Melaka. Bukit Melaka (Bukit St. Paul) sendiri mempunyai 'rumah api'.

Kerajaan Portugis dan Belanda di Melaka tidak pernah membina rumah api di Pulau Batu Puteh. Istilah 'Pedra Branca' merupakan istilah Portugis kerana ahli pelayaran Portugis memang aktif dan bijak dalam aktiviti pemetaan / kartografi seluruh dunia.

Hanya kerajaan Negeri-negeri Selat yang merasakan keperluan membina rumah api di Pulau Batu Puteh mulai 1847. Banyaknya kemalangan kapal dagang dan aktiviti lanun yang berleluasa di kawasan itu memerlukan sebuah rumah api dibina. Jika tidak lebih banyak kapal dagang akan terlanggar batu karang sekitar Pulau Batu Puteh.

Pentadbiran dan tindakan Singapura di Pulau Batu Puteh sejak pembinaan Rumah Api Horsburgh oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, British pada 1847-1851 tidak dibantah oleh kerajaan negeri Johor / Empayar Johor-Riau. Diam tidak beerti setuju dan mengiktiraf pulau itu hak Singapura. (Bagaimanapun pembinaan dan pengurusan rumah api Horsburgh hanya dengan kebenaran Sultan Johor pada 1844.)

  • Singapura membina tapak pendaratan helikopter pada 1992 dan rumah radar pada 1989 di Pulau Batu Puteh dengan tujuan mengawal kegiatan lanun. (Semua pembinaan selepas 1979 adalah dibantah secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia.)
  • Surat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 menyatakan kerajaan negeri Johor tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang ditadbir Singapura ketika itu. (Perlembagaan Malaysia telah menetapkan kerajaan negeri tidak berkuasa membuat perjanjian dengan kerajaan luar melainkan melalui kerajaan pusat.)

Alasan empayar[sunting | sunting sumber]

Jelas sekali Portugis, Belanda dan British menggunakan istilah pulau Pedra Branca untuk pulau Batu Puteh. Dalam hikayat Melayu lama, tidak pernah muncul nama pulau ini kecuali nama Temasik, nama lama Singapura atau Singapore sekarang. Singapura amat bergantung bukti, dokumen, surat-menyurat, pentadbiran pulau itu oleh Empayar British. Secara analogi, jika Selat Tebrau pernah ditadbir oleh British, apakah Selat Tebrau juga milik Singapura. Empayar mana jadi titik rujukan terakhir, adakah Empayar British, Empayar Belanda, Empayar Portugis, Empayar Johor-Riau, Empayar Melaka, Empayar Srivijaya atau sebelum itu lagi.

Alasan jarak[sunting | sunting sumber]

Daratan yang paling dekat Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) ialah Johor, Malaysia. Jaraknya hanya 7.7 batu nautikal Sedangkan jarak dengan Singapura 25 batu nautikal.

Terra Nullius[sunting | sunting sumber]

Terra Nullius merujuk kepada tempat tidak dituntut oleh negara berdaulat yang disahkan oleh kuasa Barat - "unclaimed by a sovereign state recognized by European powers" [6]. Singapura menyatakan Pulau Batu Puteh berkeluasan sebuah padang bola sepak itu tidak berpenghuni, rakyat Malaysia tidak menghuni pulau itu sejak sekian lama. Oleh itu Singapura berhak menuntut pulau itu.

Sebaliknya Malaysia mendakwa pulau itu bukanlah terra nullius [7]. Ini kerana pulau itu menjadi tempat nelayan untuk berlindung apabila berhadapan dengan ribut kencang dan ancaman lanun. Malah perairannya menjadi kawasan penangkapan ikan yang strategik bagi Orang Laut di Pengerang dan Teluk Ramunia , Johor. Jika mereka tidak berlindung di Pulau Batu Puteh, bot nelayan akan hanyut ke Pulau Bintan, Indonesia untuk mendapatkan sebarang bantuan, tentunya lebih sukar.

Pada 1621 dalam carta ahli pelayaran China, Wubei Zhi mencatatkan saudagar China menamakan pulau ini sebagai 'Pia Chiao'. Ini menunjukkan pulau ini penting dan bukanlah terra nullius.

Artikel 1843 pula ada menyatakan kegiatan lanun yang merujuk kepada Batu Puteh. Begitu juga peta 1928, jelas sekali dinamakan sebagai 'Batu Puteh'.

Saiz pulau itu juga amat terhad untuk Malaysia menjalankan aktiviti bagi menyaingi aktiviti Singapura. Separuh dari pulau itu telah pun dipenuhi dengan binaan rumah api dan kemudahan sampingannya [8]. Adakah Malaysia perlu membina sebuah lagi rumah api di situ sebagaimana kehendak Singapura?

Alasan Perjanjian 1824[sunting | sunting sumber]

Empayar British melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diketuai oleh Stamford Raffles telah 'membuka' dan mendapatkan pulau Singapura dari Sultan Husain dari Kesultanan Johor pada 1819.

Apabila Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani antara Empayar British dengan Belanda pada 17 Mac 1824, dengan jelas Singapura termasuk / tertakluk dalam Empayar British. Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 hanya melibatkan pulau Singapura dan wilayah di selatan Selat Singapura. Great Britain dan Singapura tidak pernah menuntut kedaulatan ke atas tiga kawasan itu pada bila-bila masa sebelum tarikh penting berkaitan pertikaian sekarang (1980 bagi kes Pulau Batu Puteh dan 1993 bagi kes dua kawasan lain itu).

Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) serta pulau lain di sekitar Selat Singapura adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor sebelum 1824.

Undang-undang dan amalan perjanjian yang diguna pakai oleh Singapura, penerbitan serta petanya dan kenyataan oleh pegawai-pegawai Singapura yang berpengetahuan, kesemuanya mengesahkan bahawa tiga tempat berkenaan bukan wilayah negara itu, tetapi ditadbir sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

Perjanjian Crawfurd[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Crawfurd atau Crawfurd Treaty ditandatangani pada 2 Ogos 1824 antara Great Britain dengan Kesultanan Johor. Melalui perjanjian ini, Kesultanan Johor menyerahkan pulau Singapura bersama-sama pulau-pulau dan batu-batu dalam lingkungan 10 batu sahaja kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Sedangkan Pulau Batu Puteh 25.5 batu nautika dari Singapura.

Surat Temenggung Johor[sunting | sunting sumber]

Pada 25 November 1844, surat kebenaran membina Rumah Api Horsburgh telah diberikan oleh Temenggung dan Sultan Johor. Pembinaan operasi rumah api dibenarkan 'berdekatan dengan Titik Romania' atau di mana-mana yang sesuai. Pulau Batu Puteh ini berdekatan dengan Titik Ramunia tersebut. Dana dari pihak swasta telah dikumpulkan sejak 1836 untuk membina rumah api itu.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor Shunmugam Jayakumar yakin surat ini berada disimpan oleh kerajaan Johor atau waris Sultan Ali atau Temenggong berkenaan. Pihak arkib Singapura telah berusaha mengesannya tetapi tidak berjumpa.

Operasi Rumah api dari Singapura[sunting | sunting sumber]

Semua sistem rumah-rumah api ditadbir oleh Negeri-negeri Selat / Penempatan Selat iaitu di stesen Singapura, Melaka atau Pulau Pinang. Sejak 1912 Persekutuan Tanah Melayu turut menyumbang kos operasi rumah api apabila swasta enggan membiayai rumah-rumah api itu.

Rumah api yang lain termasuklah di Pulau Pisang, Pulau Undan, Cape Ricardo, Muka Head dan Pulau Rimau. Operasi dari Singapura tidak berubah dan diteruskan tanpa sebarang masalah.

Tentera Laut Malaya kemudian dinamakan Tentera Laut Diraja Malaysia bertanggungjawab terhadap Singapura sehingga 1975 apabila Singapura mempunyai tentera lautnya sendiri. Tentera Laut Diraja Malaysia terus beroperasi di pangkalan Woodland, Singapura sehingga 1980-an tanpa sebarang masalah. Woodland hanya diserahkan kepada Singapura pada 1997.

Sebelum dan selepas pembentukan tentera laut Singapura, pasukan British dan Malaysia berterusan mengawal perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, termasuk Pulau Batu Puteh.

94,000 kapal melalui Selat Melaka pada 2004 dan akan meningkat kepada 141,000 buah pada 2020. Pada 16 November 1971, tiga negara yang intim iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura sepakat untuk menguruskan Selat Melaka.

Anehnya kini Singapura agresif mengubah karakter dan penampilannya di Pulau Batu Puteh.

Pada 1969 Malaysia secara rasmi meminda wilayah pentadbiran daripada 3 kepada 12 batu nautika. Tentunya termasuk Pulau Batu Puteh. Tetapi Singapura tidak pula protes. Hanya sejak 1986, Singapura menghantar kapal tentera laut mengawasi Pulau Batu Puteh dan meronda 24 jam. Sebelum itu tidak ada rondaan 24 jam. Sejak itu nelayan Johor berada dalam bahaya, dihalau dan mungkin diancam dan ditembak jika 'menceroboh'. Pihak Malaysia tidak mengambil pendekatan konfrontasi terhadapi situasi tegang itu. Kemudian Malaysia dapat tahun Singapura telah menempatkan peralatan komunikasi tentera sejak 1977 lagi.

Peta Malaysia 1979[sunting | sunting sumber]

Pada 20 Disember 1979, Kementerian Luar Malaysia menghantar telegram kepada semua Misi Asean tentang keputusan Malaysia untuk mengeluarkan peta baru. Peta baru tidak bermaksud tuntutan baru, tetapi hanya petunjuk mengenai hak Malaysia di perairan laut wilayah dan pelantar benua Melaysia berdasarkan perjanjian-perjanjian sedia ada dan perundangan antarabangsa. Malaysia telah memaklumkan peta Malaysia 1979 kepada 7 negara jiran iaitu Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan China. Semua 7 negara ini telah membantah kerana Malaysia cuba mengubah status quo.[9]

Pada 21 Disember 1979, mesyuarat pertama antara Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian luar Malaysia dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura. Namun ketika itu masih tidak ada bantahan dari Singapura.

Pada 13 Mei 1980, Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu ada memberi maklum balas terhadap kenyataan Lee Kuan Yew berhubung dokumen yang disimpan oleh Singapura. Tetapi sehingga kini dokumen definitif itu tidak ditunjukkan di mana-mana mahkamah [10].

Pada 14 Februari 1980, Singapura membuat bantahan rasmi menuntut Pulau Batu Puteh sebagai miliknya. Nota ini yang mencetuskan pertikaian. Tarikh kritikal ini penting dari sudut undang-undang persempadanan. Selepas tarikh ini, Singapura tidak lagi bertindak secara normal berbanding fungsinya sebagai pengendali rumah api [11].

Singapura hanya menuntut Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) hanya selepas 6 Februari 1993.

Surat Gabenor Butterworth[sunting | sunting sumber]

Surat Gabenor Butterworth yang dirujuk dalam Perjanjian Crawfurd tidak terdapat di mana-mana arkib Malaysia. Malangnya 1994 Singapura enggan membenarkan pihak Malaysia akses ke arkib di negara tersebut. Surat ini dirujuk sebagai 'Letters of Native Rulers'.

Dokumen bertulis[sunting | sunting sumber]

Singapura tidak mengemukakan sebarang dokumen bertulis. Sebaliknya Malaysia mengemukakan 7 dokumen bertulis itu :

  1. Surat dari Residen British di Singapura pada 10 Januari 1824 kepada pentadbiran di India mengenai jajahan Johor.
  2. Perjanjian Crawfurd antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung Johor yang berlangsung pada 1824. Artikel II Perjanjian Crawfurd menyatakan Sultan dan Temenggong Johor menyerahkan kawasan berupa perairan, selat dan pulau-pulau terletak 10 batu dari pantai.
  3. Surat Crawfurd bertarikh 3 Ogos 1824 yang mengiktiraf kedaulatan Johor ke atas pulau-pulau kecil dalam longkungan 10 batu dari Singapura.
  4. Surat Crawfurd pada 1 Oktober 1824
  5. Laporan Presgrave (Edward Presgrave) bertarikh 5 Disember 1828 mengenai kegiatan lanun di Selat Melaka serta sempadan empayar Johor termasuk di Pulau Batu Puteh
  6. Peta tahun 1842 yang disediakan atas arahan kerajaan Belanda.
  7. Rencana dalam Singapore Free Press pada 25 Mei 1843 menyebut Pulau Batu Puteh antara pulau dikaitkan dengan kegiatan lanun terletak di bawah kuasa kerajaan Johor.
  8. Surat-surat antara Gabenor Butterworth dengan Sultan dan Temenggong Johor pada 1944 berhubung cadangan pembinaan rumah api di pulau-pulau di muara Laut China Selatan.

Berkongsi Selat Melaka dan Laut China Selatan[sunting | sunting sumber]

Sejak sekian lama Malaysia, Indonesia dan Singapura berkongsi perairan dan pengurusan di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Secara geografi, dan sejarah kolonial British, Malaysia dan Singapura juga berkongsi dalam banyak perkara.

Implikasi keputusan penghakiman[sunting | sunting sumber]

Malaysia pemilik asal Pulau Batu Puteh[sunting | sunting sumber]

Hujah Malaysia telah diterima dan pemilikan dari segi sejarah sebagai sebahagian dari Johor disahkan, tetapi keputusan mahkamah 16-ahli, dengan majoriti 12-4, kebanyakannya berdasarkan aktiviti Singapura selama 100 tahun terakhir. Selain itu ICJ turut mengambil kira dakwaan Singapura mengenai surat oleh wakil setiausaha Johor pada 1953 kepada kerajaan Singapura mengenai “tiada tuntutan oleh kerajaan Johor berhubung dengan permilikan Pedra Branca”. [12] Hujah Singapura berdasarkan doktrin terra nullius (tanah yang tidak berpenghuni) atau pembinaan rumah api tidak menunjukkan Singapura sebagai tuan asal Batu Puteh, menurut penghakiman ICJ.

Reaksi kerajaan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Keputusan itu dianggap situasi menang-menang oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Rais Yatim ketika ditemuramah secara langsung sejurus selepas keputusan diumumkan. Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap keputusan ini seimbang dan memihak kepada Malaysia. Keluasan Singapura tentunya akan bertambah 22 batu nautika. Bagaimanapun perundingan lanjut akan diteruskan kerana kedua negara mempunyai hak dan kedaulatan untuk terus beroperasi pada kedua kawasan yang berdekatan.

Baginda Sultan Johor pula ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun, 2008 menegaskan bahawa pulau berkenaan bukan milik Singapura sebaliknya hak milik kerajaan Johor. [13]

"Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu," titah baginda.

Reaksi rakyat Malaysia[sunting | sunting sumber]

Kes ini telah membuka mata semua pihak tentang peri pentingnya pihak berwajib untuk mendokumentasi secara teratur, tersusun dan selamat segala sejarah serta rekod-rekod penting kerajaan. Semua kakitangan kerajaan juga disarankan agar lebih teliti dan berhati-hati dalam menyedia dan menandatangani sebarang dokumen bagi pihak kerajaan [14]. Ini dengan tujuan untuk memelihara kewibawaan kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan pihak-pihak yang terdahulu.

Kerajaan Malaysia disarankan agar lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang perjanjian dengan pihak berkuasa Singapura. Terma dan syarat-syaratnya perlulah diperhalusi agar tidak berat sebelah dan akhirnya hanya merugikan seperti kes Tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Puteh ini. Dalam kebanyakan perjanjian antara Malaysia dan Singapura yang sering mencetuskan ketegangan diplomatik termasuklah berkaitan harga air mentah, tanah KTM Bhd; pengeluaran wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta pemindahan Kompleks Kastam dan Imigresen di Tanjung Pagar.

Sentimen rakyat juga terutamanya di negeri-negeri selatan semenanjung Malaysia juga sudah semakin berubah. Walaupun diketahui rakyat Johor, Melaka dan Negeri Sembilan adalah di antara penyokong kuat parti pemerintah, namun kini sudah ada asas untuk mereka meragui dan mencurigai kewajaran pelaksanaan Iskandar Malaysia (dahulunya Wilayah Pembangunan Iskandar; sebelumnya SJER) oleh pihak kerajaan [15] [16]. Berdasarkan perjalanan kes Tuntutan bertindih mengenai Pulau Batu Puteh yang memihak kepada Singapura, penglibatan berlebih-lebihan Singapura di kawasan terbabit dikhuatiri akhirnya akan hanya mengulangi kisah tuntutan kedaulatan yang berskala lebih besar daripada republik berkenaan dikemudian hari [17] [18].

Hubungan diplomatik[sunting | sunting sumber]

Hubungan diplomatik di antara kerajaan Malaysia dan Singapura dijangka terus terjalin erat meskipun ada waktu pasang dan surutnya. Perdana Menteri serta Menteri Luar Malaysia berulang kali cuba mengingatkan rakyat agar menerima apa juga keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Pihak kerajaan cuba untuk menyakinkan rakyat supaya menerima bulat-bulat keputusan penghakiman ini dengan alasan sebarang keputusan yang diputuskan oleh ICJ tidak boleh dirayu lagi.

Kepentingan dokumentasi[sunting | sunting sumber]

Sejak dari dahulu lagi Singapura telah menjadi pusat pentadbiran British dan sekaligus mempunyai kelebihan. Banyak sekali media cetak, penerbitan dan filem yang bertapak di Singapura berbanding dengan Kuala Lumpur sehinggalah Singapura berpisah dari Malaysia.

Lantaran itu Singapura mempunyai kelebihan memiliki pelbagai dokumen seperti rekod, surat-surat perjanjian, peta lama, buku-buku klasik, nota catatan , diari dan laporan syarikat dan laporan kerajaan. Semua bahan bertulis ini menjadi bahan artifak yang sahih dan terbukti berguna kepada Singapura untuk menguatkan hujah mereka.

Malaysia juga ada institusi sejarah seperti Arkib Negara , Jabatan sejarah dan muzium. Tetapi Malaysia pernah berhadapan dengan kebakaran bangunan yang menyimpan rekod lama.

Sempadan maritim[sunting | sunting sumber]

Sebelum ini nelayan Johor dihalang daripada mendekati serta menangkap ikan di perairan tersebut. Singapura juga sejak 1986, mengawal ketiga-tiga fitur itu sebagai kawasan mereka dengan tidak membenarkan sesiapa masuk tanpa kebenaran mereka. Malaysia sama sekali tidak membantah atas semangat setiakawan ASEAN [19].

Dengan keputusan ini, para nelayan kembali bebas bagi melakukan aktiviti perikanan di kawasan Batuan Tengah dan Tubir Selatan, sebaik sahaja persempadanan perairan kedua negara ditetapkan. Walaupun boleh dikatakan keputusan Mahkamah Antarabangsa memberi separuh kemenangan kepada Singapura dengan mendapat Pulau Batu Puteh, kemenangan Malaysia ke atas Batuan Tengah dan kemungkinan besar juga kedaulatan ke atas Tubir Selatan bermakna sempadan maritim Singapura kini hanya terbatas kepada Batu Puteh sahaja.

Tubir Selatan yang terletak dalam lingkungan 12 batu nautika Batuan Tengah milik Malaysia. Besar kemungkinan Tubir Selatan juga menjadi milik Malaysia kerana ini. Jika Tubir Selatan ditentukan milik Malaysia, kerajaan Malaysia boleh mendapat 12 batu nautika lagi bagi kawasan maritimnya. Ini selari dengan Artikel 13(1) UNCLOS 1982 yang menganggap objek seperti Tubir Selatan adalah juga tanah semulajadi, lalu berhak mendapat 12 batu nautika sebagai sempadan maritimnya [20].

Dengan keputusan ini juga sebarang kemalangan, jenayah laut, aktiviti lanun dan sebagainya di Batu Putih pula hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa Singapura. Ini termasuklah aktiviti pelayaran dan aliran kapal kargo dan kapal tangki dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Perenggan 20. Spotlight on Batu Puteh. New Straits Times. 2 Januari 2003. Dicapai 10 Disember 2006.
  2. Hujah keenam Singapura gulung hujah Batu Putih. Utusan Malaysia. 21 November 2007
  3. Perenggan 3 Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia. Utusan Malaysia. 24 Mei 2008
  4. Pertikaian Batu Puteh Di ICJ Bermula 6 Nov. Bernama. 2 November 2007. Dicapai 13 November 2007.
  5. John Hall-Jones (1983), The Thomson Paintings: Mid-Nineteenth Century Paintings of the Straits Settlements and Malaya, Singapore: Oxford University Press, ms. 67 .
  6. Terra nullius En:Wikipedia
  7. Articles 12 Singapore's presence is with Johor’s consent. Utusan Malaysia. 14 November 2007
  8. Noraini Abd. Razak Malaysia kemuka dokumen Pulau Batu Putih milik Johor. Utusan Malaysia. 15 November 2007.
  9. Nor Faridah A. Rashid. Singapura Dakwa Tuduhan Malaysia Tidak Berasas Bernama. 19 November 2007.
  10. Perenggan 19. Singapura bersandar ‘tanggapan’. Utusan Malaysia. 14 November 2007
  11. Perenggan 4. Singapura bersandar ‘tanggapan’. Utusan Malaysia. 14 November 2007
  12. 1953 Johor letter 'hands' island to Singapore, New Strait Times, 23 Mei 2008
  13. Perenggan 1. Sultan Johor Akan Ikhtiar Kembalikan Kedaulatan Pulau Batu Puteh Bernama. 19 Jun 2008.
  14. Perenggan 2. Check documents before signing, Negri MB says. The Star 30 Mei 2008.
  15. Ruhanie Ahmad, Datuk. BATALKAN ISKANDAR MALAYSIA (WPI)? kudakepang. 27 Mei 2008
  16. abeemonster. Wilayah pembangunan Iskandar (WPI) TranungKite Online. 21 Mei.
  17. wilayahpembangunaniskandar. Kenapa Singapura Nak Sangat Pulau Batu Putih? WPIs Weblog. 24 Mei 2008.
  18. A Voice. The Pulau Batu Puteh Case: A Strategic Disaster for Malaysia Another Brick In the Wall. 25 Mei 2008.
  19. Deva Ridzam, Opinion: Taking heed of the lesson bitterly learnt, New Straits Times, 29 Mei 2008
  20. Liew-Ann Phang, "Batu Puteh bukan sebuah pulau tetapi batu", The Sun, 28 Mei 2008

Lihat juga[sunting | sunting sumber]