Waktu Sejagat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Waktu Sejagat (bahasa Inggeris: Universal Time, UT) merupakan piawaian waktu yang berasaskan putaran Bumi, sebagai kesinambungan moden buat Waktu Min Greenwich (GMT), iaitu waktu suria min pada Meridian Utama di Greenwich. GMT kadang-kadang disamakan lebih kurang dengan UTC. Sebenarnya, ungkapan "Waktu Sejagat" kurang jelas kerana terdapat beberapa versinya, terutama sekali UTC dan UT1 (rujuk di bawah). Kesemua versi UT ini berasaskan putaran Bumi secara nisbi dengan jasad-jasad cakerawala yang jauh (bintang dan kuasar) dengan faktor penskala dan lain-lain penyelerasan supaya dekat dengan waktu suria.

Waktu Sejagat dan waktu piawai[sunting | sunting sumber]

Sebelum diperkenalkannya waktu piawai, setiap bandar di seluruh dunia bertamadun yang berwaktu rasmi menetapkan waktunya mengikut kedudukan Matahari setempat (rujuk waktu suria). Amalan ini memadai hinggalah terciptanya enjin wap, telegraf, dan pengangkutan keretapi yang membolehkan perjalanan jarak jauh yang cukup laju untuk memerlukan jam dilaraskan semula acap kali apabila keretapi merentasi berbilang bandar dalam satu hari. Maka terciptanya waktu piawai untuk menyelesaikan masalah ini, yang mana semua jam di sebuah kawasan besar dilaraskan kepada waktu yang sama. Kronometer atau telegrafi digunakan untuk menyelaraskan jam-jam ini.[1]

Zon-zon waktu piawai sedunia sejak 20 September 2011, dengan panduan untuk menukar antara UTC dan waktu tempatan dengan tambah tolak di bawah

Waktu piawai yang mula-mula diusulkan oleh Sir Sandford Fleming dari Scotland pada tahun 1879, membahagikan dunia kepada 24 zon waktu, setiap satunya meliputi kira-kira 15 darjah longitud. Kesemua jam di dalam setiap zon mestilah dilaraskan pada waktu yang sama dengan satgu sama lain, tetapi berbeza satu jam dari zon-zon bersebelahan. Waktu tempatan di Balai Cerap Diraja di Greenwich, England dipilih sebagai piawaian pada Persidangan Meridian Antarabangsa 1884, maka meluasnya penggunaan Waktu Min Greenwich untuk melaraskan waktu-waktu tempatan. Lokasi ini terpilih kerana pada tahun 1884, dua pertiga semua carta nautika dan peta sudah menjadikan Greenwich sebagai meridian utama.[2] Persidangan itu tidak menerima guna zon-zon waktu tetapan Fleming kerana ia berada di luar tujuan ia diusulkan, iaitu memilih asas untuk waktu sejagat (di samping meridian utama).

Pada tahun 1884 hingga 1972, kesemua negara utama menerima guna zon waktu berasaskan meridian Greenwich.[3]

Pada tahun 1935, istilah Universal Time disyorkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa sebagai istilah yang lebih jitu daripada GMT kerana GMT boleh memaksudkan sama ada hari astronomi yang bermula pada tengah hari, atau hari awam yang bermula pada tengah malam.[4] Namun begitu, istilah Greenwich Mean Time masih dikekalkan berkenaan dengan penjagaan waktu awam hingga kini.

Ukuran[sunting | sunting sumber]

Berasaskan putaran Bumi, waktu boleh diukur dengan memerharikan jasad-jasad cakerawala yang merentasi garis meridian setiap hari. Para ahli falak mendapati kaedah itu lebih jitu untuk menentukan waktu dengan memerhatikan bintang-bintang yang melintasi meridian daripada memerhatikan kedudukan Matahari di angkasa. Dewasa ini, UT yang berhubung dengan Waktu Atom Antarabangsa (TAI) ditentukan oleh pemerhatian Interferometri Asas Sangat Panjang (VLBI) pada kuasar yang jauh, iaitu kaedah yang boleh menentukan UT1 sejitu dalam 4 milisaat.[5][6]

Putaran Bumi dan UT diperhatikan oleh Perkhidmatan Sistem Putaran dan Rujukan Bumi Antarabangsa (IERS). Kesatuan Astronomi Antarabangsa turut terlibat dalam menetapkan piawaian, tetapi pemutus terakhir piawaian penyiaran ialah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).[7]

Pusingan Bumi agak tidak sekata dan beransur-ansur perlahan disebabkan oleh pecutan pasang surut. Lebih-lebih lagi, tempoh sesaat ditentukan daripada pemerhatian terhadap Bulan dari tahun 1750 hingga 1890. Kesemua faktor ini melahirkan hari suria min pada puratanya lebih lama sedikit daripada 86,400 saat SI, iaitu jumlah saat sehari yang dibiasakan. Oleh sebab UT sedikit tidak sekata kadarnya, para ahli falak memperkenalkan Waktu Efemeris yang kini digantikan oleh Waktu Bumi (TT). Namun begitu, oleh sebab Waktu Sejagat segerak dengan malam dan siang, apatah lagi piawaian kekerapan atom yang lebih jitu menyimpang dari ini, UT masih digunakan untuk menghasilkan pembetulan (iaitu saat lompat) kepada waktu atom untuk mendapat bentuk waktu awam tersiar yang mencerminkan kekerapan atom. Oleh itu, piawaian penyiaran awam untuk waktu dan frekuensi biasanya rapat mengikuti TAI tetapi kadang-kadang berputus sinambung (atau "melompat") agar terelak dari terlalu jauh menyimpang dari waktu suria min.

Waktu Dinamik Baripusat (TDB), iaitu sebentuk waktu atom, kini digunakan dalam pembentukan efemeris planet-planet dan jasad-jasad yang lain dalam sistem suria atas dua sebab utama.[8] Pertama, efemeris-efemeris ini diikat pada pemerhatian optik dan radar terhadap pergerakan planet, dan skala masa TDB disesuaikan supaya hukum pergerakan Newton dengan pembetulan untuk kerelatifan am dipatuhi. Kedua, skala-skala masa yang berasaskan putaran Bumi tidak sekata, oleh itu ia tidak sesuai untuk meramal pergerakan jasad-jasad di dalam sistem suria kita.

Versi[sunting | sunting sumber]

Waktu Sejagat terdapat dalam beberapa versi:

  • UT0 adalah Waktu Sejagat yang ditentukan di balai cerap dengan memerhatikan pergerakan bintang-bintang seharian atau sumber radio luar galaksi, dan juga dari pemerhatian tentu jarak terhadap Bulan dan satelit-satelit Bumi yang buatan manusia. Ia tidak dibetulkan untuk sesaran kutub geografi Bumi dari kutub putarannya. Sesaran ini, iaitu pergerakan kutub, menyebabkan kedudukan geografi sebarang tempat di Bumi berubah-ubah beberapa meter, maka lain balai cerap, lainlah nilai UT0-nya walaupun pada detik yang sama. Perbezaan antara UT0 dan UT1 adalah sekitar beberapa persepuluh milisaat. Gelaran UT0 tidak lagi dipakai umum.[9]
  • UT1adalah bentuk utama Waktu Sejagat. Biarpun secara konsep ia merupakan waktu suria min pada longitud 0°, namun adalah sukar untuk mengukur Matahari dengan jitu. Oleh itu, UT1 dikira dari pemerhatian terhadap kuasar-kuasar jauh dengan menggunakan interferometri asas panjang, tentu jarak Bulan dan satelit buatan dengan laser, dan juga penentuan orbit satelit GPS. UT1 adalah sama di seluruh Bumi serta berkadar dengan sudut putaran Bumi yang berhubung dengan kuasar jauh, terutamanya Kerangka Rujukan Samawi Antarabangsa (ICRF) dengan mengabaikan beberapa pelarasan kecil. Pemerhatian-pemerhatian ini membolehkan penentuan ukuran sudut Bumi yang berhubung dengan ICRF iaitu Sudut Putaran Bumi (Earth Rotation Angle [ERA] yang merupakan pengganti masa kini untuk Waktu Ikut Bintang Min Greenwich). UT1 dikehendaki untuk mematuhi hubungan
ERA = 2π(0.7790572732640 + 1.00273781191135448Tu) radian
yang mana Tu = (Tarikh UT1 Julian - 2451545.0)[10]
  • UT1R merupakan versi UT1 yang terasah untuk menyingkirkan variasi berkala akibat pasang surut air. Ia mencakupi 62 tempoh pengasahan, setiap satunya selama 5.6 hari hingga 18.6 tahun.[11]
  • UT2 merupakan versi UT1 yang terasah untuk menyingkirkan variasi berkala akibat peralihan musim. Ia jarang sekali digunakan masa kini dan selalunya untuk rujukan sejarah semata-mata. Ia ditakrifkan oleh
yang mana t bersamaan dengan masa sebagai sepecahan tahun Bessel.[12]
  • UT2R merupakan versi UT1 yang terasah yang menerapkan kedua-dua pembetulan musim UT2 serta pembetulan pasang surut UT1R. Ia merupakan bentuk Waktu Sejagat yang paling terasah. Ketidaksekataannya menunjukkan ciri-ciri putaran bumi yang sukar diramal disebabkan cuaca atmosgera, tektonik plat, dan arus-arus di pedalaman Bumi.[perlu rujukan]
  • UTC (Waktu Semesta Berkoordinat) merupakan skala masa atom yang menghampiri UT1. Inilah piawaian antarabangsa yang menjadi asas kepada waktu awam. Ia berdetikd dalam saat SI, sejajar dengan TAI. Biasanya, UTC ada 86,400 saat SI sehari, tetapi dihadkan dalam 0.9 saat dari UT1 oleh pengenalan saat lompat sekali-sekala. Setakat 2012, saat-saat lompat ini sentiasa positif hasilnya dengan satu hari 86401. Apabila kejituan yang lebih baik dari satu saat tidak diperlukan, UTC boleh digunakan sebagai pembundaran UT1. Beza antara UT1 dan UTC dipanggil DUT1.[13]

Penerimaan antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Jadual yang berikut memaparkan tarikh-tarikh penerimaan zon waktu berasaskan meridian Greenwich, termasuk zon separuh jam.

Tahun Negara[14] Tahun Negara Tahun Negara
1848 Great Britain [15] 1906 India,[16] Ceylon, Seychelles 1930 Bermuda
1879 Sweden 1907 Mauritius, Chagos 1931 Paraguay
1883 Kanada, Amerika Syarikat [17] 1908 P. Faroe, Iceland 1932 Barbados, Bolivia, Hindia Timur Belanda
1884 Serbia 1911 Perancis, Algeria, Tunis,[18] Hindia Barat Britisy 1934 Nicaragua, Niger T.
1888 Jepun 1912 Portugal,[19] jajahan Perancis yang lain, Samoa, Hawaii, Midway dan Guam, Timor, Kep. Bismarck, Jamaica, Kep. Bahamas Menjelang 1936 Labrador, P. Norfolk
1892 Belgium, Holland,[20] S. Africa[21] 1913 British Honduras, Dahomey Menjelang 1937 Cayman Is., Curacao, Ecuador, Newfoundland
1893 Itali, Jerman, Austria-Hungary (keretapi) 1914 Albania, Brazil, Colombia Menjelang 1939 Fernando Po, Parsi
1894 Bulgaria, Denmark, Norway, Switzerland, Romania, Turki (keretapi) 1916 Greece, Ireland, Poland, Turki 1940 Belanda
1895 Australia, New Zealand, Natal 1917 Iraq, Palestin Menjelang 1940 P. Lord Howe
1896 Formosa (Taiwan) 1918 Guatemala, Panama, Gambia, Gold Coast Menjelang 1948 Aden, P. Ascension, Bahrein, British Somaliland, Calcutta, Guiana Belanda, Kenya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Oman, Negeri-Negeri Selat, St. Helena, Uganda, Zanzibar
1899 Puerto Rico, Filipina 1919 Latvia, Nigeria Menjelang 1953 Raratonga, Georgia Selatan
1900 Sweden, Mesir, Alaska 1920 Argentina, Uruguay, Burma, Siam Menjelang 1954 Kep. Cook
1901 Sepanyol 1921 Finland, Estonia, Costa Rica Menjelang 1959 Republik P. Maldives
1902 Mozambique, Rhodesia 1922 Mexico Menjelang 1961 Kep. Friendly, Kep. Tonga
1903 Ts'intao, Tientsin 1924 Jawa, KRSS Menjelang 1962 Arab Saudi
1904 Pantai Cina, Korea, Manchuria, Borneo U. 1925 Cuba Menjelang 1964 Kep. Niue
1905 Chile 1928 Pedalaman Cina 1972 Liberia

Selain Guyana (+3h 45m) dan Pulau Chatham (-12h 45m), semua negara menjaga masa dalam hitungan jam genap atau separuh jam dari Greenwich.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Howse 1997, ch. 4.
  2. ^ Howse 1997, ch. 5.
  3. ^ Howse 1997, ch. 6.
  4. ^ McCarthy & Seidelmann 2009, m/s. 14.
  5. ^ McCarthy & Seidelmann 2009, m/s. 68–9.
  6. ^ Urban & Seidelmann 2013, m/s. 175.
  7. ^ McCarthy & Seidelmann 2009, Ch. 18.
  8. ^ Urban & Seidelmann 2013. Sebenarnya, sebuah pengeluar efemeris utama iaitu Jet Propulsion Laboratory menggunakan skala masa terbitannya iaitu Teph yang bersamaan secara fungsi dengan TDB.
  9. ^ Urban & Seidelmann 2013, m/s. 81.
  10. ^ McCarthy & Seidelmann 2009, m/s. 15–17, 62–64, 68–69, 76.
  11. ^ IERS n.d.
  12. ^ Date and Time Definitions n.d.
  13. ^ McCarthy & Seidelmann 2009, Ch. 14.
  14. ^ Howse 1980, halaman 154–5. Nama-nama belum dimutakhirkan.
  15. ^ sah pada 1880
  16. ^ kc. Calcutta
  17. ^ sah pada 1918
  18. ^ dan kebanyakan jajahan seberang laut Perancis,
  19. ^ dan jajahan-jajahan seberang laut,
  20. ^ Legal time reverted to Amsterdam time 1909; to Central European Time 1940,
  21. ^ except Natal

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • "Date and Time Definitions". United States Naval Observatory. Dicapai pada 3 March 2013.CS1 maint: ref=harv (link)
  • "Earth Rotation Variations Due to Zonal Tides". Paris: Earth Orientation Center. Dicapai pada 2 October 2011.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Galison, Peter (2003). Einstein's clocks, Poincaré's maps: Empires of time. New York: W.W. Norton & Co. ISBN 0-393-02001-0.CS1 maint: ref=harv (link) Discusses the history of time standardization.
  • Howse, Derek (1980). Greenwich Time and the discovery of the longitude. Oxford Univ Press. m/s. 154–5.CS1 maint: ref=harv (link). Names have not been updated.
  • Howse, Derek (1997). Greenwich Time and the Longitude. Phillip Wilson. ISBN 0-85667-468-0.CS1 maint: ref=harv (link)
  • McCarthy, Dennis D. (1991). "Astronomical Time" (PDF). Proceedings of the IEEE. 79 (7): 915–920. doi:10.1109/5.84967. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)CS1 maint: ref=harv (link)
  • McCarthy, Dennis; Seidelmann, P. Kenneth (2009). TIME—From Earth Rotation to Atomic Physics. Weinheim: Wiley-VCH Verlag GmbH & Co. KGaA. isbn=978-3-527-40780-4. Missing pipe in: |publisher= (bantuan)CS1 maint: ref=harv (link)
  • O'Malley, Michael (1996). Keeping watch: A history of American time. Washington DC: Smithsonian. ISBN 1-56098-672-7.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Seidelmann, P. Kenneth (1992). Explanatory supplement to the Astronomical Almanac. Mill Valley, California: University Science Books. ISBN 0-935702-68-7.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Urban, Sean; Seidelmann, P. Kenneth, penyunting (2013). Explanatory Supplement to the Astronomical Almanac (ed. 3rd). Mill Valley, California: University Science Books.CS1 maint: ref=harv (link)
  • "UT1R". International Earth Rotation and Reference System Service. Dicapai pada 6 March 2013.
  • "What is TT?". Naval Oceanography Portal. United States Naval Observatory. Dicapai pada 3 March 2013.

Templat:FS1037C

Pautan luar[sunting | sunting sumber]