Formasi Beruas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Beruas ialah sejenis formasi batuan berusia Holosen tak konsolidat yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Asal-usul Nama[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini diperkenalkan sebagai Beruas oleh Suntharalingam (1987) bersempena nama lokasi di mana endapan tak konsolidat ini mula-mula ditemui berdasarkan daripada hasil penggerudian untuk kajian geologi Kuarterner oleh Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi ini wujud sebagai endapan tak konsolidat di sekitar pesisir laut negeri Perak dengan ketebalan nipis sekitar 5 meter.

Kajian oleh Kamaluddin (1990) menunjukkan formasi ini bertaburan secara terpencil di sekitar Balik Pulau, Bayan Lepas dan Georgetown di Pulau Pinang serta Simpang Empat dan Sungai Dua di bahagian Seberang Perai.

MT-JGSC (2006) merekodkan kewujudan formasi ini dalam sebahagian besar peta topografi Kota Bharu dan Rantau Panjang di negeri Kelantan yang merupakan kawasan semasa bagi penanaman padi.

Kajian oleh MT-JGSC (2009) menunjukkan formasi ini terdapat di sekitar lembah-lembah Sungai Perlis, Sungai Arau, Sungai Gial dan sunai-sungai lain di sekitar negeri Perlis.

Korelasi[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini biasanya mempunyai sempadan bawah yang selanjar dengan Formasi Simpang dan Formasi Gula.

Formasi Beruas diselaraskan dengan Aluvium Muda yang diperkenalkan oleh Walker (1985).

Kajian korelasi geologi batuan di sempadan Malaysia - Thailand oleh MT-JGSC (2009) menselaraskan Formasi Beruas dengan Formasi Sungai Kolok yang wujud sebagai dataran rendah yang ditanam padi.

Di Thailand, Formasi Sungai Kolok dibahagikan kepada 2 ahli iaitu Ahli Pasir dan Lempung Aluvium dan Ahli Lempung Dataran Banjir.

Litologi Am[sunting | sunting sumber]

Formasi Beruas terdiri daripada lempung, gambut, lempung berpasir serta sedikit pasir dan kerikil di tempat-tempat tertentu.

Ahli Batuan dan Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Suntharalingam (1987) memperkenalkan Ahli Pengkalan sebagai satu-satunya ahli dalam formasi batuan ini yang ditafsirkan diendap dalam sekitaran fluvial berdasarkan ciri-ciri litologi.

Kamaluddin (1989) kemudian mentafsirkan semula sekitaran pengendapan Ahli Pengkalan sebagai air tawar atau paya gambut berdasarkan ciri-ciri palinologi.

MT-JGSC (2006) membahagikan Formasi Beruas kepada 4 ahli iaitu Ahli Pengkalan, Ahli Dataran Banjir, Ahli Tetambak Semulajadi dan Ahli Alur Terbiar berdasarkan kajian endapan Kuaterner di sekitar Sungai Golok.

MT-JGSC (2009) mengelaskan Formasi Beruas kepada 2 ahli iaitu Ahli Pasir dan Lempung Aluvium dan Ahli Lempung Dataran Banjir berdasarkan korelasi dengan Formasi Sungai Kolok di Thailand.

Pencirian ahli-ahli Formasi Beruas berdasarkan Suntharalingam (1987) dan MT-JGSC (2006, 2009)
Ahli Ciri-ciri am
Ahli Pengkalan
Ahli Dataran Banjir
Ahli Tetambak Semulajadi
  • Didefinisikan sebagai endapan Holosen muda yang melapisi endapan dataran banjir.
  • Tersingkap secara tempatan di sepanjang Sungai Golok.
  • Melapisi Ahli Pengkalan.
Ahli Alur Terbiar
  • Terdiri daripada pasir, pasir berkerikil dan pasir berlempung yang longgar hingga peroi, tersusun buruk dan berwarna putih.
  • Biasanya saling menjejari dengan Ahli Dataran Banjir.
Ahli Pasir dan Lempung Aluvium
  • Termasuk aluvial, aluvial resen dan dataran lembah mengikut gabungan tindakan agen-agen pengendapan iaitu sungai-sungai kecil, graviti dan air yang mengalir. Litologi endapan terdiri daripada campuran butiran lempung hingga kerikil halus yang berubah dengan drastik.
  • Terdiri daripada pasir berbutiran kasar yang sangat berlempung dan sedikit berkerikil. Butiran-butiran pasir bersusun secara padat, bersudut, berwarna kelabu dengan tompokan perang kekuningan hingga merah, bersusun buruk dan bersaling selit dengan pelapisan lempung berpasir halus yang kukuh.
  • Ahli ini melapisi batuan sedimen atau batuan perumah lebih tua dan bersempadanan secara tepat dengan endapan marin cetek di beberapa tempat.
Ahli Lempung Dataran Banjir
  • Dimendapkan dalam sekitaran lembangan banjir. Endapan diangkut dan disusun oleh sistem sungai dengan ciri-ciri berlapisan baik dan menunjukkan pemisahan yang ketara.
  • Terdiri daripada lempung berwarna perang hingga kelabu dengan saiz butiran yang konsisten, berlapisan tebal dan berselang lapis longgar dengan pasir berbutiran sederhana hingga kasar. Butiran pasir berbentuk subbulat, tersusun sederhana, berwarna perang cerah hingga kelabu cerah dan mempunyai sedikit mineral mika.

  • Ketebalan ahli ini di sekitar Perlis dan selatan Thailand adalah antara 2 hingga 10 meter.
  • Ahli ini melapisi Ahli Pasir dan Lempung Aluvium dengan sempadan bertahap.

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Suntharalingam dan Teoh (1985) menjelaskan litologi, kandungan mineral berat dan ciri-ciri saiz butiran serta warna butiran menunjukkan formasi ini terbentuk daripada endapan fluvial yang berkaitan dengan sistem sungai sedia ada.

MT-JGSC (2009) membezakan sekitaran pengendapan Formasi Beruas kepada sekitaran fluvial dan sekitaran dataran banjir mengikut ahli-ahli formasi yang telah diperkenalkan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Kamaluddin Hassan, 1989. Significance of palynology in Late Quaternary sediments in Peninsular Malaysia. Geological Society of Malaysia Bulletin 24, pp. 57-66.
  2. Kamaluddin Hassan, 1990. A summary of the Quaternary geology investigations in Seberang Prai, Pulau Pinang and Kuala Kurau. Geological Society of Malaysia, Bulletin 26, pp.47-53.
  3. Suntharalingam, T dan Teoh, L.H., 1985. Quaternary geology of the coastal plain of Taiping, Perak. Geol. Suv. Malaysia Quaternary Geology Bulletin 1, 64p.
  4. Suntharalingam, T, 1987. Quaternary geology of the coastal plain of Beruas, Perak. Geol. Survey Malaysia Quaternary Geology Bulletin 2, 70p.
  5. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.