Formasi Simpang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Simpang ialah sejenis formasi batuan berusia Pleistosen tak konsolidat yang terdapat di Semenanjung Malaysia

Asal-Usul Nama[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini diberi nama Simpang oleh Suntharalingam dan Teoh (1985) bersempena nama lokasi di mana endapan tak konsolidat ini mula-mula ditemui berdasarkan daripada hasil penggerudian untuk kajian geologi Kuarterner oleh Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi ini wujud sebagai endapan tak konsolidat di sekitar Simpang di Perak dengan ketebalan melebihi 30 meter.

Kamaluddin (1990) turut menyatakan formasi ini wujud sebagai pelapisan atas yang bersempadan dengan rejahan granit seperti di sekitar Simpang Ampat dan Seberang Perai serta sedikit di Balik Pulau dan Georgetown, Pulau Pinang.

MT-JGSC (2006) merekodkan kewujudan formasi ini di kawasan beralun di selatan Rantau Panjang dan Pasir Mas dan menganjur hingga Tanah Merah dan Machang di Kelantan.

MT-JGSC (2009) menyatakan formasi ini wujud sekitar Perlis sebagai dataran yang dilitupi tanaman getah, kelapa sawit dan tebu terutamanya di bahagian tengah dan timur negeri.

Korelasi[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini mempunyai sempadan bawah yang tidak selanjar dengan batuan dasar tetapi mempunyai sempadan atas yang selanjar dengan Formasi Gula.

Suntharalingam dan Teoh (1985) menselaraskan formasi batuan ini dengan Aluvium Tua yang diperkenalkan oleh Walker (1956).

Kajian korelasi geologi batuan di sempadan Malaysia - Thailand oleh MT-JGSC (2006, 2009) menselaraskan Formasi Simpang dengan Formasi Waeng.

Komposisi Batuan[sunting | sunting sumber]

Formasi Simpang merupakan endapan tak konsolidat yang didominasi oleh lempung, lodak dan pasir sebagai kandungan utama. Kerikil wujud dalam kuantiti yang sedikit tetapi bertambah mengikut kedalaman.

Pasir dan lempung wujud sebagai lapisan-lapisan yang tersaling selit antara satu sama lain. Gambut dan lempung bergambut juga terdapat dalam formasi ini.

MT-JGSC (2009) memperincikan litologi formasi ini dengan asalan endapan dataran banjir dan koluvium kuno yang mengandungi konkresi besi dan dilitupi tanah atas.

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan kepada komposisi batuan dan penemuan fosil tumbuhan, Formasi Simpang ditafsirkan terbentuk dalam sekitaran fluvius.

Kamaluddin (1990) menjelaskan pengendapan formasi ini berpunca daripada sedimentasi daripada sumber daratan dan berlaku semasa paras air laut pada masa itu lebih rendah daripada paras air laut sekarang.

MT-JGSC (2009) mentafsirkan formasi ini terbentuk dalam sekitaran koluvium daratan atau tindakan luluhawa batuan dasar setempat secara pelokosan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Kamaluddin Hasan, 1990. A summary of the Quaternary geology investigations in Seberang Prai, Pulau Pinang and Kuala Kurau. Geological Society of Malaysia, Bulletin 26, pp.47-53.
  2. Suntharalingam, T dan Teoh, L.H., 1985. Quaternary geology of the coastal plain of Taiping, Perak. Geol. Suv. Malaysia Quaternary Geology Bulletin 1, 64 pp.
  3. Walker, D., 1956. Studies in the Quaternary of the Malay Peninsula, 1. Alluvial deposits of Perak and changes in the relative levels of land and sea. Fed. Mus. J., 1&2, pp.19-34.
  4. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2006. Geology of the Batu Melintang - Sungai Kolok transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.
  5. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.