Formasi Singa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Singa ialah satu formasi batuan berusia Perm Awal yang terdapat di Kepulauan Langkawi, Malaysia.

Asal-usul Nama[sunting | sunting sumber]

Formasi Singa diperkenalkan oleh Jones (1981) berdasarkan nama Pulau Singa Besar di mana formasi batuan ini mula-mula ditemui[1].

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi Singa mendasari kawasan Pasir Hitam hingga ke arah tenggara di kaki Gunung Raya dan menganjur ke bahagian barat daya Pulau Langkawi iaitu dari Pantai Chenang ke Teluk Baru hingga Kuala Temoyong, singkapan bukit di Temoyong.

Formasi Singa juga tersingkap di keseluruhan Pulau Temor, Pulau Ular, Pulau Lalang, Pulau Intan Besar, Pulau Selang, Pulau Beras Basah, Pulau Singa Besar, Pulau Singa Kecil, Pulau Rebak Kecil dan sebahagian Pulau Rebak Besar.

Komposisi Batuan[sunting | sunting sumber]

Formasi Singa terdiri daripada batu lumpur hitam dan selang lapis batu pasir litik dan kuarza. Lapisan batu lumpur mengandungi batuan pebel-pebel bulat yang diinterpretasi sebagai batu jatuh daripada glasier marin.

Ahmad Jantan mengelaskan Formasi SInga kepada 4 ahli batuan[2]. MT-JGSC mengelaskan semula Formasi Singa kepada 3 ahli dengan menaik taraf Ahli Rebak kepada Formasi Rebak[3].

Ketebalan Formasi Singa ialah 2100 meter[4].

Ahmad Jantan (1973) MT-JGSC (2015)
Formasi Singa Ahli Selang Formasi Singa Ahli Selang
Ahli Ular Ahli Ular
Ahli Kentut Ahli Kentut
Ahli Rebak Formasi Rebak

Terdapat 10 fasies sedimen dikenalpasti wujud dalam Formasi Singa iaitu[5]:

  1. Fasies batu lumpur tebal
  2. Fasies batu lumpur bepebel
  3. Fasies heterolitik
  4. Fasies selang lapis batu lumpur, batu lodak dan batu pasir
  5. Fasies batu pasir tebal,
  6. Fasies batu pasir tergred
  7. Fasies batu pasir berpelapisan silang
  8. Fasies batu pasir berlaminasi selari
  9. Fasies batu pasir berklasta
  10. Fasies konglomerat

Usia[sunting | sunting sumber]

Jones meletakkan Formasi Singa dalam usia Devon Akhir hingga Perm Awal[1]. Setelah Ahli Rebak dinaiktaraf menjadi formasi, Formasi Singa dikelaskan sebagai berusia Perm Awal[3].

Fosil[sunting | sunting sumber]

Antara fosil yang ditemui dalam Formasi Singa ialah brakiopod seperti Lamniplica sapa, Spirelytha petaliformis dan Sulciplica sp. dan bryozoa fenestellid.

  1. ^ a b Jones, C.R. 1981. Geology of Perlis, North Kedah and the Langkawi Islands. Geological Survey of Malaysia District Memoir 17.
  2. ^ Ahmad Jantan. 1973. Stratigraphy of the Singa Formation (Upper Paleozoic) in the Southwestern part of Langkawi Island Group, West Malaysia. Tesis Sarjana Sains Universiti Malaya (tidak diterbitkan).
  3. ^ a b The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee, MT-JGSC, Geological Conservation and Geological Tourism in Langkawi - Tarutao Islands, Geological Papers Volume 13, 2015
  4. ^ Che Aziz Ali & Tanot Unjah. 2011. The importance of geological heritage resources in land use planning: Experience from Langkawi Geopark. Planning Malaysia: Conservation with development: Focus on Langkawi. Petaling Jaya: Malaysian Institute of Planners. hlm. 55-82.
  5. ^ MOHAMAD HANIF KAMAL ROSLAN, CHE AZIZ ALI & KAMAL ROSLAN MOHAMED, Fasies dan Sekitaran Sedimen Formasi Singa di Langkawi, Malaysia, Sains Malaysiana 45(12)(2016): 1897–1904