Kelapa sawit: Perbezaan antara semakan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Addbot (bincang | sumb.)
k Bot: Memindahkan 1 pautan interwiki, kini disediakan oleh Wikidata di d:q165403
Baris 150: Baris 150:


== Penanaman ==
== Penanaman ==
Kelapa sawit boleh hidup di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Ia boleh hidup dengan pelbagai jenis tanah dari tanah gambut sehinggalah tanah mineral dengan pH diantara 4-7.5. Kelapa sawit selalunya dibeli dari nurseri kerana ingin menjamin kualiti anak pokok semasa penanaman. Untuk 3 tahun pertama penanaman, air adalah penting bagi pokok kelapa sawit. Keperluan baja bagi kelapa sawit ialah 120 kg N, 100 kg P2O5, 300 kg K2O dan 50 kg MgO per ha/tahun.<ref>http://palmoilis.mpob.gov.my/publications/TOT/TT-346.pdf MPOB F3 FERTILIZER FOR OIL PALM - PalmOilis - MPOB</ref>
Kelapa sawit boleh hidup di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Ia boleh hidup dengan pelbagai jenis tanah dari tanah gambut sehinggalah tanah mineral dengan pH diantara 4-7.5. Kelapa sawit selalunya dibeli dari nurseri kerana ingin menjamin kualiti anak pokok semasa penanaman. Untuk 3 tahun pertama penanaman, air adalah penting bagi pokok kelapa sawit. Keperluan baja bagi kelapa sawit ialah 120 kg N, 100 kg P2O5, 300 kg K2O dan 50 kg MgO per ha/tahun.<ref>http://palmoilis.mpob.gov.my/publications/TOT/TT-346.pdf MPOB F3 FERTILIZER FOR OIL PALM - PalmOilis - MPOB</ref.


== Teknologi baru ==
== Teknologi baru ==

Semakan pada 02:57, 12 Mei 2013

Kelapa Sawit
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
E. guineensis
Nama binomial
Elaeis guineensis

Kelapa sawit terdiri daripada dua spesies Arecaceae atau famili palma yang digunakan untuk pertanian komersil dalam pengeluaran minyak kelapa sawit. Kelapa sawit afrika, Elaeis guineensis,  berasal dari Afrika barat di antara Angola dan Gambia, manakala kelapa sawit Amerika, Elaeis oleifera, berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Ia adalah tanaman utama di Malaysia pada masakini. Terdapat seluas 4,691,160 hektar tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 2009 berbanding cuma 642,00 hektar direkodkan pada tahun 1975. Pada masa ini Negeri Sabah merupakan kawasan utama tanaman sawit di Malaysia (1.362 juta ha atau 29.7%) diikuti oleh Sarawak (0.840 juta hektar atau 16.6% ) dan Johor (0.712 juta hektar atau 15.32%). Negeri paling kecil mempunyai tanaman kelapa sawit adalah di Pulau Pinang iaitu cuma 14,000 hektar sahaja. Daripada jumlah keluasan tersebut seluas 2.807 juta hektar kelapa sawit ditanam oleh pihak estet swasta (59.8%) sementara 20.2% dimajukan oleh Skim Kerajaan (FELDA - 675,167 ha, RISDA- 80,262 dan FELCRA- 160,832) , 321,947 hektar (7,1%) oleh Skim Kerajaan Negeri dan bakinya seluas 540,194 hektar (12.98%) oleh pekebun kecil.

Sejarah perkembangan industri sawit

Ia bermula dengan Ca'da Mosto memperkenalkan kelapa sawit pada tahun 1435-1460. Terdapat cubaan untuk menanam kelapa sawit di India dan Kepulauan Maurutius pada tahun 1836. Pada tahun 1870 benih Deli Dura dibawa ke Asia Tenggara dan ditanam di Taman Botani Singapura. Pada tahun 1890 minyak kelapa sawit mula digunakan untuk membuat margarine. Lord Leverholme memperkenalkan milling dan pemprosesan minyak kelapa sawit. Tahun berikutnya kilang pemprosesan minyak kelapa sawit dibina di Belgium, Congo.

Pada tahun 1848 orang Belanda membawa kelapa sawit ke Indonesia yang kemudiannya ke Singapura dan Tanah Melayu. Kelapa sawit datang ke Tanah Melayu melalui Taman Botani Singapura sebagai tanaman hiasan. M. A. Hallet menanam pokok kelapa sawit Deli untuk pengeluaran komersial di Sumatera. Kemudian M. H. Fauconnier menanam pokok kelapa sawit Deli di Rantau Panjang, Selangor. Pada tahun 1917 bermulalah penanaman kelapa sawit secara komersial di Estet Tannamaran, Kuala Selangor. Seterusnya di Estet Elmina, Kuala Selangor.

Industri sawit Malaysia dan Indonesia bermula apabila empat anak benih dari Afrika ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada tahun 1848. Benihnya dari Bogor ini kemudiannya ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan di Deli, Sumatera pada dekad 1870-an dan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada tahun 1911-1912.

Di Taman Botani Bogor terdapat pohon kelapa sawit yang tertua di Asia Tenggara yang berasal dari Afrika. Taman botani ini yang seluas 87 hektar dibina pada tahun 1817, dan merupakan usaha Prof. Dr. Reinwadt, ahli botani Belanda. Terdapat 20,000 tanaman di sini yang tergolong dalam 6,000 spesies.

Industri sawit Malaysia bermula pada tahun 1917 apabila Ladang Tenmaran di Kuala Selangor ditanam dengan benih dura Deli dari Rantau Panjang. Apabila pewarisan bentuk buah difahami, penanaman komersil beralih daripada bahan dura kepada kacukan dura x pisifera (D x P). Kacukan D x P menghasilkan buah tenera. Penanaman ladang yang menggunakan bahan D x P berlaku secara mendadak pada awal dekad 1960-an apabila Felda membuka tanah rancangan secara besar-besaran.

Morfologi

Lukisan botani kelapa sawit.

Pokok yang matang mempunyai satu batang pokok yang tunggal dan tumbuh sehingga 20 meter tingginya. Daunnya merupakan daun majmuk yang anak-anak daunnya tersusun lurus pada kedua-dua belah tulang daun utama seolah-olah bulu dan mencapai 3 hingga 5 meter panjangnya. Pokok yang muda menghasilkan lebih kurang 30 daun setiap tahun, dengan pokok yang matang yang melebihi 10 tahun menghasilkan lebih kurang 20 daun. Bunganya berbentuk rumpun yang padat. Setiap bunganya kecil sahaja, dengan tiga sepal dan tiga kelopak. Buahnya memakan 5 hingga 6 bulan untuk masak dari masa pendebungaan. Ia terdiri daripada lapisan luar yang berisi dan berminyak (perikarp), dengan biji tunggal (isirung) yang juga kaya dengan minyak. Berbanding dengan saudaranya, kelapa, kelapa sawit tidak menghasilkan tunas susur. Pembiakannya adalah melalui penyemaian biji-biji.

Kelapa sawit termasuk tumbuhan pohon. Tingginya dapat mencapai 24 meter. Bunga dan buahnya berupa tandan, serta bercabang banyak. Buahnya kecil dan apabila masak, berwarna merah kehitaman. Daging buahnya padat. Daging dan kulit buahnya mengandungi minyak. Minyaknya itu digunakan sebagai bahan minyak goreng, sabun, dan lilin. Hampasnya dimanfaatkan untuk makanan ternak, khususnya sebagai salah satu bahan pembuatan makanan ayam. Tempurungnya digunakan sebagai bahan bakar dan arang.

Kelapa sawit yang berkembang biak dengan biji, tumbuh di daerah tropika, pada ketinggian 0 - 500 meter di atas aras laut. Kelapa sawit menyukai tanah yang subur dan tempat terbuka, dengan kelembapan tinggi. Kelembapan tinggi itu antara lain ditentukan oleh adanya curah hujan yang tinggi, sekitar 2,000-2,500 mm setahun.

Bilangan pelepah yang dihasilkan meningkat sehingga 30 hingga 40 ketika berumur tiga hingga empat tahun dan kemudiannya menurun sehingga 18 hingga 25 pelepah. Pelepah sawit meliputi lai daun, dengan setiap satunya mengandungi lamina, racis tengah, petiol dan kelopak pelepah.

Setiap pelepah mempunyai lebih kurang 100 pasang lai daun. Lai daun berukuran 55 sentimeter hingga 65 sentimeter dan menguncup, dengan lebarnya antara 2.5 sentimeter hingga 4 sentimeter. Ada dua jenis bentuk kedudukan lai daun dalam Elaeis oleifera. Pelepah sawit tersusun dalam bentuk pusaran, dengan setiap lapan pelepah membentuk satu pusaran.

Stomata atau rongga terbuka untuk menerima cahaya dalam proses fotosintesis wujud pada permukaan lai daun. Pelepah matang mempunyai duri, dan berukuran hingga 7.5 sentimeter, dengan petiol lebih kurang satu perempat daripada panjang pelepah.

Ladang kelapa sawit di Malaysia.
Ladang kelapa sawit di Malaysia.

Sawit boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis bentuk buah berdasarkan ketebalan tempurung, iaitu dura (tempurung tebal), tenera (tempurung nipis) dan pisifera (tiada tempurung).

Buah tenera menghasilkan minyak yang lebih banyak berbanding buah dura kerana perbezaan ketebalan tempurung. Pisifera adalah buah betina mandul, iaitu bunga betina yang sepatutnya berkembang untuk menjadi buah dan tandan akan gugur sebelum matang. Keadaan ini menyebabkan pisifera tidak mengeluarkan tandan, sebaliknya banyak mengeluarkan bunga jantan. Namun, ada juga segelintir pisifera yang subur.

Program pembiakan di Malaysia dan Indonesia sejak dekad 1920-an terhadap baka dari Deli untuk tujuan komersil telah menjadikannya seragam dan bermutu tinggi. Bahan ini kemudiannya dikenali sebagai dura Deli.

Pembiakan benih sawit

Buah kelapa sawit berlainan kultivar.

Program pembiakan dan pemilihan baka sawit di Malaysia dimulakan oleh :

Program pembiakbakaan sawit adalah berdasarkan kepada objektif-objektif yang berikut:

  • Meningkatkan hasil minyak
  • Meningkatkan kualiti minyak
  • Mengurangkan kadar ketinggian pokok
  • Tahan kepada perosak dan penyakit.

Induk untuk pengeluaran biji benih D x P dipilih berdasarkan hasil tandan dan komponen kualiti tandan dari pokok yang diketahui salasilahnya. Data ukuran vegetatif sering diambil kira ketika pemilihan. Rekod hasil dikumpul bagi tempoh tidak kurang empat tahun berturut-turut. Komponen kualiti tandan seperti peratusan perahan minyak dan hasil isirung ditentukan melalui kaedah 'analisis tandan', dengan 3 - 5 tandan dianalisis bagi setiap pokok. Semua data yang dikumpul berdasarkan pokok individu.

Pemilihan Berulang Salingan (RRS) diamalkan untuk memilih induk, dengan dura dan pisifera dipilih secara berasingan, dan kemudian dikacukkan. Ujian progeni dijalankan untuk menilai keupayaan bergabung induk-induk berkenaan. Misalnya, pisifera AVROS bergabung baik dengan dura Deli untuk menghasilkan buah tandan segar (FFB) yang banyak dan perahan minyak yang tinggi .

Pengeluaran biji benih D x P berpandukan kepada Piawai Malaysia MS157:1997, iaitu Biji Benih Kelapa Sawit Untuk Penanaman Komersil. Hanya D x P bermutu dikeluarkan dan dipasarkan kepada pengguna. Kawalan mutu yang tinggi dipastikan agar tidak berlaku pencemaran ketika mengumpulkan debunga pisifera dan pendebungaannya terkawal pada induk penanti dura.

Pada tahun 2003, dianggarkan 58 juta benih D x P dikeluarkan di Malaysia. Jumlah keluaran pada tahun tersebut meningkat selepas pengurangan permintaan antara tahun-tahun 2000 hingga 2002. Peningkatan ini disebabkan oleh aktiviti penanaman semula.

Industri makanan berasaskan minyak sawit di Malaysia telah mengalami perkembangan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Kawasan tanaman sawit meningkat daripada anggaran satu juta hektar dalam tahun 1980 kepada dua juta hektar dalam tahun 1990, dan hari ini ia berada pada keluasan 3.8 juta hektar, bersamaan dengan lebih 500 juta pokok sawit.

Dari segi penghasilan minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dicatat pada 13.35 juta tan dalam tahun 2003 daripada sejumlah 370 kilang buah sawit di seluruh negara.

Industri ini juga turut terbabit secara meluas dalam aktiviti hiliran, daripada penapisan sehingga kepada penghasilan minyak masak dan oleokimia.

Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil seramai 24 juta orang dan dengan itu, penggunaan minyak sawit secara tempatan adalah agak terhad.

Oleh kerana itu, lebih 90 peratus pengeluaran minyak makan tahunan telah dieksport, menjadikan hasil sawit punca pendapatan tukaran wang asing yang penting untuk negara ini, serta tonggak ekonomi negara.

Nilai eksport minyak sawit pada tahun 2003 berjumlah RM 26.15 bilion ketika harga purata minyak sawit mentah berada pada paras RM 1,544 satu tan. Hari ini, Malaysia menyumbang anggaran 50 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan anggaran 60 peratus daripada jumlah dagangannya.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar keluasan kawasan tanaman minyak sawit yang telah dikatakan ditanam di dalam kawasan hutan tropika, sebenarnya ditanam di kawasan hutan pembalakan, atau ditanam semula di dalam kawasan yang sebelum itu ditanam dengan tanaman lain.

Contohnya, daripada tahun 1990 hingga 2000, ketika kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia meningkat sebanyak 1.4 juta hektar, kegiatan menanam getah, koko dan kelapa masing-masing menurun sebanyak 0.4, 0.3 dan 0.2 juta hektar.

Sejumlah besar keluasan kawasan tanaman ini ditanam semula dengan kelapa sawit kerana ia tanaman yang lebih menguntungkan.

Nilai pelaburan terkini dalam industri minyak sawit Malaysia dianggarkan sekitar RM62 bilion dengan sejumlah besar pembiayaan ini diperoleh dalam negeri.

Peningkatan secara meluas penanaman sawit ini membawa pembangunan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar, dan telah menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar.

Seramai 290,000 pekebun kecil di skim tanah kerajaan serta pekebun kecil persendirian, bergantung sepenuhnya kepada tanaman ini untuk kehidupan harian mereka.

Hasil pendapatan daripada sawit membawa kesan penting dalam mengekalkan kestabilan sosioekonomi golongan ini. Tambahan pula, seramai 180,000 lagi pekerja di ladang sawit dengan jumlah pendapatan dan kebajikan mereka yang lain, adalah penyumbang besar kepada kestabilan politik dan sosio-ekonomi terutamanya ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997-1998.

Potensi minyak sawit

Program penyelidikan berjaya meningkatkan hasil minyak sawit berlipat kali ganda, berbanding hasil daripada pokok liar di Afrika. Sungguhpun wujud progeni dan pokok individu dengan hasil minyak melebihi 12 tan sehektar setahun, namun masih wujud ruang yang luas untuk mencapai potensi hasil maksimum sebanyak 18.2 tan sehektar setahun.

Hasil tandan dan perahan minyak dura Deli serta kacukan dengan pisifera, terutama dengan baka AVROS, adalah unggul dan digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman di seluruh dunia. Sungguhpun hasil buah tandan segar (FFB) daripada bahan D x P tidak meningkat dengan ketara berbanding bahan dura, namun hasil minyak telah dimajukan daripada 3.7 tan sehektar setahun (dura) kepada 6.3 tan sehektar setahun (D x P).

Kelapa sawit adalah salah satu komoditi pertanian utama bagi negara Malaysia yang perkembangannya demikian pesat. Selain pengeluaran minyak kelapa sawit yang tinggi, hasil sampingan juga tinggi.

Secara umum, hasil dari industri kelapa sawit terdiri daripada tiga jenis, iaitu minyak cair, padat dan gas. Minyak kelapa sawit berasal dari unit proses pengukusan (pensterilan), proses pembersihan, dan buangan dari hidrosiklon.

Pada umumnya, minyak industri kelapa sawit mengandungi bahan organik yang tinggi sehingga berpotensi mencemari air tanah, dan sungai serta laut. Minyak likat kelapa sawit dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

  • Likat yang berasal daripada proses pengolahan: Limbah padat ini berupa Tandan Kosong Kelapa Sawit, cangkang atau tempurung, serabut atau serat, enap cemar atau lumpur, dan bungkil. TKKS dan lumpur yang tidak tertangani menyebabkan bau busuk, tempat bersarangnya serangga dan lalat dan berpotensi menghasilkan bahan larut lesap.
  • Likat yang berasal daripada pengolahan minyak cair: Limbah padat ini berupa lumpur aktif yang terbawa oleh hasil pengolahan air limbah.

Kesimpulan daripada penelitian ini adalah sebagai berikut:

  1. Ditinjau dari segi kematangan kompos (seperti nisbah C/N, profil suhu, penyusutan isi padu dan penampilan fizikal kompos), kecepatan proses pengkomposan TKKS dengan penambahan dan tanpa penambahan pengaktif (OrgaDec, Biostar dan EM4) adalah lebih kurang sama tempohnya, iaitu sekitar 13 minggu.
  2. Keperluan air untuk proses pengkomposan TKKS berkisar antara 1.7 - 2.3 m³.
  3. Kandungan unsur hara kompos sekitar 0.4 % N, 0.029 - 0.05 % P2O5, dan 0.15 - 0.2 % K2O.

Penyakit

Penyakit berkaitan kelapa sawit dikaitkan dengan serangga perosak daun sawit seperti ulat bungkus dan beluncas.

Serangga perosak

Ulat bungkus ataupun beluncas yang banyak akan memakan daun sawit dengan begitu hebat sekali, sehingga menyebabkan daun tinggal bahagian lidinya saja.

Pokok sawit akan kehilangan permukaan daun untuk melakukan proses fotosintesis bagi tujuan menghasilkan buah. Hasil akan merosot sebanyak 40 peratus bagi tempoh 2 tahun berikutnya.

Biasanya keluasan tanaman sawit yang diserang adalah agak luas dan kadangkala membabitkan beberapa buah ladang yang berhampiran atau bersebelahan.

Bilangan ulat bungkus yang melebihi 10 ekor larva hidup dan memakan daun bagi setiap pelepah sudah dianggap melebihi ‘paras ambang’ dan perlu dikawal dengan menggunakan racun serangga. Cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan peringkat serangga berkembang lebih cepat daripada biasa. Ini akan menyebabkan serangga perosak ini mencapai peringkat dewasa dengan lebih cepat dan akhirnya mengawan, bertelur dan seterusnya meningkatkan populasinya.

Ulat bungkus ataupun beluncas mempunyai musuh semula jadi tertentu seperti serangga parasitoid atau pemangsa. Musuh semula jadi seperti inilah yang sentiasa mengawal populasinya di bawah paras ambang. Sekiranya populasi musuh semula jadi adalah amat rendah, keupayaan perosak untuk meningkatkan bilangannya amat tinggi.

Serangga parasitoid adalah jenis penyengat halus, yang hidup dengan cara bertelur di dalam badan serangga perosak tadi. Larvanya akan memakan tisu dalaman badan perosak tadi dan akhirnya membunuh perosak berkenaan. Serangga pemangsa pula adalah serangga lain yang bertindak dengan cara memakan atau menghisap cairan tubuh serangga perosak tersebut, sekali gus akan membunuhnya. Selain serangga, musuh semula jadi lain membabitkan daripada jenis mikrob seperti kulat, bakteria ataupun virus. Kewujudan mikrob ini juga bergantung kepada faktor cuaca. Biasanya mikrob akan lebih cepat merebak dalam keadaan cuaca yang lembap.

Serangga parasitoid dan pemangsa memerlukan tempat perlindungan dan sumber makanan. Serangga parasitoid memerlukan nektar ataupun madu untuk melanjutkan tempoh hidupnya.

Di dalam persekitaran ladang sawit, wujud pelbagai jenis tanaman bermanfaat yang mengeluarkan nektar sepert Cassia cobanensis, Euphorbia hetrophylla dan Antigonon leptopus.

Penggunaan racun hanya dilakukan bila perlu saja. Pastikan ia pergi tepat ke sasaran (daun sawit) dan bukan ke kawasan persekitaran di mana terdapat kebanyakan musuh semula jadi. Perbuatan ini akan menurunkan bilangan musuh semula jadi dan sekali gus meningkatkan risiko berlakunya serangan merebak

Penanaman

Kelapa sawit boleh hidup di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Ia boleh hidup dengan pelbagai jenis tanah dari tanah gambut sehinggalah tanah mineral dengan pH diantara 4-7.5. Kelapa sawit selalunya dibeli dari nurseri kerana ingin menjamin kualiti anak pokok semasa penanaman. Untuk 3 tahun pertama penanaman, air adalah penting bagi pokok kelapa sawit. Keperluan baja bagi kelapa sawit ialah 120 kg N, 100 kg P2O5, 300 kg K2O dan 50 kg MgO per ha/tahun.Ralat petik: Tag <ref> tidak ditutup dengan </ref>

Pencemaran alam sekitar oleh kilang sawit

Dalam tahun 2002, sejumlah 68 buah kilang memproses kelapa sawit mentah telah dilesenkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Daripada 68 buah kilang kelapa sawit di Johor , sebanyak 34 premis telah diberikan lesen untuk melepaskan air buangan ke alurair dan 34 untuk pelupusan ke atas tanah.

Sebagai insentif bagi kilang-kilang yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun-tahun lepas, Jabatan Alam Sekitar telah memberi tempoh lesen 2 tahun kepada 10 buah kilang. Antara premis yang layak mendapat insentif tersebut adalah seperti berikut:

Lesen 2 tahun (2002-2004)

  • Kilang Kelapa Sawit Air Item, Kluang
  • Kilang Kelapa Sawit CEP Rengam, Kluang
  • Kilang Kelapa Sawit Chan Wing, Kluang
  • Kilang Kelapa Sawit Coronation, Kota Tinggi
  • Kilang Kelapa Sawit FELDA Adela, Kota Tinggi
  • Kilang Kelapa Sawit FELDA Simpang Wa Ha, Kota Tinggi
  • Kilang Kelapa Sawit Nordanal, Muar
  • Kilang Kelapa Sawiit Sedenak, Kulai
  • Kilang Kelapa Sawit Tai Tak, Kota Tinggi
  • Kilang Kelapa Sawit Ulu Remis, Kluang

Tahun 2002, 41 buah (59%) premis kilang kelapa sawit berjaya mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah) 1977. Dalam tahun 2002, sebanyak 16 arahan, 28 Notis dan 3 kompaun telah dikeluarkan kerana kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Seluruh dunia sedang memerhatikan kepatuhan pihak industri kepada standard alam sekitar. Untung sekali, penanaman sawit memang sedia bersifat mesra alam. R&D cara mengatasi pencemaran sawit menunjukkan :

  1. Tanaman sawit Malaysia mengetengahkan kecekapan tenaga dan produktiviti tinggi minyak sawit berbanding lain-lain tanaman minyak makan lain dari segi nilai ‘input-output’
  2. Dari segi perbandingan fisiologi antara pokok sawit dan kawasan hutan menunjukkan bahawa pokok sawit memainkan peranan penting dalam membaikpulih kawasan pembalakan, serta dapat memenuhi pelbagai fungsi kawasan hutan.
  3. Undang-Undang dan Pengkuatkuasaan

Malaysia tidak kekurangan peraturan yang mengawal selia industri minyak sawitnya.Kepatuhan dan penguat kuasaan peraturan terutamanya Akta Kualiti Alam Sekitar 1974

  1. Akta Racun Perosak 1974 dan Arahan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) 1987 menghasilkan sebuah industri yang telah menepati banyak peraturan dalam usaha meminimumkan pencemaran, atau menghindari bencana, kepada alam sekitar.
  2. Ciri pokok sawit itu sendiri yang bersifat kekal, boleh dikatakan secara semula jadi sangat sesuai untuk amalan pengurusan yang menggalakkan pertanian berkekalan.
  3. Pengurusan alam sekitar yang efektif.
  4. Penggunaan bahan buangan atau bahan sampingan, seperti tandan kosong (EFB)
  5. Efluen kilang sawit yang dirawat (POME) sebagai baja organik, adalah amalan industri ini.
  6. Teknologi buangan sifar, di mana EFB dan POME digabungkan dalam pengeluaran kompos bernilai.
  7. Teknik pembakaran sifar semasa penyediaan ladang untuk ditanam semula.
  8. Amalan pemulihan tanah merangkumi penyediaan jalan, membina teres dan pembinaan lubang dan ‘bunds’ tanah, penanaman tanaman kacang penutup bumi dan pengurusan perosak bersepadu.

Pengalaman Malaysia mengawal efluen dalam industri sawit telah menunjukkan bahawa satu polisi alam sekitar yang baik sangat berkesan untuk mengawal pencemaran perindustrian di negara membangun.

Usaha kerajaan Malaysia untuk mengurangkan efluen dari kilang buah dan kilang penapis sawit telah dilaksana melalui satu sistem pelesenan merangkumi standard dan fee efluen. Standard efluen yang sentiasa diperketatkan telah diperkenalkan dalam peraturan kualiti alam sekitar dan dilaksana secara berperingkat.

Kilang buah sawit dikehendaki mengurangkan kadar pembuangan air kumbahan (dengan menggunapakai konsentrasi ‘Biological Oxygen Demand’ (BOD) sebagai pengukur utama) dari 25,000 mg/l efluen tidak dirawat kepada 5,000 mg/l dalam tahun 1978/79 dan 500 mg/l menjelang tahun 1981, dan akhirnya turun kepada 100 mg/l daripada tahun 1984 dan tahun seterusnya.

Di samping standard ini, fe efluen dikenakan ke atas kandungan BOD yang dikeluarkan.Industri minyak sawit telah mengalami progres berterusan ke arah mencapai sasaran BOD 100 mg/l.

Dalam sektor pemprosesan sawit, di mana keprihatinan utama alam sekitar seperti penghasilan efluen dan pengeluaran asap menjadi fokus, kini terdapat pertukaran paradigma dalam cara untuk menghadapi isu ini.

Seandainya dulu, pendekatan ‘end-of-the pipe’ digunakan untuk memastikan pematuhan kepada peraturan alam sekitar, kini ia bertukar kepada pengurusan ‘in-the-pipe’. Terkini, sembilan buah kilang buah sawit di Malaysia telah melaksanakan ISO 14001 Sistem Pengurusan Alam Sekitar.

Anugerah yang diterima

Pelbagai anugerah telah diterima oleh penyelidik MPOB. Senarai anugerah yang diterima ialah :

  1. Rekacipta teknologi yang memenangi pingat emas bertajuk “Palm based additives to improve lubricity of ultra low sulfur diesel” oleh Dr. Choo Yuen May
  2. " An innovative natural polyol for 2K PU coatings” oleh Kumpulan Dr Hazimah Abu Hassan, Hoong Seng Soi, Mohd Norhisham Sattar dan Tuan Noor Maznee Tuan Ismail
  3. “ Cream Alternative from palm oil based fats” oleh Wan Rosnani Awang Isa.
  4. “Development of oil palm harvesting machine” oleh Abd Rahim Shuib
  5. “Hand-held Mechanical Cutter” oleh Abd Razak Jelani
  6. “A trap for auto dissemination of microbial pathogens for control of palm rhinoceros” oleh Ramlee Moslim
  7. “Food grade grease” oleh Dr Yeong Shoot Kian
  8. Rekacipta “Sprayable Cooking Oil” oleh Dr Muhammad Nor Omar.
  9. Dr Mohd Hanif Harun melalui rekacipta “Root auger for peat area”
  10. Dr Zahariah Ismail “The use of dihydroxystearic acid (DHSA) as coating material in color cosmetic and gelling properties in deodorant stick applications”
  11. Dr Nor Aini Idris “Production and utilization of palm based mayonnaise”
  12. Pn Rosnah Mat Som dengan teknologi “Carboxymethylce llulose from Oil Palm biomass”.

Anugerah pekebun kelapa sawit terbaik

Hasil purata sebanyak 31.24 tan metrik/hektar bagi tahun 2003, Basiran Usop yang mengusahakan kebun sawit seluas 4.4 hektar telah diiktiraf sebagai Pekebun Kecil Sawit Terbaik Anugerah Industri Sawit Malaysia 2003 peringkat Semenanjung.

Beliau turut mengamalkan integrasi ladang dengan menternak 150 ekor lembu dan mengusahakan tanaman kontan lain seperti ubi kayu, keledek dan sayur-sayuran.

Anugerah kilang sawit terbaik

Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, Pahang telah mencipta satu mesin yang dipanggil uncracked nut separator bagi mengatasi masalah kekotoran isirong dalam pengeluaran isirong kelapa sawit yang telah diproses.

Melalui mesin ini, isirong yang tidak dapat dipecah akan ditapis dan diasingkan bersama dengan kekotoran lain dan dikeluarkan melalui penghantar. Pengasingan isirong yang tidak dapat dipecah ini dapat dijalankan kerana mesin ini mengandungi rod-rod yang mempunyai jarak-jarak tertentu.

Kadar kekotoran dapat dikawal pada had yang lebih rendah iaitu enam peratus berbanding lapan peratus sebelum ini.

Melalui penggunaan mesin ini, tuntutan penalti ke atas isirong yang kadar kekotorannya melebihi enam peratus telah dapat diturunkan kepada RM22,586 pada tahun 1998 berbanding RM139,813 pada tahun 1994.

Masa bagi mengasing dan mengitar semula isirong yang ditolak juga dapat dijimatkan kerana kandungan kotoran telah berkurangan.

Kilang sawit contoh

Kilang Sawit POMTEC yang pertama didirikan di negara Malaysia ini menggunakan teknologi dan inovasi pengilangan moden telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan pada 30 November 2005 di Labu, Negeri Sembilan.

Kilang sawit POMTEC dibina pada tahun 2000 membabitkan kos RM23 juta dengan kapasiti pengilangan 20 tan sejam.

Ia adalah hasil usaha sama MPOB dan Kumpulan Guthrie Berhad untuk tujuan menjalankan penyelidikan dalam aspek pengilangan dan pemprosesan buah sawit secara menyeluruh.

Kumpulan Guthrie Berhad bertanggungjawab menguruskan operasi pengilangan harian, manakala MPOB menumpukan aspek penyelidikan pengilangan buah sawit selain berkongsi kepakaran pembinaan model baru kilang dan lain-lain yang berkaitan.

POMTEC dilengkapi teknologi dan inovasi pengilangan moden yang berbeza dengan operasi kilang konvensional. Teknologi moden yang diperkenalkan meliputi Teknologi Pembuangan Benda Asing (Trash Removal), Pensterilan Berterusan (Continuous Sterilization), Automasi Keseluruhan Kilang (Plant-Wide Automation) dan Teknologi Dandang Baru (New Boiler Technology).

POMTEC juga adalah kilang sawit integrasi yang menempatkan dua loji rintis, iaitu Loji Rintis Fenolik dan Loji Rintis Pemprosesan Tandan Kosong bagi pengeluaran produk berasaskan sawit yang bernilai tinggi.

Sehingga kini, lapan kilang sawit sudah menggunapakai teknologi pensterilan berterusan, manakala 11 kilang baru dalam proses pembinaan.

Ciri reka bentuk baru POMTEC yang berkonsepkan integrasi dengan Loji Rintis Fenolik dan Loji Rintis Pemprosesan Tandan Kosong bagi pengeluaran produk berasaskan sawit di bawah satu bumbung, sementara produk produk yang dihasilkan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Loji Rintis Fenolik dibina dengan kos RM4.9 juta, memproses bahan buangan larut air kilang sawit dengan menghasilkan produk anti-oksida. Antara produk di hasilkan ialah flavonoids, polyphenols dan asid phenolic.

Loji Pemprosesan Tandan Kosong pula berfungsi memproses dan mendapatkan semula baki minyak yang ada pada tandan kosong. Proses ini akan meningkatkan kadar perolehan minyak dalam setiap pemprosesan buah sawit. Bahan serat tandan kosong yang di hasilkan akan digunakan sebagai bahan asas pembuatan papan gentian dan papan partikel bagi pembuatan perabot. Dalam operasi kilang konvensional, tandan kosong sawit digunakan sebagai sungkupan di ladang atau bahan api dandang untuk penghasilan tenaga kilang

Kesimpulan

Industri minyak sawit adalah satu cerita kejayaan Malaysia. Transformasi ekonomi Malaysia daripada negara pengeluar komoditi utama berasaskan pertanian kepada negara pengeluar moden bagi barangan makanan tambah nilai, adalah selaras dengan polisi penswastaan Malaysia dan juga adalah asas kepada polisi pembangunan kerajaan seperti yang termaktub dalam Visi 2020.

Dengan mengguna pakai biji benih daripada negara luar dan memperbaiki kaedah penanamannya agar bersesuaian dengan keadaan tempatan, Malaysia kini memiliki sebuah industri bertaraf dunia.

Ia adalah hasil visi dan perjuangan ramai pengusaha, baik pada peringkat kerajaan mahupun sektor swasta, yang mempeloporinya dengan polisi strategik termasuk mengadakan dan melaksanakan polisi pengurusan alam sekitar.

Seperti yang ditonjolkan oleh pihak industri hari ini, ia telah berkembang mengikut masa untuk menjadi lebih secocok dengan alam sekitar. Tanpa sangsi, pihak industri memang memiliki praktik pengurusan yang terbaik bagi menggalakkan pertanian yang berkekalan.

Sebalik semuanya ini, yang nyata industri minyak sawit di Malaysia masih belum berpuas hati dengan rekod pengurusan alam sekitar sedia ada yang menitikberatkan sistem pengurusan kumbahan secara agronomik dan ‘di hujung paip’.

Pihak industri bertekad untuk berubah, serta komited bagi memasuki satu era pengurusan alam sekitar yang baru.Ia tampak lebih nyata dalam keadaan agenda dunia yang lebih meluas ke arah pembangunan berkekalan.

Dengan 90 peratus daripada hasil minyak sawit Malaysia diurusniagakan di pasaran antarabangsa, pertimbangan ke atas tiga perkara utama merangkumi ekonomi, sosial dan alam sekitar, menyerlahkan polisi pihak industri yang menyokong pengeluaran serta pengagihan berterusan, secara ekonomi dan mesra alam, bekalan makan yang selamat dan mudah diperoleh kepada penduduk dunia yang semakin bertambah.

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar


  1. Lembaga Minyak Sawit Malaysia
  2. Soalan Kelapa Sawit
  3. World Wildlife Fun
  4. Sime Darby Plantation
  5. Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA)
  6. Harga Minyak Sawit Semasa
  7. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)
  8. Rangkaian Neural Dalam Peramalan Harga Minyak Kelapa Sawit