Nokia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Untuk bandar Finland, sila lihat Nokia, Finland.
Perbadanan Nokia
Jenis Syarikat awamOyj
(OMX: NOK1V, NYSE: NOK, Xetra: NOA3)
Industri Telekomunikasi
Internet
Perisian komputer
Ditubuhkan Nokia, Finland (1865)
Ibu pejabat Espoo, Finland
Perancang utama Jorma Ollila (Pengerusi)
Olli-Pekka Kallasvuo (Presiden & CEO)
Richard A. Simonson (CFO)
Mary T. McDowell (CDO)
Produk Telefon bimbit
Telefon pintar
Komputer bimbit
Rangkaian
(Sila lihat senarai produk)
Hasil 50.722 bn (2008)[1][2]
Pendapatan bersih €4.639 bilion (2005)
Jumlah aset €39.582 bn (2008)
Jumlah ekuiti €16.510 bn (2008)
Pekerja 123,347 dalam 120 negara (September 30, 2009)[3]
Pembahagian Devices
Perkhidmatan
Pasaran
Laman web www.nokia.com
Ibu pejabat Nokia di Keilaniemi, Espoo.
Pemandangan lebih dekat ibu pejabat Nokia.

Perbadanan Nokia (NYSE: NOK) ialah pengeluar telefon bimbit yang terbesar di dunia (pada Jun 2006), dengan bahagian pasaran sejagat sebanyak lebih kurang 33% pada tahun 2006. Syarikat ini mengeluarkan telefon bimbit untuk setiap pasaran dan protokol utama, termasuk GSM, CDMA, dan WCDMA (UMTS).

Perbadanan Nokia juga mengeluarkan kelengkapan rangkaian telekomunikasi untuk kegunaan-kegunaan seperti telefoni suara talian tetap dan bimbit, ISDN, capaian jalur lebar, suara melalui IP, dan LAN wayarles.

Ibu pejabat Nokia terletak di Espoo, sebuah subbandar Helsinki, Finland, tetapi syarikat ini juga mempunyai tapak-tapak penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran, dan perwakilan jualan di banyak negara di seluruh dunia. Pusat Penyelidikan Nokia yang merupakan makmal-makmal penyelidikan perindustrian mempunyai banyak tapak di Helsinki dan di Cambridge, MA, Amerika Syarikat.

Nokia ialah syarikat Finland yang terbesar, dengan lebih kurang separuh daripada pemodalan pasaran Bursa Saham Helsinki. Ini adalah satu keadaan yang amat unik bagi sebuah negara perindustrian. Nokia juga memainkan peranan yang amat besar dalam ekonomi Finland, dan penduduk-penduduk Finland telah banyak kali menempatkan syarikat ini sebagai jenama dan majikan yang terbaik.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bengkel Getah Finland (Finnish Rubber Works), nama asal Nokia, telah ditubuhkan sebagai sebuah kilang pulpa oleh Knut Fredrik Idestam, seorang Sweden-Finland, di tebing Jeram Nokia pada tahun 1865. Firma ini kemudian menubuhkan kilang-kilangnya di tempat yang berhampiran pada permulaan abad ke-20, dan memulakan penggunaan nama Nokia sebagai jenama. Tidak lama selepas Perang Dunia I, Bengkel Getah Finland memperoleh kilang-kilang kayu Nokia bersama-sama dengan Bengkel Kabel Finland (Finnish Cable Works), sebuah pengeluar kabel telefon serta telegraf, dan kemudian menggabungkan ketiga-tiga syarikat ini menjadi Perbadanan Nokia pada tahun 1967.

Perbadanan Nokia yang ditubuhkan oleh penggabungan 1967 melibatkan diri dalam banyak sektor, termasuk pengeluaran produk-produk kertas pada satu masa atau yang lain, basikal dan tayar kereta, kasut (termasuk but wellington), komputer peribadi, kabel komunikasi, dan televisyen, serta pengeluaran elektrik, dan sebagainya.

Bibit-bibit penjelmaan semula Nokia disemai oleh penubuhan seksyen elektronik dalam Bahagian Kabelnya pada dekad 1960-an. Dalam penggabungan 1967, bahagian itu diasingkan untuk dijadikan satu bahagian tersendiri, dan memulakan pengeluaran kelengkapan telekomunikasi.

Pada dekad 1970-an, Nokia melibatkan diri dalam industri telekomunikasi dengan perkembangan Nokia DX 200, sejenis suis digit untuk ibu sawat telefon. Pada tahun 1982, suis DX 200 Nokia menjadi suis telefon digit yang pertama digunakan di dunia, dan kemudian dijadikan hamba bahagian kelengkapan rangkaian. Seni bina bermodul dan fleksibel membolehkannya untuk diperkembangkan menjadi berbagai-bagai produk pensuisan.

Untuk satu tempoh yang singkat pada dekad 1970-an, pengeluaran kelengkapan rangkaian Nokia diasingkan menjadi Telefenno, sebuah syarikat usaha sama yang dimiliki bersama-sama oleh syarikat induknya dan sebuah syarikat kerajaan Finland.

Pada dekad 1980-an, Nokia mengeluarkan satu siri komputer peribadi yang dinamakan MikroMikko [4]. Bagaimanapun, bahagian ini dijual kepada ICL yang kemudiannya menjadi sebahagian Fujitsu. ICL kemudian memindahkan operasi komputer peribadinya kepada Fujitsu-Siemens AG yang menutup kilang yang tunggal ini di Finland pada sekitar tahun 2000 dan dengan itu, menamatkan pengeluaran komputer peribadi berskala besar di negara itu.

Pesanan pertama yang utama untuk telefon bimbit Nokia datangnya daripada angkatan pertahanan Finland untuk radio lapangan mereka pada tahun 1972. Pada dekad 1970-an, Nokia memulakan perkembangan telefon bimbit untuk piawai rangkaian NMT yang memulakan siarannya pada dekad 1980-an. NMT merupakan piawai telefoni mudah alih yang pertama di dunia yang membolehkan perantauan, dan memberikan pengalaman yang amat bernilai kepada Nokia melalui penyertaannya yang rapat dalam perkembangan Sistem Sejagat untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM). GSM ialah piawai digit yang telah menguasai dunia telefoni mudah alih pada dekad 1980-an dan 1990-an, dengan lebih kurang dua bilion pelanggan telefon bimbit (lebih kurang 80% daripada seluruh pelanggan di dunia) di melebihi 200 negara pada pertengahan 2006. Panggilan GSM perdagangan yang pertama di dunia dibuat dengan telefon Nokia pada tahun 1991 di Helsinki melalui rangkaian yang dibekalkan oleh Nokia.

Pada tahun 1980-an, semasa zaman Ketua Pegawai Eksekutif Kari Kairamo, Nokia berkembang dengan pesat ke dalam bidang-bidang baru, kebanyakannya melalui perolehan. Perbadanan ini kemudian mengalami masalah kewangan yang teruk pada akhir dekad 1980-an dan awal 1990-an disebabkan sebahagian besar oleh bahagian televisyennya yang mengalami kerugian yang amat besar. Masalah-masalah ini mungkin menyebabkan Kairamo membunuh diri pada tahun 1988). Nokia bertindak dengan memperkemas bahagian-bahagian telekomunikasi, serta menjual bahagian-bahagian televisyen dan komputer peribadinya. Jorma Ollila yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1992 membuat keputusan strategik untuk menumpukan kegiatan syarikat hanya kepada telekomunikasi dan pada sepanjang dekad 1990-an, Nokia meneruskan pembuangan semua bahagian bukan telekomunikasi.

Kepopularan telefon bimbit yang meletus di seluruh dunia melampaui semua ramalan optimistik Nokia dan mencetuskan satu krisis logistik pada pertengahan dekad 1990-an. Ini menyebabkan Nokia membaik pulih seluruh operasi logistiknya dan disebabkan usaha-usaha yang amat berjaya ini, terus memberikan Nokia satu kelebihan yang utama terhadap pesaing-pesaingnya, bersama-sama dengan ekonomi skalanya yang lebih besar.

Pada tahun 2004, masalah-masalah dalam bahagian kelengkapan rangkaian memaksakan Perbadanan Nokia untuk mencari jalan keluar melalui amalan-amalan membaik pulih yang serupa dengan operasi logistiknya, dengan pemberhentian kerja sementara dan penyusunan semula organisasinya. Bagaimanapun, ini menyebabkan imej awamnya terjejas di Finland, dan mengakibatkan beberapa kes-kes mahkamah bersama-sama dengan satu episod kritikal dalam satu dokumentari mengenai Nokia. [5].

Walaupun sekali sekala mengalami krisis-krisis seperti ini, Nokia telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang yang dipilihnya. Pertumbuhan ini datang semasa era Jorma Ollila serta pasukannya yang terdiri daripada lebih kurang setengah dozen rakan sekerjanya yang rapat. Pada Jun 2006, era in berakhir ketika Ollila meninggalkan kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk menjawat pengerusi Shell, dengan Olli-Pekka Kallasvuo mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nokia yang baru.

Pada Februari 2006, Nokia dan Sanyo mengumumkan Memorandum Persefahaman untuk menubuhkan sebuah usaha sama bagi perniagaan gagang CDMA. Beberapa bulan kemudian pada Jun, kedua-dua syarikat mengumumkan keakhiran perundingan mereka tanpa sebarang persetujuan. Nokia juga menyatakan keputusannya untuk menarik diri daripada penyelidikan dan pembangunan CDMA dengan tujuan untuk meneruskan perniagaan CDMA hanya dalam pasaran-pasaran pilihan.

Pada 19 Jun 2006, Nokia dan Siemens AG mengumumkan penggabungan perniagaan-perniagaan kelengkapan rangkaian telefon mudah alih dan talian tetap mereka untuk menjadi salah satu firma rangkaian yang terbesar di dunia. Kedua-dua syarikat akan masing-masing mempunyai kepentingan sebanyak 50% dalam syarikat infrastruktur ini yang digelarkan Rangkaian Nokia Siemens dan yang beribu pejabat di kawasan Helsinki. Kedua-dua syarikat ini meramalkan jualan tahunan sebanyak 16 bilion euro, dengan jimat kos sebanyak 1.5 bilion setahun menjelang 2010. Lebih kurang 20,000 pekerja Nokia akan ditukarkan ke syarikat baru ini.

Budaya korporat[sunting | sunting sumber]

Manifesto budaya korporat rasmi Nokia, Cara Nokia, menekankan kepantasan dan kefleksibelan dalam membuat keputusan melalui sebuah organisasi rangkaian yang tidak banyak berperingkat. Walaupun bertujuan sedemikian, saiz perbadanannya masih mengenakan sedikit sebanyak birokrasi. Kesamaan peluang dan keterbukaan komunikasi juga ditekankan, bersama-sama dengan kepimpinan pengurusan serta penyertaan pekerja.

Nokia ialah sebuah kumpulan teknologi mudah alih yang progresif dan berpandangan jauh. Syarikat ini membelanjakan sebahagian besar pusing gantinya untuk penyelidikan dan pembangunan, dan berbangga dengan fakta bahawa syarikat ini sering merupakan syarikat yang pertama untuk memasarkan produk dan aplikasi baru.

Bahasa rasmi Nokia ialah bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris digunakan untuk semua pendokumenan, dan digunakan untuk komunikasi bertutur serta emel antara rakan sekerja ketika bahasa ini merupakan bahasa sama yang tunggal.

Nilai-nilai Nokia ialah "Kepuasan Pelanggan, Rasa Hormat, Pencapaian, dan Pembaharuan".

Mutu keluaran[sunting | sunting sumber]

Which?, sebuah kumpulan pengguna United Kingdom, menerbitkan sebuah laporan yang mengatakan bahawa 70% daripada pengguna-penguna Nokia berpendapat bahawa produk-produk syarikat ini mempunyai mutu keluaran yang tinggi, tetapi tingkat perkhidmatan pelanggannya tidaklah memuaskan apabila pengguna menghadapi masalah, terutamanya produk-produk yang memerlukan pemasangan perisian komputer (seperti produk-produk kabel penyambung telefon dengan komputer peribadi). [1]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. "Nokia − Annual Information 2008". Nokia Corporation. 2009-01-22. http://www.nokia.com/A4126495. Capaian 2009-01-22. 
  2. "Form 20-F 2008" (PDF). Nokia Corporation. 2009-03-05. http://nokia.com/NOKIA_COM_1/About_Nokia/Financials/form20-f_08.pdf. Capaian 2009-03-21. 
  3. "Q3 2009: Quarterly and annual information". Nokia Corporation. 2009-10-15. http://www.nokia.com/about-nokia/financials/quarterly-and-annual-information/q3-2009. Capaian 2009-10-15. 
  4. Old-Computers.com - Nokia Mikro Mikko 1
  5. YLE.fi - Peraturan-peraturan Nokia

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]