Alex Ferguson

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari


Sir Alex Ferguson
Ferguson di Old Trafford
Maklumat peribadi
Nama penuh Sir Alexander Chapman Ferguson[1]
Tarikh lahir 31 Disember 1941 (72 tahun)
Tempat lahir Glasgow, Scotland
Posisi permainan Penyerang
Maklumat kelab
Kelab terkini Manchester United (pengurus)
Kerjaya senior*
Tahun Pasukan Kmncln (Gol)
1957–1960 Queen's Park 31 (15)
1960–1964 St. Johnstone 37 (19)
1964–1967 Dunfermline Athletic 89 (66)
1967–1969 Rangers 41 (25)
1969–1973 Falkirk 95 (36)
1973–1974 Ayr United 24 (9)
Total 317 (170)
Pasukan kebangsaan
1967 Scottish League XI[2] 2 (1)
1967 Scotland XI[3] 7 (9)
Pasukan diurus
1974 East Stirlingshire
1974–1978 St. Mirren
1978–1986 Aberdeen
1985–1986 Scotland
1986– Manchester United
* Kemunculan kelab senior dan gol dikira untuk liga tempatan sahaja .
† Kemunculan (Gol).

Sir Alexander Chapman Ferguson CBE (lahir 31 Disember 1941 di Govan, Glasgow) ialah seorang pengurus dan bekas pemain bola sepak berasal dari Scotland. Beliau kini menjadi pengurus Manchester United sejak 1986. Beliau telah memenangi lebih banyak trofi daripada pengurus lain dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Dalam 22 tahun kerjayanya bersama United, Ferguson adalah pengurus kedua yang paling lama menguruskan United selepas Sir Matt Busby, dan pada ketika ini, beliau merupakan pengurus yang paling lama menguruskan sebuah pasukan di antara semua pengurus dalam Liga Perdana Inggeris. Sepanjang tempoh itu, Ferguson telah memenangi banyak anugerah dan rekod, termasuk memenangi anugerah Pengurus Terbaik Tahunan terbanyak dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Merupakan anak kepada Alexander Beaton Ferguson, seorang pekerja di industri perkapalan, Ferguson menetap di Wilmslow, Cheshire bersama-sama isterinya Cathy yang dikahwini beliau pada 1966. Pasangan itu mempunyai tiga orang anak, Mark (lahir pada 1968) dan dua orang kembar (lahir pada 1972) iaitu Darren dan Jason. Darren pada ketika ini menjadi pengurus di Peterborough United.

Karier sebagai pemain[sunting | sunting sumber]

Beliau bermula sebagai pemain amatur dengan kelab Queen's Park, yang mana beliau membuat kemunculan pertama sebagai penyerang pada usia 16 tahun. Menyifatkan perlawanan pertamanya sebagai 'mimpi ngeri', bagaimanapun beliau menjaringkan gol tunggal kelabnya dalam kekalahan 2-1 kepada Stranraer.

Walaupun berjaya menjaringkan 20 gol daripada 31 penampilannya bersama Queen's Park, Ferguson gagal memecah masuk ke kesebelasan utama dan kemudiannya berhijrah ke St. Johnstone pada 1960. Walaupun beliau meneruskan rentak jaringan bersama St. Johnstone, beliau masih gagal memasuki kesebelasan utama dan menyebabkannya kerap kali memohon untuk berpindah kelab. Walaupun nyata beliau bukan pilihan utama di kelab tersebut, kegagalan St. Johnstone mendapatkan penyerang baru memaksa pengurus pasukan meletakkan Ferguson dalam perlawanan menentang Rangers, yang mana beliau menjaringkan hatrik untuk mengejutkan Rangers. Pada musim panas seterusnya, Ferguson berhijrah ke Dunfermline, dan menjadi pemain profesional sepenuh masa.

Musim 1964-65,, Dunfermline menjadi pencabar utama dalam Liga Scotland dan mara ke perlawanan akhir Piala Scotland, namun Ferguson digugurkan daripada bermain di final setelah prestasi buruk menentang St. Johnstone pada perlawanan liga sebelumnya. Dunfermline tewas 3-2 dalam aksi final kepada Celtic, dan mereka juga gagal memenangi liga dengan perbezaan hanya satu mata.

Musim 1965-66, Ferguson menjaringkan 45 gol daripada 51 perlawanan buat Dunfermline dan bersama-sama pemain Celtic, Joe McBride, dia menjadi penjaring terbanyak liga ketika itu dengan 31 gol.

Pada tahun 1967, Ferguson menyertai Rangers dengan yuran perpindahan yang pada ketika itu memecah rekod Scotland, £65,000. Beliau kemudiannya dipersalahkan selepas Rangers dibolosi gol pada final Piala Scotland 1969, dan beliau dipaksa bermain bersama-sama pasukan junior kelab. Menurut abangnya, Ferguson berasa amat berang dengan peristiwa itu dan membuang pingat naib juara yang diperolehinya. Malah, beliau juga dikatakan didiskriminasi di Rangers setelah perkahwinannya dengan Cathy, yang bermazhab Katolik. Namun Ferguson kemudiannya menulis dalam autobiografinya yang menyatakan bahawa Rangers mengetahui tentang mazhab yang dianuti isterinya semasa beliau menyertai kelab tersebut, dan Ferguson meninggalkan kelab itu dengan rasa berat hati berikutan konflik yang terjadi semasa final Piala Scotland tersebut.

Oktober seterusnya, Ferguson menerima tawaran daripada Nottingham Forest di England untuk menyertai pasukan itu, namun Cathy enggan berpindah ke England pada ketika itu. Ferguson menyertai Falkirk kemudiannya, dan diberi tugas sebagai pemain merangkap jurulatih. Namun apabila John Prentice menjadi pengurus pasukan, beliau menyingkirkan tugas Ferguson selaku jurulatih. Sebagai langkah tindak balas, Ferguson memohon perpindahan ke Ayr United, di mana beliau menamatkan kariernya pada 1974.

Karier pengurusan awal[sunting | sunting sumber]

East Stirlingshire[sunting | sunting sumber]

Pada Jun 1974, Ferguson dilantik sebagai pengurus bagi East Stirlingshire pada usia yang agak muda, 32 tahun. Tugas itu merupakan kerja sambilan yang mana beliau dibayar sebanyak £40 setiap minggu, dan ketika itu kelab tersebut tidak mempunyai seorang pun penjaga gol. Ferguson dengan segera dikenali sebagai seorang yang memiliki reputasi sebagai seorang pendisiplin yang ketat. Kemahiran taktikal yang dimilikinya berjaya menaikkan prestasi pasukan.

Oktober seterusnya, Ferguson dipelawa untuk menguruskan St. Mirren Walaupun pada ketika itu St. Mirren berada di bawah East Stirlingshire dalam kedudukan liga, namun mereka adalah kelab yang lebih besar dan walaupun Ferguson memiliki kesetiaan yang tinggi kepada East Stirlingshire, beliau mengambil keputusan untuk menguruskan St. Mirren setelah dinasihati oleh Jock Stein.

St. Mirren[sunting | sunting sumber]

Ferguson menjadi pengurus pasukan daripada tahun 1974 hingga 1978, membawa pasukan menjulang gelaran Divisyen Satu Scotland pada 1977. Lebih bermakna, beliau menggunakan kebanyakan pemain muda dan stail permainan menyerang yang mengagumkan. Purata usia pemain yang menjulang kejuaraan musim tersebut ialah 19 tahun, dengan kapten mereka, Fitzpatrick, berusia 20 tahun.

St. Mirren adalah satu-satunya kelab yang pernah memecat Ferguson sepanjang karier pengurusannya. Walaupun beliau mendakwa pemecatannya adalah tidak sah, namun tribunal industri tidak menerimanya dan Ferguson tidak diberikan peluang untuk merayu. Dikatakan punca pemecatan Ferguson adalah disebabkan tindakan beliau dalam menguruskan pembayaran gaji pemain, dan juga satu lagi punca adalah tindakan Aberdeen yang cuba mendapatkan Ferguson tanpa berunding dengan St. Mirren terlebih dahulu.

Karier di Aberdeen[sunting | sunting sumber]

Kekecewaan awal[sunting | sunting sumber]

Menguruskan Aberdeen pada Jun 1978, Ferguson menggantikan Billy McNeill yang bertugas selama semusim sebelum menyertai Celtic. Walaupun Aberdeen adalah antara kelab utama Scotland, namun mereka gagal memenangi gelaran liga sejak 1955. Bagaimanapun pemain bermain dengan baik, dan tidak pernah kalah dalam perlawanan liga sejak Disember dan menamatkan musim lepas di tangga kedua. Ferguson sudah menjadi pengurus selama empat tahun, dengan usia yang hanya beberapa tahun lebih tua daripada kebanyakan pemain dan beliau juga menghadapi masalah dalam menerbitkan rasa hormat daripada pemain yang lebih senior seperti Joe Harper. Musim itu agak kurang baik buat Aberdeen, yang mana mereka mara ke separuh akhir Piala FA Scotland dan final Piala Liga Scotland, namun tewas kedua-duanya dan menamatkan musim di tangga keempat.

Pada Disember 1979, mereka tewas pada final Piala Liga sekali lagi, kepada Dundee United dalam pertemuan ulangan. Ferguson mengakui bahawa beliau wajar dipersalahkan, dengan berkata beliau seharusnya membuat perubahan pada skuadnya pada perlawanan ulangan.

Kejayaan pertama[sunting | sunting sumber]

Aberdeen memulakan musim seterusnya dengan buruk namun prestasi mereka meningkat secara mendadak pada tahun baru dan mereka memenangi gelaran liga musim itu dengan kemenangan 5-0 pada hari terakhir liga. Ianya merupakan kali pertama dalam 15 tahun yang mana liga tidak dimenangi oleh sama ada Rangers ataupun Celtic. Ferguson menyatakan bahawa pada ketika itu beliau mula dihormati oleh semua pemainnya.

Aberdeen meneruskan kecemerlangan dengan memenangi Piala Scotland pada 1982, dan Ferguson ditawarkan jawatan pengurus di Wolverhampton Wanderers namun ditolaknya kerana kedudukan Wolves yang tidak stabil, selain daripada cita-citanya di Aberdeen yang masih belum tercapai hatta separuh pun.

Kejayaan peringkat Eropah[sunting | sunting sumber]

Kegemilangan terus dicapai pada musim seterusnya, 1982-83. Aberdeen layak ke Piala Pemenang UEFA setelah menjuarai Piala Scotland pada musim terdahulu, dan dengan bergaya menyingkirkan Bayern Munich yang sebelumnya menyingkirkan Tottenham Hotspur 4-1 pada pusingan terdahulu. Ia memberikan semangat kepada pasukan dan berjaya menewaskan Real Madrid 2-1 pada perlawanan akhir. Aberdeen juga turut bermain baik dalam liga, mempertahankan Piala Scotland setelah menewaskan Rangers 1-0.

Setelah bermula dengan sederhana pada musim 1983-84, prestasi Aberdeen meningkat dan mereka memenangi gelaran liga dan mempertahankan Piala Scotland. Ferguson dianugerahkan gelaran OBE pada tahun 1984, dan ditawarkan jawatan pengurus di Rangers, Arsenal dan Tottenham Hotspur. Aberdeen mempertahankan gelaran liga pada 1984-85, namun sekadar menduduki posisi keempat pada 1985-86 walaupun memenangi kedua-dua trofi domestik. Ferguson telah dilantik memasuki lembaga pengarah kelab pada awal 1986, namun pada April beliau memberitahu pengerusi kelab, Dick Donald tentang niatnya untuk meninggalkan kelab pada musim panas.

Ferguson adalah antara staf kejurulatihan Scotland ketika mereka melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 1986, namun pengurus pasukan Jock Stein rebah di padang dan meninggal dunia pada 10 September 1985 - selepas tamat perlawanan yang mana Scotland layak daripada kumpulan itu untuk perlawanan penentuan menentang Australia. Ferguson kemudiannya bersetuju untuk menguruskan pasukan menghadapi Australia dan seterusnya Piala Dunia. Untuk membantu tugas antarabangsanya beliau melantik Archie Knox sebagai pengurus bersama beliau di Aberdeen.

Pada ketika itu, Tottenham Hotspur menawarkan Ferguson tugas sebagai pengurus pasukan menggantikan Peter Shreeves, namun beliau menolak dan tugas tersebut diberikan kepada pengurus Luton Town, David Pleat. Begitu juga dengan tawaran daripada Arsenal untuk menggantikan Don Howe, yang mana beliau sekali lagi menolaknya dan tugas itu disandang oleh George Graham.

Musim panas itu, muncul spekulasi yang mengatakan Ferguson akan mengambil alih jawatan pengurus di Manchester United daripada Ron Atkinson, yang turun ke tangga keempat di Divisyen Satu Liga Inggeris setelah permulaan musim yang cemerlang. Walaupun Ferguson kekal di Aberdeen sepanjang musim panas, beliau akhirnya menyertai Manchester United setelah Atkinson dipecat pada November 1986.

Karier di Manchester United[sunting | sunting sumber]

1986-90: Tahun-tahun awal[sunting | sunting sumber]

Ferguson dilantik sebagai pengurus United di Old Trafford pada 6 November 1986. Beliau merasa resah dengan keadaan pemain-pemain seperti Norman Whiteside, Paul McGrath dan Bryan Robson yang kerap mabuk dan mempunyai tahap kecergasan yang rendah. Namun Ferguson berjaya mendisiplinkan pemain dan United mengakhiri musim di tangga ke-11. Kemenangan tunggal di tempat lawan mereka pada musim tersebut tiba di Anfield, yang mana United menewaskan Liverpool 1-0 - yang merupakan satu-satunya kekalahan tempat sendiri Liverpool pada musim itu yang mana mengakhiri harapan mereka mempertahankan gelaran liga. 3 minggu selepas pelantikannya, ibu Ferguson, Elizabeth meninggal dunia disebabkan kanser paru-paru ketika berusia 64 tahun. Ferguson melantik Archie Knox, pembantunya di Aberdeen sebagai pembantu beliau di Manchester United.

Pada musim 1987-88, Ferguson membawa masuk beberapa pemain, termasuklah Steve Bruce, Viv Anderson, Brian McClair dan Jim Leighton. Pemain-pemain baru tersebut nyata memberi sumbangan besar kepada United yang menamatkan musim di tempat kedua, 9 mata di belakang Liverpool. United dijangkakan akan bertambah baik selepas Mark Hughes kembali ke kelab setelah dua tahun di Barcelona, namun musim 1988-89 nyata mengecewakan apabila United menamatkan musim di tangga ke-11 dan tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Nottingham Forest dalam pusingan keenam Piala FA.

Dalam persediaan menghadapi musim 1989-90, Ferguson mempertingkatkan kekuatan pasukan dengan membayar harga mahal bagi mendapatkan pemain tengah, Neil Webb dan Paul Ince. Ia juga termasuklah memecahkan rekod British pada ketika itu apabila mendapatkan pertahanan Gary Pallister dari Middlesbrough dengan bayaran perpindahan sebanyak £2.3 juta. Mereka bermula dengan baik dengan kemenangan 4-1 ke atas penyandang juara liga Arsenal, namun prestasi United mengalami penurunan. Pada September, United mengalami kekalahan memalukan 5-1 di tempat lawan kepada musuh setempat Manchester City. Ia mengakibatkan peminat dan jurnalis mendesak Ferguson dipecat, dengan Ferguson sendiri mengakui Disember 1989 sebagai detik paling pahit pernah dialaminya sepanjang kariernya.

Setelah tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan, Manchester United diundi menentang Nottingham Forest di tempat lawan dalam pusingan ketiga Piala FA. Pada ketika itu, Forest beraksi baik dalam liga dan United dijangka akan tewas dalam perlawanan tersebut, diikuti dengan pemecatan Ferguson. Namun United menang 1-0 dan terus mara hingga ke final. Kemenangan tersebut sering dikatakan sebagai penyelamat karier Ferguson. United seterusnya memenangi Piala FA tersebut, menewaskan Crystal Palace 1-0 dalam final ulangan setelah terikat seri 3-3 dalam perlawanan pertama. Ini memberikan trofi pertama buat Ferguson selaku pengurus United. Prestasi pertahanan United yang teruk pada perlawanan pertama diletakkan pada bahu penjaga gol Jim Leighton, yang memaksa Ferguson menggugurkan beliau dan membawa masuk Les Sealey.

1990-93: Kejayaan sulung[sunting | sunting sumber]

Walaupun prestasi United dalam liga meningkat, namun mereka masih tidak konsisten dan menamatkan musim 1990-91 di tempat keenam. Walaupun selepas kemenangan Piala FA musim lalu, ramai yang masih skeptikal dengan kemampuan Ferguson untuk memenangi kejuaraan liga - sesuatu yang gagal dilakukan pengurus-pengurus United selepas zaman pengurus legenda Sir Matt Busby. United kemudiannya muncul naib juara dalam Piala Liga Inggeris, tewas 1-0 kepada Sheffield Wednesday. Seterusnya, United memenangi Piala Pemenang UEFA dengan menewaskan Barcelona 2-1. Selepas perlawanan itu, Ferguson berazam akan memenangi liga pada musim seterusnya.

Ketika pra-musim 1991-92, pembantu pengurus United, Archie Knox berhijrah ke Rangers untuk menjadi pembantu kepada Walter Smith, dan Ferguson mengambil jurulatih skuad remaja Brian Kidd menggantikan Knox.

Bagaimanapun, musim 1991-92 menyaksikan jangkaan Ferguson meleset. United memenangi Piala Liga dan Piala Super Eropah buat kali pertama, tetapi tewas dalam perebutan liga kepada Leeds United. Ferguson merasakan kegagalannya mendapatkan khidmat Mick Harford dari Luton telah menyebabkan United gagal memenangi liga, dan beliau nyata memerlukan dimensi tambahan bagi memastikan United memenangi liga pada musim seterusnya.

Ketika menghampiri musim 1992-93, Ferguson memulakan pemburuan penyerang baru. Setelah cubaannya untuk mendapatkan Alan Shearer dari Southampton gagal, Ferguson membayar Cambridge United £1 juta untuk penyerang berusia 23 tahun, Dion Dublin. Dublin merupakan satu-satunya pemain baru United musim panas itu.

Selepas permulaan yang perlahan, yang mana menyaksikan United menduduki tangga kesepuluh pada November, United tampak akan gagal dalam usaha memenangi liga. Namun, setelah pembelian penyerang Perancis Eric Cantona dari Leeds United dengan £1.2 juta, masa depan United dan Ferguson mula bersinar. Cantona membentuk gandingan mantap bersama-sama Mark Hughes dan membawa United ke puncak liga, mengakhiri penantian 26 tahun United sekaligus menjadi juara pertama bagi Liga Perdana, setelah penstrukturan semula. United menamatkan musim dengan kelebihan 10 mata di depan Aston Villa, yang mana kekalahan 0-1 mereka kepada Oldham Athletic pada 2 Mei 1993 memastikan kejuaraan buat United. Ferguson juga diundi sebagai Pengurus Terbaik Tahunan pada tahun itu.

1993-99: Dua kejuaraan berganda dan treble[sunting | sunting sumber]

Musim 1993-94 membawa lebih banyak kejayaan buat United. Ferguson membawa masuk Roy Keane, 22 tahun, dengan rekod perpindahan £3.75 juta sebagai pengganti jangka panjang untuk Bryan Robson yang berada di penghujung kariernya.

United mendahului kedudukan liga pada musim 1993-94 dari awal hingga akhir musim, dengan Cantona menjadi penjaring terbanyak dengan 25 gol dalam keseluruhan pertandingan biarpun dibuang padang sebanyak dua kali dalam masa 5 hari pada Mac 1994. United turut mara ke final Piala Liga Inggeris namun tewas 1-3 kepada Aston Villa yang diuruskan oleh bekas pengurus United, Ron Atkinson. Dalam final Piala FA, United membenam Chelsea 4-0 dan melengkapkan kejuaraan berganda United musim tersebut. Pada akhir musim, Ferguson membawa masuk David May daripada Blackburn Rovers dengan yuran sebanyak £1.2 juta.

Musim 1994-95 adalah musim agak sukar buat Ferguson. Cantona menyerang seorang penyokong Crystal Palace dalam perlawanan di Selhurst Park, yang menyebabkannya digantung 8 bulan disertai dengan 120 jam khidmat komuniti. Bagaimanapun, United berjaya mendapatkan penyerang prolifik Newcastle United, Andy Cole dengan bayaran perpindahan yang mencatatkan rekod Britain, £7 juta dengan pemain sayap muda Keith Gillespie menghala ke Newcastle sebagai pertukaran.

United terlepas gelaran liga setelah sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan West Ham United pada hari terakhir perlawanan, yang mana kemenangan akan memahkotakan mereka sebagai juara liga. United juga tewas dalam perlawanan akhir Piala FA, 0-1 di tangan Everton.

Ferguson dikritik hebat pada musim panas 1995 apabila tiga daripada pemain utama United dibenarkan untuk berpindah dan tiada sebarang pengganti yang dibeli. Paul Ince berpindah ke Internazionale dengan bayaran sebanyak £7.5 juta, penyerang Mark Hughes secara mengejut dijual ke Chelsea dengan £1.5 million dan Andrei Kanchelskis dijual ke Everton. Nyata Ferguson merasakan bahawa United mempunyai beberapa pemain muda yang dianggapnya sudah bersedia untuk bermain dalam pasukan utama. Dikenali sebagai "Fergie's Fledglings", mereka yang antaranya terdiri daripada Gary Neville, Phil Neville, David Beckham, Paul Scholes dan Nicky Butt, kemudiannya menjadi tunjang utama kelab pada masa hadapan.

Apabila United tewas 1-3 dalam perlawanan pertama liga di tangan Aston Villa, media nyata mengkritik hebat Ferguson dan mengenepikan peluang United memenangi gelaran liga disebabkan kebanyakan pemain kesebelasan utama United terdiri daripada pemain muda dan kurang berpengalaman. Bagaimanapun, pemain-pemain tersebut bermain baik dan United memenangi lima perlawanan seterusnya.

Kepulangan Cantona dari penggantungan memberikan tonik tambahan buat United, bagaimanapun United mendapati mereka berada 14 mata di belakang pendahulu liga Newcastle United. Bagaimanapun, beberapa siri kemenangan pada awal 1996 menyaksikan jurang tersebut semakin mengecil dan pada awal Mac United mendahului kedudukan liga. Ia amat berbeza dengan Newcastle yang mengalami kejatuhan prestasi, yang mana pengurus mereka, Kevin Keegan, tampak tertekan dengan perebutan gelaran. Ia mencapai kemuncaknya setelah permainan minda Ferguson, yang amat gemar dilakukannya, memberi kesan kepada Keegan. Kejayaan liga United disahkan pada hari terakhir musim, dan diikuti dengan kejayaan menjulang Piala FA, menewaskan Liverpool 1-0 hasil jaringan babak akhir Cantona.

Musim 1996-97 menyaksikan Ferguson membawa United menjulang gelaran liga keempat dalam lima musim. Pada akhir Oktober, mereka tewas tiga perlawanan berturut-turut dan dibolosi 13 gol. Malah United juga gagal meneruskan rekod 40 tahun tanpa kalah di tempat sendiri pada peringkat Eropah setelah dikejutkan oleh kelab Turki, Fenerbahce. Namun mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, yang mana mereka disingkirkan oleh kelab Jerman, Borussia Dortmund. Pada akhir musim, Cantona membuat keputusan mengejut bersara daripada bola sepak pada usia 30 tahun.

Ferguson membuat dua pembelian pada pra-musim 1997-98, penyerang England Teddy Sheringham, dan pertahanan Denmark Henning Berg. Bagaimanapun United gagal memenangi sebarang piala dengan Arsenal, di bawah pengurus baru Arsene Wenger, menjulang gelaran liga musim itu. Wenger kemudiannya terlibat dengan permusuhan berpanjangan dengan Ferguson. Pada musim panas 1998, penyerang Dwight Yorke, pertahanan kental Jaap Stam, dan pemain sayap Jesper Blomqvist menyertai United.

Pada Disember 1998 pembantu pengurus Brian Kidd menerima tawaran untuk menguruskan Blackburn Rovers dan Ferguson merekrut Steve McClaren daripada Derby County sebagai pengganti. Pasukan Kidd akhirnya tersingkir ke divisyen bawahan setelah diikat seri oleh United 0-0.

Musim 1998-99 menyaksikan United menjulang kejuaraan "treble" yang meliputi Liga Perdana Inggeris, Piala FA Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah. Ketika pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara, United melepaskan dua gol awal kepada Juventus sebelum Roy Keane, yang digantung kemudiannya dari aksi final, menyuntik inspirasi buat United untuk bangkit membenam Juventus 3-2 dan mara ke final. Pada separuh akhir Piala FA, United bertemu musuh tradisi Arsenal dan tampak akan disingkirkan setelah Roy Keane dibuang padang dan Arsenal memperoleh sepakan penalti saat akhir. Bagaimanapun Peter Schmeichel menyelamatkan sepakan Dennis Bergkamp, dan dalam masa tambahan Ryan Giggs menjaringkan gol yang boleh disifatkan sebagai gol tercantik dalam sejarah kejohanan dan membawa United ke final. Mereka seterusnya menewaskan Newcastle 2-0 dalam final hasil jaringan Teddy Sheringham dan Paul Scholes. Paling diingati adalah kejayaan Eropah, yang mana pada minit ke-90 United ketinggalan 0-1 di Nou Camp kepada Bayern Munich hasil sepakan percuma Mario Basler. Namun ketika masa kecederaan 3 minit yang diberikan pengadil Pierluigi Collina, pemain gantian Teddy Sheringham menyamakan kedudukan dan masa tambahan nampak semakin nyata. Namun, ketika tinggal beberapa saat sebelum tamat masa sebenar, seorang lagi pemain gantian Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan gol kemenangan dan mencipta sejarah buat United.

Pada 12 Jun 1999, Ferguson menerima darjah kebesaran British atas pencapaiannya dalam bola sepak.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Sir Alexander Chapman Ferguson". mufcinfo.com. MUFCInfo. Diperoleh pada 12 July 2011. 
  2. "Alex Ferguson". Londonhearts.com (London Hearts Supporters' Club). Diperoleh pada 5 December 2011. 
  3. Bell, Stephen; Zlotkowski, Andre (6 June 2008). "Scotland XI Tour of Asia and Oceania 1967". Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation. Diperoleh pada 5 March 2011. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: