Baset biru Gascogne

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Basset Gascogne biru)
Baset biru Gascogne
Seekor baset biru Gascogne
Nama lainanjing biru Gascogne
Negara asalPerancis
Trait
Tinggi 34–38 cm (13–15 in)
Bulu pendek, padat
Warna berbelak hitam dan putih
Jangka hayat melebihi 10 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)
Seekor baset biru Gascogne dengan pemiliknya

Baset biru Gascogne[a] ialah satu baka anjing berkaki pendek dan berbelakang panjang jenis hound. Sebagai baka asli Perancis, ia jarang di luar tanah airnya. Ia diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa, di United Kingdom oleh The Kennel Club, dan oleh United Kennel Club di Amerika Syarikat. Kata "biru" pada namanya merujuk bulunya yang mempunyai penampilan berbintik.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Warna bulunya kebanyakannya putih dengan bintik-bintik yang menghasilkan penampilan kebiru-biruan, dengan tompok-tompok perang dan tanda-tanda sawo matang di bahagian atas mata dan di telinga.[1] Ia merupakan baka berbulu licin.[2] Tingginya pada paras kelasa biasanya berukuran 34–42 sentimeter (13–17 in) walaupun piawaian The Kennel Club menyatakan 30–38 sentimeter (12–15 in).[1][3] Penampilan amnya biasanya tidak terlalu berat dan ia berukuran seberat 16–18 kilogram (35–40 lb). Ia mempunyai mata perang gelap dan telinga labuh rendah yang sekurang-kurangnya dapat mencapai hujung muncungnya.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

"Lukisan hitam putih bagi seekor anjing jenis baset yang kebanyakannya putih dengan tompok-tompok gelap. Anjing berada di sudut pandangan profil, menghadap ke kanan"
Lukisan baset biru Gascogne dari tahun 1915

Dengan asal usul pada Zaman Pertengahan, baset biru Gascogne diturunkan langsung daripada baka lam anjing pemburu biru besar Gascogne.[4] Ada sangkaan bahawa Gaston III dari Foix-Béarn memelihara sekawan anjing ini untuk memburu babi hutan dan serigala.[5] Beliau terkenal sebagai pengarang Livre de chasse (Kitab Perburuan), yang dianggap sebagai karya klasik tentang perburuan zaman pertengahan.[6]

Semasa awal abad ke-19, baka ini hampir menjadi pupus dengan kepopularan merosot dalam perburuan. Walau bagaimanapun, baka ini diselamatkan dan dipulihkan melalui hasil kerja Alain Bourbon.[7]

Pengiktirafan dan pengkategorian[sunting | sunting sumber]

The Kennel Club (United Kingdom) mengiktiraf baset biru Gascogne dalam daftar baka import dan dalam Kumpulan Hound.[3] United Kennel Club pula mengiktiraf baka ini pada tahun 1991,[7] dan kedua-dua UKC dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) menyenaraikan baset biru Gascogne dalam Kumpulan Anjing Pemburu Bau.[4][8][9] Baka ini dikenali sebagai Basset Bleu de Gascogne dalam bahasa Perancis atau Blue Gascony Basset dalam bahasa Inggeris dalam FCI.[8][9] Kini, baset biru merupakan salah satu daripada enam baka jenis baset yang diiktiraf oleh FCI.[10] Baset biru Gascogne tidak diiktiraf oleh American Kennel Club atau Canadian Kennel Club. Sebagai tambahan kepada pejabat-pejabat pendaftaran utama, baset biru Gascogne juga diiktiraf oleh banyak pejabat pendaftaran kecil dan pejabat pendaftaran khusus, termasuk sebagai baka jarang di bawah American Rare Breed Association yang menggunakan piawaian FCI.[11]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: باسيت بيرو ݢسکوڽا; Perancis: basset bleu de Gascogne, Sebutan bahasa Perancis: [bɑsɛ blø də ɡasˈkɔɲ]; bahasa Inggeris: blue Gascony basset

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Cunliffe, Juliette (1999). "The Hound Group". The Encyclopedia of Dog Breeds (dalam bahasa Inggeris). Parragon. m/s. 208. ISBN 978-0-7525-8018-0.
  2. ^ Hutchinson, Robert (7 Februari 2005). "The Low-down on Dachshunds and Bassets". For The Love Of Dachshunds (dalam bahasa Inggeris). BrownTrout Publishers. m/s. 36. ISBN 978-1-56313-903-1. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  3. ^ a b "Basset Bleu De Gascogne Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 28 April 2016.
  4. ^ a b "Basset Bleu de Gascogne (Disemak pada 1 Januari 2009)". United Kennel Club. 1 Januari 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Oktober 2009. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  5. ^ "Le Basset Bleu de Gascogne" (dalam bahasa Perancis). Elevage Amateur Du Mas Gauthier. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Julai 2011. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  6. ^ Tuchman, Barbara (12 Julai 1987). A Distant Mirror: The Calamitous 14th Century (dalam bahasa Inggeris) (ed. Kulit lembut keluaran semula). Ballantine Books. ISBN 978-0-345-34957-6.
  7. ^ a b "Basset Bleu de Gascogne Information" (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  8. ^ a b "Standard FCI N° 35 BASSET BLEU DE GASCOGNE" [Piawaian FCI No. 35 Baset Biru Gascogne] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 1 September 2023. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  9. ^ a b "FCI-Standard N° 35 BASSET BLEU DE GASCOGNE (Blue Gascony Basset)" [Piawaian FCI No. 35 Baset Biru Gascogne] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Peggy Davis. 1 September 2023. Dicapai pada 20 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  10. ^ Fogle, Bruce (2002). Dogalog (dalam bahasa Inggeris). Dorling Kindersley. m/s. 48. ISBN 978-0-7894-8394-2.
  11. ^ "Blue Gascony Basset" (dalam bahasa Inggeris). American Rare Breed Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Jun 2010. Dicapai pada 20 Disember 2023.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]