Grifon penuding berbulu dawai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Grifon penuding berbulu dawai
Grifon penuding berbulu dawai
Nama lainGrifon Korthals
Negara asalBelanda, Jerman, Perancis
Trait
Tinggi Jantan 22–24 in (56–61 cm)
Betina 20–22 in (51–56 cm)
Bulu Lapis bulu ganda padat dan mirip dawai. Lapis bulu bawahnya tebal dan memberikan penebatan.
Anjing (Canis lupus familiaris)

Grifon penuding berbulu dawai,[a] grifon Korthals,[b] atau grifon penuding berbulu dawai Korthals ialah satu baka anjing yang digunakan dalam perburuan sebagai gundog. Ia kadang-kadang dianggap berkeleluhuran Belanda, kerana kewarganegaraan pengasas baka ini, Eduard Karel Korthals. Sejarah mencatatkan kemajuan perkembangan baka ini melalui Biebesheim am Rhein, Jerman, yang merupakan tempat pengasasan kenel Ipenwoud oleh pengasas baka dan tempat pengasasan jenis baka sebelum ke Perancis untuk pengiktirafan. Pihak lain pula menganggap grifon ini sebagai baka Jerman kerana kenel Korthals, Ipenwoud, terletak di Biebesheim am Rhein, Jerman. Kenel itu kekal di situ selama dua puluh tahun sehingga Korthals membaktikan hidup beliau kepada perkembangan dan penyempurnaan grifon Korthals.

Baka ini masah agak jarang di Amerika Syarikat, di Kanada, dan di United Kingdom sungguhpun terdapat pengiktirafan lama oleh kelab kenel masing-masing, serta FCI (Persekutuan Kinologi Antarabangsa). Grifon Korthals khususnya sesuai untuk perburuan di dalam semak tebal dan di sekitar air, yang diatasi dengan lapis bulu kasarnya yang merupakan pelindung cemerlang. Grifon ini digunakan terutamanya sebagai anjing pemburu untuk unggas buruan tanah tinggi serta unggas air.

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Grifon Korthals ialah anjing bersaiz sederhana yang kuat (20–22 in (51–56 cm) untuk betina, 22–24 in (56–61 cm) untuk jantan) dan seberat 35–50 paun (16–23 kg) untuk betina dan 50–70 paun (23–32 kg) untuk jantan dengan lapis bulu luar kasar dan mirip dawai serta lapis bulu lebih lembut. Lapis bulunya sebaik-baiknya berwarna kelabu keluli dengan tanda-tanda perang. Warna lain yang boleh diterima: perang berangan, putih dan perang, kemerah-merahan, dan putih dan jingga. Perang menyeluruh, putih menyeluruh, atau putih dan jingga kurang diingini. Lapis bulu hitam menyebabkan penyingkiran.[1]

Grifon ini mempunyai kepala besar dan panjang dengan mata bulat besar yang ditutup dengan kening dan dilengkapi dengan janggut. Hidungnya sentiasa berwarna perang. Lehernya panjang dan badannya berperkadaran baik dan berotot. Bergantung pada negara, ekornya mungkin dipotong.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Eduard Karel Korthals dikreditkan dengan baka ini pada sekitar tahun 1873.[3] Impian Korthals adalah untuk menghasilkan gundog serba guna unggul; yang mempunyai kebingkasan ekstrem, kecergasan, dan pengabdian kepada tuannya. Anjing ini juga perlu bekerja rapat-rapat dengan tuannya dan terbuka kepada pelatihan.

Susur galur pembiakbakaan Korthals bermula pada tahun 1874 dengan "Mouche" yang kemudian digunakan sebagai betina pengasasnya, serta lima ekor anjing lain yang diperihalkan sebagai "grifon": Janus, Satan, Banco, Hector, dan Junon. Beliau menyilangkan anjing-anjing itu dengan cermat sehingga menghasilkan keturunan yang menyerupai idea beliau tentang anjing pemburu muktamad. Walau apa pun, keturunan terhasil (Mimis I, Lina, dan Querida) dirujuk sebagai "Para Patriark Korthals" kerana anjing-anjing ini merupakan leluhur langsung kepada grifon ini.[3] Pada tahun 1888, "kelab griffon" pertama dibentuk sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa dengan kelab-kelab tempatan di Bavaria "Kelab Grifon Jerman Selatan" pada tahun 1895, di Belgium "Kelab Grifon Diraja Belgium" (1895) di Perancis "Kelab Grifon Berbulu Dawai Perancis" (1901) segera menyusul.

Grifon Korthals berdaftar pertama American Kennel Club (yang dipanggil grifon penuding berbulu dawai di Amerika Syarikat) ialah "Zolette", yang dimasukkan ke dalam buku pembaka pada tahun 1887. Walau bagaimanapun, grifon ini masih kurang terkenal dan ia telah didaftarkan sebagai "seter (grifon) Rusia" kerana anggapan warisan Rusia-nya. Hanya mulai tahun 1916, dua puluh sembilan tahun kemudian, baka ini diiktiraf secara rasmi sebagai Wirehaired Pointing Griffon di Amerika Syarikat. Pada tahun sama, enam belas ekor grifon muncul dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club, salah sebuah pertunjukan paling berprestij di negara berkenaan.[4] Sejak itu, baka ini semakin popular bukan sahaja sebagai anjing pertunjukan tetapi juga sebagai gundog serba guna, seperti niat asli Korthals untuk baka ini. Untuk sebahagian besar, baka ini masih menyerupai niat asli beliau: saiz sederhana, lapis bulu keras, tahap kebolehlatihan baik, dan bingkas di padang dan dalam gelanggang.[5]

Kesihatan dan perangai[sunting | sunting sumber]

Grifon Korthals terkenal sebagai anjing cerdas dengan perangai lebih lembut tetapi dengan kesudian untuk menggembirakan. Ia tidak menyesuaikan diri dengan baik terhadap kaedah pelatihan keras. Kebanyakan grifon tidak pandai menjalani kehidupan di dalam kenel. Senaman dan latihan kerap sangat disyorkan. Ia amat berorientasikan orang dan lebih suka berada di suatu tempat di sekitar pemiliknya. Pertubuhan baka mengesyorkan pembelian daripada pembiak baka yang menyediakan pelepasan kesihatan dalam kontrak bertulis mengenai jaminan mereka. Penyelidikan terkini telah menemukan penyerapan baka lain ke dalam grifon di seluruh dunia.[6] Ini telah menyebabkan perpecahan di kebanyakan negara antara individu yang ingin mengekalkan grifon Korthals tulen dengan kelab-kelab yang mengiktiraf semua pembiakbakaan termasuk hibrid persilangan luar.[7]

Salin bulu[sunting | sunting sumber]

Bertentangan dengan sesetengah terbitan, grifon ini bukan baka tanpa salin bulu. Walau bagaimanapun, ia bersalin bulu agak kurang berbanding dengan banyak baka lain. Semua anjing menggugurkan bulu[8] dan kelemumur dan air liur anjing mencetuskan kebanyakan tindak balas alahan.[9] Pakar alahan mengakui bahawa pada masa-masa tertentu pesakit alahan tertentu dapat bertolak ansur dengan anjing tertentu (dan ramai pemilik grifon ini menganggap bahawa anjing ini hipoalergenik), tetapi mungkin "nasib segelintir orang dengan haiwan peliharaan mereka tidak dapat diperpanjang agar sesuai dengan orang alah dan keseluruhan baka anjing."[10] Pakar alahan "berfikir bahawa benar-benar terdapat perbezaan pengeluaran protein antara anjing yang mungkin membantu seseorang pesakit tetapi bukan pesakit lain",[10] yang bermakna bahawa sesetengah orang alah mungkin tidak mengalami tindak balasa alahan terhadap anjing tertentu.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ݢريفون ڤنوديڠ بربولو داواي; Perancis: griffon d'arrêt à poil dur; bahasa Inggeris: wirehaired pointing griffon; wire-haired pointing griffon
  2. ^ Jawi: ݢريفون کورتهل‌س; Perancis: griffon korthals; bahasa Inggeris: Korthals griffon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Wirehaired Pointing Griffon Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 23 Mac 2024.
  2. ^ "Korthals Griffon". Korthalsgriffon.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  3. ^ a b Castaing, Jean. le Griffon d'arret a poil dur Korthals (Perancis)
  4. ^ "The Breed - Wirehaired Pointing Griffon". Awpga.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  5. ^ "Wirehaired Pointing Griffon Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  6. ^ "KorthalsGriffon.org - Online Health and Genetics Portal for the Wirehaired Pointing Griffon, Korthals Griffon and the American Wirehaired Pointing Griffon". Korthalsgriffon.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Jun 2018. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  7. ^ "Korthals Griffon Club of America". Korthalsgriffon.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  8. ^ Jeffrey Adelglass, M.D., ear, nose, throat and allergy information (Inggeris) Diarkibkan 1 Disember 2008 di Wayback Machine quote: "No dog is considered non-allergenic because all dogs produce dander, saliva, and urine which are the offending allergens."
  9. ^ "Pet allergy - Symptoms and causes - Mayo Clinic". Mayoclinic.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  10. ^ a b "Nonallergenic Dog? Not Really" (Inggeris) oleh Denise Grady, The New York Times, 5 Februari 1997.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]