Pokok Kacang Botor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kacang botor
Bunga dan daun kacang botor
Pengelasan saintifik
Alam: Tumbuhan
(tiada peringkat): Angiosperma
(tiada peringkat): Eudicots
(tiada peringkat): Rosids
Order: Fabales
Famili: Fabaceae
Subfamili: Faboideae
Tribus: Phaseoleae
Genus: Psophocarpus
Spesies: P. tetragonolobus
Nama binomial
Psophocarpus tetragonolobus
(L.) D.C.

Kacang Botor, kacang botol, kacang kelisa, kacang sirek, atau kalkang (Inggeris: winged bean atau Goa bean) ialah tumbuhan kekacang tropika yang dikatakan berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan baik dalam iklim tropika lembap dengan hujan lebat dan oleh itu, banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina, Indonesia, Myanmar, hinggalah ke India, dan Sri Lanka.

Morfologi[sunting | sunting sumber]

Bunga kacang kelisa.

Ia adalah tumbuhan memanjat separa berkayu, batang berbentuk silinder, licin tanpa bulu, liat, berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua. Daun jenis majmuk trifoliat, susunan berselang-seli, tangkai panjang, halus. Anak daun bersaiz sederhana, berbentuk bujur dengan hujung menirus, nipis, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang, tepi rata. Bunga majmuk, bersaiz sederhana, kelopak berwarna ungu, terdapat 1-10 kuntum dalam 1 jambak bunga yang keluar dari celah ketiak daun. Buah memanjang, bersegi empat dengan sayap di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil, berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya. Biji sederhana besar, berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya.

Kandungan[sunting | sunting sumber]

Buah muda kacang botor sedap dibuat ulam.

Buah kacang muda mengandungi 1-3% protein dan kaya dengan mineral besi, kalsium dan vitamin A. Rangting ubi pula mengandungi 8-10% protein, 30% karbohidrat, banyak fosforus dan kalsium. Daunnya mengandungi 5-7% protein dan banyak mineral, vitamin A dan C. Manakala bij masak mengandungi 11% air, 33% protein, 32% karbohidrat, 16% lemak dan 5% serat.[1] Kandungan asid amino dalam kacang botor seakan-akan kacang soya tetapi kacang botor mengandungi lebih lisin dan leusin. Minyak kacang botor seakan-akan minyak kacang tanah, 67% minyak kacang botor adalah asid linoleik dan asid oleik. Kandungan tokoferol dalam minyak kacang botor juga adalah tinggi. Bahan lain dalam minyak kacang botor yang sederhana banyak ialah fosforus, kalsium, zink, sedikit mineral lain, sederhana banyak tiamina dan riboflavin.[2]

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Buah kacang botor di pokok.

Pokok kacang botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa yang lain. Ia ialah tumbuhan herba saka dengan tempoh pengeluaran optimum di antara tiga hingga empat tahun, tetapi juga boleh ditanam sebagai pokok semusim mengikut kegunaan penanamannya.[3]

Pokok kacang botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan banyak baja nitrogen tetapi masih memerlukan baja lain seperti fosforus dan kalium.

Sebagai pokok tropika, ia amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benihnya mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam hanya tempoh beberapa minggu sahaja.

Ia ditanam secara biji dan akan bercambah antara 5-7 hari selepas disemai, bergantung kepada varieti. Lebih kurang dua bulan setengah selepas disemai, ia akan mula berbunga, tetapi ada jenis baka yang berbunga selepas lima bulan ia ditanam. Buah kacang botor mencapai panjang maksimum dalam masa 20 hari selepas berbunga dan masih lembut ketika itu, serta sesuai dijadikan sayur. Ia matang dalam masa 65 hari selepas berbunga.

Perosak dan Penyakit[sunting | sunting sumber]

Perosak utama kacang botor adalah ulat pengorek lenggai (Maruca testulalis Geyer) dan kutu daun atau afid kacang (Aphis craccivora Koch). Larva ulat pengorek lengai menyerang pucuk, daun muda, bunga, lenggai menyebabkan bunga gugur dan lenggai berlubang. Manakala afid kacang menghisap cecair di bawah daun, pucuk, bunga dan lenggai menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut.

Penyakit utama kacang botor adalah karat (false rust) (Synchytrium psophocorpi) dan bintik daun cercospora (Cercospora capsici).[4] Penyakit ini menyerang batang, daun dan lenggai. Kawasan serangan akan terhasil spora berwarna jingga cerah. Bintik mata burung pada daun kelihatan.

Selain itu, kacang botor boleh dijangkiti penyakit virus dan mikoplasma. Penyakit lain disebabkan oleh bakteria dan kulat. Satu cara untuk mengatasi penyakit adalah dengan menanam baka yang baik yang akan menghasilkan tanaman yang tahan lasak. Akarnya kerap diserang oleh nematod. Manakala daun mudah diserang pelbagai jenis ulat dan serangga.

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Ubi kacang botor dijual di pasar Mandalay, Burma.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Ubi rebus kacang botor dijadikan snek makanan di Burma.

Pokok kacang botor amat berguna kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan:

  • Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
  • Buah yang muda dan lebut dijadikan sayur mentah, digoreng, dibuat kerabut atau jenis makanan lain dan ia mempunyai rasa yang hampir sama dengan pucuk asparagus.
  • Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
  • Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam.
  • Ubinya yang mempunyai perisa seperti kacang tanah boleh digunakan sebagai sayur berubi dan ia hampir serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya protein berbanding ubi kentang.[5] Ia amat digemari di Papua New Guinea dan juga amat popular di negara Myanmar sebagai juadah makanan.
  • Biji yang masak telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein seperti kacang soya. Biji kacang botor boleh diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum.

Perubatan[sunting | sunting sumber]

Daun kacang botor boleh dibuat teh dan sesuai digunakan sebagai ubat pencuci mata yang bengkak serta bisul dan kudis.[perlu rujukan] Daun ditumbuk lumat dan ditampa pada bisul. Daun dan biji kacang botor dimasak dan dimakan untuk mengubati penyakit kulit seperti bisul dan ulser. Manakala akar direbus dan diminum untuk merawat penyakit vertigo.[perlu rujukan]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Maklumat nutrisi biji kacang botor.
  2. Ong, H.C. (2003) Sayuran: Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. ISBN 9-789676-113900
  3. Zaleha Ujang. (17 Oktober 2011) Agrobiz: Tip tanam kacang botor. Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia. Capaian 4 Ogos 2012.
  4. Drinkall, M. J. (1978) False rust disease of the winged bean. PANS, 24, 160 - 166. (Abs. 324).
  5. Poulter, N. H. (1982). Some characteristics of the roots of the winged bean (Psophocarpus tetragonolobus (L.) DC). Journal of the Science of Food and Agriculture, 33, 107- 114.
  • Venketeswaran, S., M.A.D.L. Dias, dan U.V. Weyers. (1990) The winged bean: A potential protein crop (Pokok Kacang Botor: Tanaman protein yang berpotensi), m.s. 445. Dalam buku: J. Janick dan J.E. Simon (ed.), Advances in new crops (Kemajuan dalam tanaman-tanaman baru). Portland: Timber Publication.
  • Winged bean. Humanity Development Library 2.0. Capaian 5 Ogos 2012.