Persekutuan Pattani Besar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Merupakan kerajaan feudal yang ditubuhkan pada 1603 oleh Raja Sakti I dan merangkumi Pattani, Kelantan, Terengganu, Songkhla, dan Pattalung. Kerajaan ini berpecah apabila kerajaan pusat di Pattani diserang Siam pada 1785


Patani dan Langkasuka[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal Kerajaan Melayu Patani masih lagi diselimuti kekaburan.Dalam catatan sejarah tidak dapat dipastikan asal-usul atau tarikh sebenar kerajaan Melayu Pattani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang membuat perhubungan dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad kedua Masehi sebuah negeri bernama "Lang-ya-shiu" atau Langkasuka [1] sudahpun wujud ketika itu.

Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Singgora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Adalah dipercayai bahawa ibu negerinya pada masa itu terletak di sekitar daerah Yarang. Patani adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke-8 Masehi kerana Teluk Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung daripada ribut tengkujuh.

Paul Wheatly menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu Langkasuka wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh Kerajaan Melayu Patani.

Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Pattani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya. Ada pendapat menyatakan bahawa Patani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15. Pendapat mereka berasaskan kepada tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho ke rantau ini dalam tahun 1404-1433 T.M. [2]. Mengikut Hikayat Patani pula, Kerajaan Melayu Patani berasal dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai di Melor Kelantan yang diperintah oleh Raja Sakti I atau Phya Tu Kerab Mahayana [3].

Geografi[sunting | sunting sumber]

Raja Sakti I (Phya Tu Kerab Mahayana) yang berjaya menubuhkan Persekutuan Pattani Besar memerintah dari Kota Mahligai, Melor, Kelantan. Oleh kerana kedudukan Kota Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar untuk didatangi oleh pedagang-pedagang telah menyebabkan Raja Sakti II (Phya Tu Antara), anak Phya Tu Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudiannya diberi nama "Patani", dipercayai berpusat di Kampong Grisek dalam wilayah Patani sekarang ini. Pada waktu pemerintahan Raja Mas Cayam, Terengganu telah bernaung di bawah pemerintahan Pattani, dan Raja Mas Cayam menganugerahi Sultan Omar, Sultan Terengganu dengan sebilah keris panjang semasa bertabalan baginda. Keris itu menjadi alat kebesaran negeri Terengganu sampai sekarang dan diberi nama keris Mas Cayam. Pattani mengukuhkan kuasanya di semenanjung Tanah Melayu dengan Raja Perempuan bernama Raja Hijau berkahwin dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini menguatkan Pattani dari ancaman Siam. Pattani juga menjadi pusat kebudayaan Melayu di Nusantara selain dari Riau, dengan banyaknya karya ulung kesusasteraan Melayu dihasilkan disini seperti Hikayat Patani dan Syair Siti Zubaidah

Kedudukan Patani di Semenanjung Siam yang strategik dari segi geografi, telah menyebabkan kota itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing baik dari barat atau timur untuk singgah sama ada untuk beristirahat ataupun berdagang. Dalam masa yang singkat saja Patani telah muncul sebagai sebuah kerajaan yang penting, maju dari segi ekonomi serta stabil dari segi politik dan pemerintahan. Dasar perhubungan antarabangsanya yang baik telah menyelamatkan Patani daripada jatuh kepada penjajah-penjajah Siam, Portugis dan Belanda.

Kedatangan Agama Islam[sunting | sunting sumber]

Agama Islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Patani. D’ Eredia, seorang pelawat Portugis, telah menulis dalam tahun 1613 bahawa Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka [4]. Ada juga pendapat menyebutkan bahawa Islam telah bertapak di Kuala Berang, Terengganu, iaitu pada sekitar 1386- 87 T.M. [5]. Phya Tu Antara, yang memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, Syeikh Said, telah menukar namanya kepada nama Islam iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam [6]. Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan saudagar-saudagar Islam dan menjadikannya sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal di rantau ini. Patani bertambah maju apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Pattani Diserang kerajaan Chakri[sunting | sunting sumber]

Selepas Panglima Phya Taksin berjaya mengusir penjajah Burma dari Ayutthaya dan memahkotakan dirinya sebagai Raja Siam yang baru dibawah dinasti keluarganya bernama Chakri dalam tahun 1776, Siam telah menumpukan pula perhatiannya ke atas negeri-negeri di selatan semenanjung yang telah mengisytiharkan diri merdeka semasa perang Burma-Siam dahulu. Negeri-negeri di Selatan Semenanjung iaitu Ligor, Songkhla dan Pattalung telah diserang dan ditawan oleh Siam. Keadaan ini menyebabkan raja negeri-negeri tersebut terpaksa mencari perlindungan di Patani. Pada tahun 1779, Sultan Pattani bernama Sultan Muhammad pula telah dipaksa memberi bantuan kepada Siam untuk menentang Burma. Apabila Sultan Muhammad enggan membuat demikian, Phraya Chakri telah memerintah adiknya, Putera Surasi, dengan dibantu oleh Phraya Senaphutan, Gabenor Pattalung, Palatcana dan Songkhla supaya menyerang Patani pada tahun 1785 [7][8][9]. Walaupun kerajaan Melayu Patani cuba mempertahankan diri tetapi Siam telah berjaya menguasai Patani pada tahun berikutnya.

Sultan Muhammad pula telah syahid dalam pertempuran dengan pihak Siam [10] . Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan.Berikutan kejatuhan Patani itu, Tengku Lamidin, Raja Bendang Badan,telah dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani yang baru. Tengku Lamidin bagaimanapun tidak lama berkuasa. Dalam tahun 1791, Tengku Lamidin telah bersatu dengan Raja Annam yang beragama Islam, Okphaya Cho So, dan memberontak serta menyerang kedudukan tentera Siam di Tiba, Chanak, Songkhla dan Saiburi.Dalam kebangkitan itu, Tengku Lamidin telah dibantu oleh Sheikh Abdul Kamal, seorang ulama berasal dari Mekah, tetapi gagal [11].Kemudian pihak Siam, atas cadangan Ligor, telah melantik Datuk Pengkalan sebagai Raja Patani. Pada tahun 1808 Datuk Pengkalan juga bangkit menentang Siam. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu juga telah dapat dipatahkan oleh Siam setelah mendapat bantuan kerajaan pusat di Bangkok.

Pecah dan Perintah[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Melayu Patani telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri atau hua muang untuk melemahkan orang Melayu Patani. Di tiap-tiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan Songkhla. Dengan perubahan ini, maka berakhirlah keagungan Kerajaan Melayu Patani. Kini Kerajaan Melayu Patani hanyalah salah sebuah dari negeri yang baru dibentuk. Tujuh buah negeri tersebut dan raja-raja pemerintahnya adalah seperti berikut [12].

  • Patani - Tuan Sulung
  • Teluban - Nik Dir
  • Nongchik - Tuan Nik
  • Jalor - Tuan Yalor
  • Jambu - Nai Pai
  • Rangae - Nik Dah
  • Reman - Tuan Mansur

Dengan memecahkan kerajaan Melayu Patani, kerajaan Siam percaya mereka dapat melemahkan orang Melayu Patani daripada bangkit menentang.Sejajar dengan itu arahan raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati ataupun penjara akan dikenakan terhadap mana-mana raja, termasuk keluarga mereka, sekiranya mereka memberontak atau menderhaka. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Rai, seorang berketurunan Siam, sebagai wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, kerajaan Siam juga memindahkan orang-orang Siam ke negeri-negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan Melayu.

Siam menyerang Kedah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1821, Siam menyerang pula Kedah dan memaksa Sultan Abdullah melarikan diri ke Pulau Pinang [13]. Kekuasaan Siam ke atas negeri-negeri Melayu tersebut telah diakui oleh British seperti mana terbukti dengan termeterainya Perjanjian Burney dalam tahun 1826.

Dari tahun 1817 hingga tahun 1842, Patani telah diperintah oleh sekurang-kurangnya dua orang Raja Melayu. Orang yang pertama memegang jawatan itu ialah Tuan Sulong, anak Raja Bendahara Kelantan, Long Jenal. Baginda telah memegang jawatan itu sehingga tahun 1832 apabila baginda disingkirkan kerana terlibat dalam kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1831. Berikutan penyingkiran itu, pihak Siam melantik pula Nik Yusof, yang berasal dari Grisek, sebagai Raja Patani. Semasa berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Nik Yusof tidak terlibat. Dalam tahun 1842, Nik Yusof dilantik menjadi Raja Jering berikutan kematian Nai Him Sai. Bagi mengisi kekosongan itu, Siam melantik Tuan Besar Tun Ahmad, Raja kampong Laut dan bekas Perdana Menteri Kelantan sebagai Raja Patani. Sejak itu sehingga 1902, Patani telah diperintah oleh Tuan Besar dan keturunannya.

Kerajaan Melayu Patani di Bawah Keluarga Tuan Besar[sunting | sunting sumber]

Di antara ketujuh-tujuh buah negeri Melayu bekas kerajaan Melayu Patani,negeri Melayu Patani adalah yang paling berpengaruh. Dari tahun 1842 sehingga 1902, negeri Patani telah diperintah oleh keturunan Tuan Besar Tuan Ahmad, bekas Perdana Menteri Kelantan dan juga Raja Kampung Laut semasa Kelantan di bawah pemerintahan Long Jenal (1837-39) [14]. Perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani dalam tahun 1842 itu mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di Kelantan dalam tahun 1838-39 yang dikenali sebagai Peperangan Saudara II.

Perperangan Saudara[sunting | sunting sumber]

Peperangan saudara itu berpunca daripada perebutan takhta antara Long Senik Mulut Merah atau Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar Tun Ahmad, Raja Kampung Laut. Walaupun telah diiktiraf sebagai Sultan oleh Siam, Sultan Muhammad II masih curiga di atas kehadiran Tuan Besar dalam politik Kelantan. Baginda menganggap Tuan Besar sebagai pencabar utama terhadap kedudukannya sebagai Sultan kerana hubungan rapat Tuan Besar dengan Long Jenal, musuh politiknya. Pada pendapat Sultan Muhammad II,selagi Tuan Besar tidak disingkirkan dari Kelantan maka selama itu kedudukan baginda di atas takhta belum kukuh. Justeru, tidaklah hairan Sultan Muhammad II mengetepikan Tuan Besar daripada memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun ada ura-ura untuk melantik Tuan Besar sebagai Raja Bendahara namun tidak ada bukti menunjukkan bahawa jawatan itu pernah ditawarkan kepada Tuan Besar secara rasmi. Sebaliknya, sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Muhammad II, jawatan itu dipegang oleh mereka yang bukan daripada kalangan kerabat diRaja [15]. Di samping itu, hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut juga dikatakan telah dihapuskan oleh Sultan. Keadaan ini akhirnya mencetuskan penentangan bersenjata secara terbuka di antara Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar.

Kedua-dua belah pihak telah meminta pihak berkuasa Siam untuk campur tangan supaya menyebelahi mereka. Pada pertengahan tahun 1839, Phraya Phipath telah menghantar wakilnya ke Kelantan untuk mendamaikan konflik yang berlaku di antara kedua-dua pihak tetapi gagal. Pada 7 Julai 1839, Siam sekali lagi telah menghantar misi damai tetapi kali ini kedatangan misi itu telah disertai sebilangan anggota tentera Phraya Chaiya. Ketua misi itu telah memaksa kedua-dua pihak itu supaya berhenti berperang dan pergi ke Songkhla untuk menyelesaikan masalah masing-masing. Berikutan tekanan itu kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla. Bagaimanapun, Tuan Besar telah diminta oleh Gabenor Songkhla pergi ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam, Rama III (1824-51) mengenai masalah tersebut.

Dalam peristiwa tersebut pihak Siam lebih menyokong Sultan Muhammad II. Semasa Pemergian Tuan Besar ke Bangkok, Sultan Muhammad II, dengan disokong oleh Phraya Chaiya, telah melancarkan serangan ke atas kubu Tuan Besar dan menjelang bulan Ogos 1839, Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan penentang-penentangnya.

Perubahan Dasar oleh Rama III[sunting | sunting sumber]

Di Bangkok, Tuan Besar telah ditawarkan oleh Rama III jawatan sebagai Raja Patani sebagai satu penyelesaian politik terhadap masalah di Kelantan.Tawaran itu dibuat berikutan berlakunya kekosongan jawatan Raja negeri di Patani selepas Nik Yusuf, raja Patani, dilantik sebagai Raja Jering. Pada peringkat awalnya Tuan Besar agak keberatan untuk menerima tawaran itu tetapi setelah melihat kuasanya sebagai Perdana Menteri telah berkurangan dan ramai pula pengikutnya yang berpaling tadah, maka tawaran itu telah diterimanya. Pada pertengahan tahun 1842, Tuan Besar bersama pengikut-pengikutnya yang setia telah berangkat ke Patani. Dengan itu terdirilah wangsa Tuan Besar di Patani. Setelah disahkan oleh Rama III sebagai Raja Patani, Tuan Besar telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad dan memakai gelaran Phya Pipik Pakdi. [16] Kebetulan dengan perlantikan baginda sebagai Raja Patani, Kerajaan Siam telah mengubah dasar pentadbirannya terhadap negeri-negeri Melayu. Kerajaan Siam telah memberikan kuasa mentadbir tanpa campur tangan daripada pegawai-pegawai Siam. Raja-Raja Melayu hanya dikehendaki menghantar bunga Emas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok serta berikrar tidak akan menderhaka kepada kerajaan Siam.

Perubahan dasar Siam terhadap negeri-negeri Melayu dewasa itu mempunyai hubungan rapat dengan dasar kerajaan Rama III yang ingin mengekalkan keamanan dan keselamatan negeri Siam itu sendiri. [17].

Ekoran berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Rama III pernah menerima surat daripada Bonham, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengingatkan bahawa kerajaan Negeri-negeri Selat tidak akan campurtangan untuk menangani penentangan tersebut. [18].

Perubahan dasar itu dikatakan adalah suatu langkah yang berkesan dalam mengelakkan perasaan tidak puas hati dan kekacauan di Wilayah itu. Perlantikan elit tempatan sebagai Gabenor di tujuh buah wilayah tersebut telah mempertingkatkan lagi kemantapan politik Siam di kesemua negeri ufti tersebut [19]. Sejak itu hingga ke beberapa dekad kemudiannya keamanan telah wujud di negeri-negeri Melayu Patani dan Kedah.

Berakhirnya Pemerintahan Beraja Melayu Patani[sunting | sunting sumber]

Sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad (1842-56) dan dua orang penggantinya, Tengku Puteh (1856-81) dan Tengku Besar (1881-90), Negeri Patani berada dalam keadaan aman. Kerajaan Siam masih membenarkan Raja-Raja Melayu menguruskan pentadbiran dalam negeri. Bagaimanapun semasa Patani berada di bawah pemerintahan Tengku Sulaiman Syarifuddin (1890-98), Chulalongkorn, Raja Siam, mula merancang untuk menyusun semula pentadbiran wilayah mengikut sistem Thesaphiban. Di bawah peraturan ini, kerajaan negeri tidak lagi mempunyai kuasa otonomi dan dengan itu juga Raja-Raja Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka. Tindakan kerajaan Siam itu telah mencetuskan konflik di antara Raja-Raja Melayu Patani dengan kerajaan Siam sehingga membawa kepada penahanan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, Raja Patani, pada tahun 1902.

Perubahan Dasar oleh Chulalongkorn[sunting | sunting sumber]

Pada 18 Januari 1896, Chulalongkorn memberitahu Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri Siam, betapa pentingnya pentadbiran wilayah disusun semula. [20].

Terdapat beberapa sebab yang jelas mengapa kerajaan Siam membuat keputusan mengubah dasar pemerintahannya terhadap negeri-negeri Melayu. Perubahan dasar pemerintahan Siam ini mempunyai pertalian rapat dengan pengolakan yang berlaku di rantau Asia Tenggara dalam tahun-tahun 1890-an [21][22]. Kehadiran kuasa-kuasa penjajah dengan dasar imperialisma mereka di Asia Tenggara telah menimbulkan kebimbangan Siam terhadap keutuhan wilayahnya, terutamanya wilayah-wilayah yang terpencil dari kawalan kerajaan pusat di Bangkok seperti negeri-negeri Melayu di Selatan Siam. Kerajaan Siam khuatir sekiranya wilayah-wilayah ini tidak disatukan di bawah kekuasaan Siam kemungkinan besar wilayah-wilayah tersebut akan dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat.

Perluasan kuasa Perancis dan British[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun-tahun 1890-an, kuasa-kuasa Perancis dan British berlumba-lumba meluaskan kawasan jajahan masing-masing di rantau ini. Perlumbaan mereka telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 1893 (Claire Hirshfield 1968, 35-38). Perancis berjaya mencapai matlamatnya di timur Sungai Mekong dengan menggunakan kekerasan ke atas Siam, manakala British pula menumpukan perhatian ke kawasan di timur laut Burma dan selatan China, dan juga di negeri-negeri Melayu Utara sehingga ke Segenting Kra. Walaupun pihak British menghormati kemerdekaan dan kedaulatan wilayah Siam namun sejak tahun-tahun 1890-an lagi perwakilan British di Tanah Melayu telah mendesak supaya pengaruh British diperluaskan ke negeri-negeri Melayu utara sehingga ke Segenting Kra ([23][24]. Pada tahun 1896, setelah Frank Swettenham menjadi Residen-Jeneral yang pertama bagi negeri-negeri Melayu Bersekutu, kempen untuk menggabungkan Negeri-negeri Melayu utara itu dengan jajahan British semakin rancak.

Perisytiharan British-Perancis[sunting | sunting sumber]

Keadaan semakin bertambah genting dengan termeterainya pengisytiharan British-Perancis pada 15 Januari 1896 [25]. Pengisytiharan itu hanya memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya sahaja dan tidak menyentuh tentang keadaan di Negeri-negeri Melayu utara. Sungguhpun pengisytiharan itu memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya, Siam bimbang kerana syarat tersebut tidak menghalang Peranchis atau British mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menggugat kemerdekaan kerajaan Siam. Jelas di sini bahawa pengisytiharan itu tidak menjamin kemerdekaan dan keutuhan wilayah Siam tetapi memberi peluang kepada kerajaan Siam untuk merombak sistem pentadbiran wilayah.

Cadangan Chulalongkorn itu telah disokong oleh Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri. Selepas membuat beberapa tinjauan mengenai sistem pentadbiran wilayah, Putera Damrong mencadangkan kepada Chulalongkorn supaya pentadbiran wilayah disusun semula mengikut Sistem Thesaphiban[26]. Di bawah Sistem Thesaphiban, pentadbiran wilayah akan disusun dan dikumpulkan ke dalam satu unit yang dikenali sebagai Monthon. Tiap-tiap Monthon ditadbir oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi (Khaluang Thesaphiban) yang bertanggungjawab kepada Menteri Dalam Negeri. Di bawah sistem ini juga, semua kakitangan kerajaan dari peringkat atas sehingga ke peringkat bawah dibayar gaji mengikut skim kebangsaan.

Pentadbiran Daerah[sunting | sunting sumber]

Setelah memperoleh persetujuan daripada Chulalongkorn, dalam bulan Mei 1897, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan Akta Pentadbiran Daerah (Phraratchabanyat laksana pakkhrong thongthi) [27]. Pada bulan Februari 1899, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan pula Peraturan Mengenai Pentadbiran Wilayah (Kho bangkhap pokkhrong huamung).

Peraturan tersebut memberi kuasa kepada Kementerian Dalam Negeri untuk melumpuh dan menghapuskan "whatever remained of the provincial administration independent existence". Di bawah peraturan ini, jawatan raja Negeri ataupun Gabenor tidak lagi bersifat ‘semi-hereditary’. Raja Siam diberi kuasa untuk melantik atau melucut Raja Negeri atau Gabenor. Raja Negeri tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati (phu samret ratchakan) di peringkat negeri. Mereka juga hanya dianggap sebagai seorang pegawai kerajaan (phu wa ratchakan).Peraturan ini juga melucutkan beberapa keistimewaan yang ada pada Raja-raja negeri. Raja-raja tidak lagi mempunyai kuasa untuk melantik pegawai-pegawai kanan kerajaan kecuali Pendakwaraya (yokkrabat) dan Pegawai Hasil (phu chuai) sahaja. Sungguhpun begitu, sebelum sebarang perlantikan dibuat, Raja negeri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan atau kebenaran Pesuruhjaya Tinggi Wilayah yang berkenaan.Sebaliknya, Pesuruhjaya Tinggi wilayah diberi kuasa untuk melantik lima orang pegawai, dua daripadanya ialah penolong Gabenor dan Timbalan Gabenor.

Kehilangan Hak ke atas Hasil Negeri[sunting | sunting sumber]

Di samping itu, Raja-Raja Negeri juga kehilangan sebahagian daripada hasil negeri. Mereka juga tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan ataupun memajakkan cukai (tax-farms). Mereka tidak dibenarkan mempunyai pendapatan sampingan selain daripada gaji yang dibayar oleh Kerajaan pusat. Peraturan itu juga menegaskan bahawa Gabenor bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Gabenor tidak mempunyai kuasa ke atas kakitangan bawahan. Sebarang tindakan yang diambil oleh Gabenor hendaklah dilaporkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Wilayah dalam masa tujuh hari selepas tindakan itu diambil.

Jika dilihat pada Peraturan 1899, jelas menunjukkan bahawa peraturan ini bertujuan melumpuhkan kekuasaan Raja negeri dan dengan demikian menguatkan lagi cengkaman kerajaan pusat ke atas pentadbiran wilayah.Dengan peraturan ini pihak berkuasa di Bangkok berharap ia akan dapat mengawal wilayah-wilayah luar khasnya daripada gangguan pihak asing

Proses pelaksanaan Peraturan 1899 ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.Putera Damrong tidak mahu pelaksanaan reformasi pentadbiran ini menimbulkan tanggapan negatif kuasa-kuasa Barat, khususnya British, bahawa pihak Siam sedang berusaha menyekat pengaruh mereka di wilayah-wilayah tersebut. Putera Damrong pernah mengingatkan kakitangan pentadbirannya tentang pentingnya mengekalkan hubungan baik dengan British kerana kerajaan Siam perlukan sokongan pihak British bagi membendung ancaman Perancis [28]. Di samping itu beliau juga tidak mahu menggunakan paksaan ke atas raja-raja negeri supaya menerima peraturan baru itu. Beliau bimbang tindakan semacam itu akan hanya ‘…alienate the provincial nobility and make them run to the foreigners’. Berdasarkan prinsip ini, Putera Damrong memulakan usaha ke arah penyusunan semula sistem pentadbiran di wilayah-wilayah luar.

Nama lama/ baru[sunting | sunting sumber]

  • Phuket (Bukit). Nama lain ialah Tongkah.
  • Thalang (Tanjung Salang)
  • Yala (Jala)
  • Betong (Betung)
  • Bannang Sata (Bendang Setar)
  • Raman (Reman)
  • Kabang (Kabae / Kabe)
  • Krong Pinang (Kampung Pinang)
  • Narathiwat (Menara)
  • Tak Bai (Tabal)
  • Rueso (Rusa)
  • Su-ngai Kolok (Sungai Golok)
  • Su-ngai Padi (Sungai Padi)
  • Tanyongmat (Tanjung Mas)
  • Buketa (Bukit Tar)
  • Pattani (Pantai Ini)
  • Sai Buri (Selindung Bayu @ Teluban)
  • Yaring (Jaring)
  • Krue Sae (Gersik)
  • Panare (Penarik)
  • Yarang (Jarang @ Binjai Lima)
  • Songkhla (Singgora) bermaksud ‘Bandar Singa’
  • Chana (Chenok)
  • Na Thawi (Nawi)
  • Thepha (Tiba)
  • Saba Yoi (Sebayu)
  • Ranot (Renut)
  • Sadao (Sendawa)
  • Samila Beach (Pantai Bismillah)
  • Satun (Setul)
  • Khuan Don (Dusun)
  • Phang Nga (Pungah). Ada sumber lain mengatakan daripada nama 'Kuala Bunga'.
  • Ko Similan (Pulau Sembilan)
  • Ko Panyee (Pulau Panji)
  • Ko Phi Phi (Pulau Pi Ah Pi)
  • Takua Pa (Kupa)
  • Phattalung (Bedalong / Merdelong)
  • Trang (Terang)
  • Ranong (Rundung)
  • Krabi (Ghraibi)
  • Chaiya (Cahaya)
  • Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja / Bandar Sri Raja Dharma). Nama lama bagi negeri ini ialah ‘Tambralingga / Ligor’.
  • Tenasserim (Tanah Seri). Di dalam wilayah negara Myanmar (Burma) pada hari ini.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Paul Wheatley 1961, ms, 387-412
  2. ^ Teeuw & Wyatt, 1970, ms. 3
  3. ^ Teeuw & Wyatt, 1970, ms 68
  4. ^ Mills 1930
  5. ^ Teeuw & Wyatt 1970,ms 4
  6. ^ Teeuw & Wyatt 1970, ms 68-69
  7. ^ Gresick, 1976, ms127
  8. ^ Thadeus & Chadin Flood, 1978, ms, 15
  9. ^ Wenks, 1968, ms 101
  10. ^ Light, 1786
  11. ^ Teeuw & Wyatt, 1970, ms 23
  12. ^ Bonney, R 1971, ms. 79
  13. ^ Rahmat Saripan, 1979, ms. 83
  14. ^ Rahmat Saripan, 1979, ms72-73
  15. ^ Rahmat Saripan, 1979, ms. 115
  16. ^ Ibrahim Syukri
  17. ^ Mills, 1960,ms 34 ....there was no profit to be obtained from governing as a Siamese province a distant state whose inhabitants were resolved not to submit to alien rule. The experiments had been tried for twenty years, and the only result had been a constant series of rebellions
  18. ^ Mills 1960, ms, 192-93 ...the company had grown weary of bolstering up their (Siamese) power in Kedah. Should another revolt occur, the Straits Government had been ordered not to assist in its suppression
  19. ^ Nantawan Haemindra, 1960
  20. ^ Tej Bunnag, 1977, ms 91 ....If we do not put our administration in order, we will not have enough income, which is the source of the power needed to defend the country. The expansion of the earnings which result from the facilitation of the people’s methods of earning their livelihood and making a living out of the produce of the soil. The strengthening and the retionalization of the administration and the development of the economy are therefore the ultimate aims of this kingdom...
  21. ^ Iraklein, 1968, ms. 52-68
  22. ^ Chandran, 1971, ms. 143-59
  23. ^ Ira Klein, 1968, ms. 62-68
  24. ^ Chandran, J 1971,ms 143-59
  25. ^ Chandran, J 1970, ms 105-120
  26. ^ Nantawan Haemindra, 1976
  27. ^ Tej Bunnag, 1977, ms 118
  28. ^ Tej Bunnag, 1977, m s. 138-39