Hulu Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Flag of Perak.svg

Daerah
Perak Darul Ridzuan
Hulu Perak
Pejabat daerah Gerik
Pegawai daerah n/a
Kawasan
 - Jumlah -- km²
Populasi
 - Anggaran 2005 --
 - Kepadatan --/km²

Hulu Perak merupakan daerah yang terletak di timur laut negeri Perak. Disebelah timur daerah negeri ini, ialah negeri Kelantan, manakala diutaranya pula ialah daerah Baling, Kedah. Di selatan daerah ini ialah daerah Kuala Kangsar. Bersempadan dengan negera Thailand disebelah timur laut, daerah ini juga merupakan salah satu pintu masuk diantara Malaysia dan Thailand. Dibelah barat daya daerah ini ialah daerah Larut, Matang dan Selama.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah Pembukaan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1511, setelah Kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Shah telah berpindah dan menubuhkan kerajaannya di Bentan. Pada tahun 1526, Portugis telah menyerang kerajaannya sekali lagi menyebabkan baginda terpaksa berundur ke Kampar dan menubuhkan kerajaannya di sana.

Pada masa itulah Tun Saban telah berhijrah ke Hulu Patani dan tinggal di satu tempat bernama Beredung Budi; kemudian berpindah ke Hutan Belum, di Hulu Perak, dan membuka kampung di tempat yang bernama Relap Hati lalu menjadi ketua orang-orang di Hutan Belum.

Tun Saban[sunting | sunting sumber]

Pada masa itu, Negeri Perak belum ada raja tetapi penduduknya sudah ramai. Maka pada suatu ketika yang baik, Tun Saban telah pergi ke Kampar, mengadap Sultan Mahmud Shah, memohon seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak. Baginda lalu mengurniakan puteranya bernama Raja Muzaffar beserta dengan alat kebesaran negeri. Pada tahun 1528, Raja Muzaffar telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah.

Setelah Tun Saban meninggal dunia,(tiada catatan mengenai tarikh sebenar) tetapi mayatnya dikebumikan di Changkat Merah dan hingga sekarang pusaranya itu terkenal dengan nama Keramat Tok Merah. Beberapa orang keturunannya dilantik menjadi Orang Besar di Negeri Perak.

Keramat Tok Merah mungkin ada kebenaran. Namun, menurut ahli surih tua. Tun Saban Makamnya dikebumikan di GUnung Bubu. Namun kesahihan ada sebetulnya kerana Gunung Bubu yang sebetulnya terletak di Kuala Kangsar.

Penamaan Asal[sunting | sunting sumber]

Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi oleh hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai lalu membuka hutan di Kuala Sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tua bernama Tok ‘Ad (Tok Sa’ad).

Tiada beberapa lama lepas itu, Raja Negeri Reman yang bernama Tuan Jagong, datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tiada jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.

Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda terdengar suatu bunyi yang ganjil dari perdu serumpun buluh. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orang-orangnya menggali untuk mencari punca bunyi yang ganjil itu.

Setelah digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan (Dekan, nama sejenis binatang rupanya seakan-akan tikus) sedang menggerit (memakan) umbi buluh. Oleh sebab umbi buluh itu sangat keras, maka gigitan dekan-dekan itu telah menghasilkan bunyi berkerit-kerit.

Raja Reman telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan `Gerit’ itu telah dipakai beberapa lama, tetapi orang-orang yang kemudian telah mengubah sebutan dan ejaannya daripada ` Gerit’ kepada `Grik’, kemudian menjadi `Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.

Kelian Intan[sunting | sunting sumber]

Pada masa dahulu seorang pembesar Negeri Reman bernama Wan Itam telah membuka kelian (lombong bijih timah) berhampiran dengan Gunung Paku. Semenjak itulah tempat tersebut dipanggil orang `Kelian Wan Itam’. Lama-kelamaan perkataan `Kelian Wan Itam’ itu telah berubah sebutannya menjadi ` Kelian Intan’.

Peperangan & Penjajahan[sunting | sunting sumber]

Peperangan Perak-Reman[sunting | sunting sumber]

Hulu Perak pada asalnya adalah sebahagian daripada negeri Reman. Negeri Reman pula adalah sebahagian daripada wilayah negeri Pattani besar. Orang-orang Melayu Patani ialah orang pertama yang mendiami dan membuka hutan di Hulu Sungai Perak. Oleh itu Raja negeri Reman menganggap kawasan Hulu Sungai Perak adalah jajahan takluknya. Raja Reman telah pergi ke Kelian Intan dan mengusahakan lombong bijih timah di sana. Dalam tahun 1826, Sultan Perak telah membuat satu Perjanjian Persahabatan dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang. Tidak beberapa lama selepas itu, Sultan Perak telah menghantar satu pasukan tentera yang kuat diketuai oleh Dato Seri Lela untuk menyerang orang-orang Melayu Reman. Oleh kerana serangan tentera Perak itu secara mengejut maka orang-orang Reman dapat dikalahkan. Bagaimanapun, beberapa tahun kemudiannya, Raja Reman telah dapat menawan semula Kelian Intan dan Kroh.

Suruhanjaya Campbell[sunting | sunting sumber]

Daerah Hulu Perak itu sangat luas, iaitu bermula dari Selatan Negeri Patani sampai ke Kuala Temong. Menjelang kurun kesembilan belas, sebahagian besar daripada Daerah Hulu Perak telah termasuk di bawah pemerintahan Negeri Reman.

Dalam tahun 1899, satu Suruhanjaya yang diketuai oleh Tuan Campbell telah dibentuk untuk menyiasat dan menyelesaikan pertikaian sempadan di antara Perak dan Reman. Hasilnya, sempadan kedua-dua negeri itu yang telah ditetapkan di Bukit Nasah dalam tahun 1882 dahulu, telah dipersetujui diganjak sedikit sampai ke Mukim Gerik dan Temenggor. Dari semenjak itu, pertikaian di perbatasan Perak - Reman itu pun reda sedikit terutama setelah Kerajaan Siam menghapuskan sistem pemerintahan beraja di Reman dalam tahun 1902.

Perjanjian Inggeris-Siam[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Julai 1909 Kerajaan Siam telah membuat suatu perjanjian dengan Kerajaan Inggeris untuk menyerahkan Negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Governor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Di antara lain-lain syarat dalam perjanjian itu Kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik Daerah Hulu Perak yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada Kerajaan Negeri Perak. Istiadat penyerahan itu telah dilangsungkan di Kroh, pada 16 Julai 1909.

Pegawai-pegawai yang mewakili Kerajaan Perak bagi menerima penyerahan itu adalah seperti berikut:-

  • Wan Muhammad Isa, Orang Kaya Menteri
  • Wan Muhammad Salleh, Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja.
  • E.W. Birch, Residen British Perak.
  • A.S. Jelf MCS, Penolong Setiausaha kepada Residen British Perak.
  • H. Berkeley, Hakim Daerah Hulu Perak
  • G. Simpson, Merinyu Polis Kuala Kangsar
  • J.D. Kemp, Pengurus Rahman Hydrolic Tin Limited, Klian Intan.

Kerajaan Siam diwakili oleh Keluong Wan Husain, pembesar Siam di Betong.

Perjanjian Perak-Kedah[sunting | sunting sumber]

Pada 4 Mac 1912 satu perjanjian telah dibuat di antara Kerajaan Perak dengan Kerajaan Kedah. Menurut perjanjian itu, Kerajaan Kedah bersetuju menyerahkan kawasan Belukar Semang dan Tasik kepada Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Perak pula bersetuju membiayai pembinaan jalan raya dari Baling ke Kuala Ketil sejauh 24 batu.

Kawasan yang diserahkan oleh Siam bersama-sama dengan kawasan Belukar Semang dan Tasik oleh Kedah itu dinamakan `Jajahan Baharu’ (The New Territory) dan telah disatukan dengan kawasan lain di Daerah Hulu Perak

Pentadbir Eropah yang pertama[sunting | sunting sumber]

Pegawai pentadbir bangsa Eropah yang pertama berkhidmat di Hulu Perak ialah Cerlo Ferdinando Bozzolo, berbangsa Itali. Sebelum bertugas di Hulu Perak, beliau pernah membuka lombong bijih timah di Negeri Patani, tetapi perusahaannya itu tidak maju lalu beliau berhijrah ke Perak.

Dalam tahun 1880, jawatan yang mula-mula disandangnya ialah Merinyu Jalan Raya. Pada 1 Januari 1881 beliau dilantik menjadi Penguasa Ladang Kerajaan. Oleh kerana beliau pandai bertutur bahasa Siam dan Patani, maka beliau telah dua kali diutuskan ke Negeri Reman bagi merundingkan pertikaian sempadan di antara Perak dengan Reman. Pada 1hb Januari 1888 Bozzolo telah dilantik menjadi Pemungut cukai dan Hakim Daerah Hulu Perak.

Pusat pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya, Daerah Hulu Perak itu ditadbirkan dari Kuala Kangsar. Pegawai-Pegawai kerajaan hanya datang sesekali ke Kota Tampan dan Lenggong. Keadaan tersebut berlarutan hingga ke tahun 1886 apabila kerajaan membuka Teluk Janing (sekarang kawasan tersebut di panggil Kuala Kenering) sebagai pusat pentadbiran yang baru. Tempat tersebut terletak di tepi Sungai Perak, lebih kurang 50 batu ke utara Kuala Kangsar.

Di Telok Janinglah terletak pejabat-pejabat kerajaan dan lain-lain bangunan yang penting seperti balai polis, pejabat pos, pejabat hutan dan sebagainya. Setelah Gerik termasuk ke dalam wilayah Hulu Perak (selepas syor dan perakuan Suruhanjaya Campbell 1899) ramai orang-orang Melayu telah berpindah dan menetap di Gerik.

Pada awal tahun 1901, Ibu Pejabat Daerah Hulu Perak telah dipindahkan daripada Telok Janing ke Gerik. Pekan Gerik yang asal itu adalah kecil sahaja; rumah-rumah kedai dibuat daripada papan dan beratapkan daun bertam. Kedudukan pekan itu ialah di tempat yang dinamakan Jalan Wan Mat Salleh sekarang. Dengan terbukanya perusahaan melombong bijih timah di Temenggor, Pekan Gerik telah bertambah maju dan penduduk bertambah ramai.

Mukim[sunting | sunting sumber]

  1. Mukim Belukar Semang
  2. Mukim Belum
  3. Mukim Durian Pipit
  4. Mukim Gerik
  5. Mukim Kenering
  6. Mukim Pengkalan Hulu
  7. Mukim Kerunai
  8. Mukim Lenggong
  9. Mukim Temelong
  10. Mukim Temengor
  11. Bandar Gerik
  12. Bandar Kelian Intan
  13. Bandar Pengkalan Hulu
  14. Bandar Lawin
  15. Bandar Lenggong