Ronnie Hussein

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ronnie Hussein
Ronnie mengadakan persembahan pada 2015.
Kelahiran
Shahron bin Hussein

(1981-09-23) 23 September 1981 (umur 42)
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PekerjaanPenyanyi
Tahun aktif1999–kini
Kampung asalJohor Bahru, Johor
PasanganHafizah Yahya (k. 2006)
Anak-anak3
Kerjaya muzik
Genre
InstrumenVokal
Pengkarya berkait

Shahron "Ronnie" Hussein (lahir 23 September 1981) ialah seorang penyanyi lelaki Malaysia. Beliau merupakan bekas vokalis kumpulan Hyper Act yang terkenal dengan lagu "Harapan" dan "Ku Tiba Lagi". Sebelum menyertai Hyper Act, beliau merupakan vokalis untuk Sunday yang terkenal dengan lagu Semakin Hari, Semakin Jauh.[1] Beliau juga pernah menyertai One in a Million musim kedua. Sebagai penyanyi solo, Ronnie melancarkan single solo sulungnya, "Dikoyak Waktu" hasil nukilan Aepul Roza.[2]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Ronnie dilahirkan pada 23 September 1981 di Melaka dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.[3] Beliau ialah anak kepada pasangan Hussein Mahmood, seorang pekerja am di sekolah rendah dan Che Nah Jaafar, seorang suri rumah.[3] Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang, Tanjung Pelepas sehingga Darjah 2. Keluarganya berpindah ke kawasan Lima Kedai, Gelang Patah yang mana beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gelang Patah.[3]

Ronnie juga pernah menyertai Kelab Pengakap dan aktif bermain kriket dan hoki sekaligus terpilih mewakili peringkat negeri bagi pertandingan kriket dan pernah beraksi di India dan Pakistan sebelum menamatkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada 1991. Ronnie kemudian mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah di mana beliau lebih banyak bergiat aktif dalam kelab berbanding pelajaran.[3] Ronnie mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekaligus menerima tawaran menyambung pengajian di universiti, namun beliau memlilih untuk tidak menyambung pelajaran dan memutuskan untuk bekerja.[3]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Selepas tamat SPM, Ronnie berhijrah ke Kuala Lumpur menaiki bas dengan wang belanja sebanyak RM100. Beliau ditawarkan bekerja di sebuah kafe di Bandar Sunway, Selangor selama 3 bulan sebelum pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.[3] Ronnie kemudian bekerja di sebuah restoran di Marina Square, Singapura selama hampir lapan bulan, seterusnya mencuba nasib menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran TV3 namun tidak berjaya ke pentas akhir.[3] Pertemuan dengan rakan bernama Zuri membawanya kembali ke Kuala Lumpur pada 1999, akhirnya bertemu dengan komposer Stone yang memperkenalkan beliau kepada dunia seni suara.[3]

Sunday[sunting | sunting sumber]

Ronnie ialah vokalis kumpulan Sunday yang meraih kejayaan komersial dalam tempoh yang singkat dalam industri muzik Malaysia.[3] Selain Ronnie, ahli kumpulan ini termasuk Elly (gitar), Kamal (bes) dan Ajib (dram). Kumpulan itu merakamkan satu-satunya album studio mereka yang bertajuk Hari Minggu Yang Bingung di bawah label Nova Music. Sunday dibubarkan selepas setahun aktif.[4]

Hyper Act[sunting | sunting sumber]

Selepas meninggalkan Sunday, Ronnie menjadi vokalis kumpulan Hyper Act yang ditubuhkan pada 2011 dan meraih kejayaan komersial menerusi lagu "Harapan" dan "Ku Tiba Lagi". Selepas empat tahun bersama, Ronnie meninggalkan kumpulan itu pada 2015 sambil mengatakan untuk membantu menyelesaikan krisis yang menyelubungi Hyper Act.[5][6]

Kerjaya solo[sunting | sunting sumber]

Kerjaya solo Ronnie bermula pada 2003 apabila beliau bekerjasama bersama penyanyi Indonesia, Yanti Aryanto merakamkan semula lagu "Bintang Kehidupan" nyanyian asal Nike Ardilla, lagu ini menjadi kejayaan komersial.[3] Pada tahun 2015, selepas meninggalkan Hyper Act, beliau merakamkan single solo pertamanya, "Dikoyak Waktu" hasil ciptaan vokalis Drama Band, Aepul.[7] Ia dipilih sebagai lagu tema drama Demi Cinta Ain yang disiarkan di TV3.

Penampilan lain[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007, Ronnie telah terpilih sebagai salah seorang daripada 12 peserta One in a Million musim kedua, namun tersingkir di konsert minggu kedua. Beliau merupakan antara penyanyi yang menjayakan persembahan di Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro yang diadakan pada 16 April 2016, antara yang terlibat dalam konsert itu ialah Akim & The Majistret, Sakura Band dan Sandra Dianne.[8] Ronnie bersama Sarah Fazny ialah salah satu daripada 8 pasangan duet yang mengambil bahagian dalam rancangan Duo Star di Astro Ria, namun tersingkir di konsert minggu kelima.[9][10]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Ronnie berkahwin dengan Hafizah Yahya pada 2008 dan dikurniakan tiga anak - dua anak perempuan[11] dan seorang anak lelaki.[12]

Beliau juga ialah pemilik restoran Ibunda Seafood yang beroperasi sejak 2009.[13]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Single[sunting | sunting sumber]

  • "Bintang Kehidupan" (duet bersama Yanti Aryanto) (2003)
  • "Buatmu di Sisi" (duet bersama Mafarikha Akhir) (2013)
  • "Dikoyak Waktu" (2015)
  • "Melangkah Laju" (duet bersama Iwere) (2015)
  • "Kau Masih Mawar Merah" (2016)
  • "Menanti Janji" - lagu runut bunyi daripada drama Biar Aku Jadi Penunggu (2016)
  • "Pesimismu" (2018)

Album Bersama Sunday[sunting | sunting sumber]

  • "Hari Minggu Yang Bingung" (2001)

Album Bersama Slam[sunting | sunting sumber]

  • "Menggapai Langit" (2007)

Album Bersama Hyper Act[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Farihad Shalla Mahmud (29 Januari 2017). Ronnie Hussein makin melaram Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2017.
  2. ^ Deric Ect (17 June 2015). Ronnie Hussein debuts solo single, "Dikoyak Waktu", gets harrased by media members more concerned about Hyper Act drama Daily Seni. Dicapai pada 5 Oktober 2015.
  3. ^ a b c d e f g h i j Syed Mussaddad Syed Mahdi (1 November 2015). "Ronnie bertunang 10 tahun". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-04. Dicapai pada 18 Disember 2015.
  4. ^ Rudy Imran Shamsuddin (20 Jun 2018). Pantang mengalah Harian Metro. Dicapai pada 5 Oktober 2018.
  5. ^ Mohd Al Qayum Azizi (11 Mei 2015). "Ronnie sahkan disingkir untuk selesaikan kemelut Hyper Act". mStar Online. Dicapai pada 30 September 2015.
  6. ^ Dennis Chua (17 Jun 2015). "Singer Ronnie Hussein leaves Hyper Act" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 30 September 2015.
  7. ^ Orang luar dalang kemelut Hyper Act Berita Harian. 16 Jun 2015. Dicapai pada 5 Oktober 2015.
  8. ^ Ramlah Zainal (14 April 2016). Promosi single terbaru Harian Metro. Dicapai pada 3 Oktober 2016.
  9. ^ Duo Star: Ronnie Hussein dan Sarah Fazny tersingkir Astro Awani. 22 Januari 2017. Dicapai pada 5 Oktober 2017.
  10. ^ Dennis Chua (5 Disember 2016). Duo Star: The power of two takes centre stage on Astro Ria New Straits Times. Dicapai pada 5 Oktober 2017.
  11. ^ Tak rela berjauhan dengan anak, hampir 10 tahun Ronnie Hussein ulang-alik KL-JB Astro Awani. 9 Disember 2016. Dicapai pada 1 Oktober 2017.
  12. ^ Rafiq Mazlan (17 Mei 2019). "Allahuakbar... Allahuakbar..." - Ronnie Hussein dan isteri selamag timang anak lelaki Media Hiburan. Dicapai pada 3 Oktober 2019.
  13. ^ Amirul Haswendy Ashari (3 April 2020). Ronnie bawa selera berbeza Harian Metro. Dicapai pada 5 Oktober 2018.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]