Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia, Erra Fazira telah muncul dalam banyak kredit lakonan dan rancangan televisyen. Beliau membuat penampilan televisyen pertamanya pada usia 17 tahun dengan berkhidmat sebagai pengacara rancangan Temasya Aidilfitri (1991) dan membuat penampilan layar lebar pertamanya menerusi watak utama bersama Awie dan Ziana Zain dalam filem Sembilu (1994)[1][2] dan kesinambungannya yang ditayangkan pada 1995,[3][4] meraih kejayaan pecah panggung. Antara 1996 dan 1998, beliau muncul dalam beberapa filem yang mencapai kejayaan komersial, termasuk Tragedi Oktober (1996) dan Gemilang (1997). Kejayaan filem-filem ini menjadi penanda aras dalam kerjaya lakonan beliau, sekaligus menerima jolokan "Primadona Filem Melayu Alaf Baharu" dan menjadikan beliau sebagai antara pelakon wanita yang terlaris di pawagam Malaysia.
Berikutan kejayaan ini, Erra kemudian membintangi dua filem yang menerima pengiktirafan kritis pada tahun 2000, iaitu memegang watak seorang gadis biasa menjadi seorang peragawati terkenal setelah dia dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia dalam filem Pasrah (2000) yang berdasarkan dari kisah benar beliau;[5] dan watak jurujual yang bercinta dengan seorang pemuda berpendidikan tinggi dalam Soal Hati.[6] Menerusi filem Soal Hati lakonannya, beliau dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13 dan Aktres Terbaik di Anugerah Skrin 2001. Beliau paling dikenali menerusi gandingan hebatnya bersama Rosyam Nor menerusi beberapa filem, seperti Gerak Khas The Movie (2001), Janji Diana (2003), KL Menjerit 1 (2005) dan Castello (2006). Selain itu, beliau juga dikenali menerusi gandingannya bersama bekas suaminya, Yusry Abdul Halim menerusi filem Mr. Cinderella (2002), Cinta Kolestrol (2003) dan Hingga Hujung Nyawa (2004). Menerusi persembahannya dalam Hingga Hujung Nyawa, Erra memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18. Beliau membuat penampilan sulungnya di Hollywood apabila digandingkan bersama Christopher Atkins dalam filem Hidden yang menjalani penggambaran pada 2007 dan ditayangkan pada 2011. Dalam filem ini, beliau memegang watak seorang wanita yang bimbang melihat tumbesaran anak lelakinya, yang tidak seperti kanak-kanak lain.[7][8][9]
Beliau terus menguasai industri perfileman dengan filem-filem lakonannya yang lain termasuk Longkai (2013), Warna Cinta Impian (2016), Soulmate Hingga Jannah (2017), Polis EVO 2 (2018), Bikin Filem (2020) dan Kongsi Raya (2022). Erra membuat penampilan pentas pertamanya menerusi pementasan teater Selendang Umi (1998) karya Sasterawan Negara, Noordin Hassan.[10][11] Drama pertama yang dibintanginya ialah Mertua vs Menantu (2008–2009) dengan melakonkan watak utama bersama Rozie Othman, Aqasha dan Raja Farah.[12] Bagi persembahannya dalam telefilem Sanggul Beracun (2011) yang menggandingkan beliau bersama Sabri Yunus, Erra meraih pencalonan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2011 yang berlangsung di Singapura.[13][14] Dari 2018 sehingga 2021, beliau melakonkan watak ASP Jeslina dalam siri drama kepolisan Gerak Khas dan kembali menjayakan peranannya dalam Gerak Khas Undercover (2021–2022).
Selain dari kerjaya lakonan, Erra turut berkecimpung dalam bidang pengacaraan dengan mengacarakan Fesyen Tempo, Dunia Wanita, Primadona dan Mingguan Wanita. Beliau juga muncul dalam rancangan TV realiti mengenai anak sulungnya, Gugu Gaga Erra yang memaparkan perjalanan beliau sebagai ibu kepada anaknya, Engku Aleesya.[15] Beliau turut menjadi salah seorang mentor dalam rancangan TV realiti nyanyian, Mentormusim kelima yang mana beliau bertanggungjawab membimbing anak didiknya, Salma Asis.[16] Beliau turut menyumbangkan suaranya untuk watak tajuk dalam filem animasi Putih (2001).[17]