Majlis Perbandaran Kluang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Majlis Perbandaran Kluang merupakan sebuah pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran, perancangan dan pembangunan mapan serta keindahan perbandaran Kluang.

Kedudukan Kluang terletak di tengah-tengah Negeri Johor Darul Ta'zim, dikelilingi oleh semua daerah, kecuali daerah Muar. Keluasan daerah Kluang ialah 2,8518.8 kilometer persegi. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis seluas 126.57 kilometer persegi. Kluang mudah dihubungi dengan bandar-bandar lain dengan melalui rangkaian jalan raya dan keretapi.

Tahun 1915 merupakan tahun bersejarah bagi Kluang. Pada tahun tersebut pusat pentadbiran telah ditubuhkan bagi kawasan tengah Johor. Pada tahun yang sama juga perhubungan landasan keretapi menghubungi Kluang dengan bandar-bandar utama lain telah dibina. Pertumbuhan pesat bandar Kluang bermula pada tahun 1920-an dan 1930-an dengan daerah pengeluar getah paling utama.

Majlis Perbandaran Kluang diberi kuasa menerusi Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan beberapa akta lain berkaitan serta Undang-undang Kecil untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya. Sejarah penubuhannya sebagai penguasa tempatan bermula pada tahun 1920 apabila Lembaga Bandaran Kluang dibuka. Lembaga Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang pada tahun 1957, Majlis Daerah Kluang Utara pada 1977 dan seterusnya diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Kluang pada 8 Mei 2001.