Batu Pahat (bandar)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini tentang sebuah bandar. Untuk daerah keseluruhan, sila lihat Batu Pahat.
Batu Pahat (باتو ڤاهت)
Bandar Penggaram
بندر ڤڠڬارم
Ukiran batu dipahat.

Lambang
Nama panggilan: BP
Batu Pahat (bandar) yang terletak di Semenanjung Malaysia
Batu Pahat (باتو ڤاهت)

Lokasi di Semenanjung Malaysia

Batu Pahat (bandar) yang terletak di Malaysia
Batu Pahat (باتو ڤاهت)

Lokasi di Malaysia

Koordinat: 1°51′00″N 102°56′00″E / 1.85000°U 102.93333°T / 1.85000; 102.93333Koordinat: 1°51′00″N 102°56′00″E / 1.85000°U 102.93333°T / 1.85000; 102.93333
Negara  Malaysia
Negeri  Johor
Penubuhan 1894
Majlis Daerah 1976
Majlis Perbandaran 2001
Kerajaan
 • Pegawai daerah, Yang Dipertua Norizan Kulop
Populasi (2010)
 • City 311,862
 • Metro 468,058
Zon waktu MST (UTC+8)
 • Musim panas (DST) Tidak diamalkan (UTC)
Poskod 83xxx
Kod awalan panggilan antarabangsa +60742XXXXX, +60743XXXXX, +60744XXXXX, +60745XXXXX
(talian darat sahaja)
Laman web www.mpbp.gov.my

Batu Pahat (باتو ڤاهت, juga dikenali sebagai Bandar Penggaram atau BP) merupakan bandar yang terdapat di dalam daerah dengan namanya yang sama. Bandar ini terletak di barat negeri Johor serta dikelilingi oleh daerah Muar, Segamat, Pontian dan Kluang.

Pada tahun 2009, Batu Pahat merupakan bandar ke-20 terbesar di Malaysia dari segi jumlah penduduknya. Ia juga bandar kedua terbesar dalam negeri Johor selepas bandaraya Johor Bahru.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat pula dikenali sebagai Sungai Kundur. Ia merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Sultan Hussain Shah di Singapura dan Johor, dua orang ketua dari keturunan orang Melayu Daik dan seorang lagi dari Simpang Kiri bernama Rapang dari keturunan Orang Besar Pahang telah menghadap Sultan Hussain. Mereka berdua telah diberi taraf penghulu oleh Sultan Hussain di tempat masing-masing pada tahun 1834.[1]

Berikutan dengan pembukaan petempatan-petempatan kecil ini, maka kawasan Batu Pahat ini telah bertambah maju dan meluas. Pada tahun 1885 beberapa orang berketurunan Inggeris iaitu Stiple, Jackson dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di kaki Bukit Penggaram iaitu sebuah bukit yang berhampiran dengan Pengkalan Jeram. Pemborong yang telah mengerjakan ladang itu ialah seorang Cina bernama Lim Soo Poon telah menjadi seorang kaya (taukeh) dan beliau telah dapat membuat empat pintu rumah batu berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.[1]

Usaha-usaha untuk membuka bandar Batu Pahat semakin giat dijalankan pada tahun 1888 oleh Dato' Yahya bin Awaluddin yang juga dikenali sebagai Dato' Yahya Tinggi di suatu kawasan bernama Bukit Senangin, Kampung Tambak iaitu di tebing kanan Sungai Batu Pahat. Tetapi usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor geografi dan ekonomi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada, di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akhirnya akan dimasuki "angin". Akhirnya tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Pada tahun yang sama juga, seorang lagi pembesar yang bergelar Dato' Yahya Rendah cuba membuka bandar di kawasan Senangar tetapi gagal juga kerana orang-orang tua pada masa itu menyatakan "nanti mulut ternganga".[1]

Pembukaan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1889, Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama ini telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang telah tertarik akan tempat itu termasuklah pendatang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain. Orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi di kampung itu. Di antara orang yang terkenal di situ ialah Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar).[2]

"Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..."

Sultan Abu Bakar[2]

Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu di Batu Pahat bagi membuka sebuah bandar dan ditambah pula dengan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap dan Chaah. Maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang yang terdiri daripada orang-orang kaya, para penghulu, menteri penghulu dan jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad yang merupakan Ketua Pengaman Batu Pahat ketika itu. Keputusan perjumpaan tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) sebagai wakil daripada perjumpaan tersebut untuk mengadap Sultan Abu Bakar bagi memohon Dato' Bentara Luar pada ketika itu iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang membuka sebuah bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan bahawa usaha membuka sebuah bandar kali ini berhasil.[2]

Pada 4 November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu mendiami di Kampung Senangar telah dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11 November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka bandar Batu Pahat itu. [2]

Kedudukan[sunting | sunting sumber]

Kedudukan tempat yang hendak dijadikan Bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan Bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi berbukit dan subur bagi tanam-tanaman. Dato' Bentara Luar membina rumah kediamannya di Kampung Penggaram yang bertentangan dengan Tasek Kadri untuk membuat kerja-kerja membuka bandar.[3]

Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan kerja menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah, dan tambak menambak batu di jalan. Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri.[3]

Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit, dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai $ 1,500.00.[3]

Pengisytiharan[sunting | sunting sumber]

Pada 1hb. Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat. Selain diwujudkan sistem pentadbiran moden dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu menggantikan sistem tradisional, Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif.[4]

Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.[4]

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar (General Commisioner) Johor dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896. Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Masa bandar ini dibangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah $ 15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah $ 55,375.00.[4]

Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.[4]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 (Bahasa Melayu) "Latar belakang pengenalan", Portal MPBP, 19 Jun 2009. Dicapai pada 10 Julai 2011. (Melayu) 
  2. 2.0 2.1 2.2 2.3 (Bahasa Melayu) "Latar belakang pembukaan", Portal MPBP, 19 Jun 2009. Dicapai pada 10 Julai 2011. (Melayu) 
  3. 3.0 3.1 3.2 (Bahasa Melayu) "Latar belakang kedudukan", Portal MPBP, 19 Jun 2009. Dicapai pada 10 Julai 2011. (Melayu) 
  4. 4.0 4.1 4.2 4.3 (Bahasa Melayu) "Latar belakang pengisytiharan", Portal MPBP, 19 Jun 2009. Dicapai pada 10 Julai 2011. (Melayu) 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikivoyage memiliki panduan pelancongan bagi Batu Pahat.