Bandar Penawar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Bandar Penawar merupakan sebuah bandar baru di daerah Kota Tinggi, timur negeri Johor, Malaysia. Antara lokasi berdekatan ialah Kota Tinggi, Desaru dan Tanjung Balau.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Bandar Penawar merupakan sebuah kawasan bandar baru yang terletak di bahagian selatan negeri Johor, iaitu berkedudukan di tengah-tengah Wilayah Kecil Pengerang.Nama Bandar Penawar diambil bersempena dengan nama sebuah tanjung iaitu Tanjung Penawar , 2 km dari kawasan Bandar Penawar. Keseluruhan kawasan ini merupakan kawasan pertanian - kelapa sawit.

Kawasan Bandar Penawar mula diteroka pada tahun 1972, oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara atau singkatannya KEJORA yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 75/1972 dan Enakmen Lembaga Kemajuan Johor Tenggara 1972. Dengan keluasan 1,314.333 hektar, kawasan bandar baru Bandar Penawar ini merupakan sebahagian daripada 300,364 hektar iaitu 16% daripada keluasan Negeri Johor yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk dibangunkan di bawah KEJORA.

Sewaktu diambil alih oleh KEJORA, sebahagian besar dari kawasan ini masih diliputi oleh hutan. Namun begitu, sudah terdapat juga beberapa buah petempatan FELDA berhampiran yang telah dibina lebih awal iaitu pada akhir tahun 1960-an, seperti Felda Sungai Mas, Felda Papan Timur, Felda Semencu, Felda Gugusan Lok Heng,Felda Gugusan Waha dan Felda Gugusan Air Tawar, serta beberapa perkampungan tradisional dan pekan kecil di sepanjang pantai dan Sungai Johor.

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah bandar baru yang kian berkembang pesat, Bandar Penawar kini telah cukup dilengkapi oleh hampir semua kemudahan awam dan infrastruktur asas. Penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur asas ini telah disediakan lebih awal lagi di kawasan ini dan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa oleh Lembaga Bandaran Johor Tenggara (LBJT).

Di antara kemudahan-kemudahan awam yang ada di Bandar Penawar adalah seperti masjid, surau, dewan serbaguna, balai raya, kompleks sukan, perhentian bas dan teksi, sekolah, balai bomba, balai polis, pejabat pos, poliklinik kesihatan, medan selera dan perpustakaan awam. Dua bank, iaitu Bank Islam Malaysia dan Bank Simpanan Nasional telah membuka Cawangan di Bandar Penawar bagi kemudahan perbankan.

Satu lagi kemudahan sosial yang telah dibina adalah Perpustakaan Awam. Pembinaan perpustakaan ini yang telah diambilalih pengurusan sepenuhnya oleh Perpustakaan Awam Negeri Johor pada 28 Mac 2005 dan mampu menarik lebih ramai penduduk ke Bandar Penawar untuk mencari bahan rujukan dan sumber ilmu.

Bagi kemudahan riadah dan rekreasi penduduk juga tidak dilupakan. Taman Tasik Penawar yang dibina di bawah program pengindahan bandar dan penempatan merupakan di antara kawasan rekreasi yang cukup menarik untuk dikunjungi di Bandar Penawar.


Bandar ini mempunyai sekolah yang terkenal iaitu Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Bandar Penawar, Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu Sekolah Sukan Bandar Penawar) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Penawar. Di samping itu Kolej Profesional MARA, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Institut Kemahiran Belia Negara turut menyediakan peluang pembelajaran bagi memperolehi sijil kemahiran dan peringkat diploma.

Jaringan Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Bandar Penawar adalah destinasi yang amat mudah dikunjungi. Dengan infrastruktur jalan raya yang lebih baik, penduduk dari luar hanya perlu mengambil masa kira-kira hampir satu setengah jam sahaja untuk sampai, menggunakan laluan Johor Bahru-Kota Tinggi.

Manakala penduduk dari Singapura pula boleh menggunakan feri yang berpengkalan di Kompleks Terminal Feri Tanjung Belungkur. Kompleks Terminal Feri ini telah mula beroperasi pada Mei, 1993. Dengan laluan Tanjung Belungkur-Changi, pelancong dari Singapura dapat sampai ke Bandar Penawar dalam tempoh anggaran 1/2 jam sahaja.

Sehingga akhir tahun 1993, dicatatkan bilangan pelancong yang telah menggunakan feri dari kompleks terminal feri ini adalah seramai 23,454 orang, yang mana kebanyakannya adalah pelancong dari Singapura.

Lebuhraya Senai-Desaru merupakan laluan alternatif yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Bandar Penawar dan Desaru yang hanya perlu mengambil masa kira-kira hampir satu jam sahaja untuk sampai.

Tarikan Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Bandar ini juga terletak berdekatan dengan pusat pelancongan terkenal iaitu Desaru , Tanjung Balau dan Batu Layar. Tempat ini menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Pantainya menghadap Laut China Selatan bersih dan halus. Ombak kuat pada musim tengkujuh iaitu pada bulan November - Disember - Januari. Pelbagai hotel dan chalet disediakan untuk penginapan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]