Agama Mesir purba
Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
![]() |
Portal Mesir Purba |
Sebahagian daripada siri |
Mitologi Timur Dekat purba |
---|
Agama Mesir purba merupakan satu sistem kepercayaan politeistik dan upacara yang rumit, yang merupakan sebahagian penting dalam budaya Mesir purba. Ia tertumpu pada interaksi orang Mesir dengan pelbagai dewa yang dipercayai hadir dan mengawal dunia. Ada kira-kira 1500 dewa yang diketahui.[1] Upacara seperti doa dan persembahan diberikan kepada dewa-dewa untuk mendapatkan keredaan mereka. Amalan keagamaan formal tertumpu pada firaun, pemerintah Mesir, yang dipercayai memiliki kuasa ilahi kerana kedudukan mereka. Mereka bertindak sebagai perantara antara rakyat mereka dan para dewa, dan berkewajipan untuk menjaga dewa-dewa melalui upacara dan persembahan supaya mereka dapat mengekalkan Maat, iaitu keteraturan alam semesta, dan menolak Isfet, iaitu kekacauan. Kerajaan melabur sumber yang besar untuk segala upacara keagamaan dan pembinaan kuil.
Individu boleh berinteraksi dengan para dewa untuk tujuan mereka sendiri, memohon bantuan melalui doa atau menarik dewa untuk bertindak melalui sihir. Amalan ini berbeza daripada, tetapi berkait rapat dengan, uoacara dan institusi formal. Tradisi keagamaan rakyat biasa menjadi semakin utama sepanjang sejarah Mesir apabila status firaun merosot. Kepercayaan Mesir tentang kehidupan akhirat dan kepentingan amalan pengebumian terbukti dalam usaha susah payah yang mereka lakukan demi roh mereka untuk terus hidup selepas mati—dengan bekalan di dalam makam, barangan kubur dan persembahan untuk memelihara jasad dan roh si mati.
Agama ini berakar sejak zaman prasejarah Mesir dan bertahan selama 3500 tahun. Maklumat mengenai kepercayaan agama berubah dengan masa ketika kepentingan dewa-dewa tertentu meningkat dan berkurang dan hubungan rumit mereka bertukar. Pada beberapa ketika, dewa-dewa tertentu menjadi lebih utama daripada yang lain, termasuk tuhan matahari Ra, dewa pencipta Amun, dan dewi ibu Isis. Untuk satu tempoh yang singkat, dalam agama yang dicipta oleh firaun Akhenaten, satu dewa, Aten, menggantikan agama tradisional Mesir. Agama dan mitologi Mesir Purba meninggalkan banyak tulisan dan monumen, bersama-sama pengaruh penting terhadap budaya kuno dan moden. Berikutan penaklukan Rom pada 30 SM, agama Mesir merosot dan orang Mesir mula memeluk agama Kristian. Di samping itu amalan seperti membuat mumia dihentikan. Agama Mesir purba dianggap telah mati sepenuhnya pada tahun 530-an. Selepas Arab menakluk Mesir di bawah Amr ibn al-As, orang Mesir mula memeluk Islam.
Kepercayaan
[sunting | sunting sumber]Himpunan kepercayaan dan upacara yang kini dipanggil "agama Mesir purba" sangat integral kepada segenap budaya Mesir. Oleh yang demikian, bahasa Mesir tidak mempunyai perkataan khusus yang bertepatan dengan konsep agama. Agama Mesir purba terdiri daripada pelbagai dan begitu banyak kepercayaan dan amalan, yang saling berhubung dengan fokus utamanya pada interaksi antara alam manusia dan alam ketuhanan. Sifat-sifat para dewa yang mendiami alam dewa berkait rapat dengan pemahaman orang Mesir tentang sifat dunia yang mereka diami.[2]
Dewa-dewi
[sunting | sunting sumber]


Orang Mesir purba percaya bahawa fenomena alam merupakan kuasa ilahi sendiri.[3] Kuasa-kuasa yang didewakan ini merangkumi unsur-unsur alam, sifat-sifat haiwan, atau kuasa yang tidak dapat dilihat. Orang Mesir percaya ada satu himpunan dewa-dewi, yang terlibat dalam semua aspek alam dan masyarakat manusia. Amalan keagamaan mereka merupakan usaha untuk mengekalkan dan menenangkan fenomena-fenomena ini serta mengarahkan kuasa tersebut agar memberi manfaat kepada manusia.[2] Sistem politeisme ini sangat kompleks, kerana sebahagian dewa dipercayai wujud dengan pelbagai bentuk jelmaan, dan ada yang memainkan pelbagai peranan dalam mitologi. Sebaliknya, banyak kuasa alam—seperti matahari—dikaitkan dengan lebih daripada satu dewa. Dewata yang pelbagai ini merangkumi dewa-dewa yang memainkan peranan penting dalam alam semesta sehinggalah kepada dewa-dewa kecil atau "makhluk halus" yang hanya mempunyai fungsi yang terhad atau setempat.[4] Ia juga boleh merangkumi dewa-dewa yang diambil daripada budaya asing, malah kadang-kadang manusia: firaun yang telah mangkat dipercayai menjadi makhluk ilahi, dan dalam beberapa kes, rakyat biasa yang terkenal seperti Imhotep juga didewakan.[5]
Gambaran dewa-dewi dalam seni bukanlah bertujuan untuk mewakili rupa sebenar mereka sekiranya dapat dilihat, kerana sifat sebenar dewa dipercayai bersifat misteri. Sebaliknya, gambaran-gambaran ini memberi bentuk yang dikenali kepada kuasa-kuasa abstrak dengan menggunakan imej simbolik untuk menunjukkan peranan setiap dewa dalam alam semula jadi.[6] Ikonografi ini bukanlah tetap, dan banyak dewa boleh digambarkan dengan lebih daripada satu rupa.[7]
Ramai dewa dikaitkan dengan kawasan tertentu di Mesir, di mana pemujaan mereka paling penting. Namun, kaitan ini berubah mengikut masa, dan tidak semestinya bermaksud dewa yang dikaitkan dengan sesuatu tempat itu berasal dari situ. Contohnya, dewa Montu merupakan penaung asal kota Thebes. Namun begitu, sepanjang zaman Kerajaan Tengah, peranannya telah diambil alih oleh Amun, yang mungkin berasal dari kawasan lain. Populariti dan kepentingan kebangsaan setiap dewa juga berubah-ubah dengan cara yang serupa.[8]
Dewa-dewa mempunyai hubungan antara satu sama lain yang kompleks, sebahagiannya mencerminkan interaksi antara kuasa-kuasa alam yang mereka wakili. Orang Mesir sering mengelompokkan dewa bersama-sama untuk menggambarkan hubungan ini. Antara pengelompokan yang biasa ialah triad keluarga yang terdiri daripada bapa, ibu, dan anak, yang disembah bersama. Sesetengah kumpulan mempunyai kepentingan yang luas. Salah satu daripadanya ialah Ennead, yang menghimpunkan sembilan dewa dalam satu sistem teologi yang berkaitan dengan mitologi penciptaan, pemerintahan diraja, dan alam akhirat.[9]
Hubungan antara dewa juga boleh dinyatakan melalui proses sinkretisme, iaitu apabila dua atau lebih dewa berbeza digabungkan menjadi satu dewa gabungan. Proses ini mengiktiraf kehadiran satu dewa "dalam" dewa yang lain apabila dewa kedua mengambil peranan yang lazimnya dimiliki oleh dewa pertama. Hubungan antara dewa ini bersifat cair, dan tidak bermaksud bahawa dua dewa itu telah bergabung secara kekal; oleh itu, sesetengah dewa boleh mempunyai berbilang hubungan sinkretik.[10] Kadangkala, sinkretisme menggabungkan dewa yang mempunyai sifat yang hampir serupa. Dalam kes lain, ia menyatukan dewa yang sangat berbeza sifatnya, seperti apabila Amun, dewa kuasa tersembunyi, digabungkan dengan Ra, dewa matahari. Maka terhasillah dewa Amun-Ra, yang menyatukan kuasa tersembunyi yang mendasari segala-galanya dengan kuasa alam yang paling terang dan ketara.[11]
Banyak dewa diberikan gelaran yang seakan-akan menunjukkan bahawa mereka lebih agung daripada dewa-dewa lain, seolah-olah menggambarkan satu bentuk kesatuan yang melangkaui pelbagai kuasa alam. Hal ini khususnya benar bagi beberapa dewa yang, pada waktu-waktu tertentu, menjadi amat penting dalam agama Mesir. Ini termasuk Horus (penaung diraja), Ra (dewa matahari), dan Isis (dewi ibu).[12] Sepanjang zaman Kerajaan Baru (sekitar 1550–1070 SM), Amun menduduki tempat tertinggi ini. Teologi pada zaman itu menghuraikan secara terperinci kehadiran dan kekuasaan Amun dalam segala perkara, menjadikannya—lebih daripada mana-mana dewa lain—lambang kekuasaan ilahi yang merangkumi seluruh ciptaan.[13]
Kosmologi
[sunting | sunting sumber]Orang Mesir purba percaya pada Maat, yang mewakili konsep seperti "kebenaran", "keadilan", dan "ketertiban". Maat dilihat sebagai aturan semula jadi alam semesta dan masyarakat, dan kadangkala digambarkan sebagai dewi. Ia telah wujud sejak awal zaman dan penting untuk memastikan segala-galanya harmoni. Orang Mesir berpendapat bahawa Maat sentiasa diancam huru-hara, jadi masyarakat perlu bekerjasama untuk melindunginya. Ini bermakna orang ramai perlu bekerjasama dan bergaul dalam masyarakat, dan para dewa perlu mengekalkan keseimbangan dalam alam semula jadi.[14] Orang Mesir menghormati Maat dengan memberi persembahan kepada dewa-dewa dan melakukan upacara untuk memastikan ketertiban itu dikekalkan.[15][16]
Bahagian yang paling penting dalam pandangan Mesir tentang kosmos ialah konsep masa, yang sangat terhubung dengan pemeliharaan Maat. Masa mengikuti kitaran yang mana peristiwa seperti banjir Nil dan pertukaran raja akan memperbaharui Maat. Perjalanan harian dewa matahari Ra dianggap sebagai peristiwa paling penting dalam kitaran ini.[17][18]
Apabila berfikir tentang rupa alam semesta, orang Mesir percaya bahawa bumi itu rata dan diwakili oleh dewa Geb. Di atas bumi ialah dewi langit Nut. Dewa udara, Shu, memisahkan keduanya. Di bawah Bumi ialah dunia dan langit bawah tanah. Di sebalik langit terdapat Nu, jurang berair yang huru-hara dari sebelum penciptaan.[19][20] Orang Mesir juga percaya pada tempat misteri yang dipanggil Duat, alam yang dikaitkan dengan kematian dan kelahiran semula, yang terletak di alam bawah tanah atau langit. Setiap hari, dewa matahari Ra mengembara di bumi di bawah langit, dan pada waktu malam dia mengembara melalui Duat untuk dilahirkan semula pada waktu subuh.[21]
Dalam kepercayaan Mesir, mereka percaya bahawa terdapat tiga jenis makhluk hidup di alam semesta. Terdapat dewa, roh orang mati yang mempunyai kuasa istimewa seperti dewa, dan manusia hidup biasa. Manusia yang paling penting ialah firaun, yang menghubungkan dunia manusia dengan alam dewa.[22]
Raja
[sunting | sunting sumber]

Ahli Mesir telah lama membahaskan jika firaun dianggap sebagai dewa. Kemungkinan besar orang Mesir menganggap kuasa diraja itu sendiri sebagai kuasa ilahi. Oleh itu, walaupun orang Mesir mengakui bahawa firaun manusia dan tertakluk kepada kelemahan manusia, mereka juga melihatnya sebagai dewa, kerana kuasa ilahi kerajaan menjelma dalam dirinya. Oleh itu dia bertindak sebagai perantara antara rakyat Mesir dan para dewa.[23] Dia kunci untuk menegakkan Maat, baik dengan mengekalkan keadilan dan keharmonian dalam masyarakat manusia atau dengan melayan para dewa dengan kuil dan persembahan. Atas sebab-sebab ini, dia menyelia semua aktiviti keagamaan negeri.[24] Walau bagaimanapun, pengaruh dan prestij sebenar firaun boleh berbeza daripada penggambarannya dalam tulisan dan penggambaran rasmi, dan bermula pada akhir Kerajaan Baru kepentingan agamanya menurun secara drastik.[25][26]
Raja juga dikaitkan dengan banyak dewa tertentu. Dia dipadankan dengan Horus, yang mewakili kerajaan, dan dia dilihat sebagai anak Ra, yang memerintah dan mengawal alam sebagai mana firaun memerintah dan mengawal masyarakat. Menjelang Kerajaan Baru dia juga dikaitkan dengan Amun, kuasa tertinggi di alam semesta.[27] Setelah kemangkatan, raja menjadi dewa sepenuhnya. Dalam keadaan ini, dia disamakan dengan Ra, juga dikaitkan dengan Osiris, dewa kematian dan kelahiran semula dan bapa Horus dalam mitologi.[28] Banyak kuil mayat didedikasikan untuk penyembahan firaun yang telah mati sebagai dewa.[29]
Hidup selepas mati
[sunting | sunting sumber]
Kepercayaan yang terperinci tentang kematian dan alam akhirat mengukuhkan teologi Mesir yang mempercayai bahawa manusia memiliki ka, iaitu daya hidup, yang meninggalkan tubuh semasa saat kematian. Semasa hidup, ka menerima tenaga melalui makanan dan minuman, maka dipercayai bahawa untuk terus wujud selepas mati, ka perlu terus menerima persembahan makanan, yang mana zat rohaninya masih boleh dimakan oleh ka itu.
Setiap individu juga memiliki ba, iaitu himpunan ciri rohani yang unik bagi setiap orang.[30] Tidak seperti ka, ba kekal terikat kepada jasad selepas kematian. Upacara pengebumian Mesir bertujuan untuk membebaskan ba daripada tubuh supaya ia dapat bergerak bebas, dan untuk menyatukannya kembali dengan ka agar dapat hidup semula sebagai akh. Namun, penting juga tubuh si mati dipelihara melalui proses mumia, kerana orang Mesir mempercayai bahawa ba akan kembali ke tubuhnya setiap malam untuk menerima kehidupan baru, sebelum muncul pada waktu pagi sebagai akh.[31]

Pada zaman awal, firaun yang mangkat dipercayai naik ke langit dan tinggal di antara bintang-bintang.[32] Namun, sepanjang zaman Kerajaan Lama (sekitar 2686–2181 SM), firaun mula dikaitkan dengan kebangkitan semula dewa matahari Ra yang berlaku setiap hari, serta dengan pemerintah alam bawah tanah, Osiris, sejajar dengan peningkatan kepentingan kedua-dua dewa itu.[33]
Dalam kepercayaan alam akhirat yang sepenuhnya berkembang pada zaman Kerajaan Baru, roh perlu mengelak pelbagai bahaya ghaib di Duat sebelum menjalani pengadilan terakhir yang dikenali sebagai "Penimbangan Jantung", yang dijalankan oleh Osiris dan para Penilai Maat. Dalam pengadilan ini, para dewa membandingkan perbuatan si mati semasa hidup (diwakili oleh jantung) dengan bulu Maat, untuk menentukan sama ada si mati telah bertindak menurut prinsip Maat. Jika didapati layak, ka dan ba si mati akan disatukan menjadi akh.[34]
Terdapat beberapa kepercayaan yang wujud secara serentak tentang destinasi akh. Selalunya, si mati dikatakan mendiami alam Osiris, iaitu suatu kawasan alam bawah tanah yang subur dan menyenangkan.[35] Pandangan alam akhirat yang berasaskan matahari—di mana roh si mati mengembara bersama Ra dalam perjalanannya setiap hari—masih kebanyakannya adalah untuk golongan diraja, namun kepercayaan ini boleh dicapai juga oleh orang lain.
Sepanjang zaman Kerajaan Tengah dan Kerajaan Baru, kepercayaan bahawa akh boleh mengembara di dunia orang hidup dan dalam beberapa keadaan mempengaruhi peristiwa di dunia secara ajaib, menjadi semakin meluas.[36]
Atenisme
[sunting | sunting sumber]
Semasa Kerajaan Baru, firaun Akhenaten memansuhkan penyembahan rasmi dewa-dewa lain demi dewa cakera matahari Aten. Ini sering dilihat sebagai contoh pertama monoteisme sejati dalam sejarah, namun perincian teologi penganut Atenis masih tidak jelas dan cadangan bahawa ia adalah monoteistik dipertikaikan. Pengecualian semua kecuali satu dewa daripada penyembahan ialah penyimpangan radikal daripada tradisi Mesir dan ada yang melihat Akhenaten sebagai pengamal monolatri atau henoteisme dan bukannya monoteisme,[37][38] kerana baginda tidak betul-betul menafikan kewujudan dewa-dewi; baginda hanya tidak menyembah apa-apa selain Aten. Di bawah pengganti Akhenaten, Mesir kembali kepada agama tradisionalnya, dan Akhenaten sendiri dicemuh sebagai seorang penyimpang agama.[39][40]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Kaelin, Oskar (2016-11-22). "Gods in Ancient Egypt". Oxford Research Encyclopedia of Religion (dalam bahasa Inggeris). doi:10.1093/acrefore/9780199340378.013.244. ISBN 978-0-19-934037-8. Dicapai pada 2023-04-10.
- ^ a b Assmann 2001, m/s. 1–5, 80.
- ^ Assmann 2001, m/s. 63–64, 82.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 30, 32, 89.
- ^ Silverman 1991, m/s. 55–58.
- ^ David 2002, m/s. 53.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 28.
- ^ Teeter 2001, m/s. 340–44.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 74–79.
- ^ Dunand & Zivie-Coche 2005, m/s. 27–28.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 33–35.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 36, 67.
- ^ Assmann 2001, m/s. 189–92, 241–42.
- ^ Allen 2000, halaman 115–17.
- ^ Assmann 2001, m/s. 4–5.
- ^ Shafer 1997, halaman 2–4.
- ^ Assmann 2001, m/s. 68–79.
- ^ Allen 2000, m/s. 104, 127.
- ^ Lesko 1991, m/s. 117–21.
- ^ Dunand & Zivie-Coche 2005, m/s. 45–46.
- ^ Allen, James P., "The Cosmology of the Pyramid Texts", in Simpson 1989, halaman 20–26.
- ^ Allen 2000, m/s. 31.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 54–56.
- ^ Assmann 2001, m/s. 5–6.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 55.
- ^ Van Dijk, Jacobus, "The Amarna Period and the Later New Kingdom", in Shaw 2000, halaman 311–12.
- ^ David 2002, m/s. 69, 95, 184.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 60–63.
- ^ Shafer 1997, halaman 2–4.
- ^ Allen 2000, m/s. 79–80.
- ^ Allen 2000, m/s. 94–95.
- ^ Taylor 2001, m/s. 25.
- ^ David 2002, m/s. 90, 94–95.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 104.
- ^ David 2002, m/s. 160–61.
- ^ Assmann 2005, m/s. 209–10, 398–402.
- ^ Montserrat, Dominic (2000), Akhenaten: History, Fantasy and Ancient Egypt, Routledge, m/s. 36ff, ISBN 0-415-18549-1.
- ^ Najovits, Simson (2003). Egypt, trunk of the tree. 2. Algora. m/s. 131–44. ISBN 978-0-87586-256-9.
- ^ Dunand & Zivie-Coche 2005, m/s. 35.
- ^ Allen 2000, m/s. 198.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Allen, James P (2000). Middle Egyptian: An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs. Cambridge University Press. ISBN 0-521-77483-7.
- Assmann, Jan (2001) [1984]. The Search for God in Ancient Egypt. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-8729-3.
- ——— (2005) [2001]. Death and Salvation in Ancient Egypt. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-4241-9.
- David, Rosalie (2002). Religion and Magic in Ancient Egypt. Penguin. ISBN 0-14-026252-0.
- Dunand, Françoise; Zivie-Coche, Christiane (2005). Gods and Men in Egypt: 3000 BCE to 395 CE. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-8853-2.
- Fleming, Fergus; Lothian, Alan (1997). The Way to Eternity: Egyptian Myth. Amsterdam: Duncan Baird. ISBN 0-7054-3503-2.
- Foster, John L (2001), Lyric in Redford 2001, vol. II, pp. 312–17.
- Frankfurter, David (1998). Religion in Roman Egypt: Assimilation and Resistance. Princeton University Press. ISBN 0-691-07054-7.
- Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-8515-0.
- ——— (2001). The Secret Lore of Egypt: Its Impact on the West. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-3847-0.
- Lesko, Leonard H (1991), Ancient Egyptian Cosmogonies and Cosmology in Shafer 1991, halaman 117–21.
- Malek, Jaromir (2000), The Old Kingdom, in Shaw 2000, halaman 92–93, 108–9.
- Meeks, Dimitri; Favard-Meeks, Christine (1996) [French 1993]. Daily Life of the Egyptian Gods. Translated by G. M. Goshgarian. Cornell University Press. ISBN 978-0-8014-8248-9.
- Melton, J. Gordon (2009). Encyclopedia of American Religions (ed. 8th). Gale Cengage Learning. ISBN 978-0-7876-9696-2.
- Peacock, David (2000), The Roman Period, in Shaw 2000, halaman 437–38.
- Pinch, Geraldine (1995). Magic in Ancient Egypt. University of Texas Press. ISBN 0-292-76559-2.[pautan mati kekal]
- Quirke, Stephen; Spencer, Jeffrey (1992). The British Museum Book of Ancient Egypt. Thames & Hudson. ISBN 0-500-27902-0.
- Redford, Donald B, penyunting (2001). The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt. Oxford University Press. ISBN 0-19-510234-7.
- Sadek, Ashraf Iskander (1988). Popular Religion in Egypt during the New Kingdom. Hildesheim. ISBN 3-8067-8107-9.
- Shafer, Byron E, penyunting (1991). Religion in Ancient Egypt: Gods, Myths, and Personal Practice. Cornell University Press. ISBN 0-8014-9786-8.
- Shafer, Byron E, penyunting (1997). Temples of Ancient Egypt. IB Tauris. ISBN 1-85043-945-1.
- Shaw, Ian, penyunting (2000). The Oxford History of Ancient Egypt. Oxford University Press. ISBN 0-19-815034-2.
- Silverman, David P (1991), Divinity and Deities in Ancient Egypt in Shafer 1991, halaman 55–58.
- Simpson, William Kelly, penyunting (1989). Religion and Philosophy in Ancient Egypt. Yale Egyptological Seminar. ISBN 0-912532-18-1.
- Taylor, John (2001). Death and the Afterlife in Ancient Egypt. University of Chicago Press. ISBN 0-226-79164-5.
- Teeter, Emily (2001), Cults: Divine Cults in Redford 2001, vol. I, pp. 340–44.
- Tobin, Vincent Arieh (2001), Myths: An Overview, in Redford 2001, vol. II, pp. 464–68.
- Traunecker, Claude (2001) [1992]. The Gods of Egypt. Lorton, David transl. Cornell University Press. ISBN 0-8014-3834-9.
- Van Dijk, Jacobus (2000), The Amarna Period and the Later New Kingdom in Shaw 2000, halaman 311–12.
- Wilkinson, Richard H (2000). The Complete Temples of Ancient Egypt. Thames & Hudson. ISBN 0-500-05100-3.
- ——— (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. Thames & Hudson. ISBN 0-500-05120-8.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Assmann, Jan; Kucharek, Andrea (2008). Ägyptische Religion: Totenliteratur. Aus dem Ägyptischen übersetzt und herausgegeben (dalam bahasa Jerman). Frankfurt am Main: Verlag der Weltreligionen. ISBN 978-3-458-70011-1.
- Assmann, Jan; Kucharek, Andrea (2018). Ägyptische Religion: Götterliteratur. Aus dem Ägyptischen übersetzt und herausgegeben (dalam bahasa Jerman). Frankfurt am Main: Verlag der Weltreligionen. ISBN 978-3-458-70056-2.
- Clarysse, Willy; Schoors, Antoon; Willems, Harco; Quaegebeur, Jan (1998). Egyptian Religion: The Last Thousand Years: Studies Dedicated to the Memory of Jan Quaegebeur. Peeters. ISBN 90-429-0669-3..
- Harris, Geraldine; Sibbick, John; O'Connor, David (1992). Gods and Pharaohs from Egyptian Mythology. Bedrick. ISBN 0-87226-907-8..
- Hart, George (1997). Egyptian Myths. Legendary Past. University of Texas Press. ISBN 0-292-72076-9..
- Hill, Marsha (2007). Gifts for the gods: images from Egyptian temples. New York: The Metropolitan Museum of Art. ISBN 9781588392312.
- Bilolo, Mubabinge (2004) [Kinshasa-Munich 1987]. Les cosmo-théologies philosophiques d'Héliopolis et d'Hermopolis. Essai de thématisation et de systématisation. Academy of African Thought (dalam bahasa Perancis). 2. Munich-Paris. sec I..
- ——— (2003) [Kinshasa-Munich, 1986]. Les cosmo-théologies philosophiques de l'Égypte Antique. Problématique, prémisses herméneutiques et problèmes majeurs. Academy of African Thought (dalam bahasa Perancis). 1. Munich-Paris. sec I..
- ——— (2003) [Kinshasa-Munich 1995]. Métaphysique Pharaonique IIIème millénaire av. J.-C. Academy of African Thought (dalam bahasa Perancis). 4. Munich-Paris: C.A. Diop-Center for Egyptological Studies-INADEP. sec I..
- ——— (2004) [Kinshasa-Munich 1988]. Le Créateur et la Création dans la pensée memphite et amarnienne. Approche synoptique du Document Philosophique de Memphis et du Grand Hymne Théologique d'Echnaton. Academy of African Thought (dalam bahasa Perancis). 2. Munich-Paris. sec I..
- Pinch, Geraldine (2004). Egyptian Mythology: A Guide to the Gods, Goddesses, and Traditions of ancient Egypt. Oxford University Press. ISBN 0-19-517024-5..
- Schulz, R; Seidel, M (1998). Egypt: The World of the Pharaohs. Cologne: Könemann. ISBN 3-89508-913-3.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Agama Mesir purba. |
- "Ideology and Belief in Ancient Egypt", Digital Egypt, UK: UCL, diarkibkan daripada yang asal pada 2014-10-22, dicapai pada 2018-07-21.
- "Ancient Egypt", The Internet Sacred Text Archive.
- Religion in the Lives of the Ancient Egyptians, U Chicago, diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-16, dicapai pada 2018-07-21.