Anjing gembala Yunani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gembala Yunani
Jantan sesama haiwan ternakan, daripada pembiak baka: Parnassus Dogs Farm
Negara asalGreece
Trait
Berat Jantan 40–55 kilogram (88–121 lb)
Betina 32–40 kilogram (71–88 lb)
Tinggi Jantan 66–75 sentimeter (26–30 in)
Betina 60–68 sentimeter (24–27 in)
Bulu Lapis bulu ganda padat
Warna Hitam, perang, putih, dan berbilang warna
Anjing (Canis lupus familiaris)
Molossus Epirus
Trait
Tinggi Jantan 66–75 sentimeter (26–30 in)
Betina 64–74 sentimeter (25–29 in)
Warna Merah padu, kuning buluh, kuning, hitam, berbelang, warna serigala atau rusa; mungkin tompok putih minimum pada dada
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Yunani[a] ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan dari Greece. Dengan anggapan asal usul kuno, anjing gembala Yunani sangat berkait rapat dengan baka-baka anjing penjaga haiwan ternakan dari negara-negara jiran; sesetengah anjing dipercayai didakwa secara serentak sebagai baka-baka lain kerana berhijrah setiap tahun merentasi sempadan negara dengan kawanan ternakan yang dilindungi olehnya sambil mencari padang ragut bermusim.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing penjaga haiwan ternakan dipercayai sebagai salah satu jenis anjing tersendiri tertua, dengan bukti bahawa jenis ini sebahagian besarnya kekal tidak berubah sejak zaman purba.[1] Anjing gembala Yunani didakwa telah berada di Greece sejak zaman purba. Plato menulis tentang anjing dengan bentuk dan fungsi serupa yang dikenali di rantau Epirus seawal tahun 800 SM.[2][3][4] Baka ini terdapat di serata Greece, khususnya di utara negara itu; ia sangat berkait rapat dengan baka-baka anjing penjaga haiwan ternakan lain yang terdapat di serata Balkan.[3][4]

Ramai gembala Balkan dan kawanan ternakan mereka menjalani penghijrahan tahunan di antara Greece dengan Pergunungan Šar untuk memanfaatkan padang ragut gunung musim panas tetapi mengelakkan musim sejuk gunung berlitup salji semasa tiada makanan yang tersedia. Pada tahun 1977, lebih daripada 500,000 ekor biri-biri dianggarkan melakukan penghijrahan tahunan ini.[1] Oleh sebab anjing sama ini dapat dilihat di beberapa buah negara pada masa berlainan dalam setahun, sesetengah ahli kinologi termasuk Raymond Coppinger memerhatikan bahawa banyak anjing yang didakwa sebagai anjing gembala Yunani sebenarnya juga didakwa sebagai anjing Pergunungan Šar dan baka-baka rantauan lain; dan bahawa kelab kene: nasionalis telah memberikan identiti dan piawaian baka berasingan kepada anjing yang memang sama, dengan penampilan berlainan yang disebabkan oleh perubahan penampilan anjing ini apabila ia mendapat lapis bulu musim sejuk yang lebih berat dan menggugurkan lapis itu semula untuk musim panas.[1] Biasanya gembala ini menempatkan haiwan ternakan mereka pada musim sejuk di Greece dengan anjing gembala Yunani mereka yang melindungi kawanan ternakan daripada serigala dan jakal Yunani; kemudian apabila cuaca bertambah baik mereka berjalan dengan kawanan ternakan mereka sambil ditemani oleh anjing mereka sepanjang lebih daripada 480 kilometer (300 bt) melalui Macedonia Utara ke padang ragut musim panas mereka di Pergunungan Šar di sempadan Albania dan Kosovo. Di sana, anjing Pergunungan Šar mereka melindungi kawanan ternakan mereka daripada pemangsa yang terdapat di sana; kemudian pada musim luruh, mereka melalui perjalanan pulang ke Greece apabila anjing mereka sekali lagi berubah menjadi anjing gembala Yunani.[1]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Jantan di gunung

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing jantan, daripada pembiak baka: Agrapha Mountain Guards

Anjing gembala Yunani ialah baka anjing besar yang hampir menyerupai anjing gembala Maremma-Abruzzo dari Itali, kuvasz dari Hungary, dan anjing Gembala Podhale Poland dari Poland; baka ini memaparkan trait yang lazim untuk kebanyakan baka anjing penjaga haiwan ternakan, termasuk lapis bulu ganda tebal kalis cuaca dan binaan berkuasa.[3][5] Piawaian baka Kelab Kenel Greece menyatakan bahawa jantan patut berdiri lebih tinggi daripada 66 sentimeter (26 in) pada paras kelasa dan dapat berdiri setinggi 70–75 sentimeter (28–30 in); dan anjing betina pula patut lebih tinggi daripada 60 sentimeter (24 in) tetapi dapat mencapai ketinggian 65–68 sentimeter (26–27 in).[6] Piawaian baka menyatakan bahawa jantan patut berukuran seberat 40–55 kilogram (88–121 lb) dan betina seberat 32–40 kilogram (71–88 lb).[6]

Doukisa daripada Parnassus Dogs Farm, anak anjing penjaga haiwan ternakan Yunani

Baka ini mempunyai lapis bulu ganda padat; ia tidak pernah dibiakbakakan untuk warna dan terdapat dengan pelbagai warna, termasuk putih, hitam, perang, perang cerah, atau gabungan warna-warna ini, dengan contoh-contoh bertompok yang lazim.[2][4] Di sesetengah kawasan, hanya contoh putih metah dibela oleh gembala tempatan, dengan anak anjing tidak putih yang ditakai kerana dianggap membawa nasib malang.[3]

Pada zaman dahulu, ramai gembala Yunani memangkas telinga kanan anjing mereka dengan kepercayaan bahawa tindakan sedemikian meningkatkan pendengaran anjing; amalan ini memberi anjing ini penampilan ingin tahu dan berat sebelah.[3][7]

Perwatakan[sunting | sunting sumber]

Baka ini terkenal kerana keganasannya apabila menjaga kawanan ternakan dengan anjing yang kadang-kadang memikul tanggungjawab bersendirian untuk melindungi seluruh kawasan desa berbanding dengan kawanan tuan sendiri; orang yang berjalan di sesetengah kawasan luar bandar, malah gembala, kerap perlu bersenjata dengan batang kayu dan batu untuk menghalau anjing gembala yang dapat menganggap mereka sebagai pencuri.[3][7] Sebatang balak berat kerap diikat pada kolar haiwan yang amat agresif kerana usaha tambahan ini dipercayai mengekang keghairahan haiwan berkenaan.[3][7]

Piawaian baka[sunting | sunting sumber]

Kumpulan FCI 2

PENGGUNAAN: PERLINDUNGAN haiwan ternakan dan harta benda

Anjing gembala Yunani tergolong dalam kumpulan anjing gembala jenis mastiff; Kumpulan 2; Seksyen 2.2; Persekutuan Kinologi Antarabangsa.

PENAMPILAN / PERIHAL UMUM

Anjing kukuh dengan binaan kuat dan cukup berotot. Mampu menjaga dan melindungi ternakan secara berterusan dalam pelbagai keadaan cuaca, di rupa bumi tidak sekata dan mempunyai keperluan makanan sedikit. Sama-sama mampu sama ada menghalau atau berlawan dengan haiwan liar yang mengancam kawanan ternakan.

Pergerakan tipikal ialah ligasan normal. Pergerakan mesti bebas dan mantap semasa meligas, berubah dengan mudah untuk menderap dengan keupayaan untuk membelok. Pembawaan kepala adalah rendah semasa meligas.

Anjing gembala Yunani hidup dengan berharmoni dengan kawanan ternakan dan melindunginya dengan garang apabila diancam.

Ia merupakan baka lambat matang, dengan kesihatan baik, kelanjutan usia, dan dimorfisme seks kuat, terutamanya dari segi isi tubuh antara spesimen jantan dengan betina.

Betina lebih bersosial dan menunjukkan naluri keibuan kuat.

Baka ini diturunkan daripada anjing gembala kuno Yunani jenis molosser yang dikembangkan selama berabad-abad dengan penggunaan anjing jenis gembala lain yang tinggal di wilayah Yunani.

Kini, baka ini dianggap sebagai gembala primitif jenis gunung, yang digunakan terutamanya untuk penjagaan.

KEPALA

Kepalanya panjang lebar. Nisbah muncung-tengkorak ialah 2:3. Stop tidak terlalu ketara. Tengkorak sedikit berkubah. Lebar tengkorak hampir sama dengan panjangnya. Lengkung supersilium menonjol. Protuberans oksiput cukup jelas.

Muncungnya lebar dan dalam, terutamanya berhampiran tengkorak, meruncing secara beransur-ansur ke arah hidung, tetapi tidak pernah tajam. Hidungnya berwarna hitam dengan lubang hidung lebar. Pipinya rata dan dalam. Lengkung zigoma cukup jelas.

RAHANG / GIGI

Kegigian lengkap, gigi kuat, dengan taring terbentuk. Gigitan gunting atau separas. Bibir yang menutupi gigi adalah tebal dan sedikit longgar.

TELINGA

Bersaiz sederhana, berbentuk segi tiga, berbentuk hati, terletak pada paras sudut luar mata. Terletak merata pada pipi atau sedikit terkeluar, mendedahkan sisi dalamannya. Kulit telinga adalah tebal dan ditutup dengan lapis bulu tebal. Apabila anjing berjaga-jaga, telinga terangkat sedikit ke arah hadapan, sekali gus meningkatkan ekspresi. Pemotongan telinga tidak diizinkan dan anjing dengan telinga terpotong tidak diizinkan untuk ditunjukkan dalam pertunjukan anjing.

MATA

Bersaiz sederhana, berbentuk bujur, terletak bersimetri, cuku renggang. Apabila dilihat dari sisi, mata terletak hampir-hampir pada paras stop. Berwarna perang berangan, cahaya warna lebih gelap diutamakan. Kelopak mata adalah ketat dan tidak menunjukkan kelopak mata ketiga. Ekspresi adalah serius, tenang, dan menembus.

LEHER

Kuat, lebar, cukup berotot, sederhana panjang. Kulit leher adalah longgar dan membentuk gelambir kecil.

SUKUAN HADAPAN

Bahu berotot dan bercantum dengan baik. Belikat serong. Sudut skapula-humerus adalah sederhana. Lengan bawah lurus, bertulang berat, dan cukup berotot. Siku terletak selari dengan dada, yang membolehkan pergerakan dada bebas. Pasterna kuat dan kenyal.

TUBUH

Dada lebar dan dalam yang mencecah paras siku. Rusuk cukup melengkung - tidak berlebihan - sehingga memberikan ruang cukup untuk jantung dan paru-paru. Belakangnya rata, lebar, sederhana panjang, dan cukup berotot. Garis bawah dengan sedikit kelim, tetapi masih kuat dan dalam di kawasan loin.

Loin lebar, pendek, cukup berotot, dan sedikit melengkung. Krup luas dan landai secara sederhana. Tulang pinggul kuat dan menonjol.

SUKUAN BELAKANG

Paha atas panjang, lebar, dan sangat berotot. Stifel dan sendi keting adalah kuat dan berpenyudutan sederhana apabila dilihat dari sisi. Paha kedua adalah sederhana panjang. Keting terletak rendah-rendah. Metatarsus adalah pendek, teguh, dan menegak, apabila berdiri. Sukuan belakang mesti bertulang kuat dan menegak apabila dilihat dari belakang. Kehadiran atau ketiadaan kuku embun adalah tidak penting dan tidak mempunyai nilai genetik.

KAKI

Kaki berbentuk bujur, ketat dengan kuku keras dan kasar, bersaiz besar. Membran medial cukup terbentuk dan jari kaki panjang dan melengkung.

EKOR

Ekor adalah tebal di pangkalnya, terletak tinggi-tinggi dan mencapai paras keting dan membentuk lengkungan dan pembalikan kecil di hujungnya. Apabila anjing berjaga-jaga dan bergerak, ekornya naik dan membentuk separa bulatan ke atas krup. Ekor dilitupi dengan bulu lebat dan mempunyai jumbai lebat. Mungkin terdapat sesetengah anjing dengan ekor pendek semula jadi atau ekor kontot semula jadi yang sama-sama dapat diterima dan pembiakbakaan dengan anjing dengan ekor panjang lebih diutamakan untuk mengasaskan baka ini selagi ini tidak berkaitan secara genetik dengan masalah kesihatan.

LAPIS BULU

Padat dan kaya dengan bulu tebal dan lapis bulu ganda. Lapis bulu bawah adalah lembut dan padat dan lapis bulu atas adalah lebih panjang dengan bulu lurus atau sedikit beralun.

Lapis bulu keriting tidak diingini. Lapis bulu adalah lebih di belakang paha. Terdapat dua variasi lapis bulu yang dapat diterima, bulu pendek dan bulu panjang. Anjing jantan mempunyai surai. Anjing betina dapat mempunyai lapis bulu lebih pendek.

Kulit adalah keras tetapi kenyal.

WARNA

Warna asas merupakan hitam, perang kekuning-kuningan, putih, dan berbilang warna. Pada anjing hitam, kadang-kadang terdapat sorotan perang dan tanda-tanda putih pada dada, leher, hujung muncung, dan hujung-hujung. Juga terdapat kawasan merah atau brindle pada pipi, dada, di bahagian atas mata, dan pada kaki. Pada anjing perang kekuning-kuningan, warna berbeza-beza daripada cahaya warna perang kekuning-kuningan dan brindle cerah hingga gelap. Pada anjing perang kekuning-kuningan cerah dan anjing brindle, ada kemungkinan untuk mempunyai hitam pada muncung atau kehadiran putih pada muncung atau hujung-hujung. Pada anjing berbilang warna, putih adalah dominan dan tompok-tompok besar atau kecil atau tanda-tanda berwarna perang kekuning-kuningan, brindle, atau hitam dapat dilihat. Sekiranya terdapat tompok-tompok pada kepala, sebaik-baiknya tompok-tompok itu bersimetri. Satu lagi warna yang diterima ialah biru. Semua warna diterima sama rata.

TINGKAH LAKU / PERANGAI

Berdikari, berani, tegas, setia dengan rasa tanggungjawab tinggi, dan naluri perlindungan tinggi untuk kawanan ternakan dan persekitarannya. Anjing sensitif yang tidak dapat mentoleransi tingkah laku ganas. Dalam kawanan, ia dapat bertarung untuk mengasaskan tatatingkat. Mampu bertindak bersendirian. Menyendiri dan berjauhan dengan orang asing. Amat aktif pada waktu malam. Ia mengusir pemangsa daripada kawanan dengan bertarung. Sangat boleh latih, memerlukan sosialisasi awal supaya dapat hidup dengan berharmoni dengan manusia dan haiwan lain.

SAIZ

Ketinggian pada paras kelasa

  • Jantan: 66–75 cm (26–30 in)
  • Betina: 60–68 cm (24–27 in)

Berat sentiasa berperkadaran dengan ketinggian

  • Jantan: 40–55 kg (88–121 lb)
  • Betina: 32–40 kg (71–88 lb)

KESALAHAN

  • Muncung runcing dan panjang
  • Perubahan warna bagi hidung
  • Bibir ketat
  • Mata berwarna cerah
  • Entropion atau kelopak mata longgar
  • Telinga terlalu kecil atau terlalu besar yang terletak terlalu tinggi pada kepala
  • Telinga terpotong
  • Rahang panjang atau rahang pendek
  • Ketiadaan gigi apabila tidak mengambil kira kerosakan akibat usia lanjut
  • Tengkorak sempit dan panjang
  • Berketing lembu atau bertungkai melengkung
  • Kaki lemah dan kecil
  • Pasterna dan keting lemah
  • Rangka sempit dan binaan tubuh ringan
  • Belakang lemah dan panjang yang menunjukkan lengkungan kuat dari kelasa ke tulang pinggul
  • Penampilan tubuh limfatik
  • Ekor nipis
  • Kekurangan lapis bulu
  • Lapis bulu keriting
  • Warna perang
  • Saiz tubuh yang kurang daripada ketinggian dan berat piawai pada anjing matang yang berusia lebih daripada dua tahun
  • Anjing yang gugup atau terlebih agresif

Catatan: Jantan mesti mempunyai dua biji buah zakar normal yang berkembang baik yang terletak dengan baik di dalam skrotum.[8]

Molossus Epirus[sunting | sunting sumber]

Kelab Kenel Greece mengiktiraf baka kedua anjing penjaga haiwan ternakan Greece, iaitu molossus Epirus[b], dari rantau Epirus.[9] Piawaian baka kelab kenel untuk molossus Epirus memerihalkan baka dengan ciri sangat serupa dengan anjing gembala Yunani; perbezaan utama adalah dari segi warna, dengan pernyataan bahawa molossus Epirus patut berwarna merah padu, kuning buluh, kuning, atau hitam, berjalur, dan berwarna serigala atau rusa dengan tompok putih minimum pada dada.[9] Selain itu, piawaian menyatakan bahawa betina hanya lebih kecil sedikit daripada jantan dan berdiri setinggi 64–74 sentimeter (25–29 in).[9]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا يوناني; Yunani: ελληνικός ποιμενικός, rumi: ellinikós poimenikós; bahasa Inggeris: Greek shepherd; Greek sheepdog
  2. ^ Jawi: مولوسوس ايڤيروس; Yunani: μολοσσός της Ηπείρου, rumi: Molossós tis Ipeírou; bahasa Inggeris: molossus of Epirus

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Coppinger, Raymond; Coppinger, Lorna (2001). Dogs: a startling new understanding of canine origin, behavior & evolution (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Scribner. m/s. 102 & 127–128. ISBN 0-684-85530-5.
  2. ^ a b Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 356. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  3. ^ a b c d e f g Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 392–393. ISBN 1-57076-219-8.
  4. ^ a b c Yılmaz, Orhan; Ertürk, Yakup Erdal; Coșkun, Füsun; Ertuğrul, Mehmet (2015). "Using livestock guardian dogs in Balkans" (PDF). Agriculture & Forestry (dalam bahasa Inggeris). 61 (1): 164–165. doi:10.17707/AgricultForest.61.1.21. Dicapai pada 29 Mac 2024.
  5. ^ Hancock, David (2014). Dogs of the shepherds: a review of the pastoral breeds (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Wiltshire, United Kingdom: The Crowood Press Ltd. m/s. 31–32. ISBN 978-1-84797-808-0.
  6. ^ a b "Ελληνικός Ποιμενικός" [Anjing Gembala Yunani]. Kelab Kenel Greece (dalam bahasa Greek). 2014. Dicapai pada 29 Mac 2024.
  7. ^ a b c Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). Atlas of dog breeds of the world (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 470.
  8. ^ Karioti, Anna. "GREEK SHEEPDOG (HELLINIKOS PIMENIKOS)". www.koe.gr (dalam bahasa Greek). Dicapai pada 29 Mac 2024.
  9. ^ a b c "Μολοσσός Ηπείρου" [Molossus Epirus]. Kelab Kenel Greece (dalam bahasa Greek). 2014. Dicapai pada 29 Mac 2024.