Anjing gunung Pyrénées

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gunung Pyrénées
Nama lainAnjing besar Pyrénées
Nama ringkasPatou
Negara asalPerancis
Trait
Berat 55–75 kilogram (120–165 lb)
Tinggi Jantan 70–80 sentimeter (28–31 in)
Betina 65–75 sentimeter (26–30 in)
Bulu lapis bulu ganda panjang dan tebal
Warna putih dengan tompok-tompok bejar atau tanpa tompok-tompok bejar, kelabu serigala atau sawo matang kemerah-merahan pada kepala dan pada sehingga 1/3 tubuh.
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gunung Pyrénées[a] ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Perancis; di Perancis, ia kerap dipanggil patou. Ia berasal dari bahagian timur atau bahagian Perancis Pergunungan Pyrénées yang memisahkan Perancis dengan Sepanyol dan diiktiraf sebagai baka terpisah daripada mastif Pyrénées dari bahagian Sepanyol bagi pergunungan itu, yang dengannya ia berkait rapat.

Patou digunakan secara meluas di serata Perancis sebagai anjing penjaga haiwan ternakan, khususnya di Banjaran Alp Perancis dan di Pergunungan Pyrénées, dengan melindungi kawanan ternakan daripada pemangsaan oleh serigala dan beruang. Ia dikenali sebagai anjing besar Pyrénées[b] di Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat juga ia digunakan untuk melindungi kawanan ternakan daripada pelbagai pemangsa.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Pyrénées pada permulaan abad kedua puluh

Anjing gunung Pyrénées ialah baka tradisional di Pyrénées. Di Perancis, ia biasanya dipanggil patou.[note 1] Kadang-kadang leluhurnya – dan mereka dari mastif Pyrénées – didakwa sebagai anjing penjaga haiwan ternakan putih yang dibawa ke kawasan itu dari Asia pada zaman Rom. Oleh itu, ia berkaitan dengan anjing gembala Maremma-Abruzzo dari Itali dan kuvasz dari Hungary.[2][3] Data genomik menempatkannya dalam klad genetik sama dengan anjing pemburu firaun, cirneco Etna, dan anjing pemburu Ibiza.[4]

Pada abad ketujuh belas, Madame de Maintenon dan Louis, Dauphin Perancis, membawa seekor anjing jenis ini ke istana Raja Louis XIV dan kemudian anjing ini menjadi sangat diminati di sana sehinggakan sang Raja malah menamai anjing ini Anjing Diraja Perancis.[2][3][5] Ia mula digunakan oleh kebangsawanan Perancis untuk menjaga châteaux mereka, khususnya di selatan negara itu.[5] Para peneroka Perancis kadang-kadang didakwa membawa anjing-anjing-anjing ini bersama dengan mereka ke Kanada dan anjing-anjing ini didakwa sebagai antara leluhur kepada anjing Newfoundland.[3] Pada tahun 1830-an, anjing gunung Pyrénées digunakan sebagai salah satu baka asasi dalam penghasilan anjing Leonberg.[3]

Selepas penghapusan serigala dari Pyrénées pada abad kesembilan belas, angka anjing ini berkurangan dan menjelang permulaan abad kedua puluh, baka ini berada di ambang kepupusan.[2][3] Para gembala tempatan menjual anak anjing kepada pelancong berminat dan beberapa ekor anak anjing ini sampai ke Britain dan di sana beberapa ekor anak anjing didaftarkan dengan The Kennel Club pada permulaan abad; Minat British terhadap baka begitu besar merosot semasa Perang Dunia Pertama.[2] Bangsawan Perancis dan orang berwibawa tentang anjing Bernard Senac-Lagrange disebut sebagai penyelamat baka ini daripada kepupusan pada permulaan abad kedua puluh dengan menjelajahi pergunungan untuk mengumpulkan spesimen terbaik yang tersedia untuk membentuk dasar pembiakbakaan.[5] Pada tahun 1923, Senac-Lagrange menubuhkan sebuah kelab baka, iaitu Réunion des Amateurs de Chiens Pyrénées, dan merangka piawaian baka pertama;[6] beliau juga mendaftarkan baka ini sebagai Chien de Montagne des Pyrénées ("anjing gunung Pyrénées") dengan Société Centrale Canine pada tahun sama.[2][5][7] Pada tahun 1946, Real Sociedad Canina de España mengiktiraf anjing penjaga haiwan ternakan putih besar di sebelah barat atau Sepanyol bagi Pergunungan Pyrénées sebagai mastif Pyrénées dengan piawaian baka sedikit berbeza.[3][8] Chien de Montagne des Pyrénées diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1955.[9]

Pada awal tahun 1930-an, anjing gunung Pyrénées dieksport ke Amerika Utara dan di sana ia dikenali sebagai Great Pyrenees ("anjing besar Pyrénées") dan menjadi kegemaran dalam gelanggang pertunjukan di Kanada dan di Amerika Syarikat.[3][5] Pada tahun 1935, American Kennel Club mengguna pakai piawaian baka baharu yang mempunyai sebilang penyimpangan daripada piawaian asli Perancis yang tidak akan diizinkan di Perancis.[2] Piawaian ini mempromosikan pelampauan ciri fizikal tertentu dengan mengorbankan bentuk fungsi dan kemudiannya diterima pakai oleh The Kennel Club di Great Britain.[2] Pada tahun 2011, untuk memerangi kemerosotan tanggapan bagi susur galur pertunjukan bagi anjing ini, kelab baka anjing gunung Pyrénées British mengeluarkan risalah dengan arahan kepada hakim pertunjukan supaya tidak mengutamakan pemberian ganjaran kepada contoh baka yang glamor, bertubuh berat, dan bermuncung pendek berbanding dengan contoh langsing dan berotot dengan lapis bulu kalis cuaca dan mampu melaksanakan peranan aslinya di kawasan pergunungan tinggi.[8]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Pyrénées putih
Anjing gunung Pyrénées putih
Anjing gunung Pyrénées
Anjing gunung Pyrénées putih dana bejar

Anjing gunung Pyrénées adalah besar dan bertubuh berat. Menurut piawaian baka Société Centrale Canine, jantan berdiri setinggi 70–80 cm (28–31 in) dan betina setinggi 65–75 cm (26–30 in).[3][7] Anjing dewasa sihat biasanya berukuran seberat 55–75 kg (120–165 lb).[10] Kepalanya tidak terlalu besar berbanding dengan tubuh; muncungnya panjang, lebar, dan meruncing sedikit, bibirnya tidak labuh, dan telinganya kecil dan berbentuk segi tiga serta tergantung merata ke kepala.[11] Lehernya pendek dan kuat, dadanya lebar dan sederhana dalam, dan ekornya panjang, tergantung rendah=rendah apabila anjing berkenaan berehat tetapi melingkar ke atas belakang apabila anjing berkenaan terangsang.[11] Yang luar biasa pula, kuku embun pada tungkai belakangnya adalah ganda; ketiadaan kuku embun ini dianggap sebagai kecacatan penyingkir untuk penunjukan.[3][11]

Lapis bulunya panjang, tebal, dan ganda, yang memberikan perlindungan daripada cuaca buruk; lapis bulu luar panjang dan rata khususnya panjang di sekeliling leher, ekor, dan belakang tungkai, lapis bulu bawahnya halus dan tebal.[2][11] Anjing ini kebanyakannya berwarna putih, dengan tompok-tompok hitam, bejar, kelabu, atau pelbagai cahaya warna sawo matang yang terdapat kebanyakannya pada kepala; 'bejar' ditakrifkan sebagai campuran bulu perang, hitam, kelabu, dan putih dan biasanya terlihat pada anak anjing tetapi biasanya pudar apabila anjing menua.[2] Contoh baka tulen dengan tompok hitam kadang-kadang terlihat dalam perinduk; pewarnaan sedemikian dianggap sebagai kecacatan penyingkir untuk anjing pertunjukan.[2]

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Selama beribu-ribu tahun, anjing ini digunakan oleh gembala di seluruh kawasan Pyrénées untuk melindungi kawanan ternakan mereka daripada pemangsaan oleh serigala dan beruang; dalam peranan ini, anjing ini biasanya dipasang dengan kolar serigala besi berat yang disemat dengan paku panjang untuk perlindungan apabila melawan serigala.[3][1] Ia kerap digunakan oleh gembala dalam kombinasi dengan anjing gembala Pyrénées yang jauh lebih kecil, dengan anjing gunung Pyrénées yang menjaga ternakan dan anjing gembala Pyrénées yang menggembala kawanan ternakan tersebut.[3] Anjing ini juga digunakan untuk menyeludup kontraban di antara Perancis dengan Sepanyol, dengan membawa pek merentasi Pyrénées di laluan yang tidak boleh dilalui oleh manusia untuk mengelakkan pengesanan oleh pegawai kastam.[5]

Pyrenean Mountain Dog guarding sheep
Anjing gunung Pyrénées yang menjaga biri-biri
Anjing gunung Pyrénées dengan kawanan, Sixt-Fer-à-Cheval

Anjing gunung Pyrénées kini digunakan dalam peranan aslinya sebagai penjaga haiwan ternakan untuk gembala Perancis di Pyrénées Perancis dan di Alp Perancis, serta di Amerika Syarikat.[12][13]

Perancis[sunting | sunting sumber]

Pada awal tahun 1980-an, peladang di Massif Central dan di Lozère mengalami masalah dengan anjing terbiar yang menyerang kawanan mereka. Oleh itu, ITOVIC Perancis[note 2] memulakan uji kaji dengan sekitar 15 ekor anjing gunung Pyrénées yang diberikan kepada peladang.[12] Menjelang lewat tahun 1980-an, uji kaji ITOVIC telah selesai dan sebuah persatuan, APAP,[note 3] telah ditubuhkan dengan sekitar 15 orang pembiak baka anjing gunung Pyrénées dengan objektif untuk menyediakan anjing penjaga haiwan ternakan sesuai kepada bakal peladang dan menjelang tahun 1991, kira-kira 100 ekor anjing bekerja di ladang.[12]

Pada awal tahun 1990-an, serigala Itali mula menyeberang dari Itali ke Perancis dan di sana, serigala ini telah bertapak di dalam kira-kira sepertiga daripada wilayah benuanya, khususnya di Alp Perancis dan di Provence, tetapi juga di serata Massif Central.[12][15] Malah sebelum kehadiran serigala dilaporkan secara terbuka di Perancis, beberapa orang peladang di sekitar Taman Negara Mercantour telah melaporkan pemangsaan ternakan luar biasa, yang, pada masa itu, diatributkan oleh pihak berkuasa kepada anjing peliharaan tidak terkawal.[15] Serigala dilindungi di Perancis;[note 4] untuk melindungi mata pencarian para peladang daripada pemangsaan serigala, sejak lewat tahun 1990-an, pemerintah Perancis telah mensubsidi pelbagai kaedah perlindungan haiwan ternakan daripada penjarahan, termasuk pagar padang ragut elektrik, kandang malam elektrik yang selamat, pengambilan pekerja ladang tambahan, dan pembelian, pelatihan, dan pemeliharaan anjing penjaga haiwan ternakan.[15] Selepas penghapusan serigala dari Perancis pada tahun 1800-an, anjing penjaga haiwan ternakan telah menghilang di Pergunungan Alp Perancis selama lebih daripada satu abad; apabila serigala menetap kembali di negara itu pada tahun 1990-an, anjing gunung Pyrénées Perancis merupakan baka yang terpilih untuk digunakan kerana ujian ITOVIC telah pun dijalankan dengan baka ini, dan di dalam negara itu, APAP telah membiakbakakan anjing gunung Pyrénées khusus untuk tujuan tersebut.[12][15]

Pada pertengahan tahun 1990-an, pemerintah Perancis mula mengimport beruang perang Eropah dari Slovenia ke Pyrénées untuk menyelamatkan spesies itu daripada kepupusan dari rantau ini akibat pembiakbakaan dalam genetik kerana populasi tempatan telah berkurangan kepada anggaran enam ekor beruang.[12][16] Dengan peningkatan bilangan beruang di rantau ini, para gembala tempatan melaporkan peningkatan kehilangan haiwan ternakan kepada pemangsaan beruang, khususnya pada bulan-bulan musim panas, apabila gembala memindahkan kawanan ternakan mereka ke pergunungan untuk meragut di padang ragut alp musim panas.[16] Untuk membantu para gembala, pembiayaan pemerintah disediakan untuk melaksanakan langkah perlindungan sama seperti yang digunakan untuk serigala dan anjing gunung Pyrénées diberikan kepada para peladang di Pyrénées untuk menjaga kawanan ternakan daripada pemangsa.[16] Kajian yang dijalankan pada pertengahan tahun 2000-an mendapati bahawa gembala yang menggunakan anjing gunung Pyrénées merentasi di serata Pyrénées melaporkan 90% kurang kehilangan haiwan ternakan kepada pemangsa berbanding dengan gembala yang tidak menggunakan anjing ini.[17] Penggunaan semula anjing gunung Pyrénées di dalam kawasan Pyrénées bukan tanpa masalah dengan laporan tentang pejalan kaki yang melintasi pergunungan dan diserang oleh anjing penjaga haiwan ternakan yang melindungi kawanannya yang membawa kepada risalah dwibahasa yang diterbitkan untuk memberikan amaran kepada pejalan kaki dan penunggang basikal tentang tingkah laku berisiko untuk mengurangkan insiden.[17][18]

Pada tahun 2009, terdapat lebih daripada 1000 ekor anjing gunung Pyrénées yang digunakan untuk melindungi kawanan haiwan ternakan daripada serigala di Alp dan 500 ekor anjing yang melindungi kawanan ternakan di Pyrénées.[1] Pada tahun 2019, pembiayaan pemerintah Perancis disediakan untuk pemeliharaan 4258 ekor anjing penjaga haiwan ternakan di seluruh negara, 92% daripadanya berada di Alp Perancis dan di Provence, walaupun anggaran jumlah anjing yang digunakan pada masa itu ialah sekitar 5000 ekor.[15]

Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Mulai lewat tahun 1970-an, penternak biri-biri di Amerika Syarikat mula menggunakan anjing penjaga haiwan ternakan untuk melindungi kawanan ternakan mereka daripada pelbagai pemangsa, khususnya koyote dan beruang hitam, tetapi juga kugar dan beruang perang Amerika.[13][19] Beberapa faktor mempengaruhi langkah untuk mengintegrasikan anjing penjaga haiwan ternakan ke dalam operasi perladangan, termasuk sekatan persekutuan terhadap penggunaan racun untuk mengawal bilangan pemangsa.[13] Tinjauan tahun 1986 ke atas lebih daripada 400 orang peladang yang menggunakan 763 ekor anjing penjaga haiwan ternakan di Amerika Syarikat mendapati bahawa 57% daripada mereka menggunakan anjing gunung Pyrénées, dengan komondor, akbash, anjing gembala Anatolia, dan anjing gembala Maremma-Abruzzo yang digunakan dalam jumlah yang kurang.[13]

Catatan nama[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢونوڠ ڤيريني; Perancis: chien de montagne des Pyrénées; bahasa Inggeris: Pyrenean mountain dog
  2. ^ Jawi: انجيڠ بسر ڤيريني; bahasa Inggeris: great pyrenees

Catatan penjelasan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Nama patou diterbitkan daripada kata Perancis pâtre, yang memaksudkan "gembala".[1]
  2. ^ l'Institut technique de l’élevage ovin et caprin atau Institut Teknikal Pembiakbakaan Biri-biri dan Kambing[14]
  3. ^ Association pour la Promotion des Animaux de Protection atau Persatuan untuk Promosi Haiwan Perlindungan[12]
  4. ^ Di Perancis, pembunuhan serigala secara haram boleh didakwa dengan hukuman pemenjaraan dua tahun dan denda €150,000.[15]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Vincent, Marc (Julai 2011). "Le retour du patou en alpage, un défi". Les fondements de la cynologie française: Cynégétique et pastoralisme; Colloque cynologique (dalam bahasa Perancis). Aubervilliers, Perancis: 327–339. doi:10.13140/2.1.2944.1926. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e f g h i j Jones, Arthur F.; Hamilton, Ferelith (1971). The world encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). New York: Galahad Books. m/s. 86–89. ISBN 978-0-88365-302-9.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 374, 423 & 616. ISBN 978-1-57076-219-2.
  4. ^ Parker, Heidi G.; Dreger, Dayna L.; Rimbault, Maud; Davis, Brian W.; Mullen, Alexandra B.; Carpintero-Ramirez, Gretchen; Ostrander, Elaine A. (2017). "Genomic Analyses Reveal the Influence of Geographic Origin, Migration, and Hybridization on Modern Dog Breed Development". Cell Reports (dalam bahasa Inggeris). 19 (4): 697–708. doi:10.1016/j.celrep.2017.03.079. PMC 5492993. PMID 28445722.
  5. ^ a b c d e f Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). Atlas of Dog Breeds of the World (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 8 & 465–467.
  6. ^ Historique, situation de l'élevage en France (Perancis). Argelès-Gazost: Réunion des Amateurs de Chiens Pyrénéens. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  7. ^ a b "Standard FCI N°137: Chien de Montagne des Pyrenees" (PDF). Société Centrale Canine (dalam bahasa Perancis). 2 April 2001. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  8. ^ a b Hancock, David (2014). Dogs of the shepherds: a review of the pastoral breeds (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Wiltshire: The Crowood Press Ltd. m/s. 26–27 & 152–153. ISBN 978-1-84797-808-0.
  9. ^ FCI breeds nomenclature: Chien de Montagne des Pyrenees (137) (Inggeris). Thuin, Belgium: Fédération Cynologique Internationale. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  10. ^ Alderton, David (2008). The encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). Bath: Parragon Books Ltd. m/s. 356. ISBN 978-1-4454-0853-8.
  11. ^ a b c d Fiorone, Fiorenzo (1973). The encyclopedia of dogs: the canine breeds (dalam bahasa Inggeris). New York: Thomas Y. Cromwell Company. m/s. 108. ISBN 978-0-690-00056-6.
  12. ^ a b c d e f g Bobbé, Sophie (2000). "Un mode de garde écologiquement correct: le chien de protection" (PDF). Ethnologie française (dalam bahasa Perancis). 30 (3): 459–472. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  13. ^ a b c d Green, Jeffery S.; Woodruff, Roger A. (March 1990). Agriculture information bulletin 588: Livestock guardian dogs: protecting sheep from predators (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. m/s. 6–8.
  14. ^ Agriculture; Direction de la production et des échanges - Direction des politiques économiques et internationales (1958-1969) (Laporan) (dalam bahasa Perancis). Pierrefitte-sur-Seine: Archives nationales (France). 1987. 19870111/1-19870111/12. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  15. ^ a b c d e f Meuret, M.; Moulin, C.-H.; Bonnet, O.; Garde, L.; Nozie`res-Petit, M.-O.; Lescureux, N. (2020). "Missing shots: has the possibility of shooting wolves been lacking for 20 years in France's livestock protection measures?". The Rangeland Journal (dalam bahasa Inggeris). 42: 401–413. doi:10.1071/RJ20046. S2CID 235007263 Check |s2cid= value (bantuan). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  16. ^ a b c Woods, Mike (1 October 2019). "Bear trouble spreads in the French Pyrénées: Pt. 1". Radio France Internationale (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  17. ^ a b Woods, Mike (3 Oktober 2019). "Bear trouble spreads in the French Pyrénées: Pt. 3". Radio France Internationale (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Januari 2024.
  18. ^ Noars, Françoise (2014). Guarding Dogs, as known as "patou"/Chiens de Protection appelés "patous" (dalam bahasa Perancis). Direction régionale de l’Environnement, de l’Aménagement et du Logement Rhône-Alpes.
  19. ^ Andelt, William F.; Hopper, Stuart N. (Mei 2000). "Livestock guard dogs reduce predation on domestic sheep in Colorado". Journal of Range Management. 53 (3): 259–267. doi:10.2307/4003429. hdl:10150/643758. JSTOR 4003429. Dicapai pada 8 Januari 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]