Pergi ke kandungan

Anjing Santo Bernard

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing Santo Bernard
Anjing Santo Bernard, jantan, berbulu panjang, berusia 14 bulan
Nama lainSpaniel Alp
Nama ringkasSaint
Negara asal
Trait
Berat Jantan 64–82 kg (140–180 lb)[3]
Betina 54–64 kg (120–140 lb)[3]
Tinggi Jantan 70–90 cm (28–35 in)[1][2]
Betina 65–80 cm (26–31 in)[1][2]
Jangka hayat 10 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Santo Bernard[a] ialah satu baka anjing pekerja sangat besar dari Pergunungan Alp Barat di Itali dan di Switzerland.[4] Ia pada asalnya dibiakbakakan untuk kerja penyelamatan oleh pihak hospis di Genting Santo Bernard Raya di sempadan Itali–Switzerland.[5][6] Hospis itu, yang dibina oleh rahib Alp, Santo Bernard dari Menthon, dan dinamai sempena beliau, memperolah anjing pertamanya pada antara tahun 1660 dengan tahun 1670.[5] Baka ini telah menjadi masyhur melalui kisah-kisah penyelamatan di Pergunungan Alp, serta kerana saiz besarnya, dan perangai lembut.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard diiktiraf di peringkat antarabangsa kini sebagai salah satu baka molosser.[1][2] Ia merupakan anjing gergasi. Lapis bulu licin, rapat, dan rata. Warnanya kebanyakannya putih putih tompok-tompok merah lebih kecil atau lebih besar dengan mantel merah gelap dan mantel perang kemerah-merahan sebagai yang paling 'berharga'. Warna kemerah-merahan brindle dan warna kuning keperang-perangan kedua-duanya diizinkan tetapi kurang diingini. Ekornya panjang dan berat dan tergantung tinggi-tinggi. Warna matanya berkisar dariapda perang cerah hingga perang gelap dan patut mempunyai kelopak mata yang ketat secara semula jadi, dengan kelopak mata ketiga yang hanya kelihatan sedikit.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing Santo Bernard yang digunakan sebagai anjing runtuhan salji (1929)

Catatan bertulis terawal bagi anjing Santo Bernard adalah daripada para rahib di Hospis Santo Bernard Raya di Genting Santo Bernard Raya pada tahun 1707, dengan lukisan dan lakaran bagi anjing ini yang bertarikh lebih awal.[7] Keterangan awal British tentang baka ini memerihalkan baka ini sebagai Alpine spaniel ("spaniel Alp").[8] Bukti pertama bahawa anjing ini digunakan di biara adalah dalam dua lukisan yang bertarikh ke tahun 1690 oleh seniman Itali Salvator Rosa. Anjing St. Bernard paling terkenal kerana menyelamatkan orang di gentin itu ialah Barry (kadang-kadang dieja Berry), yang dilaporkan menyelamatkan antara 40 dengan 100 nyawa. Terdapat tugu untuk Barry di Cimetière des Chiens, dan jasadnya telah dipulihara di Muzium Sejarah Semula Jadi di Bern.[9]

Seekor lagi anjing terkenal ialah Rutor, teman setia milik paderi Itali Pierre Chanoux, yang dinamai sempena puncak Tête du Rutor yang terletak di atas Genting Santo Bernard Kecil. Anjing Santo Bernard klasik terlihat sangat berbeza daripada anjing Santo Bernard kini oleh sebab pembiakbakaan silang. Musim sejuk teruk dari tahun 1816 hingga tahun 1818 membawa kepada peningkatan bilangan runtuhan salji yang membunuh banyak anjing yang digunakan untuk pembiakbakaan semasa anjing-anjing itu melaksanakan penyelamatan.[4] Dalam percubaan untuk memulihara baka ini, anjing Santo Bernards yang tersisa disilangkan dengan anjing Newfoundland yang dibawa dari Koloni Newfoundland pada tahun 1850-an, serta dengan baka lain. Ini membawa kepada perubahan ketara dari segi penampilan dan keupayaannya. Bulu panjang yang diwarisi olehnya membeku dalam iklim bersalji di Pergunungan Alp, lalu membebankannya dan mengurangkan keberkesanannya sebagai anjing penyelamatan.[10]

Anjing-anjing ini tidak pernah menerima sebarang latihan khusus daripada para rahib. Sebaliknya, anjing-anjing lebih muda mempelajari cara untuk melaksanakan operasi pencarian dan penyelamatan daripada anjing-anjing lebih tua.[11]

Kelab Anjing Santo Bernard Switzerland diasaskan di Basel pada 15 Mac 1884. Anjing Santo Bernard ialah baka pertama yang dimasukkan ke dalam Buku Pembaka Switzerland pada tahun 1884 dan piawaian baka akhirnya diluluskan pada tahun 1888. Sejak itu, baka ini telah menjadi anjing kebangsaan Switzerland.[7]

Semasa Perang Dunia Pertama, anjing Santo Bernard membantu pihak Palang Merah dan digunakan untuk membawa bekalan kepada tentera di pergunungan Itali yang ditempatkan di tempat-tempat yang tidak boleh dicapai oleh baghal dan kuda.[12]

Anjing-anjing di Hospis Santo Bernard Raya merupakan anjing pekerja yang lebih kecil daripada anjing Santo Bernard kini untuk pertunjukan. Pada asalnya kira-kira bersaiz anjing gembala Jerman,[13] anjing Santo Bernard berkembang kepada saiz anjing kini kerana kelab kenel dan pertunjukan anjing menekankan penampilan berbanding dengan keupayaan kerja anjing ini, bersama-sama dengan buku pembaka tertutup.[14]

Anjing terawet Barry. Walaupun rupa bentuk tengkorak berubah pada tahun 1920-an, tubuhnya menunjukkan perkadaran asali anjing Santo Bernard.

Penamaan[sunting | sunting sumber]

Sebuah patung bagi Bernard dari Menthon di Ascona (Genova), Itali

Nama "Santo Bernard" berasal daripada Hospis Santo Bernard Raya, iaitu hospis perantau di Genting Santo Bernard Raya yang kerap berbahaya di Pergunungan Alp Barat, di antara Switzerland dengan Itali.[5] Genting itu, rumah persinggahan itu, dan anjing ini dinamai sempena Bernard dari Menthon, rahib Itali dari abad ke-11 yang menubuhkan stesen itu.[perlu rujukan]

"Anjing Santo Bernard" tidak digunakan secara meluas sehingga pertengahan abad ke-19. Anjing ini dipanggil "Anjing Keramat", "Tunggangan Mulia", atau "Anjing Barry" sebelum masa itu.[perlu rujukan]

Baka berkaitan[sunting | sunting sumber]

Baka ini sangat mirip dengan mastif Inggeris. Anjing Santo Bernard moden amat berbeza daripada anjing asli yang dibela di Hospis Santo Bernard Raya, paling ketara dengan saiz dan tubuh lebih besar. Sejak lewat tahun 1800-an, baka anjing Santo Bernard telah diperhalus dengan menggunakan banyak baka jenis molosser besar berlainan, termasuk anjing Newfoundland, anjing besar Pyrénées, anjing gunung besar Switzerland, anjing besar Denmark, mastif Inggeris, dan mungkin mastif Tibet dan anjing gembala Kaukasus. Ada kecurigaan bahawa banyak baka besar ini digunakan untuk mengembangkan satu sama lain semula untuk mengatasi ancaman kepupusan baka-baka tersebut selepas Perang Dunia Kedua yang mungkin menjelaskan sebab bagi peranan kesemua baka itu dalam penghasilan anjing Santo Bernard seperti yang terlihat kini.[perlu rujukan]

Empat baka sennenhund (anjing gunung Switzerland), anjing gunung besar Switzerland, anjing gunung Bern, anjing gunung Appenzell, dan anjing gunung Entlebuch, adalah serupa dari segi penampilan dengan anjing Santo Bernard dan mengongsi lokasi sama bagi asal usul dan sejarah, tetapi triwarna (hitam, sawo matang, dan putih) dan bukan pula merah dan putih atau brindle mahogani dan putih yang merupakan warna anjing Santo Bernard.[perlu rujukan]

Kenel ketenteraan Rusia membiakbakakan anjing Santo Bernard secara bersilang dengan anjing gembala Kaukasus untuk menghasilkan anjing pengawal Moscow yang masih digunakan sebagai anjing khidmat ketenteraan di Rusia kini.[perlu rujukan] Anjing Santo Bernard mempunyai banyak ciri bersama bagi baka-baka anjing penjaga haiwan ternakan.[perlu rujukan]

Pengiktirafan kelab kenel[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai Molosser dalam Kumpulan 2, Seksyen 2.[1][2] Baka ini diiktiraf oleh The Kennel Club (United Kingdom), Canadian Kennel Club, dan American Kennel Club dalam kumpulan Kumpulan Pekerja.[15][16][17] United Kennel Club di Amerika Syarikat meletakkan baka ini dalam Kumpulan Anjing Pengawal.[18] New Zealand Kennel Club dan Australian National Kennel Council meletakkan baka ini dalam Kumpulan Utiliti.[19][20]

Kegiatan moden – Genting Santo Bernard Raya dan Genting Santo Bernard Kecil[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard yang menjalani ketangkasan dalam Pertunjukan AKC Rose City Classic 2007, Portland, Oregon, Amerika Syarikat

Anjing Santo Bernards tidak lagi digunakan untuk penyelamatan di Pergunungan Alp. Kejadian tercatat terakhir bagi penyelamatan adalah pada tahun 1955. Selewat tahun 2004, Hospis Santo Bernard Raya masih mengekalkan 18 ekor anjing atas sebab tradisi dan sentimen.[perlu rujukan]

Perayaan tahunan bagi baka ini berlangsung di Genting Santo Bernard Kecil dan di bandar Rosières-Montvalzan di sebelah Perancis. Penggemar dan pembiak baka anjing Santo Bernard berkumpul untuk pertunjukan dan perarakan anjing.[21]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard muda yang bermain di dalam salji

Osteosarkoma (kanser tulang) telah ditunjukkan sebagai penyakit keturunan pada baka ini.[22]

Tinjauan baka Denmark tahun 2003 (35 ekor anjing) meletakkan jangka hayat median pada 9.5 tahun,[23] sementara tinjauan baka United Kingdom pada tahun 2004 (53 ekor anjing) pula meletakkan jangka hayat median pada 7 years.[24]

Sebuah kajian mendapati bahawa mutasi dalam gen ARHGEF10 sangat berkait dengan polineuropati terwaris permulaan juvenil yang serupa dengan penyakit Charcot-Marie-Tooth.[25]

Anjing Santo Bernard cenderung terhadap beberapa keadaan kulit termasuk: dermatitis jilatan akral, intertrigo, arteritis dermis, higroma, dan dermatitis piotrauma.[26]

Sebuah kajian rekod veterinar Amerika mendapati bahawa anjing Santo Bernard cenderung terhadap kardiomiopati terdilat (DCM), dengan 2.6% daripada jumlah anjing yang menghidap berbanding dengan 0.2% untuk baka kacuk.[27] Sebuah kajian di England mendapati bahawa 20 daripada 369 kes DCM berlaku pada anjing Santo Bernard dengan 72% daripada itu yang kesemuanya hadir untuk pemfibrilan atrium.[28]

Sebuah kajian Amerika yang menyemak lebih daripada sejuta kes yang dibentangkan kepada 27 buah hospital pengajar veterinar di Amerika Utara mendapati anjing Santo Bernard sebagai yang kedua paling cenderung terhadap displasia pinggul anjing dengan 14.70% daripada jumlah anjing yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan. Anjing Santo Bernard juga didapati cenderung terhadap kekurangan ligamen krusiat anjing (CCLD) dengan 3.57% daripada jumlah anjing yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 2.55% secara keseluruhan. Anjing Santo Bernard mempunyai prevalens ketiga tertinggi untuk anjing dengan kedua-dua keadaan pada 1.19% berbanding dengan kadar keseluruhan 0.3%.[29]

Semakan terhadap 1,934 kes volvulus pendilatan gastrik (GDV) mendapati bahawa anjing Santo Bernard amat cenderung terhadap keadaan ini nisbah kemungkinan 4.2.[30] Tinjauan kesihatan di United Kingdom mendapati bahawa 4.6% daripada jumlah anjing menghidap keadaan ini dan 15.1% daripada jumlah anjing telah terkorban akibat keadaan ini.[31] Sebuah kajian di California mendapati bahawa 3.76% daripada jumlah anjing yang hadir menghidap GDV.[32]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard, yang dikenali sebagai contoh klasik bagi gergasi lembut, adalah tenang, sabar, dan manis dengan orang dewasa, dan terutamanya kanak-kanak. Secara keseluruhan, ia merupakan baka lembut, setia, dan penyayang dan jika tersosialisai, patut sangat mesra. Walaupun pada umumnya tidak bersifat pelindung menurut naluri, anjing Santo Bernard mungkin menyalak terhadap orang asing dan saiznya menjadikannya penghalang baik terhadap penceroboh berpotensi.[33][34]

Anjing Santo Bernard dibiakbakakan untuk menjadi teman kerja dan sehingga kini ia hidup untuk menggembirakan tuannya dan merupakan pekerja peramah lagi rajin. Anjing Santo Bernard telah mengekalkan keupayaan semula jadinya untuk kerja bau dan, bergantung pada kemahiran jurulatih dan bakat anjing berkenaan, ia dapat menyertai acara pengesanan atau bahkan terlibat dalam kerja pencarian dan penyelamatan.[35]

Keketaraan[sunting | sunting sumber]

Dalam media[sunting | sunting sumber]

Alpine Mastiffs Reanimating a Distressed Traveller
"Mastif Alp Menyemangati Pengembara Cemas"
oleh Edwin Landseer (1820)
Anjing Santo Bernard dengan tong ikonik

Anjing Santo Bernard kerap digambarkan, terutamanya dalam komedi aksi langsung lama seperti Swiss Miss, siri televisyen Topper, dan kartun klasik, memakai tong brandi kecil di sekeliling lehernya. Mangsa runtuhan salji kononnya meminum brandi untuk kekal panas sementara menunggu penyelamatan, walaupun ini tidak sihat dari segi perubatan. Para rahib di Hospis Santo Bernard menafikan bahawa mana-mana anjing Santo Bernard pernah membawa tong kayu atau tong kecil di lehernya; mereka mengatributkan imej itu kepada sebuah lukisan tahun 1820 oleh Edwin Landseer, Alpine Mastiffs Reanimating a Distressed Traveler ("Mastif Alp Menyemangati Pengembara Cemas") (yang menjadi ukiran popular pada tahun 1831 oleh Charles Landseer).[36] Para rahib memang menyimpan tong kayu di sekeliling untuk pergambaran oleh para pelancong.[37]

Rupa-rupanya terdapat sekurang-kurangnya seekor anjing yang benar-benar membawa brandi. Dalam The Percy Anecdotes, oleh Thomas Byerley, yang diterbitkan pada tahun 1823, anekdot berikut muncul dan kerap dipetik dalam buku-buku lain pada abad ke-19:

[Terjemahan] Baka anjing yang dibela oleh para rahib untuk membantu mereka ... telah lama diraikan kerana kebijaksanaan dan kesetiaannya. Semua yang tertua dan paling teruji antara mereka lewatr dikebumikan, bersama dengan beberapa orang pengembara malang; namun tiga atau empat ekor anak anjing penuh harapan ditinggalkan di rumah di biara dan masih bertahan. Yang paling diraikan antara anjing-anjing itu yang kini tiada lagi ialah seekor anjing bernama Barry. Haiwan itu berkhidmat kepada hospital selama jangka masa dua belas tahun, yang semasa itu ia menyelamatkan nyawa empat puluh individu. Semangatnya tidak pernah lesu. Setiap kali gunung itu diselubungi kabus dan salji, ia pergi mencari pengembara hilang. Ia terbiasa dengan berlari sambil menyalak sehingga ia kehilangan nafas, dan akan kerap meneroka tempat-tempat paling berbahaya. Apabila ia mendapati bahawa kekuatannya tidak mencukupi untuk menarik seorang pengembara yang mati rasa kesejukan daripada salji, ia akan berlari kembali ke hospital untuk mencari para rahib….

Apabila usia tua mencabut kekuatannya, Ketua Biara memencenkannya di Berney, sebagai ganjaran. Selepas kematiannya, kulitnya disumbat dan disimpan di muzium bandar itu. Bebuli kecil, yang di dalamnya ia membawa minuman yang menghidupkan semula untuk para pengembara cemas yang ditemukan olehnya di antara pergunungan, masih tergantung dari lehernya.[38]

Kartun majalah Punch dari tahun 1949 menggambarkan seorang lelaki dengan seekor anjing Santo Bernard dan beberapa ekor anak anjing, kesemuanya memakai tong kayu leher. Lelaki itu menjelaskan, "Sudah tentu, saya hanya membiakbakakan anjing-anjing ini untuk brandi".

Jenaka yang kerap dalam tayangan-tayangan singkat lama MGM dan Warner Brothers ialah penggambaran anjing-anjing ini sebagai penagih alkohol kompulsif yang kerap menggigit tong kayu mereka sendiri.

Anjing Santo Bernard masyhur[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan bagi Barry yang menyelamatkan seorang anak kecil
  • Bachelor, Anjing Penetap, di Ritz-Carlton, Bachelor Gulch
  • Burtonswood (Bossy Boots). Juara Terulung Crufts Inggeris dan Ireland (1974), pembiak baka ialah mendiang Cik Marjorie Hinds
  • Bamse, seekor anjing Norway yang diberi penghormatan atas jasa semasa Perang Dunia Kedua pada patung peringatan di Montrose, Scotland; ia mati di sana pada tahun 1944; juga dianugerahi Pingat Emas PDSA untuk keberanian haiwan
  • Barry, anjing penyelamatan Alp yang terkenal
  • Bernie, maskot Colorado Avalanche
  • Bernie, maskot Northampton Saints
  • Bernie "Saint" Bernard, maskot orang-orang kudus di Dubuque
  • Gumbo, maskot pasukan untuk New Orleans Saints
  • Porthos, anjing milik J. M. Barrie
  • Schnorbitz, rakan pentas milik pelawak British Bernie Winters semasa kerjayanya kemudian
  • Schotzie dan Schotzie "02", haiwan peliharaan kesayangan dan maskot bagi pemilik Cincinnati Reds
  • Scipio Saint Bernard milik Orville Wright[39](Wayback Machine)
  • Shirley Temple dan seekor rakan anjing Santo Bernard.[40]
  • Wallace (kini Wallace VI), maskot Rejimen Scotland Kanada (Puteri Mary)
  • Anjing Santo Bernard paling berat (bernama Benedictine) berukuran seberat 167 kg (368 lb) yang menakjubkan dan buat masa ini memegang rekod sebagai anjing paling berat sepanjang zaman. American Kennel Club

Anjing cereka[sunting | sunting sumber]

Lihat: Senarai anjing cereka
  • Anjing Santo Bernard tidak bernama dalam tayangan singkat Looney Tunes Piker's Peak yang menyelamatkan Yosemite Sam yang beku, kemudian membancuh, dan meminum koktel.
  • "Anjing setia" tidak bernama yang menemukan mayat beku seorang pengembara yang membawa "sepanduk dengan peranti aneh" yang mencuba untuk menyeberangi Genting Santo Bernard dalam puisi Henry Wadsworth Longfellow "Excelsior".
  • Barabbas, daripada filem Walt Disney tahun 1969 My Dog the Thief. Seorang wartawan trafik udara mendapati bahawa pasangannya--seekor anjing Santo Bernard--telah secara tidak sengaja menyapu rantai tidak ternilai daripada geng penyeludup permata.
  • Båtsman, seekor anjing Santo Bernard dalam cerita Astrid Lindgren Vi på Saltkråkan
  • Beethoven (daripada siri filem dengan nama sama), filem komedi tahun 1992 Beethoven menampilkan seekor anjing Santo Bernard berbulu panjang seberat 185 paun (80 kg) yang mesra tetapi menyusahkan dan, dalam sekuel-sekuel kemudiannya, pasangannya dan anak-anaknya yang sukar dikawal. Menurut penerbit sekuel Beethoven's 2nd, anjing-anjing Santo Bernard yang digunakan dalam filem itu membesar dengan begitu pantas semasa pemfileman sehingga lebih 100 ekor anak anjing Santo Bernard telah digunakan untuk menggambarkan watak empat ekor anak anjing dalam sekuel itu (Tchaikovsky, Chubby, Dolly, dan Mo) dan ibu kepada anak-anak anjing itu (Missy).
  • Bolivar a.k.a. Bornworthy dan Bernie, haiwan peliharaan tidak antropomorfik milik Donald Duck, dan anaknya Behemoth
  • Buck, daripada novel tahun 1903 Jack London, The Call of the Wild, digambarkan sebagai kacukan separuh anjing Santo Bernard dan separuh "anjing gembala Scotland",[A][B] tetapi diterjemahkan sebagai anjing Santo Bernard penuh dalam sekurang-kurangnya salah satu daripada enam versi filem.[C]
  • Cujo, seekor anjing yang mempunyai sikap peramahnya sekejamnya dicabut daripadanya oleh rabies dan menjadi gila, mengganasi sesetengah penduduk bandar fiksyen Castle Rock, Maine daripada novel Stephen King tahun 1981 Cujo dan filem tahun 1983 dengan nama sama.
  • Digby, anjing bercakap daripada siri sitkom Kanada Dog House. Pada asalnya anjing polis, fikirannya ditukar dengan pasangan manusianya sebelum pasangan manusia itu meninggal dalam kemalangan dan penjagaannya diambil alih oleh kakak ipar pegawai itu dan anak-anaknya.
  • George, anjing eponim dalam filem George! (1971) dan siri televisyen spin-off tahun 1972–1973.
  • Josef, (Niebla dalam versi Sepanyol) daripada siri anime Jepun Heidi, Girl of the Alps (Alps no Shoujo Heidi), dan remake tahun 2015.
  • Nana, dalam filem-filem Peter Pan daripada Disney dan Columbia (tetapi merupakan seekor anjing Newfoundland dalam drama dan novel asli J. M. Barrie)
  • Neil, anjing Santo Bernard yang menghirup martini milik George dan Marion Kerby dalam siri televisyen tahun 1950-an Topper. Ini merupakan susulan kepada filem-filem Topper, Topper Takes a Trip, dan Topper Returns.
  • Sumo, seekor anjing Santo Bernard milik Leftenan Hank Anderson dalam permainan video Detroit: Become Human.

Legenda[sunting | sunting sumber]

Anjing Santo Bernard masyhur, Barry, menemukan seorang anak kecil di dalam salji dan memujuk anak itu untuk memanjat di atas belakangnya. Anjing itu kemudiannya membawa anak itu ke tempat yang selamat.[10]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Catatan nama[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ سنتو برنرد; Jerman: Sankt Bernhardshund; St. Bernhardshund; Bernhardinerhund; Bernhardiner; Itali: cane di San Bernardo; san bernardo; Perancis: chien du Saint-Bernard; saint-bernard; bahasa Inggeris: Saint Bernard dog; St. Bernard dog; st. bernard; saint bernard

Catatan kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Buck dalam The Call of the Wild diperihalkan sedemikian: "Ayahnya (ayah kepada Buck), Elmo, seekor anjing Santo Bernard besar, telah menjadi pendamping tidak terpisah milik sang Hakim, dan Buck kelihatannya mengikuti jejak langkah ayahnya. Ia tidak terlalu besar,— ia hanya seberat satu hundred and empat puluh paun [64 kg],— kerana ibunya pula, Shep, merupakan anjing gembala Scotland. Walau apa pun, satu hundred and empat puluh paun [64 kg], yang kepadanya martabat yang hadir dengan kehidupan baik dan kehormatan sejagat ditambahkan, membolehkannya membawa dirinya dengan gaya seperti raja." [terjemahan kasar] The Call of the Wild (novel).
  2. ^ Istilah "Scotch shepherd dog" ("anjing gembala Scotland") ialah frasa kuno zaman Victoria yang mungkin merujuk Scotch Collie ("collie Scotland"), atau Old Time Farm Shepherd, tetapi mungkin juga merujuk English Shepherd ("anjing gembala Inggeris"). "Name That Breed – A Collie By Any Other Name…" (dalam bahasa Inggeris). Old-Time Farm Shepherd. Dicapai pada 11 Januari 2024. "Defining a Breed: An Apologia of the OTFS" (dalam bahasa Inggeris). 28 Oktober 2009. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  3. ^ Seekor anjing Santo Bernard digunakan dalam versi Clark Gable, The Call of the Wild (1935). Tiga ekor 'pelakon' anjing Leonberg (seekor betina, dua ekor jantan) memainkan watak anjing bintang "Buck" dalam The Call of the Wild: Dog of the Yukon (1997), "Call of the Wild - Dog of the Yukon" (dalam bahasa Inggeris). Internet Movie Database. 22 Jun 1997. Dicapai pada 11 Januari 2024. versi Kanada bagi The Call of the Wild oleh Jack London yang membintangkan Rutger Hauer sebagai John Thornton (diceritakan oleh Richard Dreyfuss). "Leonberger Facts" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 11 Januari 2024. Walau apa pun, filem-filem dan adaptasi-adaptasi televisyen telah membeza-bezakan baka anjing. Buku ini juga diadaptasi dalam The Call of the Wild oleh D. W. Griffith (1908); sebuah filem bisu kedua (1923) oleh Hal Roach; The Call of the Wild (1972), dan Call of the Wild 3D (2009). Novel ini juga telah menjadi subjek bagi tiga buah rancangan televisyen atau filem: The Call of the Wild, sebuah filem televisyen Amerika Syarikat tahun 1976 yang membintangkan John Beck, dengan lakon layar oleh James Dickey; The Call of the Wild, sebuah filem televisyen Amerika tahun 1993 yang membintangkan Rick Schroder; dan Call of the Wild, sebuah siri televisyen pengembaraan tahun 2000 di Animal Planet.

Kutipan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e "FCI - Standard Nr. 61 ST. BERNHARDSHUND (BERNHARDINER)" [Piawaian FCI No. 61 Anjing Santo Bernard] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Jerman). 3 Jun 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e "FCI-Standard N° 61 ST.BERNHARDSHUND, BERNHARDINER (St. Bernard)" [Piawaian FCI No. 61 Anjing Santo Bernard] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seidler dan Pn. Pepper. Dipinda oleh Christina Bailey. 3 Jun 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ a b AKC breed standard (Inggeris)
  4. ^ a b Blumberg, Jess (1 Januari 2008). "A Brief History of the St. Bernard Rescue Dog: The canine's evolution from hospice hound to household companion" (dalam bahasa Inggeris). Smithsonian. Dicapai pada 8 Januari 2024. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  5. ^ a b c "Saintly Bernards Rescue - History" (dalam bahasa Inggeris). members.petfinder.com.
  6. ^ "The St Bernard: the making of an Alpine legend" (dalam bahasa Inggeris). House of Switzerland. 12 Mei 2017.
  7. ^ a b St. Bernard, Jabatan Haiwan Vertebrat (dalam bahasa Inggeris), Naturhistoriches Museum der Burgergemeinde Bern, diarkibkan daripada yang asal pada 2 September 2011, dicapai pada 10 Januari 2024
  8. ^ Brown, Thomas (1829). Biographical Sketches and Authentic Anecdotes of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Simpkin & Marshall. m/s. 278–283. Dicapai pada 10 Januari 2024.
  9. ^ "The Legendary Barry at the Natural History Museum". Muzium Sejarah Semula Jadi Bern (dalam bahasa Inggeris). Naturhistorisches Museum der Burgermendiz Bern. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 September 2010. Dicapai pada 10 Januari 2024.
  10. ^ a b Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 381–383. ISBN 0-87605-624-9.
  11. ^ "Dogs Learn by Modeling the Behavior of Other Dogs" (dalam bahasa Inggeris).
  12. ^ Frank H., Simonds (1919). History of the World War (dalam bahasa Inggeris). 3. Garden City, New York, Amerika Syarikat: Doubleday Page & Company. m/s. 200.
  13. ^ "Les chiens d'avalanche" [Anjing runtuhan salji]. notrehistoire.ch (dalam bahasa Perancis). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 September 2015. Dicapai pada 10 Januari 2024. In 1962, an avalanche dog over to Great Dixence is organized at the initiative of Canine Club of Sion. A TSR camera is present on The working St Bernard dogs at the hospice was still smaller than the show St Bernard dogs during 1962 and premises
  14. ^ "St Bernard breeding: why Barry got a bigger head" (dalam bahasa Inggeris). 10 Julai 2014. Dicapai pada 10 Januari 2024.
  15. ^ "St Bernard". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  16. ^ "St Bernard". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  17. ^ "Saint Bernard". Canadian Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  18. ^ "Saint Bernard". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  19. ^ "St Bernard". Dogs Australia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  20. ^ "St Bernard". Dogs NZ (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 Mac 2024.
  21. ^ "The Little Saint Bernard pass, dog parade" (dalam bahasa Perancis). Le Dauphiné Libéré. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  22. ^ Bech-Nielsen; S.; Haskins; M. E.; dll. (1978). "Frequency of osteosarcoma among first-degree relatives of St. Bernard dogs". J Natl Cancer Inst (dalam bahasa Inggeris). 60 (2): 349–53. doi:10.1093/jnci/60.2.349. PMID 271748.
  23. ^ Proschowsky, H. F.; Rugbjerg, H.; Ersbøll, A. K. R. (2003). "Mortality of purebred and mixed-breed dogs in Denmark". Preventive Veterinary Medicine (dalam bahasa Inggeris). 58 (1–2): 63–74. doi:10.1016/S0167-5877(03)00010-2. PMID 12628771.
  24. ^ Adams, V. J.; Evans, K. M.; Sampson, J.; Wood, J. L. N. (1 Oktober 2010). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x.
  25. ^ Ekenstedt, Kari J.; Becker, Doreen; Minor, Katie M.; Shelton, G. Diane; Patterson, Edward E.; Bley, Tim; Oevermann, Anna; Bilzer, Thomas; Leeb, Tosso; Drögemüller, Cord; Mickelson, James R. (2 Oktober 2014). "An ARHGEF10 Deletion Is Highly Associated with a Juvenile-Onset Inherited Polyneuropathy in Leonberger and Saint Bernard Dogs". PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 10 (10): e1004635. doi:10.1371/journal.pgen.1004635. PMC 4183422. PMID 25275565.
  26. ^ Hnilica, Keith A.; Patterson, Adam P. (19 September 2016). Small Animal Dermatology (dalam bahasa Inggeris). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Saunders. ISBN 978-0-323-37651-8.
  27. ^ Fox, Philip R.; Sisson, David; Moïse, N. Sydney (1999). Textbook of Canine and Feline Cardiology (dalam bahasa Inggeris). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Saunders. ISBN 978-0-7216-4044-0.
  28. ^ Martin, M. W. S.; Stafford Johnson, M. J.; Celona, B. (2009). "Canine dilated cardiomyopathy: a retrospective study of signalment, presentation and clinical findings in 369 cases". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 50 (1): 23–29. doi:10.1111/j.1748-5827.2008.00659.x. ISSN 0022-4510.
  29. ^ Witsberger, Tige H.; Villamil, J. Armando; Schultz, Loren G.; Hahn, Allen W.; Cook, James L. (15 Jun 2008). "Prevalence of and risk factors for hip dysplasia and cranial cruciate ligament deficiency in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 232 (12): 1818–1824. doi:10.2460/javma.232.12.1818. ISSN 0003-1488.
  30. ^ Glickman, Lawrence T.; Glickman, Nita W.; Pérez, Cynthia M.; Schellenberg, Diana B.; Lantz, Gary C. (1 Mei 1994). "Analysis of risk factors for gastric dilatation and dilatation-volvulus in dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 204 (9): 1465–1471. doi:10.2460/javma.1994.204.09.1465. ISSN 0003-1488.
  31. ^ Evans, Katy M.; Adams, Vicki J. (2010). "Mortality and morbidity due to gastric dilatation‐volvulus syndrome in pedigree dogs in the UK". Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). 51 (7): 376–381. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00949.x. ISSN 0022-4510.
  32. ^ Bellumori, Thomas P.; Famula, Thomas R.; Bannasch, Danika L.; Belanger, Janelle M.; Oberbauer, Anita M. (1 Jun 2013). "Prevalence of inherited disorders among mixed-breed and purebred dogs: 27,254 cases (1995–2010)". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 242 (11): 1549–1555. doi:10.2460/javma.242.11.1549. ISSN 0003-1488.
  33. ^ Stenmark, Betty-Anne (2001). A New Owner's Guide to Saint Bernards (dalam bahasa Inggeris). New Jersey, Amerika Syarikat: T.F.H. m/s. 23–25. ISBN 0-7938-2810-4.
  34. ^ Walker, Joan Hustace (1998). Saint Bernards A Complete Pet Owner's Manual (dalam bahasa Inggeris). Hong Kong: Barrons. m/s. 14–22. ISBN 0-7641-0288-5.
  35. ^ Hustace Walker, Joan (2000). Saint Bernards: Everything About Purchase, Care, Nutrition, Breeding, Behavior and Training (Barron's Complete Pet Owner's Manuals) (dalam bahasa Inggeris). m/s. 11.
  36. ^ "Legend of the St. Bernard Barrel". It's the dogs' life (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (http) pada 18 Februari 2014. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  37. ^ Pickow, George (1957). "The Great St. Bernard Hospice Today". National Geographic, January 1957 (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (http) pada 15 Disember 2005. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  38. ^ Byerley, Thomas (1823). The Percy Anecdotes (dalam bahasa Inggeris) (ed. 1826). London, United Kingdom: T. Boys. m/s. 25–26. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  39. ^ McPherson, Stephanie Sammartino; Gardner, Joseph Sammartino (2003). Wilbur & Orville Wright: taking flight (dalam bahasa Inggeris). Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat: Carolrhoda, Inc. m/s. 103. ISBN 1-57505-443-4. Dicapai pada 11 Januari 2024.
  40. ^ http://1.bp.blogspot.com/-BNrwjWsQvaQ/UVX7CqqZLgI/AAAAAAAAKcY/ajOZR2TUUyo/s1600/tumblr_m0qcf4ZKtm1qhpmnao1_500.png friend

Sumber umum[sunting | sunting sumber]

  • Hyde, W. W. (Ogos 1937). "The Great St. Bernard Pass and Its Hospice". Isis (dalam bahasa Inggeris). Jil. 27 no. 2 (whole no. 74). m/s. 306–320. doi:10.1086/347249. JSTOR 225419.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]