Kerajaan Bani Umaiyah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bani Umayyah)
Kerajaan Bani Umaiyah
ٱلْخِلَافَة ٱلْأُمَوِيَّة (Arab)
al-Khilāfah al-ʾUmawīyah
661–750
Kerajaan Bani Umaiyah ketika kemuncak kegemilangannya, di bawah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, s. 720
Kerajaan Bani Umaiyah ketika kemuncak kegemilangannya, di bawah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, s. 720
Ibu negaraDamsyik (661–744)
Harran (744–750)
Bahasa rasmiArab Klasik
Agama
Islam
KerajaanMonarki
Khalifah 
• 661–680
Muawiyah (pertama)
• 744–750
Marwan II (terakhir)
Sejarah 
• Didirikan
661
• Dibubarkan
750
Keluasan
72011,100,000 km2 (4,300,000 bt2)
Mata wang
Didahului oleh
Diganti oleh
Khulafa al-Rasyidin
Empayar Byzantium
Kerajaan Visigoth
Exarchate Afrika
Kerajaan Aurès
Kerajaan Altava
Dinasti Chacha
Hun Putih
Kerajaan Bani Abbasiyah
Amiriah Cordoba
Barghawata
Amiriah Nekor
Amiriah Tiemcen
Dinasti Bavand

Kerajaan Bani Umaiyah (Arab بنو أمية banū umayya / الأمويون al-umawiyyūn); merupakan khilafah Islam kedua selepas kewafatan Nabi Muhammad dan khilafah pertama yang menggunakan sistem pewarisan takhta. Muawiyah bin Abu Sufyan menjadi khalifah pertama kerajaan ini, selepas tamatnya Fitnah Pertama pada tahun 661.

Nama kerajaan Bani Umaiyah berasal daripada nama datuk Muawiyah iaitu Umaiyyah bin Abdul Syams, seorang pemimpin kaum Quraisy yang kaya dan berpengaruh.

Kerajaan Umaiyah telah meneruskan penaklukan oleh orang Islam, dengan menakluk Ifrikiyah, Transoxiana, Sind, Maghreb dan Hispania. Ketika kemuncak kegemilangannya, taklukan kerajaan Umaiyah telah meliputi kawasan seluas 11,100,000 km2 (4,300,000 bt2),[1] menjadikannya antara empayar terbesar dalam sejarah.

Kerajaan Umaiyah telah digulingkan Kerajaan Abbasiyah pada tahun 750. Ahli keluarga Bani Umaiyah yang terselamat telah menubuhkan sebuah emiriah di Cordoba dan membangun menjadi sebuah khilafah baharu di sana.

Pemerintahan Umaiyah

Muawiyah telah menjadi Gabenor Syria di bawah pemerintahan khalifah ketiga Islam, Saidina Uthman Affan. Pada tahun 35 Hijrah, kota Madinah yang menjadi ibu kota negara Islam telah dilanda krisis politik yang hebat sehingga mencetuskan pemberontakan menentang kerajaan. Akibatnya, Khalifah Uthman bin Affan dibunuh oleh pemberontak. Selepas peristiwa pembunuhan Saidina Uthman, Saidina Ali Abi Talib telah dilantik menjadi khalifah yang baru.

Kekecohan akibat fitnah besar terus terjadi di zaman pemerintahan Ali bin Abi Talib. Perang Jamal telah terjadi antara pasukan Zubair, Talha dan Aisyah dengan pasukan Ali mengakibatkan terbunuhnya Zubair dan Talha.[2] Dipercayai golongan pembunuh Uthman yang mencetuskan peperangan itu. Siri peperangan lain juga turut terjadi iaitu Perang Siffin antara pasukan Ali dan Muawiyah. Kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Satu peperangan lagi tercetus iaitu Perang Nahrawan, perang antara pasukan Ali dan golongan Khawarij, bekas penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan rundingan Perang Siffin. Saidina Ali telah dibunuh pada tahun 661 M oleh Abdul Rahman Muljam, sebagai sebahagian daripada rancangan pihak Khawarij dalam membunuh semua pemimpin Islam.

Selepas Saidina Ali dibunuh, anak Saidina Ali iaitu Saidina Hassan telah menjadi khalifah namun beliau telah mengambil keputusan untuk memberi jawatan khalifah kepada Muawiyah sebagai khalifah seluruh empayar Islam atas harapan Muawiyah dapat menyatukan umat Islam pada masa itu kerana beliau tidak sanggup untuk melihat perpecahan umat Islam terus berlaku dihadapan matanya. Hal ini menyebabkan tertubuhnya Kerajaan Bani Umaiyah dan menyaksikan pertukaran pusat pemerintahan daripada Madinah ke Damsyik.

Era keluarga Abu Sufyan

Susur galur keluarga Abu Sufyan. Nama yang berwarna merah merupakan khalifah.

Pemerintahan Muawiyah

Masih terdapat tentangan daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Muawiyah dan tindakannya yang memindahkan pusat pemerintahan ke Damsyik. Bagi menyatukan semula umat Islam yang sedang berpecah dan mengukuhkan pemerintahannya, Muawiyah telah mengambil pendekatan desentralisasi dengan menjalinkan pakatan bersama bangsawan kabilah Arab dan melantik gabenor yang dipercayainya.[3] Ketika pemerintahannya, Ziyad bin Abihi, gabenor Basrah telah memulakan semula penaklukan Islam di Khurasan. Muawiyah juga telah menghantar pasukan tentera yang diketuai Uqba bin Nafi bagi menakluk Ifirikiyah pada tahun 670. Muawiyah juga telah melancarkan beberapa serangan ke atas Byzantium, namun tiada sebarang wilayah yang diperoleh.[4] Menjelang akhir pemerintahannya, Muawiyah telah menjalinkan gencatan senjata dengan maharaja Byzantium, mewajibkan kerajaan Umaiyah untuk membayar ufti tahunan kepada Byzantium.

Sebelum kematian Muawiyah, beliau telah mencalonkan anaknya sendiri, Yazid sebagai penggantinya, dan telah memperkenalkan sistem lantikan khalifah secara turun temurun. Muawiyah juga telah memungkiri perjanjiannya dengan Hassan yang menyatakan bahawa beliau tidak boleh melantik penggantinya dan menyerahkan urusan pelantikan kepada umat Islam. Tindakannya telah menimbulkan tentangan dari Iraq dan kaum Quraisy di Hijaz. Muawiyah telah meninggal dunia pada tahun 680 dan digantikan dengan anaknya, Yazid.

Pemerintahan Yazid I

Ketika pemerintahannya, tentangan terus berlaku apabila kumpulan penyokong Ali telah menjemput Husain untuk melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan. Tentera yang dikerah oleh gabenor Iraq, Ibnu Ziyad telah memintas mereka lalu membunuh Hussain di luar Kufah ketika Pertempuran Karbala. Walaupun tentangan terhadap Yazid dapat dielakkan, pembunuhan Hussain menyebabkan umat Islam semakin marah dan telah meningkatkan permusuhan orang Kufah kepada Bani Umaiyah.

Yazid juga menerima tentangan dari Hijaz, apabila Abdullah bin Zubair telah mengadakan syura antara kaum Quraisy bagi melantik khalifah dan menentang Bani Umaiyah. Kaum Ansar dan Quraisy Madinah juga telah menghalau Bani Umaiyah keluar dari Madinah. Tentera Yazid telah menyerang Madinah dalam pertempuran al-Harra dan mengepung Abdullah bin Zubair di Mekah. Namun tentera Yazid berundur apabila mendengar berita kematian Yazid pada tahun 683. Abdullah bin Zubair seterusnya mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah dan kemudiannya mendapat pengiktirafan dari hampir kesemua wilayah. Di Syria, Ibnu Bahdal telah melantik Muawiyah II sebagai pengganti Yazid, namun kekuasaannya hanya tertakluk di Damsyik dan selatan Syria. Muawiyah II yang telah lama sakit ketika awal pemerintahannya, meninggal dunia pada tahun 684 tanpa menamakan pengganti. Kematiannya menandakan pengakhiran era keluarga Abu Sufyan dalam pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah.

Era keluarga Marwan

Selepas kematian Muawiyah II, kerajaan Umaiyah hampir runtuh apabila hampir keseluruhan wilayah termasuk Damsyik bersetuju untuk mengiktiraf Abdullah bin Zubair sebagai khalifah. Ketua Bani Umaiyah, Marwan bin al-Hakam pada mulanya bersedia untuk menyokong Abdullah bin Zubair tetapi telah dipujuk oleh Ibnu Ziyad untuk meneruskan pencalonannya sebagai khalifah. Marwan juga telah dilantik sebagai khalifah oleh suku Arab yang menyokong Bani Umaiyah di Syria. Marwan bersama sekutu sukunya telah memenangi pertempuran dengan suku Qays pada Ogos 684. Biarpun Marwan telah menguasai Syria selepas itu, pertelingkahan antara suku telah melemahkan tenteranya. Marwan meninggal dunia pada tahun 685 dan digantikan oleh anaknya, Abdul Malik.

Pemerintahan Abdul Malik

Perpecahan dalam kalangan puak telah melambatkan cubaan Abdul Malik untuk menubuhkan semula kerajaan Bani Umaiyah di Iraq. Tekanan juga diberikan oleh Byzantium yang melancarkan serbuan ke atas Syria memaksa perjanjian damai antara Bani Umaiyah dan Byzantium dengan kadar bayaran yang lebih tinggi. Abdul Malik kemudiannya menyatukan Zufar dan Qays lalu membentuk tentera bagi menyerang Iraq. Musab, pemerintah Iraq telah dikalahkan dalam Perang Maskin pada tahun 691 manakala Abdullah bin Zubair telah dibunuh oleh al-Hajjaj bin Yusuf semasa pengepungan Mekah menandakan tamatnya Fitnah Kedua dan penyatuan kerajaan di bawah Abdul Malik.

Bagi menyatukan pemerintahan Bani Umaiyah, Abdul Malik telah melancarkan satu siri langkah pemusatan, islamisasi dan arabisasi. Bagi mengelakkan pemberontakan di Iraq, pengawasan di wilayah itu diketatkan oleh al-Hajjaj. Lebihan hasil dari tanah Sawad diberikan kepada perbendaharaan khalifah bagi membayar tentera Syria. Sistem pembayaran gaji tentera yang ditubuhkan oleh Umar, iaitu pembayaran gaji kepada veteran dalam siri penaklukan Islam terdahulu dan keturunan mereka, telah ditamatkan dan dihadkan kepada mereka yang aktif berkhidmat.

Pada tahun 693, syiling emas Byzantium telah digantikan dengan dinar. Pada mulanya, syiling baru itu mengandungi gambaran khalifah sebagai pemimpin rohani umat Islam dan panglima tentera tertingginya. Namun telah digantikan pada tahun 696/697 dengan syiling tanpa imej yang ditulis dengan petikan al-Quran dan simbol Islam yang lain. Perubahan yang sama telah dibuat kepada syiling perak yang dihasilkan di timur khilafah. Bahasa Arab telah dijadikan bahasa rasmi kerajaan, namun agak lewat bagi wilayah yang jauh seperti Khurasan. Pada tahun 691/692, Kubah al-Sakhrah telah siap dibina di bawah perintah Abdul Malik. Al-Walid, anak Abdul Malik pula telah menukarkan Katedral St. John kepada Masjid Agung Damsyik.

Pada tahun 692, Abdul Malik memulakan semula serangan ke atas Byzantium dengan kemenangan ke atas Islam dalam Perang Sebastopolis, Sehingga tahun 705, kerajaan Bani Umaiyah telah menduduki semula Armenia, Albania Kaukasia dan Iberia. Pada tahun 695-698, khalifah berjaya menguasai semula Ifrikiyah setelah mengalahkan Byzantium dan Barbar.

Pemerintahan al-Walid

Al-Walid dilantik sebagai khalifah selepas kematian ayahnya, Abdul Malik pada tahun 705. Ketika pemerintahannya, misi ketenteraan Islam diteruskan lagi ke Maghreb, Transoxiana dan Sindh. Pada tahun 708/709, Musa bin Nusair berjaya menundukkan Barbar dan maju ke Maghreb, menakluk Tangier dan Sous. Tariq bin Ziyad seterusnya berjaya menakluk Kerajaan Visigoth di Hispania pada tahun 711, dengan hampir keseluruhan Hispania berjaya ditakluk dalam masa lima tahun.

Al-Hajjaj pula menguruskan penaklukan ke timur, dengan beberapa serangan dilancarkan ke Transoxiana (Asia Tengah) pada tahun 705-715, menyaksikan penyerahan Bukhara, Khawarzm, Samarkand dan Farghana. Pada tahun 708/709, Muhammad bin al-Qasim telah menakluk barat laut Asia Selatan iaitu kawasan Sindh.

Pemerintahan Sulaiman

Sulaiman menggantikan abangnya, al-Walid sebagai khalifah pada tahun 715 dan meneruskan misi ketenteraannya, namun kebanyakannya terhenti. Setelah kematian al-Hajjaj dan Qutaybah, tentera Arab di Transoxiana menjadi lemah. Tiada misi ketenteraan ke timur dan khilafah mula kehilangan wilayah, dengan kekalahan Islam kepada Dinasti Tang ketika Perang Aksu menyebabkan tentera Islam terpaksa berundur ke Tashkent. Sementara itu, pada tahun 716, gabenor Khurasan, Yazid ibn al-Muhallab, cuba menakluki kerajaan Jurjan dan Tabaristan di sepanjang pantai Caspian selatan, namun tidak berjaya.

Sulaiman telah meneruskan misi khalifah sebelumnya iaitu penaklukan Konstantinople. Pasukan yang diketuai Maslamah telah mengepung kota itu dari darat namun mereka dikalahkan Byzantium dan memaksa mereka berundur ke Syria. Pada tahun 720, tentera Islam mengepung semula kota itu. Namun, impian bagi menakluk kota itu telah ditinggalkan, dengan sempadan antara dua empayar itu kekal stabil di Pergunungan Taurus.

Pemerintahan Umar bin Abdul Aziz

Berbeza dengan khalifah sebelumnya, Sulaiman telah menamakan saudaranya, Umar bin Abdul Aziz sebagai penggantinya yang bermula pada tahun 717. Selepas kekalahan besar orang Arab di Konstantinople, Umar telah menarik kembali orang Arab dari barisan perang khilafah. Umar juga telah melantik gabenor baharu yang lebih cekap di setiap wilayahnya bagi memastikan pengawasan yang lebih ketat. Umar juga mempunyai dasar penting dalam menyamakan status orang Arab dan Mawali dengan menghapuskan cukai jizyah yang dikenakan ke atas mawali. Umar telah memperhebat usaha pengislaman dan membentuk langkah-langkah membezakan umat Islam dan bukan Islam. Kedudukannya sebagai khalifah ialah luar biasa, kerana hanya Umar yang diiktiraf sebagai khalifah asli dalam tradisi Islam, berbeza dengan khalifah lain yang dianggap raja duniawi sahaja.

Umar telah meninggal dunia pada tahun 720 akibat diracun oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan pemerintahannya.

Pemerintahan Yazid II

Selepas kematian Umar, anak Abdul Malik iaitu Yazid II telah dilantik menjadi khalifah. Semasa pemerintahannya, satu pemberontakan tercetus semula di Iraq yang diketuai Yazid ibn al-Muhallab namun dapat ditewaskan oleh tentera khalifah. Yazid juga telah mengembalikan semula cukai jizyah ke atas golongan Mawali, sehingga mencetuskan pemberontakan di Khurasan pada tahun 721/722 dan penentangan orang Barbar di Ifrikiyah. Peperangan di sempadan juga disambung semula, dengan serbuan terhadap Byzantium dan Khazar di Transkaukasia.

Pemerintahan Hisham

Hisham telah dilantik sebagai khalifah selepas kematian abangnya, Yazid II pada tahun 724. Di bawah pemerintahannya, serangan diteruskan ke Byzantium yang membawa kepada beberapa serbuan yang berjaya terhadap Anatolia, namun tidak memberikan perluasan wilayah yang ketara. Beberapa siri serbuan ke atas kawasan pantai Visigoth juga membawa kepada kependudukan tetap tentera Islam di hampir keseluruhan Iberia dan tenggara Gaul.

Semasa pemerintahannya juga menyaksikan pengakhiran perluasan kuasa oleh kerajaan Bani Umaiyah selepas kekalahan orang Arab dalam Perang Tours dan Toulouse serta pemberontakan orang Barbar. Pemerintahan Bani Umaiyah juga semakin runtuh di Al-Andalus dan diikuti dengan kemunculan wilayah Islam baharu di luar khilafah. Di Asia Selatan, tentera Bani Umaiyah telah dikalahkan dinasti Chalukya, membantutkan pengembangan Arab ke timur.

Di Kaukasia, konfrontasi dengan orang Khazar mula tercetus sehingga mencetuskan kekalahan Arab pada tahun 730. Namun pada tahun 737, peperangan berjaya dihentikan oleh Marwan II dengan penaklukan hingga sejauh Volga. Kekalahan lebih teruk dihadapi tentera Hisham apabila mereka cuba untuk menundukkan Tokharistan di timur. Pemberontakan juga tercetus dalam kalangan orang Arab Khurasan pada tahun 731.

Permulaan Fitnah Ketiga

Selepas kematian Hisham pada tahun 743, anak kepada Yazid II iaitu Al-Walid II telah dilantik sebagai khalifah baharu. Beliau dikatakan seorang pemimpin yang lebih cintakan dunia dan kejam apabila beliau mula menjalinkan banyak permusuhan, membunuh penentang pelantikannya dan menganiaya orang berfahaman Qadariyah.

Pada tahun 744, anak kepada al-Walid I iaitu Yazid III telah dilantik sebagai khalifah di Damsyik, lalu beliau dengan tenteranya mengejar dan membunuh al-Walid II. Yazid meninggal dunia setelah enam bulan memerintah dan menamakan adiknya, Ibrahim sebagai penggantinya. Ibrahim sempat memerintah selama tiga bulan sebelum Marwan II memimpin tentera dari utara ke Damsyik, di mana beliau diisytiharkan sebagai khalifah. Marwan seterusnya memindahkan pusat pentadbiran dari Damsyik ke Harran sehingga mencetuskan pemberontakan di Syria. Marwan juga menerima tentangan dari golongan Khawarij di Iraq dan Iran. Pada tahun 747, Marwan berjaya menguasai semula Iraq, namun tentangan lebih serius timbul di Khorasan.

Revolusi Abbasiyah dan keruntuhan

Gerakan Hashimiyah (sub-mazhab dalam al-Kaisaniyyah) yang dipimpin keluarga Bani Abbasiyah menggulingkan kerajaan Bani Umaiyah. Bermula sekitar tahun 719, gerakan ini mula untuk mencari pengikut di Khurasan. Mereka mencari sokongan untuk keluarga Rasulullah, tanpa menyebut secara jelas tentang Abbasiyah. Misi mereka mendapat sokongan dalam kalangan Islam Arab dan Mawali.

Sekitar tahun 746, Abu Muslim mengambil alih pemerintahan Hashimiyah di Khurasan. Pada tahun 747, Abu Muslim berjaya melancarkan pemberontakan terhadap Umaiyah dan menguasai Khurasan dengan menghalau gabenor Umaiyah lalu menghantar tenteranya ke barat. Kufah jatuh ke tangan Hashimiyah pada tahun 749, Wasit terus dikepung dan dalam tahun yang sama Abu Abbas as-Saffah diisytiharkan sebagai khalifah baharu. Marwan telah menyiapkan tenteranya di Harran dan mara ke Iraq namun dikalahkan oleh Abbasiyah dalam Pertempuran Zab. Damsyik kemudiannya ditawan Abbasiyah manakala Marwan dibunuh di Mesir. Beberapa penyokong Bani Umaiyah terus menentang pengambilalihan itu manakala putera-putera Umaiyah melancarkan pemberontakan di Syria dan sempadan Byzantium, namun mereka dapat dikalahkan.

Abbasiyah terus menjejaki ahli keluarga Bani Umaiyah lalu membunuh mereka. Apabila Abbasiyah mengisytiharkan pengampunan kepada ahli keluarga Umaiyah, 80 orang daripada mereka telah berkumpul bagi diampunkan, namun kesemuanya dibunuh. Seorang cucu kepada Hisham, Abdul Rahman terselamat lalu melarikan diri melalui Afrika Utara seterusnya menubuhkan amiriah di Iberia. Beberapa orang ahli keluarga Umaiyah juga terselamat di Syria, dan keturunan mereka cuba untuk mewujudkan semula pemerintahan Bani Umaiyah namun gagal.

Senarai khalifah

Khalifah Pemerintahan
Muawiyah I bin Abu Sufyan 28 Julai 661 – 27 April 680
Yazid I bin Muawiyah I 27 April 680 – 11 November 683
Muawiyah II bin Yazid I 11 November 683 – Jun 684
Marwan I bin al-Hakam Jun 684 – 12 April 685
Abdul Malik bin Marwan I 12 April 685 – 8 Oktober 705
Al-Walid I bin Abdul Malik 8 Oktober 705 – 23 Februari 715
Sulaiman bin Abdul Malik 23 February 715 – 22 September 717
Umar bin Abdul Aziz 22 September 717 – 4 Februari 720
Yazid II bin Abdul Malik 4 Februari 720 – 26 Januari 724
Hisham bin Abdul Malik 26 Januari 724 – 6 Februari 743
Al-Walid II bin Yazid II 6 Februari 743 – 17 April 744
Yazid III bin al-Walid I 17 April 744 – 4 Oktober 744
Ibrahim bin al-Walid I 4 Oktober 744 – 4 Disember 744
Marwan II bin Muhammad (perintah dari Harran) 4 Disember 744 – 25 Januari 750

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Rein Taagepera (September 1997). "Expansion and Contraction Patterns of Large Polities: Context for Russia". International Studies Quarterly. 41 (3): 496. doi:10.1111/0020-8833.00053. JSTOR 2600793. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 November 2018. Dicapai pada 22 August 2018.
  2. ^ Jihad Beyond Islam, By Gabriele Marranci
  3. ^ Kennedy 2004, m/s. 83–85.
  4. ^ Kaegi 1992, m/s. 247.

Pautan Luar