Gol & Gincu The Series
Gol & Gincu The Series | |
---|---|
Genre | Sukan, percintaan |
Format | Drama |
Pencipta | Rafidah Abdullah Lina Tan Bernard Chauly |
Dibangunkan oleh | Red Communications Sdn Bhd |
Dibintangi oleh | Nur Fazura Pierre Andre Sazzy Falak Ashraf Sinclair |
Lagu pembukaan | "Generasiku" oleh kumpulan OAG |
Lagu penutup | "Teruja" oleh Ella |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan episod | 26 (Senarai episod) |
Penerbitan | |
Tempoh siaran | 1 jam setiap episod |
Penyiaran | |
Saluran asal | 8TV |
Siaran asal | 4 Jun 2006 – 30 September 2007 |
Pautan luar | |
Laman sesawang |
Gol & Gincu The Series ialah sebuah siri televisyen Malaysian yang menyusuli kisah-kisah dalam filem Malaysia keluaran 2005 yang sama tajuknya ini mengisahkan perkembangan ahli-ahli pasukan futsal wanita Bukan Team Biasa. Siri ini dihasilkan oleh Red Communications untuk tayangan di 8TV, sementara filem asal dibikin oleh syarikat bersaudara Redfilms. Siri TV Gol & Gincu Musim terdiri dari dua musim, iaitu: musim pertama dari 4 Jun hingga 27 Ogos 2006, dan musim kedua dan terakhir dari 8 Julai hingga 30 September 2007.[1]
Gol & Gincu The Series juga ditayangkan di Suria, Singapura dari 26 Disember 2006 hingga 20 Mac 2007 bagi musim pertama. Siri ini juga dibikin semula oleh Blue Screen Entertainment Corporation menjadi Goals & Girls untuk TV5 di Filipina.[2]
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Templat:Spoiler Di samping kegemaran terhadap futsal dan ikatan tulus antara mereka, Putri dan Reza adalah sepasangan muda yang berasmara sungguhpun berlainan latar belakang. Putri seorang penuntut jurusan fesyen di Limkokwing yang berasal daripada keluarga yang kaya-raya manakala Reza seorang penuntut jurusan perundangan di Universiti Malaya yang terpaksa bekerja sambilan bagi menampung dirinya dan pembelajarannya.
Ayu sudah lama bercinta dengan Reza sejak tahun pertama mereka bersama sebagai rakan sekursus. Reza benar-benar tidak menyedari perasaan Ayu, lalu apabila Ayu memutuskan bahawa sudah tibanya waktu dia meluahkan perasaan hatinya kepada Reza, kemunculan Putri merosakkan rancangannya. Namun Ayu tidak mudah berputus asa, lalu merancangkan sesuatu untuk memutuskan perhubungan antara Putri dan Reza, sambil memastikan lawannya sentiasa rapat dengannya sebagai teman.
Pada masa yang sama, Putri mula mengalami masalah apabila sahabat karibnya Mia memutuskan untuk berkahwin dan menghentikan pembelajarannya, tambahan pula rakan-rakan sepasukan futsalnya semuanya asyik dengan masalah peribadi masing-masing, menyebabkan kehadiran untuk latihan futsal makin merosot dan ibunya Datin Aina mula murung kerana resah akan kehadiran semula seorang lelaki misteri daripada zaman silamnya, tetapi akhirnya masalah itu diselesaikan apabila Putri menerima hakikat yang mengejutkan di sebalik lelaki misteri itu.
Pada pertengahan musim pertama, Reza mengaku kepada Putri bahawa dirinya menghidap HIV lalu menamatkah hubungan antara mereka; namun, menjelang musim kedua, cinta Putri dan Reza kembali berputik. Rahsia yang disimpan oleh Reza selama ini tidak lagi menjadi halangan bagi mereka, malah Putri semakin lama semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan Reza. Namun, hubungan mereka masih lagi diduga dengan pelbagai cabaran, terutamanya kehadiran orang ketiga yang tidak serik-serik cuba memutuskan mereka…
Sementara itu, Shasha dan Haikal juga mendapati hubungan mereka terhalang – Haikal telah dipaksa oleh keluarganya untuk pulang ke Jakarta dan segala usahanya untuk pulang ke Kuala Lumpur menemui jalan buntu. Shasha pula mula menjalani program latihan di sebuah firma arkitek di mana dia bertemu dengan Irwan, lelaki yang berfikiran jauh lebih matang dari Haikal.
Ahli-ahli Bukan Team Biasa yang lainnya juga masing-masing menghadapi dilema mereka sendiri. Ling yang kini berpacaran dengan Atoi, seorang jejaka Melayu, terpaksa berdepan dengan tentangan hebat dari bapanya. J yang baru saja menamatkan pengajiannya mula berdepan dengan cabaran-cabaran alam pekerjaan, namun dia sendiri tidak pasti apa yang ingin dilakukannya dalam hidup. Dayang pula dalam diam menyimpan perasaan terhadap Ikan, bekas teman lelaki Zie. Mia yang hamil dengan anak sulungnya ditimpa kekalutan bila suaminya, Jeff, membuat permintaan yang tidak diduga… berkerja sambil belajar bagi membiayai pengajiannya di universiti tempatan.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]Watak utama
[sunting | sunting sumber]- Putri Farhana Aliya binti Datuk Megat Farizuddin (Nur Fazura)
- Seorang penuntut di Limkokwing dan ketua pasukan Bukan Team Biasa yang lahir dalam satu keluarga yang kaya. Dia sentiasa cuba prihatin terhadap ragam dan isu yang dihadapi rakan-rakannya. Putri jatuh cinta terhadap Reza setelah meninggalkan Eddy, namun hubungan itu turut berakhir setelah Putri menyedari keadaan kesihatan Reza.
- Reza Budiman Adianto (Pierre Andre)
- Seorang penuntut Universiti Malaya yang berasal dari Pulau Pinang yang juga bekerja secara sambilan di gelanggang futsal Sports Planet yang sering dikunjungi pasukan Bukan Team Biasa, untuk menampung pelajarannya. Dalam musim pertama, hatinya direbut Putri dan Mia, tetapi hubungannya dengan Putri retak sejak dia menerangkannya bahawa dia disahkan HIV+.
- Shasha Amira Salleh (Sazzy Falak)
- Seorang pelajar Limkokwing yang turut giat bermain futsal. Dalam filem Gol & Gincu, dia merupakan ketua pasukan lawan kepada pasukan Putri, iaitu Ballbusters. Namun, dalam siri ini, hubungannya dengan Putri makin tenang sehingga mereka menjadi kawan.
- Adzrul Zaidi "Eddy" bin Harun (Ashraf Sinclair)
- Dalam musim pertama siri ini Eddy melanjutkan pelajarannya di Australia, namun dia masih berhubungan dengan Putri melalui emel dan instant messaging. Keadaan keluarga Eddy di Malaysia retak setelah didapati bapanya berkahwin dengan seseorang ketika bercuti di Thailand.
- Haikal (Razif Hashim)
- Teman lelaki Shasha dalam perhubungan yang renggang. Dalam musim pertama dia kelihatan berkelakuan aneh dan didapati Shasha sebagai tidak senonoh; tambahan pula, dia pernah hadir ke kampus dengan memakai kasut bertumit tinggi, dan dia pernah nyaris-nyaris mengambil gambar Shasha dalam keadan bogel. Pada musim kedua, dia berpindah ke Jakarta setelah insiden itu tetapi kembali ke tanahair untuk cuba mengisi kekosongan Shasha, namun lain pula yang disebabkannya.
Ahli Bukan Team Biasa
[sunting | sunting sumber]- Ziziana "Zie" Bt. Lokman (Rafidah Abdullah)
- Seorang ahli pasukan BTB sungguhpun dia memakai cermin mata. Dia berasal dari Pulau Pinang.
- Ling (Celina Khor)
- Satu-satunya ahli berbangsa Cina dalam pasukan ini.
- Juita Atan/"J" (Fasha Rahman)
- Ahli pasukan BTB yang juga menjadi ahli pasukan negeri, namun dia menyebabkan kejatuhan imej pasukan negeri setelah didapati mengambil dadah. Pada musim kedua dia memperoleh diploma lalu cuba mencari pekerjaan yang sesuai.
- Sarah (Kartini Kamalul Arifin)
- Dalam musim kedua, dalam perbualan antara Zie dan Ling, dia sudah melanjutkan pelajaran di UK.
- Dayang (Zarina Zainoordin)
Watak sampingan
[sunting | sunting sumber]- Datin Aina (Bernice Chauly)
- Ibu kepada Putri yang menjaganya sendirian sejak suaminya meninggal dunia. Sungguhpun kelihatan tegas dan murung, namun dia menunjukkan sifat peramah dan penyayang terhadap anaknya dan rakan-rakan anaknya itu.
- Ayu (Mazlina Hassan [musim pertama]; Lana Nodin [musim kedua])
- Duduk dalam bangunan asrama yang sama dengan Reza, dia cuba menawan hati reza daripada Putri. Sepertilah Putri, dia juga menunjukkan rasa prihatin terhadap Reza. Dalam musim kedua dendamnya terhadap Putri terserlah apabila dia membuka blog dan menyebarkan khabar mengenai kejadian tumpahan asid musim pertama.
- Hannah (hannah t)
- Salah seorang kenalan Eddy di Australia. Hubungannya dengan Eddy dieratkan tanpa diketahui Putri.
- Ikan (Que Haidar)
- Seorang kenalan Zie sejak zaman muda mereka berdua di Pulau Pinang. Dalam musim pertama, Zie pernah menceritakan bahawa Ikan pernah ditangkap kerana menagih dadah.
- Irwan (Fahmi Fadzil)
- Majikan kepada Shasha ketika menjalani latihan amali di firmanya, yang disyak wasangka oleh Haikal sebagai pesaing bagi menawan hati Shasha.
- Jeff (Jamal Jamaluddin)
- Suami Mia yang jauh lebih tua berbanding isterinya, dan berazam untuk mengahwini lebih daripada seorang isteri pada masa yang sama.
- Marwan (Jit Murad)
- Watak misteri dalam musim pertama yang sering mengugut Datin Aina untuk menyerahkan hartanya, dan pada masa yang sama, memperguna Putri untuk mencapai matlamantnya.
- Mia Susanna Dean (Melissa Maureen)
- Seorang rakan karib Putri yang berhenti pelajarannya lalu berkahwin dalam musim pertama. Mulai penghujung musim pertama dia sudah mengandung dengan anak sulungnya.
- Najihah "Jijie" Bt. Hafizam (Sharifah Amani)
- Pada akhir filem, dia berpindah ke Kedah. Dalam siri dia sekali mengunjung kawan lamanya di Kuala Lumpur.
- Ratu (Diana Danielle)
- Lawan kepada Putri yang merebut gelaran gadis paling popular. Permusuhan antara mereka pernah memuncak menjelang uji bakat Project Runway Malaysia.
- Riki (Arsalan Lak)
- Teman lelaki baru Datin Aina yang berasal dari Montreal.
- Tina (Sharifah Sofia)
Episod
[sunting | sunting sumber]Musim pertama
[sunting | sunting sumber]# | Tajuk | Siaran pertama | Sinopsis |
---|---|---|---|
1 | Kau, Aku, Dia dan Mereka | 4 Jun 2006 | Shasha menyertai kumpulan Putri dan melupakan perselisihan lama mereka. Ibu bapa Mia tidak setuju dengan hubungannya bersama Jeff, seorang lelaki yang cukup tua untuk menjadi bapanya. Mia bernekad untuk melarikan diri bersama Jeff untuk berkahwin, lalu mengejutkan ramai orang termasuk rakan karib sendirinya Putri. |
2 | Hari Ini Hari Engkau | 11 Jun 2006 | Ayu merancangkan sesuatu agar dapat berpasangan dengan Reza untuk tugasan kelas mereka, dengan niat mendekati Reza meskipun sedar bahawa Reza sudah bersama dengan Putri. Reza mendapati dirinya tidak cukup meluangkan masanya bersama Putri gara-gara tugasan sekolah yang menjejaskan perhubungan antara mereka. Pada masa yang sama, Putri mengisi masa lapangnya menghantar Eddy ke Kuala Lumpur Sentral, bekas teman lelakinya yang bakal pergi ke Australia untuk melanjutkan pelajarannya. |
3 | Perempuan Melayu Terakhir | 18 Jun 2006 | Putri cuba sedaya upaya untuk menampilkan imej kemelayuan agar dapat mengekalkan hubungannya dengan Reza yang kian tercabar akibat perbezaan cara hidup. J terpilih untuk bermain futsal untuk pasukan negeri dengan syarat bahawa dia cepat menurunkan badan. Sarah mencadangkan J mengambil pil mengurangan berat badan tanpa menyedari bahawa pil tersebut mengandungi bahan yang diharamkan. |
4 | Percayalah | 25 Jun 2006 | Putri menemui seulas rantai leher dalam beg Reza secara kebetulan, lalu menyangka rantai itu sebagai hadiah kejutan untuknya, sehinggalah dia mendapati bahawa rantai itu untuk dihadiahkan kepada Ayu. Pasukan J hilang kelayakan dan kejuaraan mereka ditarik balik setelah J diuji positif mengambil dadah haram. Dengan hati yang hancur, J menyalahkan Sarah kerana membawa masalah kepadanya. |
5 | Cinta Monyet | 2 Julai 2006 | Datin Aina cuba menjauhkan masalah peribadinya dari diketahui Putri – suatu rahsia gelap yang sedang menghantuinya. Pada masa yang sama, Putri meluangkan masanya bersama rakan-rakan sejak kepulangan Mia dan lawatan Jiji ke KL. Ketika Putri menghantar Jiji ke Puduraya, dia bertemu dengan Marwan. |
6 | Jerangkung Dalam Almari | 9 Julai 2006 | Reza meluahkan pengakuan yang memeranjatkan kepada Putri mengenai keadaan kesihatannya, manakala Datin Aina cuba menghalau Marwan dari rumahnya, lalu mengharapkan agar Marwan tidak berpeluang lagi untuk mendedahkan rahsia gelap mengenai dia dan Aina kepada Putri. |
7 | Hujan Di Tengah Hari | 16 Julai 2006 | Ayu bertindak menghampiri Reza yang baru berpecah dengan Putri yang sukar menerima hakikat bahawa Reza menghidap HIV. Namun, Reza masih tidak boleh melupakan Putri mahupun membenarkan Ayu menggantikan tempat Putri dalam hatinya. |
8 | Mungkin Nanti | 23 Julai 2006 | Putri dan kawan-kawannya sesat dalam hutan sewaktu berkhemah di sana, manakala Ayu merancangkan makan malam romantis yang mahal bersama Reza untuk menceriakan Reza dan meluahkan perasaannya kepada Reza. Namun, keadaan bertambah buruk setelah Reza menolak pelawaan Ayu. |
9 | Diari Seorang Lelaki | 30 Julai 2006 | Haikal berkongsi zaman kanak-kanak yang pedih dalam blognya tanpa menyedari bahawa dia sedang berkomunikasi dengan Shasha yang meninggalkan mesej dukungan kepadanya. Pada masa yang sama Haikal terlibat dalam pertaruhan dengan kawan-kawannya untuk mengambil gambar bogel Shasha. |
10 | Di Antara Empat Dinding | 6 Ogos 2006 | Putri mengetahui identiti sebenar Marwan, iaitu bahawa Marwanlah bapa kandung Putri yang cuba menculiknya daripada Datin Aina. Manakala Sarah, Ling dan Zie ditahan polis dalam operasi menentang maksiat ketika nerada di sebuah rumah pelacuran bagi projek sekolah. |
11 | Kiri Kanan Orang Bercinta | 13 Ogos 2006 | Eddie berahsia dari Putri bahawa dia sedang bersama seorang gadis yang lain. Ibu J cuba memadankannya dengan anak lelaki seorang kawan, namun anak lelaki tersebut tidak minat terhadap kaum hawa. Zie bertemu semula dengan seorang kenalan zaman remajanya, Ikan, setelah sekian lama terpisah. |
12 | Pinang Dibelah Dua | 20 Ogos 2006 | J masih cuba menolak rancangan ibunya untuk mengahwinkannya, dia hendak meluahkan niat sebenarnya kepada ibunya. Putri pula menyedari bahawa Eddie sedang rapat dengan Hannah dalam satu perlawanan futsal. |
13 | Inikah Cinta | 27 Ogos 2006 | Setelah berpisah dari Eddy, Putri menganjurkan pertunjukan fesyen untuk mengumpul dana bagi penghidap AIDS sebagai sebahagian projek sekolahnya setelah diilhamkan oleh video wawancara penghidap penyakit itu yang menampilkan Reza. Rancangan tersebut tidak bermula dengan baik kerana Putri tidak mendapat sokongan daripada rakan sekelasnya, namun ini diganti oleh ahli-ahli BTB. Pada malam pertunjukan, Putri diserang dengan asid sewaktu bersedia untuk peragaan. |
Musim kedua
[sunting | sunting sumber]# | Tajuk | Siaran pertama | Sinopsis |
---|---|---|---|
1 | Nanti | 8 Julai 2007 | Berita mengenai Putri terlibat dalam kejadian tuang asid musim lalu tersebar dalam tabloid, lalu merunsingkan Putri dan ibunya yang cuba membetulkan keadaan dengan cadangan berpindah rumah. Shasha pula gusar setelah mengetahui bahawa Haikal di Jakarta dipindahkan ke Universiti Indonesia. Sementara itu, J baru menerima diploma lalu mencari pekerjaan dalam sebuah syarikat yang kod pemakaiannya memerlukan pekerja wanitanya menutup aurat. |
2 | Selamatkan Aku | 15 Julai 2007 | Geng BTB membantu Putri dan ibunya berpindah ke rumah baru. Shasha melawat Haikal di Jakarta namun kunjungannya dipendekkan oleh satu panggilan kecemasan dari tanahair. Sementara itu, Reza tercicir ubatnya yang digunakan untuk merawat pesakit HIV. |
3 | Cari Keluarga | 22 Julai 2007 | Putri menemukan ibunya dengan seorang pensyarahnya, Fauzi yang ditemui mereka pada malam puisi, sementara menjaga anak perempuan pensyarah tersebut. Bapa Ling tidak setuju anaknya keluar bersama seorang Melayu. Shasha dan Haikal mengadakan temu janji Internet yang tidak berjalan lancar. Mia terkejut dengan cadangan suaminya untuk menduakan isteri. |
4 | Ke Penghujung Jalan | 29 Julai 2007 | Shasha akhirnya meraih jawatan pelatih dalam sebuah firma arkitek yang diketuai Irwan. Putri dan rakan-rakan futsalnya merancang untuk memberi kejutan kepada Reza yang menyertai kegiatan berbasikal bagi tujuan amal kesedaran HIV/AIDS. Ini termasuklah Mia yang murung kerana tidak dapat menerima isteri kedua Jeff. Dalam perjalanan ke garisan penamat di Temerloh, geng BTB dan geng basikal Reza terserempak dengan pelbagai kejadian. |
5 | Kawan & Lawan | 5 Ogos 2007 | Putri menemui lawan baru – Ratu yang baru dipindahkan dari Eropah – untuk gelaran pelajar wanita paling popular dalam kampus, dan perbalahan ini baru bermula setelah pengumuman peluang keemasan dalam Project Runway Malaysia. Datin Aina membawa Mia ke hospital untuk pemeriksaan kandungannya dan di situlah mereka bertembung dengan Eddy dan ibunya yang menghidap kanser. Di Jakarta, Haikal masih merungut hendak pulang ke Malaysia, dan hubungannya dengan Shasha kian retak gara-gara Irwan. |
6 | Jangan Berubah | 12 Ogos 2007 | Haikal melawat Shasha secara mengejut, manakala Datin Aina menjumapi pil HIV+ Reza dalam almari dapurnya lalu menggesa Putri memutus hubungan dengan Reza. Sementara itu, ibu bapa Mia menyuruhnya untuk bercari dari Jeff dan menggugurkan kandungannya. Permusuhan antara Putri dan Ratu makin hangat menjelang ujibakat Project Runway Malaysia, namun akhirnya reda secara antiklimaks. Temu janji Ikan dan Dayang menjadi satu situasi yang janggal bagi kedua-dua mereka. |
7 | Bukalah Mata | 19 Ogos 2007 | Dalam cubaan melarikan diri daripada terjerat di tengah pergaduhan antara teman lelakinya Haikal dan majikan barunya Irwan, Shasha terjebak dalam kemalangan jalan raya lalu dimasukkan ke dalam hospital dalam keadaan koma, maka resahlah Putri dan kawan-kawannya yang lain. Mia pula masih tidak dapat melupakan gesaan bapanya untuk menggugurkan kandungannya. |
8 | Putera Impian | 26 Ogos 2007 | Shasha akhirnya keluar dari hospital, dan Mia pula memutus untuk mengekalkan kandungannya. Reza membawa Putri melawat ladang kuda untuk berasmara, tetapi keadaan makin tegang setelah Putri menemui seorang kenalan Reza yang wanita. Cubaan temujanji kedua Ikan dan Dayang rosak lagi gara-gara kesulitan komunikasi, manakala persahabatan Zie dan J tercabar kerana penglibatan dalam suatu urusniaga. |
9 | Aku Terima | 2 September 2007 | Mia akhirnya merestui cadangan Jeff untuk kahwin dua dan menghadiri sesi menghantar belanja bersama isteri keduanya Ruby, tetapi bukan semuanya erjalan lancar. Setelah mengalami kemalangan, Shasha kian takut untuk melintas jalan dan nyaris berhenti daripada kerja latihan sehingga majikannya Irwan membantunya kembali hidup seperti yang sebelumnya. |
10 | Pipit lawan Helang | 9 September 2007 | Reza memulakan internshipnya bersama Ayu dalam syarikat yang sama, maka Ayu mencari kesempatan untuk merneggangkan hubungan antara Reza dan Putri. Shasha mendapati cubaan seorang hartawan berpengaruh untuk membina di atas tanah wakaf dan hartanah milik orang lain lalu cuba menghalangnya. J dan Dayang menyertai uji bakat One in a Million; Dayang melayakkan dirinya tetapi kemudian menolak peluang itu. |
11 | Usaha Kita, Nasib Kita | 16 September 2007 | Reza amat pasti bahawa Ayu sedang bermain kayu tiga dengan Ikan, tetapi Ikan sendiri tidak percaya dan menyangka Reza mengancam hubungannya dengan Ayu. Shasha dan Irwan membocorkan maklumat sulit kepada seorang wartawan tabloid, lalu dipecat dari firma kerana perbuatan tadi. Putri dan kawan-kawan mengadakan sebuah parti baby shower untuk Mia. Selepas itu, Ling menghilangkan beg tangannya yang penuh dengan kutipan loterinya berjumlah sejuta ringgit kepada peragut. |
12 | Jerat | 23 September 2007 | Mia akhirnya melahirkan anak lelakinya tanpa kehadiran Jeff yang mengerjakan umrah bersama isteri yang lain di Makkah. Putri mengaku kesediaan bertunang kepada ibunya Datin Aina, yang kemudiannya menerima lamaran daripada Riki yang baru kembali ke Malaysia. Sementara itu, Reza terjebak dalam jerat Ayu yang mana Ayu sengaja menyebabkan mereka berdua ditangkap basah oleh pihak berkuasa agama. |
13 | Jalan Yang Kupilih | 30 September 2007 | Reza cuba melangsaikan isu tangkap basahnya dengan kakaknya sementara menghadap orang tua Ayu yang konservatif, namun ahli-ahli BTBlah yang menggunakan akal mereka untuk membantu Reza senyap-senyap. Akhirnya, Reza dan Putri ditakdirkan bersama. Shasha pula berbaik semula dengan Haikal, dan orang tua Mia akhirnya membuka hati kepada cucu baru mereka. |
Trivia
[sunting | sunting sumber]- Suara latar dalam iklan promosi Faber-Castell untuk musim kedua Gol & Gincu tersilap sebut nama watak Haikal sebagai "Haizal."
- Dalam episod Perempuan Melayu Terakhir, Ling mengakui dirinya tidak fasih berbahasa Cina apabila ditanya oleh seorang tidak dikenali yang bertutur dalam bahasa Kantonis kepadanya, tetapi dalam episod Cari Keluarga dia didapati menutur loghat tersebut dengan agak fasih apabila berbual bersama ahli keluarganya.
- Dalam musim kedua, terutamanya episod Selamatkan Aku, adegan-adegan yang melibatkan kehidupan Haikal di Jakarta, Indonesia, sebenarnya dirakam di sebuah tempat di Malaysia, digabungkan dengan rakaman persekitaran di Jakarta.
- Dalam episod Bukalah Mata, Mia membuka satu halaman mengenai pengguguran kandungan dalam edisi Bahasa Indonesia Wikipedia yang bertajuk "Gugur kandungan".
- Dalam episod Ke Penghujung Jalan, Jeff meminta restu dari Mia untuk berkahwin dengan Ruby dan mengatakan mak bapa Ruby telah meninggal dunia. Tapi dalam episod Aku Terima, mak Ruby masih hidup.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Nor Fadzillah Baharuddin (1 Jun 2006). Gol & Gincu daripada filem ke drama bersiri Diarkibkan 2018-10-15 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Dicapai pada 14 Mac 2014.
- ^ "Blue Screen Entertainment Corporation". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-03-09. Dicapai pada 2009-10-09.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Gol & Gincu The Series di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
- Laman rasmi Gol & Gincu di 8TV — mengandungi video-video episod penuh dan sedutan-sedutan rancangan
- Laman Gol & Gincu di laman web Red Communications — mengandungi video pembukaan rancangan
- Lipstickandgoalpost.blogspot.com — Di sebalik tabir pembikinan siri ini seperti dicatat oleh Daniel Henry (Inggeris)