Keretapi Tanah Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari KTM)
Jump to navigation Jump to search
"KTM" dilencongkan di sini.
Keretapi Tanah Melayu
کريتاڤي تانه ملايو
Logo
Peta sistem
LokasiSemenanjung Malaysia
 Malaysia
Tarikh operasi1948–kini
Tolok landasan1 (Rel meter)
Panjang1,699 kilometer (1,056 mi)
Ibu pejabatKuala Lumpur
Laman sesawanghttp://www.ktmb.com.my/
sunting
Lihat pendokumenan templat ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (singkatan: KTMB; Jawi: كريتاڤي تانه ملايو برحد) merupakan pengendali kereta api utama di Semenanjung Malaysia. Sejarah KTMB bermula sejak era zaman penjajahan British lagi, ketika laluan kereta api dibina bagi mengangkut tin dari lombong ke pelabuhan.

Sebelum ini, KTMB dikenali sebagai Federated Malay States Railway (dalam bahasa Melayu: Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) dan Malayan Railways Administration (dalam bahasa Melayu: Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu). Pentadbiran ini mendapat nama "Keretapi Tanah Melayu" pada tahun 1962. Pada tahun 1992, KTM disyarikatkan walaupun masih dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

KTMB berkhidmat di lebih 100 stesen di 10 negeri Semenanjung Malaysia dan negara Singapura, di rangkaian landasan keretapi sepanjang 1,677 km. Semua landasan KTMB menggunakan tolok landasan meter (1,000 mm) dan kira-kira 700km landasan tersebut adalah dielektrikkan. Pada tahun fiskal 2018, KTMB berkhidmat dengan 39.5 juta penumpang dan 5.7 juta tan kargo.[1]


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Landasan kereta api[sunting | sunting sumber]

Satu kereta api KTMB bandar dalaman berhenti pada stesen kereta api di Kuala Lipis, Pahang

Sistem kereta api di Tanah Melayu bermula pada 1 Jun 1885 apabila jajaran keretapi yang pertama di Tanah Melayu sepanjang 8.25 batu (13.28 km) antara Taiping dengan Port Weld dibuka secara rasmi.[2] Dibina menggunakan tolok meter, laluan ini dibina untuk mengangkut bijih timah daripada lombong-lombong di Taiping ke laut di Port Weld. Landasan di laluan ini pernah diangkut untuk pembinaan Landasan Kereta Api Burma semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu tetapi diganti semula selepas peperangan berakhir. Selepas pembukaan laluan kereta api Taiping-Port Weld, beberapa laluan kereta api bebas dan tidak bersambung lain muncul di sekitar Tanah Melayu.[3] Antara laluan kereta api tersebut adalah laluan Klang-Kuala Lumpur yang dibuka pada 15 September 1886, laluan Keretapi Sungei Ujong (Seremban-Port Dickson) yang dibuka pada Julai 1891,[4][5] laluan Teluk Anson-Tapah Road yang dibuka pada tahun 1893,[3] laluan Kuala Lumpur-Rawang yang dibuka pada 7 November 1892, dan laluan Prai-Bukit Mertajam yang dibuka pada 1 Julai 1899.[5] Kesemua laluan-laluan kereta api ini disambungkan antara Prai dengan Seremban pada tahun 1903.[3][6]

Ketika proses penyambungan jalan kereta api Prai-Seremban giat dijalankan, pembinaan landasan kereta api telah bermula di Pulau Ujong. Landasan ini yang menghubungkan pekan Singapura dan pekan Kranji, telah dibuka pada tahun 1903.[3] Di Negeri Sembilan, penyambungan rangkaian kereta api ke selatan dari Seremban telah dijalankan. Laluan kereta api Seremban-Melaka telah dibuka pada tahun 1905 dan laluan kereta api Seremban-Gemas dibuka pada tahun 1906.[7] Selepas itu. pembinaan jalan kereta api diteruskan ke arah selatan daripada Gemas ke Johor Bahru. Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 1904 dan laluan ini dibuka secara rasmi pada bulan Julai 1909. Oleh kerana pada ketika itu tiada jalan kereta api menghubungi Singapura, sebuah perkhidmatan feri disediakan antara Johor Bahru dengan Singapura.[6] Pada tahun 1923, pembinaan Tambak Johor giat dijalankan bagi menghubungkan Singapura dan Johor Bahru. Tambak ini dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924 walaupun kereta api kargo mula menggunakan tambak ini sejak 17 September 1923 dan kereta api penumpang pertama melalui tambak ini pada 1 Oktober 1923.[3]

Semenjak awal 1907, terdapat pelan bagi membina landasan kereta api dari Seberang Perai masuk ke negeri Kedah. Pembinaan landasan ini antara Bukit Mertajam dengan Alor Setar bermula pada tahun 1912 dan siap pada bulan Oktober 1915.[8][9] Landasan ini kemudian dipanjangkan sehingga Padang Besar pada tahun 1918. Pada masa yang sama, laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1907 daripada Gemas sehingga Bahau pada April 1910 dan Tembeling paa tahun 1913. Kemudian, laluan ini dipanjangkan ke utara sehingga Kuala Lipis yang merupakan pusat pentadbiran Pahang pada tahun 1917. Di Kelantan, pembinaan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906 dan pada tahun 1914, sebuah landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas dibuka kepada awam. Sebuah landasan cabang antara Pasir Mas dengan Golok bertujuan untuk menghubungkan laluan ini dengan sistem kereta api Siam dibuka pada bulan September 1920. Laluan kereta api antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.[10] Dengan pembinaan jalan kereta api ini, maka terjalinlah sebuah rangkaian kereta api dari Singapura ke Bangkok melalui bandar-bandar utama di Tanah Melayu.[8]

Semasa Perang Dunia Kedua, landasan-landasan kereta api di Tanah Melayu menghadapi kerosakan yang besar akkibat terkena serangan bom dan lain-lain; banyak juga telah diangkut untuk pembinaan landasan kereta api Burma. Sejumlah 276 batu (444 km) landasan telah dibawa keluar. Kerja-kerja pembaikan jalan kereta api giat dijalankan selepas peperangan berakhir.[8] Namun begitu, landasan kereta api Melaka yang diangkut untuk pembinaan landasan kereta api Burma tidak dikembalikan semula.[11] Terdapat juga beberapa projek penyambungan laluan kereta api dijalankan selepas peperangan. Antaranya ialah laluan Prai-Butterworth yang dibuka secara rasmi pada 14 September 1967.[12] Kedua, pada tahun 1966, sebuah cabang laluan kereta api baharu telah dibuka di Singapura antara Bukit Timah dan Jurong (kompleks industri baharu Singapura).[11] Ketiga, laluan kereta api di Kelantan dipanjangkan ke Wakaf Baharu dari Kota Bharu yang dibuka secara rasmi pada 8 Mac 1967.[13]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Sebelum tertubuhnya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, setiap negeri mempunyai syarikat kereta api senderi.[perlu rujukan] Pada bulan Julai 1901, kesemua syarikat-syarikat kereta api digabungkan menjadi sebuah pentadbiran dengan nama Federated Malay States Railways atau FMSR (dalam bahasa Melayu, Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu). FMSR diberi kuasa dalam pengendalian dan pembinaan laluan kereta api di Tanah Melayu.[14] Pentadbiran ini dimansuhkan pada 1948 selepas Ordinan Keretapi 1948 diluluskan. Ordinan ini menubuhkan Malayan Railway Administration atau MR (dalam bahasa Melayu, Pentadbiran Keretapi Malaya) dan memansuhkan FMSR, Enakmen Keretapi Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis yang mengendalikan sistem kereta api sebelum Perang Dunia Kedua.[15] Malayan Railway Administration telah dikorporatkan menjadi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas Akta Keretapi 1991 diluluskan.[perlu rujukan]

Rangkaian laluan[sunting | sunting sumber]

Satu kereta api KTMB bandar dalaman berhenti pada stesen kereta api di Kuala Lipis, Pahang

Rangkaian landasan keretapi tolok 1,000 mm (3 kaki 3 38 inci) di Semenanjung Malaysia yang dikawal oleh KTM terdiri daripada dua laluan utama dan beberapa laluan cawangan. Kebanyakan landasan di rangkaian ini diperbuat daripada sistem balast dan ranjang landasan konkrit buatan tempatan, yang telah menggantikan ranjang landasan kayu seawal 1982 untuk bahagian Kerdau-Jerantut dan Sungai Yu-Tumpat.

Laluan Pantai Barat[sunting | sunting sumber]

Laluan Pantai Barat bermula dari stesen keretapi Padang Besar berdekatan Sempadan Malaysia–Thailand di Perlis (yang bersambung dengan landasan negara Thailand) sehingga stesen keretapi Woodlands di Singapura. Laluan ini dipanggil "Laluan Pantai Barat" kerana laluan ini melalui negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung. Laluan ini melalui hampir semua stesen keretapi utama di pantai barat terutamanya stesen keretapi Butterworth, stesen Keretapi Ipoh dan KL Sentral.

Laluan Pantai Timur[sunting | sunting sumber]

Laluan Pantai Timur bermula dari stesen keretapi Gemas di Negeri Sembilan dan Stesen keretapi Tumpat di Kelantan. Gemas adalah tempat pertemuan Laluan Pantai Barat dan Laluan Pantai Timur. Seperti di pantai barat, ia juga dikenali dengan Laluan Pantai Timur kerana ia melalui dua negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, iaitu Pahang dan Kelantan. Sebenarnya, ia tidak melalui kesemua pantai dan hanya bertemu dengan Laut China Selatan apabila ia tamat di Tumpat. Ia melalui kawasan pedalaman, selalu melalui hutan tebal, yang secara ringkasnya dengan nama "Laluan Hutan". Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak dihubungkan dengan rangkaian kereta api KTM.

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Panjang kesemua rangkaian ini adalah 1,699 km, namun, akibat penutupan dan pembuangan landasan antara stesen keretapi Tanjong Pagar dan stesen keretapi Woodlands, jumlah rangkaian KTM kini adalah 1,677 km.

Laluan utama Pantai Barat adalah landasan berkembar dan dielektrikkan dengan 25 kV AC di antara stesen keretapi Padang Besar di Sempadan Malaysia–Thailand dan Stesen keretapi Butterworth, dan ke arah selatan di Stesen keretapi Gemas. Laluan cawangan antara Persimpangan Batu dan stesen Komuter Batu Caves, dan antara Persimpangan Pelabuhan Klang dan stesen Komuter Pelabuhan Klang juga merupakan landasan berkembar dan dielektrikkan.

Baki laluan utama Pantai Barat dari Stesen keretapi Gemas ke stesen keretapi Woodlands di Singapura, juga kesemua Laluan Pantai Timur dari Stesen keretapi Gemas ke Stesen keretapi Tumpat adalah landasan tunggal dan tidak dielektrikkan.

Laluan Lain[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa laluan kereta api yang tidak dimiliki oleh KTMB di Malaysia. Ini termasuklah laluan kereta api industri, laluan Kereta api Bukit Bendera, dan Keretapi Negeri Sabah.

Keretapi Bukit Bendera[sunting | sunting sumber]

Kereta api Bukit Bendera adalah sebuah perkhidmatan kereta api bukit di Pulau Pinang dibina oleh pihak swasta antara 1920 dan 1923.[16] Laluan ini dibuka secara rasmi pada 1 January 1924 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu, Sir L.N. Guillemard.[17] Pada tahun pertama operasinya, laluan ini membawa 35,201 penumpang dan membuat 4,021 perjalanan.[18] Kereta api ini dikendalikan dan diurus oleh Majlis Perbandaran George Town (kini Majis Bandaraya Pulau Pinang) dari pembukaan laluan ini sehingga 1 Februari 1977, apabila laluan ini diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.[19]

Keretapi Industi[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa landasan kereta api industri, semua dimiliki oleh pihak swasta dengan berbagai-bagai kepanjangan. Kebanyakan landasan kereta api industri terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia dan tidak disambungkan dengan Malayan Railway (kini Keretapi Tanah Melayu).

Antara laluan tersebut adalah Keretapi Rompin yang dibina oleh syarikat perlombongan untuk membawa bijih besi dari Bukit Ibam ke Kuala Rompin di Pahang. Panjang landasan ini adalah 60 batu (97 km), bertolok meter dan menggunkan isyarat elektrik. Landasan ini ditutup sepenuhnya pada tahun 1971.[16]

Selain itu terdapat landasan kereta api industri antara Bukit Besi dan Dungun di Terengganu yang dibina pada tahun 1929. Panjang landasan ini adalah sekitar 20 batu (32 km) bertolok 2 kaki 6 inci (76 cm) dan landasan ini dimiliki sepenuhnya oleh Eastern Mining and Metals Company (EMMCo). Landasan ini ditutup pada tahun 1970 selepas pengurangan pengeluaran hasil lombong.[20]

Keretapi Negeri Sabah[sunting | sunting sumber]

Keretapi Negeri Sabah adalah sebuah sistem kereta api dari Tanjung Aru sehingga Melalap. Sistem ini dibuka pada tahun 1902 dan dimiliki sepenuhnya oleh Jabatan Kereta Api Negeri Sabah. Dahulu, terdapat banyak cawangan dalam sistem ini namun kebanyakannya telah ditutup.[20] Walaupun proses pemodenan telah dijalankan beberapa kali, perkhidmatan kereta api di Sabah masih dalam keadaan daif pada tahun 2018 berbanding perkhidmatan kereta api moden di Semenanjung Malaysia.[21]

Unit/Subsidiari[sunting | sunting sumber]

KTM Antarabandar[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: KTM Antarabandar
Stesen Seremban bertindak sebagai hentian KTM Komuter dan hentian KTM Intercity.

KTM Antarabandar (dalam bahasa Inggeris: KTM Intercity) merupakan perkhidmatan antarabandar yang dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu dalam rantau Semenanjung Malaysia dan Singapura. Perkhidmatan ini bertujuan untuk membawa penaung antara stesen-stesen di bandar, pekan dan kampung (bergantung kepada rantau). KTM Antarabandar kini menggunakan lokomotif diesel.

Perkhidmatan KTM Antarabandar terdiri daripada kereta api tempatan dan keretapi ekspres. Laluan Pantai Barat kini hampir sepenuhnya dioperasikan menggunakan kereta api ekspres manakala Laluan Pantai Timur mengoperasikan kedua-dua kereta api tempatan dan kereta api ekspres.

Woodlands Singapura

KTM ETS, juga dikenali sebagai ETS atau Electric Train Service (Bahasa Melayu:Perkhidmatan Kereta Api Eleketrik), merupakan perkhidmatan kereta api tolok meter terpantas di Malaysia dan di dunia. Perkhidmatan ETS kini beroperasi sebagai perkhidmatan antarabandar diantara pekan Gemas dan Padang Besar sepanjang Laluan Pantai Barat.

KTM Komuter[sunting | sunting sumber]

Satu KTM Komuter Kelas 83 EMU pada stesen kereta api di Bank Negara, Kuala Lumpur
Rencana utama: KTM Komuter

KTM Komuter merupakan perkhidmatan keretapi komuter elektrik yang dilancarkan pada 1995, memfokuskan kepada penumpang yang bekerja atau tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya, khususnya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. KTMB menyediakan hampir 300 perkhidmatan komuter setiap hari, berkhidmat di 45 stesen di sepanjang 178km laluan komuter. Perkhidmatan ini dibahagikan kepada dua laluan: Laluan Seremban dan Laluan Pelabuhan Klang. Sejak 2018, KTM Komuter juga mengoperasikan perkhidmatan kereta api ulang-alik lapangan terbang — Skypark Link yang menghubungkan KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang.

KTM Komuter beroperasi pada kekerapan 15 minit pada waktu puncak dan 20-30 minit pada waktu biasa. Perkhidmatan ulang-alik Rembau diantara stesen Keretapi Seremban dan stesen keretapi Pulau Sebang/Tampin beroperasi dengan kekerapan 30-minit ke satu jam. Kesemua koc yang disediakan adalah canggih dan dilengkapi penyaman udara. Bagi yang memandu ke stesen atau hentian, kemudahan 'Park & Ride' disediakan pada kadar yang ditentukan.

Kini, KTM Komuter mempunyai armada Kelas 81, Kelas 82, Kelas 83 & Kelas 92. Kesemua Kelas 92 kini beroperasi di KTM Komuter Sektor Tengah manakala kebanyakan Kelas 81, Kelas 82 dan Kelas 83 telah dibuang atau digunakan semula di Komuter Sektor Utara.

KTM Komuter merupakan sebuah mod pengangkutan yang kerap digunakan oleh pekerja yang berulang-alik ke Kuala Lumpur sebagai perkhidmatan alternatif bagi kereta, yang kerap terhalang oleh kesesakan lalu lintas. Hampir semua stesen KTM Komuter menyediakan tempat letak kenderaan Park & Ride (Bahasa Melayu: Letak & Tunggang) bagi mereka yang memandu dari dan ke stesen. Kira-kira 6 juta penumpang menggunakan KTM Komuter pada tahun 2018.[1]

Perkembangan rel di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah senarai pembangunan dan kerja penaiktarafan perkhidmatan rel yang lalu, sedang dijalankan dan masih dalam perancangan di Malaysia.

Perkembangan lalu[sunting | sunting sumber]

  • Pemuliharaan landasan 327 km (Meter Gauge) dari Paloh ke Singapura dan dari Slim River ke Laluan Utama Seremban (1988-1994)- AS$ 70 juta
  • Penyediaan landasan berkembar di laluan Rawang-Seremban (1990- 1994)- AS$ 62 juta
  • Penyediaan landasan berkembar di laluan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang (termasuk spur line ke Subang Jaya dan Sentul) di Malaysia (1991-1994)- AS$ 66 juta
  • Perluasan terowong kereta api dekat Seremban (1994-1995)- AS$ 4 juta
  • Landasan yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pulau Indah (1997-1999)-AS$ 4 juta
  • Pembinaan jambatan keretapi, jalan raya melalui atas jambatan dan laluan bawah tanah di bahagian Rawang-Kajang (1991-1994)- AS$ 6 juta
  • Pembinaan jambatan keretapi, jalan raya melalui atas jambatan dan laluan bawah tanah di bahagian Kajang-Seremban (1991-1994)- AS$ 16 juta
  • Pembinaan culvert gerabak keretapi dan box pushing di bahagian Nilai-Seremban (1994- 1995)-AS$ 4 juta
  • Pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas - Johor rail link di Malaysia (1999- 2002)- US$ 121 juta
  • Pembinaan trek di stesen Kuala Lumpur Sentral (1999-2001)-RM 14.3 juta

Perkembangan semasa/masa hadapan[sunting | sunting sumber]

  • Projek pengelektrikan dan penyediaan landasan berkembar sepanjang laluan Rawang-Ipoh 179km, akan memastikan KTMB dapat memandu keretapi pada kelajuan maksimum 160 km/j. KTMB berancang untuk menyediakan perkhidmatan antarabandar cepat, antara Ipoh dan KL Sentral untuk 16 perkhidmatan sehari dan seterusnya 32 perkhidmatan sehari. Projek ini, yang pernah dibelenggui masalah dan penundaan, dijangka siap menjelang awal 2008 dan bakal memotong tempoh perjalanan antara KL dan Ipoh ke 2.5 jam.
  • Kerajaan telah meluluskan secara prinsip rancangan KTMB untuk melaksanakan projek landasan berkembar dari Taiping ke Padang Rengas, Perak.
  • Penaiktarafan Stesen Pulau Sebang/Tampin (2006) dan Ipoh
  • Pembinaan stesen keretapi JB Sentral yang dihubungkan dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bawah projek Gerbang Selatan Bersepadu yang dijangka siap pada September 2006.

Adalah diharapkan agar pembinaan JB Sentral akan membolehkan KTMB untuk menawarkan servis Komuter yang kerap pada laluan Kulai-Senai-Kempas Baru-JB-Singapura. Peruntukan ini dijangka akan menjadi menarik di kalangan penumpang Singapura yang menaiki pesawat penerbangan Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kargo dan juga warga Johor yang bekerja di Singapura. Laluan Kulai/Senai ke JB memerlukan landasan berkembar untuk membolehkan perkhidmatan Komuter ditawarkan.

  • Stesen Kempas Baru akan dijadikan pertukaran antara laluan Kulai-Senai-Plentong-Pasir Gudang dan laluan Kulai-Senai-Johor Bahru-Singapura.
  • Terminal transit rel juga dirancang oleh Lapangan Terbang Senai dari 2007-2010. Ini akan menghubungkan Senai ke bangunan CIQ baru. (Projek ini belum diluluskan.)
  • Senai akan menjadi hab logistik, kargo dan penumpang dengan pelengkapan perkhidmatan rel di antara Pelabuhan Tanjung Pelepas dan pelabuhan Pasir Gudang oleh KTM iaitu hubungan udara, laut dan rel.
  • Cadangan membuka semula landasan kereta api dari Pulau Sebang - Bandaraya Melaka dan Mentakab - Kuantan menerusi Rancangan Malaysia ke 10

Permodenan[sunting | sunting sumber]

Semenjak pengkorporatan KTMB, program pemodenan sedang dijalankan, namun projek bercita-cita tinggi pengelektrikan dan penggandaan landasan di sepanjang laluan keretapi Pantai Barat Semenanjung Malaysia telah ditunda sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Kerja penaiktarafan laluan Rawang-Ipoh masih dijalankan, namun telah diganggu oleh penundaan akibat perselisihan kontrak dan tidak dijangka siap sebelum 2007. Setelah siap, KTM dijangka menyediakan perkhidmatan antarabandar yang lebih kerap (16 keretapi sehari) pada kelajuan 160km/j.

Tren elektrik kelajuan tinggi dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru juga dirancang di bawah SJER. Di samping lebuh raya, pengangkutan rel wajar turut dinaiktaraf dan dimodenkan untuk melengkapkan sistem pengangkutan Malaysia. Stesen KTMB Tampin juga dikenali sebagai Stesen KTMB Pulau Sebang kerana kedudukan stesen KTMB Tampin berada dalam negeri Melaka yang lebih dikenali sebagai Stesen KTMB Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Petikan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Statistik Trafik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), 2018" (PDF). Kementerian Pengangkutan Malaysia. 2018. Dicapai 12 Mei 2019. 
  2. ^ Mohamed 1985, m/s. 23.
  3. ^ a b c d e Stanistreet 1974, m/s. 5.
  4. ^ Mohamed 1985, m/s. 24.
  5. ^ a b Mohamed 1985, m/s. 55.
  6. ^ a b Mohamed 1985, m/s. 27.
  7. ^ Mohamed 1985, m/s. 46.
  8. ^ a b c Mohamed 1985, m/s. 28.
  9. ^ Mohamed 1985, m/s. 56-57.
  10. ^ Mohamed 1985, m/s. 38.
  11. ^ a b Stanistreet 1974, m/s. 6.
  12. ^ Mohamed 1985, m/s. 91.
  13. ^ Mohamed 1985, m/s. 92.
  14. ^ Mohamed 1985, m/s. 37.
  15. ^ Mohamed 1985, m/s. 85.
  16. ^ a b Stanistreet, m/s. 55.
  17. ^ "About us: Corporate Info" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada asal pada 2015-04-22. Dicapai 26 Mei 2019. 
  18. ^ Jin Seng Cheah (26 February 2013). Penang 500 Early Postcards (dalam bahasa Inggeris). Editions Didier Millet. ISBN 978-9671061718. Dicapai 26 Mei 2019. 
  19. ^ "Brief History Of Penang Hill Railway". Penang Hill with forestexplorers.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai 26 Mei 2019. 
  20. ^ a b Stanistreet, m/s. 56.
  21. ^ Oliver Voon (22 July 2018). "High-speed Rail in p'sula but this for Sabah?" (dalam bahasa Inggeris). Daily Express. Diarkibkan daripada asal pada 24 July 2018. Dicapai 25 July 2018. 

Bibilografi[sunting | sunting sumber]

  • Mohamed, Alias (1985). Malayan Railway: 100 years, 1885-1985. AMW Communications Management. 
  • Stanistreet, J.A. (1974). Keretapi Tanah Melayu:The Malayan Railway. The Oakwood Press. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]