Pergi ke kandungan

Perang Kotor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perang Kotor (Sepanyol: Guerra Sucia) (sebahagian Operasi Condor) ialah nama yang digunakan kerajaan Argentina bagi tempoh keganasan antara 1976 sehingga 1983 sewaktu Argentina berada di bawah pemerintahan junta ketenteraan. Perang ini adalah titik hitam dalam sejarah negara ini kerana berpuluh-puluh ribu rakyatnya diculik, diseksa dan dibunuh oleh pihak kerajaan, demi memburu gerila sayap-kiri, penentang politik, dan sesiapa sahaja yang dipercayai terlibat dengan sosialisme.[1][2][3]. Mangsa peperangan yang hilang diberi gelaran desaparecidos (mereka yang lesap) kerana selepas diculik, mereka telah dilesapkan oleh pihak polis dan tentera kerajaan, dalam usaha menutup mulut pembangkang dan memecahkan tekad gerila.[4]

Dokumen rasmi polis rahsia Chile yang telah diubah status memetik anggaran rasmi oleh Batallón de Inteligencia 601 bahawa seramai 22,000 orang maut atau "hilang" antara 1975 dan pertengahan 1978. Manakala jumlah orang yang dipercayai terbunuh atau "hilang," bergantung kepada sumber, ialah dari 9,089 hingga 30,000 dalam tempoh antara 1976 hingga 1983, apabila tentera Argentina tewas dalam Perang Falkland.[5][6] CONADEP pula menganggarkan sekitar 13,000 orang yang hilang.[7]

Presiden Jorge Rafael Videla merupakan orang utama yang melancarkan perang kotor ini. Pada mulanya, beliau memberi alasan kononnya perang ini adalah untuk membendung penularan ideologi komunisme di Amerika Selatan. Walaupun begitu, beliau telah menggunakan perang itu sebagai taktik untuk menghapuskan kesemua pembangkangnya. Sewaktu junta ini berkuasa antara 1976 hingga 1983, adalah dianggarkan bahawa lebih 9,000 pihak pembangkang termasuk pemimpin parti pekerja, para intelek dan mereka yang menentang regim ini telah ditahan secara haram dan kemudiannya "dilesapkan". Kumpulan hak asasi manusia di sana percaya angka sebenar adalah dua kali ganda daripada anggaran ini. Antara tempat yang terkenal sebagai pusat penyeksaan termasuklah Sekolah Mekanik Tentera Laut atau Escuela de Mecánica de la Armada (ESMA). Adalah dianggarkan dari lebih 5,000 orang yang disoalsiasat dan diseksa di sini, hanya 150 yang masih hidup.


Dua tahun selepas kejatuhan regim itu pada tahun 1985, sembilan pemimpin junta ini telah ditahan atas pelbagai jenis jenayah, termasuk penyeksaan dan pembunuhan. Bagaimanapun, lima tahun kemudian, mereka diampunkan oleh Presiden Carlos Menem. Pada tahun 1986 dan 1987, atas ancaman pegawai-pegawai tentera, Presiden Raul Alfonsin terpaksa melaksanakan undang-undang amnesti untuk melindungi mereka daripada tindakan undang-undang bagi jenayah mereka yang lalu.

Selepas abad ke-21

[sunting | sunting sumber]

Pada Jun 2005, Mahkamah Agung Argentina menarik balik undang-undang amnesti yang berkuatkuasa sewaktu era 80-an. Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih 400 akan dikenakan tindakan undang-undang yang baru bagi kekejaman mereka sewaktu perang kotor ini.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Political Violence and Trauma in Argentina, Antonius C. G. M. Robben, m/s. 145, University of Pennsylvania Press, 2007
  2. ^ Revolutionizing Motherhood: The Mothers of the Plaza De Mayo, Marguerite Guzmán Bouvard, m/s. 22, Rowman & Littlefield, 1994
  3. ^ "Argentina's Guerrillas Still Intent On Socialism", Sarasota Herald-Tribune, 7 Mac 1976
  4. ^ Robben, Antonius C. G. M. (September 2005). "Anthropology at War?: What Argentina's Dirty War Can Teach Us". Anthropology News. Dicapai pada 20 Oktober 2013.
  5. ^ Obituary The Guardian, Thursday 2 April 2009
  6. ^ Estimate of Deaths and Disappearences by 601st Intelligence Battalion (PDF). DINA Headquarters, Buenos Aires, Argentina. Julai 1978. m/s. A8.
  7. ^ "Una duda histórica: no se sabe cuántos son los desaparecidos", Clarin, 10 Jun 2003
  • Terjemahan daripada "Argentina readies Dirty War trial" (Argentina menyiapkan diri untuk perbicaraan Perang Kotor), Oscar Serrat, Associated Press, 20 Jun 2006.
  • Terjemahan daripada "Argentina Confronts Past on Coup Anniversary", Human Rights News, 24 Mac 2004. http://hrw.org/english/docs/2004/03/24/argent8213.htm

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]