Hikayat Merong Mahawangsa (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Hikayat Merong Mahawangsa
HMM(promosi).jpg
Pengarah Yusry Abdul Halim
Pembantu Pengarah: Mohd Elmy Khalid
Seni: Ting Lam
Fotografi: Mohd Noor bin Kassim
Penerbit Norman Abdul Halim (eksekutif)
Yusry Abdul Halim (eksekutif)
Edry Abdul Halim (eksekutif)
Pengarang Yusry Abdul Halim (Lakon layar)
Pengisah Yusry Abdul Halim (Cerita Asal)
Lakonan Stephen Rahman Hughes
Datuk Haji Rahim Razali
Khir Rahman
Ummi Nazeera
Umie Aida
Jing Lusi
Gavin Stenhouse
Muzik Edry Abdul Halim
Pengedar Malaysia:
KRU Studios
Antarabangsa:
Epic Pictures
Negara  Malaysia
Bahasa Inggeris, Melayu

Rujukan Sinema Malaysia

Hikayat Merong Mahawangsa (atau The Malay Chronicles: Bloodlines untuk pasaran dunia,Clash of the Empires untuk pasaran United Kingdom) ialah sebuah filem bersejarah Melayu yang diterbitkan oleh KRU Studios untuk pasaran antarabangsa dengan tujuan memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Melayu kepada mata dunia. Filem epik ini jelas diadaptasi dari prosa Hikayat Merong Mahawangsa yang meriwayatkan sejarah terawal kerajaan Kedah.

Filem arahan Yusry Abdul Halim (dari kumpulan KRU) ini sedang ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia bermula 10 Mac 2011 (selepas tayangan diraja sebelum ini pada 25 Februari[1] dan pratonton khas untuk pihak media pada 7 Mac 2011), dengan Stephen Rahman Hughes sebagai pemegang watak Merong Mahawangsa, diiringi oleh barisan pelakon yang ramai dari dalam dan luar negara, khususnya Dato' Haji Rahim Razali, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Craig Fong, Umie Aida dan Wan Hanafi Su.

Pada kos perbelanjaan muktamad sebanyak RM 8 juta (RM6.83 diisytiharkan kepada FINAS[2], sekitar RM 2 juta dibelanjakan untuk set, prop, busana)[3], filem epik Hikayat Merong Mahawangsa menjadi filem buatan Malaysia kedua termahal dalam sejarah perfileman sewaktu dikeluarkan, di belakang Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja RM 16.6 juta pada tahun 2004.[4] Proses penggambaran filem ini banyak memanfaatkan teknik CGI selain prop dan set utama dengan tujuan untuk mengurangkan kos pembikinan filem sambil menghidupkan suasana abad ke-2 M.[5]

Sinopsis Pendek[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu dibawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Semasa angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.

Bagaimanapun, puak lanun dari Garuda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Garuda. Maka, adalah tugas Merong Mahawangsa untuk menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat.


Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon Utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon Pembantu[sunting | sunting sumber]

Pelakon Sampingan[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pembikinan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan menelan belanja RM 8 juta[6] (termasuk sekitar RM2 juta untuk membiayai set, prop dan busana[3], walaupun perbelanjaan sebanyak RM 6.82 dilaporkan kepada FINAS[2]), menjadikannya filem Melayu kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang (2004) yang menelan kos RM 16.6 juta.[4] Oleh sebab filem ini ditujukan kepada pasaran antarabangsa, mula-mula dilaporkan bahawa filem ini terdiri daripada 70% bahasa Inggeris[7] dan selebihnya dalam bahasa Melayu Klasik dan lain-lain. Akan tetapi, pada Mei 2010, ketika proses pascapenerbitan dijalankan, pihak KRU mengesahkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa keluar dalam dua versi, iaitu versi Malaysia yang melebihkan dialog bahasa Melayu, dan versi pasaran antarabangsa yang mengutamakan bahasa Inggeris.[8]

Menurut presiden eksekutif KRU Studios dan penerbit eksekutif filem Hikayat Merong Mahawangsa, Norman Abdul Halim, sebab utama filem ini dibikin merupakan percubaan projek berdaya tarikan antarabangsa dengan tema sejagat, berisi dialog dwibahasa yang dituturkan oleh latar masyarakat pelbagai bangsa, termasuk Rom dan Cina atas dasar kebebasan kreatif.[3] Penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa diadakan selama 52 hari[9], bermula pada 9 Jun 2009 dan berakhir pada 8 Ogos[10], dengan menyempurnakan 90% penggambarannya di negeri Terengganu, dan selebihnya di negeri lain seperti Pahang dan Kuala Lumpur.

Untuk menjimatkan perbelanjaan, KRU memanfaatkan teknologi CGI yang diusahakan oleh 12 orang juruanimasi[3] untuk menghasilkan sekitar 3,000 syot[11] latar bersejarah, selain prop dan latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat buah kapal, perkampungan Melayu pada abad ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.[10] Walau bagaimanapun, pengurangan prop fizikal tidak bermakna penggambaran berjalan lancar. Apabila ditanya mengenai pengalamannya, pengarah Yusry Abdul Halim mengimbau, "Kami juga terpaksa mengharungi ribut taufan sehingga set dan kapal kami pecah. Nak kawal lebih 300 orang di set juga bukan mudah. Alhamdulillah, tidak ada sebarang insiden yang serius berlaku. Kesemua mereka memberi komitmen yang bagus. Bagi saya, ia sesuatu benda yang baru dan banyak ilmu serta pengalaman yang saya dapat, Kelebihan saya ialah ada ramai kru di belakang saya yang banyak membantu."[12]

Yusry memaklumkan pihak akhbar bahawa skrip filem ditulis berpandukan buku dan sumber Internet serta kajian yang dilakukan kru produksi. "Kita tidak mengambil keseluruhan cerita, sebaliknya hanya bahagian penting yang menguatkan jalan cerita. Ini kerana cerita asalnya banyak mitos dan kita menukarnya menjadi logik dan mudah difahami," katanya. "Sebagai contoh, watak burung garuda dalam cerita asal kita tukar kepada watak lanun, tetapi masih mengekalkan namanya."[13]

Norman Abdul Halim menambah, skrip filem disemak 17 kali demi cerita yang lebih logik dan berintegriti.[9] Selain gugurnya adegan burung garuda, perjumpaan Merong Mahawangsa dengan Nabi Sulaiman a.s. seperti dalam manuskrip asal juga tidak disertakan.[9] Bagaimanapun, jalan cerita ditokok dengan perihal ibunda Merong Mahawangsa berasal dari Kedah supaya kaitan Hikayat dengan negeri itu lebih jelas.[9] Perkara ini turut diakui oleh Yusry, yang mengulas, "Secara jujur, filem ini banyak mencabar keupayaan saya. Tiap-tiap hari ada saja tekanan termasuklah dari sudut penggunaan CGI."[12].

Ketika ditanya mengenai pemilihan Stephen Rahman-Hughes sebagai pemegang watak utama, Yusry menjawab, "Kami memilih Stephen kerana dalam filem ini dia mempunyai darah Iskandar Agung. Dia dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh belajar bahasa Melayu dan betul mendalami karakter[13]," sebagai menyentuh penceritaan catatan asal bahawa Merong Mahawangsa mendakwa dirinya keturunan raja Macedonia handalan tersebut. Yusry juga dikatakan menyediakan tiga skrip khas untuk membantu pemahaman pelakon utama berbangsa Inggeris ini, iaitu skrip pertama dalam Bahasa Inggeris keseluruhannya, skrip kedua dalam terjemahan bahagian dialog berbahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dan skrip terakhir ialah "terjemahan secara langsung untuk setiap ayat."[14]

Proses penerbitan Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan menggunakan tenaga kerja seramai 2,000 kakitangan, termasuk sekali kru, pelakon utama, ekstra, dan pakar lagak ngeri (termasuk 10 orang dari Hong Kong yang pernah bekerja bersama Jackie Chan).[9] [15]Selain itu, Norman juga mengakui bahawa pihak penerbitan filem mengimport senjata dari China dan Amerika Syarikat yang terpaksa dihapuskan selepas sesi penggambaran atas arahan Kementerian Dalam Negeri[9].

Yusry juga pernah mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem besar terakhir arahannya kerana "ingin memberi peluang kepada pengarah lebih berbakat mengarahkan filem terbitan KRU Studios."[13] Dalam temubual Berita Harian bersama Edry dan Norman di majlis pratonton pada 7 Mac, mereka mengulas bahawa kerja Yusry dalam pengusahaan filem ini banyak membawa tekanan kepada hidupnya, ibarat "menatang minyak yang penuh sehingga keadaan dirinya terabai begitu saja".[14] Jelas Norman, "Pernah sewaktu saya bercakap dengan Yusry menerusi telefon, Yusry menangis kerana tidak tahan berdepan dengan cabaran yang terpaksa ditempuhinya sewaktu mengarahkan filem ini. Saya faham situasi yang terpaksa dilaluinya. Bukan mudah untuk mengendalikan sebuah produksi yang berskala mega seperti ini."[14] Tambah Edry, "Terus terang, saya melihat Yusry macam orang gila kerana terpaksa melalui pelbagai situasi yang mencabar kesabarannya. Apapun, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya itu dan alhamdulillah, selepas melihat hasilnya, kami semua merasa bangga dengan hasil kerjanya."[14]

Dokumentari[sunting | sunting sumber]

Selain pembikinan filem, KRU Studios mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah dokumentari berbelanja RM80 ribu yang juga berjudul Hikayat Merong Mahawangsa untuk disiarkan di TV3 pada 25 Februari 2011 sebelum filem ditayangkan, untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai mengenai kisah legenda ini apabila filemnya disiarkan dua minggu selepas itu.[16] Untuk dokumentari yang mula dirakam pada November 2010[16] itu, mereka merakamkan temu ramah bersama para ilmuwan yang terdiri daripada Dato’ Wira Mohd Shaarif Bin Abu Samah (wakil Istana Kedah), Mohan a/l Shanmugam (Presiden Hindu Sangam Malaysia), Dato’ Prof Khoo Kay Kim (Sejarawan Malaysia), Dato’ Dr. Wan Shamsudin Bin Mohd Yusof (Sejarawan Negeri Kedah) dan Dato’ Dr Siti Hawa Salleh (Ahli Filologi dan Pengkaji Buku HMM).[16].

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Jualan[sunting | sunting sumber]

Filem Hikayat Merong Mahawangsa membuka tayangan umumnya dengan cemerlang sekali, apabila ia menduduki tangga teratas dalam carta kutipan pawagam pada hujung minggu pertamanya (13–16 Mac 2011)[17] dengan meraih sebanyak RM2.2 juta[18] dari 67 buah pawagam di Malaysia dan dua di Brunei. Ini termasuk sekitar RM500 ribu pada hari pertamanya[19], RM700 ribu pada hari Sabtu dan RM600 ribu pada hari Ahad.[20] Jumlah kutipan tersebut dilaporkan meningkat kepada RM3.3 juta[21] selepas genap seminggu ditayangkan di pawagam, sempena musim cuti sekolah.

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Ulasan terhadap filem Hikayat Merong Mahawangsa kebanyakannya berbau positif. Antara aspek-aspek yang dipuji oleh para pengulas filem termasuk keberkesanan set penggambaran, busana dan senjata serta penggunaan CGI yang terhasil daripada ketelitian sutradara, Yusry Abdul Halim dalam menekankan perincian visual sewaktu menyelia filem ini dalam sesi penggambaran mahupun pascapenerbitan; kebolehan dan bakat lakonan Stephen Rahman-Hughes, Ummi Nazeera dan Khir Rahman, dan pendekatan realistik untuk adaptasi kisah mitos. Bagaimanapun, filem ini mendapat sedikit kritikan kerana terdapat cacat-cela kecil dalam penggunaan CGI, ketidakfasihan Rahman-Hughes berbahasa Melayu dan kurang tumpaun kepada sifat tamsilan karya asal dalam penyampaian adaptasi ini.

Pada minggu pembukaannya kepada umum, Hikayat Merong Mahawangsa mulai menerima ulasan yang positif dari pengulas filem yang disiarkan dalam media ketika ini. Setelah menontonnya dalam Malam Gala pada Isnin, 7 Mac, pengulas bagi portal hiburan Tupai/Cinema Online memberi markah empat daripada lima bintang kepada filem ini dengan ulasan bahawa "filem ini ibarat menonton filem aksi Thai dan kesan visualnya pula seperti menonton filem Hollywood".[22][23] Tambahnya, aksi yang ditunjukkan dalam filem ini memang "dahsyat" atas khidmat kumpulan seni bela diri bimbingan Chan Man Cheong yang terkenal kerana menjayakan aksi-aksi lasak dalam siri filem Rush Hour dan Police Story, tetapi mereka meluahkan rasa hairan dengan kesesuaian laras bahasa dalam babak Kamawas cuba menggoda Puteri Meng Li Hua, serta pencahayaan gambar yang "agak gelap". Yusry menjelaskan bahawa pencahayaannya memang sengaja dibuat begitu "untuk menunjukkan dua keadaan yang berbeza."[22][23]

Portal hiburan Murai.com.my turut memberikan ulasan yang agak memberangsangkan untuk Hikayat Merong Mahawangsa dan memuji Yusry kerana "berjaya mempersembahkan suatu pemahaman sejarah negeri Kedah dalam bentuk yang segar serta mudah untuk difahami", serta "kareografi untuk aksi berlawan yang ditonjolkan dalam filem ini bagi penulis memang cukup hebat."[24] Penulis ulasannya memuji pembawaan watak Stephen Rahman-Hughes sebagai Merong, yang "bukan sahaja tangkas dalam mengatur langkah dalam setiap aksi lawannya, malah mempunyai karektor sebagai seorang hero yang mana Malaysia ketandusan pelakon sepertinya", begitu juga dengan lakonan Ummi Nazeera yang "mampu memberi impak kepada keseluruhan filem ini" walaupun babak wataknya hanya beberapa, serta Khir Rahman selaku pemegang watak jahat yang membuatkan pengulas "rasa benci dengan wajahnya serta gerun dengan aksinya".[24] Akan tetapi, antara keluhan dalam ulasannya termasuk sedikit kecacatan dalam teknik CGI dan gambar sepia, serta lakonan Gavin Stenhouse yang kurang menonjol sebagai Putera Rom.[24]

Dalam ulasan mStar Online mengenai filem ini, peningkatan kematangan Yusry selaku sutradara sejak filem Cicak-Man mendapat pujian kerana "penterjemahan hikayat tersebut mengikut stail dan kreativitinya secara teknik imbasan semula … penggunaan prosa Melayu klasik yang menyaluti skrip filem, kostum dan set yang relevan, imej janaan berkomputer (CGI) serta kesan bunyi turut memberangsangkan" walapun dipagari keterbatasan modal, tenaga, sumber dan kepakaran[25], tetapi mengulas serba sedikit kelemahan dari segi pertuturan dwibahasa watak utama yang terasa "canggung", serta aspek garapan dan lakon layar yang mana babak Putera Marcus berbual dengan Lycius seakan "tampak begitu terikat dengan skrip … [dan] dirasakan kurang berkesan dan tidak bersahaja".[25]

Untuk laporan akhbar Berita Harian, Farihad Shalla Mahmud turut memuji filem Hikayat Merong Mahawangsa sebagai filem yang "setimpal" dengan kos pembikinnya yang mencecah RM 8 juta, apatah lagi berpendapat bahawa Stephen Rahman-Hughes menunjukkan kesungguhan untuk memastikan kemantapan watak Merong Mahawangsa.[14] Tapak web berita hiburan Oh! Artis memberikan 4.5/5 bintang kepada filem ini atas sebab-sebab jalan cerita yang amat menarik, sistem bunyi yang "teramat hebat", teknik CGI yang menakjubkan.[26] Akhbar Sinar Harian turut membuat ulasan ringkas yang positif mengenai filem ini atas sebab "rekaan set, kostum serta aksi … membuatkan penonton tidak terasa tempoh tayangan selama 1 jam 50 minit."[27]

Ulasan dalam akhbar New Straits Times pula mengatakan bahawa filem Hikayat Merong Mahawangsa ini menampakkan visual yang mememeranjatkan hasil kebijaksanaan penggunaan teknologi, banyak tumpuan diberikan kepada perincian set, busana dan senjata, serta runut bunyi yang melodi dan menghantui fikiran penonton, tetapi kurang gaya karya zaman kerana "di sebalik segala persembahan ranggi ini tersiratnya kisah tamsilan yang tidak dicungkil sebaik-baiknya sehingga kadang-kadang penceritaanya kelihatan agak cetek."[28]

Filem ini walaupun mendapat reaksi positif dari pelbagai pihak, tetapi ia tidak bagi golongan penggiat filem dan pencinta sastera. Menerut mereka pada forum Hikayat Merong Mahawangsa: Daripada Sastera Klasik ke Filem, filem tersebut tidak menonjolkan ciri-ciri kemelayuan. Mereka turut menyatakan bahawa pelakon yang melakonkan watak dalam cerita tersebut tidak menggambarkan watak tersebut. Selain itu, mereka beranggapan filem tersebut mempunyai unsur sejarah yang longgar.[29]

Anugerah & Pencalonan[sunting | sunting sumber]

Anugerah Kategori Penerima Menang/Pencalonan
Anugerah Skrin 2011 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Khir Rahman Dicalonkan
Craig Robert Fong Dicalonkan
Lakon Layar Terbaik Filem Amir Hafizi/Yusry Abdul Halim Dicalonkan
Festival Filem Malaysia ke-24 Filem Terbaik Keseluruhan Menang
Pengarah Terbaik Yusry Abdul Halim Dicalonkan
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Khir Rahman Dicalonkan
Lakon Layar Terbaik Yusry Abdul Halim Dicalonkan
Penyuntingan Terbaik Wan Mohd Hafiz Dicalonkan
Sinematografi Terbaik Mohd Noor Mohd Kassim Menang
Skor Muzik Asal Terbaik Edry Abdul Halim Menang
Penataan Bunyi Terbaik Sazali Dicalonkan
Pereka Kostum/Busana Terbaik Rosada Abdul Hamid Menang
Penataan Seni Terbaik Anuar Paharudin/Kek Teng Lim Menang
Lagu Tema Terbaik "Sedetik Lebih" - Anuar Zain Menang
Kesan Visual Terbaik Yusry Abdul Halim Menang
Poster Terbaik Menang
Anugerah Blockbuster Astro 2012[30][31] Anugerah Filem Terhebat Yusry Abdul Halim Dicalonkan
Anugerah Tuan Direktor Terhebat Dicalonkan
Anugerah Filem Aksi Terhebat Dicalonkan
Lagu Tema Terbaik "Sedetik Lebih" - Anuar Zain Dicalonkan

Muzik[sunting | sunting sumber]

KRU Studios bekerjsama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk menghasilkan skor muzik filem ini, yang mana proses rakaman yang memakan masa tiga hari berturut-turut (23–25 Mac 2010) di bawah pimpinan pengarah muzik Claus Peter Flor, diiringi 105 pemuzik pakar, mendendangkan skor asli ciptaan bakat komposer muda seperti Reza Ramsey dan Yudi Ashadi, yang disusun semula oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua.[32] Bukan sahaja menandakan kali pertama MPO menerbit dan merakam bersama skor muzik filem Malaysia[8]; malah jelas Penerbit Teknikal, Edry Abdul Halim, bahawa Hikayat Merong Mahawangsa merupakan filem Melayu pertama yang menampilkan muzik skor penuh untuk keseluruhan jalan cerita filem ini sewaktu tayangannya.[33] Anuar Zain tampil sebagai penyanyi lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa, iaitu "Sedetik Lebih" yang digubah oleh Edry Abdul Halim dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.[34]

Pemasaran antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Setakat Januari 2011, filem Hikayat Merong Mahawangsa dilaporkan sudah diberikan hak tayangan kepada 72 buah negara atas kesudian syarikat pengedaran filem antarabangsa, Epic Pictures dari Amerika Syarikat untuk memasarkan filem ini.[35][9] Apabila ditanya mengapa filem ini disasarkan kepada penonton antarabangsa, Yusry menjelaskan bahawa jika industri filem Malaysia hanya bergantung pada pasaran tempatan, mereka terpaksa membikin cerita yang sama berulang kali; apabila menyasarkan pasaran global barulah mereka mendapat bajet yang lebih besar untuk melakukan kelainan.[9]

Sebelum ini, KRU Studios mengambil langkah pertama untuk memasarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa ke seluruh dunia dengan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universal Pictures International Entertainment Ltd untuk hak pengedaran di Amerika Utara.[6] Difahamkan bahawa pihak Universal diberikan first option untuk mengedarkan filem ini ke seluruh dunia apabila siap kelak.[10]

Filem Hikayat Merong Mahawangsa dipasarkan di European Film Market (EFM) yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 11–21 Februari 2010, dan dilaporkan berjaya menjual hak pengedaran kepada para pengedar filem United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia dan negara Asia Barat.[36]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Sultan Kedah bangga kisah Merong difilemkan, Berita Harian, 6 Mac 2011. Dicapai pada 7 Mac 2011.
  2. 2.0 2.1 TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2011, Finas.gov.my. Dicapai pada 13 Mac 2011.
  3. 3.0 3.1 3.2 3.3 http://www.nst.com.my/nst/articles/Showbiz_ThemightyMerong/Article/art_print Showbiz: The mighty Merong], New Straits Times, 4 Mac 2011. Dicapai pada 13 Mac 2011.
  4. 4.0 4.1 TAYANGAN FILEM CEREKA TEMPATAN 2004, Finas.gov.my. Dicapai pada 13 Mac 2011.
  5. Hikayat Merong Mahawangsa Dah Balik Modal RM8 Juta?, Murai.com.my. Dicapai pada 13 Mac 2011.
  6. 6.0 6.1 Nurulhisham Abdul Latiff (7 September 2009). "Sinepleks: Filem Melayu Kedua Termahal". Berita Harian. 
  7. Zul Husni Abdul Hamid (15 Jun 2009). "Merong Mahawangsa Terbang Tinggi". Berita Harian. Diperoleh pada 11 Mac 2009. 
  8. 8.0 8.1 "The journey continues". The Star eCentral. 27 Mei 2010. Diperoleh pada 28 Mei 2010. 
  9. 9.0 9.1 9.2 9.3 9.4 9.5 9.6 9.7 Bissme S, "A cut above the rest", TheSun, 17 Feb 2011. Diambil pada 23 Feb 2011.
  10. 10.0 10.1 10.2 Budiey Isma (28 Ogos 2009). "Filem Hikayat Merong Mahawangsa". Sensasi Selebriti (blog). Diperoleh pada 11 Mac 2010. 
  11. Hebatkah Merong Mahawangsa?, Sinar Harian. Dicapai pada 23 Mac 2011.
  12. 12.0 12.1 Yusry Tukar Skrip Merong Mahawangsa 17 Kali, Gua.com.my, 9 Mac 2011. Dicapai pada 12 Mac 2011.
  13. 13.0 13.1 13.2 Ahmad Shazwan Md Yusof (11 Jun 2009). "Filem Terakhir Yusri: Merong Mahawangsa". Harian Metro. Diperoleh pada 11 Mac 2010. 
  14. 14.0 14.1 14.2 14.3 14.4 Merong buka langkah, Berita Harian, 10 Mac 2011. Dicapai pada 10 Mac 2011.
  15. [1] FILEM: Aroma antarabangsa], Harian Metro. Dicapai pada 21 Mac 2011.
  16. 16.0 16.1 16.2 Dokumentari Merong Bagi Elak Kekeliruan, gua.com.my, 21 Februari 2011. Dicapai pada 13 Mac 2011.
  17. Week of 10 March 2011-16 March 2011, Cinema Online. Dicapai pada 15 Mac 2011.
  18. 4 hari dapat RM2.2 juta, Berita Harian, 15 Mac 2011. Dicapai pada 15 Mac 2011.
  19. Filem kutip RM500,000, Berita Harian, 19 Mac 2011. Dicapai pada 21 Mac 2011.
  20. Malay epic film scores in English, New Straits Times, 19 Mac 2011. Dicapai pada 21 Mac 2011.
  21. Warna Kelam Bukan Kesilapan Hikayat Merong Mahawangsa, mStar Online, 21 Mac 2011. Dicapai pada 21 Mac 2011.
  22. 22.0 22.1 Hikayat Merong Mahawangsa Epik termahal Malaysia, Tupai.com.my, 9 Mac 2011. Dicapai pada 10 Mac 2011.
  23. 23.0 23.1 Synopsis: Hikayat Merong Mahawangsa (Malay), Cinema Online, 9 Mac 2011. Dicapai pada 10 Mac 2011.
  24. 24.0 24.1 24.2 Hikayat Merong Mahawangsa Penuhi Elemen Internasional?, Murai.com.my. Dicapai pada 12 Mac 2011.
  25. 25.0 25.1 Wahiduzzaman, Hebat dan Lemah 'Hikayat Merong Mahawangsa', mStar Online, 14 Mac 2011. Dicapai pada 21 Mac 2011.
  26. (Gambar & Review) Filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios, Oh! Artis, 8 Mac 2011. Dicapai pada 12 Mac 2011.
  27. Merong Mahawangsa epik terhebat negara, Sinar Harian. Dicapai pada 23 Mac 2011.
  28. CINEMA: Creative twist to local classic, New Straits Times, 15 Mac 2011. Dicapai pada 23 Mac 2011.
  29. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm
  30. http://www.ohbulan.com/anugerah-blockbuster-senarai-finalis-layak-ke-peringkat-akhir/
  31. http://pneumedic.blogspot.com/2012/10/keputusan-penuh-anugerah-blockbuster.html
  32. Goh Wen Xuan (21 Mei 2010). "Orchestra backs Malay epic". Cinema.com.my. Diperoleh pada 28 Mei 2010. 
  33. "Merong Mahawangsa bertaraf antarabangsa". Utusan Malaysia. 16 Mac 2010. Diperoleh pada 28 Mei 2010. 
  34. "Anuar Zain Jadi Pilihan KRU". murai.com.my. 15 Disember 2010. Diperoleh pada 17 Disember 2010. 
  35. Merong singgah di 72 negara, Berita Minggu, 2 Januari 2011. Dicapai pada 20 Februari 2011.
  36. "Hikayat Merong Mahawangsa ke 25 buah negara". Utusan Malaysia. 21 Feb 2010. Diperoleh pada 11 Mac 2010. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]