Spaniel Clumber

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Spaniel Clumber
Seekor spaniel Clumber
Negara asalEngland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Spaniel Clumber[a] ialah satu baka anjing daripada jenis spaniel yang dikembangkan di United Kingdom. Ia merupakan spaniel terbesar dan terdapat kebanyakannya dalam warna putih dengan tanda-tanda lemon atau jingga. Nama baka ini diambil daripada Clumber Park di Nottinghamshire yang merupakan lokasi pertama perkembangannya. Ia merupakan satu baka gundog yang mahir dalam perburuan di dalam semak tebal. Ia lemah lembut dan setia dan dapat menjauhi orang asing. Ia mempunyai beberapa tabiat yang dapat dianggap sebagai keburukan, termasuk salin bulu tekal dan dengkuran.

Sejarah baka ini tidak dipastikan sebelum pertengahan abad ke-19 dengan dua teori yang tersebar luas. Spaniel Clumber telah dibela dan dibiakbakakan oleh pelbagai anggota Keluarga Diraja British, termasuk Putera Albert, Raja Edward VII, dan Raja George V. Ia diperkenalkan ke Kanada pada tahun 1844 dan, pada tahun 1884, ia menjadi salah satu daripada sepuluh baka pertama yang diiktiraf oleh American Kennel Club. Baka ini dapat menderitai pelbagai penyakit spesifik baka dengan keparahan berlainan daripada ketempangan sementara kerana tumbesaran tulang semasa muda kepada displasia pinggul atau pengherniaan cakera spina.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Tangkapan gambar kepala dan bahu seekor anjing putih dengan tanda-tanda perang di sekitar hidung, telinga, dan mata
Tangkapan gambar kepala seekor spaniel Clumber yang menunjukkan tanda-tanda berwarna di sekitar mata dan muncung

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Spaniel Clumber ialah baka spaniel Inggeris terbesar[1] dan bertubuh panjang dan berat yang berdiri hanya setinggi 17–20 inci (43–51 cm) tetapi berukuran seberat 55–85 paun (25–39 kg).[2] Ia serupa dari segi rupa bentu dengan spaniel Sussex yang lebih kecil.[3] Spaniel Clumber mempunyai struktur tulang berat,[4] mempunyai kepala 'meleleh' besar[5] dengan ekspresi sayu dan mamai, hidung dan muncung segi empat sama, dan telinga besar berbentuk daun anggur.[6] Tetua pada muncung dan tungkai hadapan adalah lazim.[7] Lapis bulunya padat, tahan cuaca, lurus, dan rata dengan jumbai di sekeliling telinga, perut, dan tungkai.[2] Spaniel Clumber berwarna putih meluas dengan tanda-tanda lemon, perang, atau jingga di sekeliling mata dan di pangkal ekor.[2]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Hidung anjing perang kemerah-merahan dengan tanda-tanda berwarna serupa pada bulu di sekitarnya
Hidung berkuasa spaniel Clumber

Perangainya diperihalkan sebagai perangai lemah lembut, setia, dan penyayang, tetapi bermaruah dan menyendiri terhadap orang asing.[2] Ia dapat kelihatan seperti baka tenang dan suka melingkar di atas sofa, makan, dan tidur.[1]

Spaniel Clumber bersalin bulu pada rentak sederhana dan perlu diberus dan didandani dengan kerap. Spaniel Clumber cenderung untuk terliur kerana flews-nya sangat terkulai.[2] Spaniel Clumber mempunyai minda sendiri. Anak anjing terutamanya ingin tahu dan suka bermain. Baka ini mempunyai mentaliti trofi dan anjing ini mempunyai keperluan tidak putus-putus untuk membawa sesuatu pada kebanyakan masa; malangnya, ini dapat membawa kepada masalah kesihatan kerana ia mungkin termakan item itu.[8] Spaniel Clumber mempunyai kecenderungan untuk lebih menyendiri terhadap anjing lain, sehingga mula bermersa dengan anjing lain itu.

Baka ini telah digunakan untuk memburu pheasant dan partridge, dalam kawanan kecil dan secara bersendirian. Ia sangat sesuai untuk kerja dalam perburuan tanah tinggi dalam semak tebal,[2] dan walaupun spaniel Clumber agak perlahan di padang berbanding dengan spaniel lain, ia merupakan seorang pekerja senyap dengan hidung baik dan stamina bagus.[4] Muncung lebar baka ini membolehkannya mengutip pelbagai buruan.[9] Spaniel Clumber dapat menjadi sangat berpuas hati di ruangan dalaman atau di ruangan luaran, tetapi kebanyakannya di mana-mana pemiliknya berada dalam kehadirannya, ia kelihatan paling gembira. Spaniel Clumber tidak mempunyai kekerapan terhadap salakan dan lebih dianggap sebagai teman di rumah berbanding dengan sebagai anjing pengawas.

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Seekor anjing putih hampir menyeluruh yang duduk di atas rumput. Bayang-bayangnya terlihat di tanah.
Spaniel Clumber dapat menderitai kepekaan haba.

Oleh sebab spaniel Clumber bertulang besar dan cepat membesar, ia dapat mengalami ketempangan sementara dari usia enam hingga dua belas bulan yang berkurangan apabila pertumbuhan tulang selesai. Satu lagi keadaan umum yang dihidapi oleh baka ini ialah kantung dubur terimpak dan anjing berkenaan mungkin memerlukan agar kantung tersebut dikosongkan oleh doktor haiwan. Keadaan umum terakhir yang dialami oleh baka ini ialah kepekaan haba: jika spaniel Clumber dibiarkan tanpa teduhan, ia dapat menjadi tidak selesa dalam kepanasan dan ternyahhidrat.[10]

Selain itu, spaniel Clumber kerap mengalami kesukaran untuk hamil dan melahirkan anak dan mungkin memerlukan pembedahan sesar. Sesetengah anjing mungkin menderitai kepekaan terhadap anestesia. Keadaan kesihatan umum paling parah pada spaniel Clumber merupakan keadaan mata entropion/ektropion, pengherniaan cakera spina, dan displasia pinggul.[11] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12.3 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[12]

Entropion/Ektropion[sunting | sunting sumber]

Entropion ialah pergulungan kelopak mata ke arah dalam, biasanya kelopak bawah. Ini seterusnya merengsakan kornea mata dan dapat menyebabkan gangguan penglihatan. Ini merupakan gangguan keturunan yang terlihat pada kedua-dua kokerspaniel Inggeris dan kokerspaniel Amerika, King Charles spaniel, springerspaniel Inggeris, serta pelbagai baka bukan spaniel.[13]

Ektropion pula ialah pergulungan kelopak mata ke arah luar, yang secara abnormal mendedahkan mata, lalu menyebabkan kerengsaan. Oleh sebab pendedahan meningkat, anjing berkenaan dapat menghidap konjunktivitis alergi atau bakteria atau keratokonjunktivitis sika yang juga dikenali sebagai sindrom mata kering. Ini paling umum terdapat pada baka dengan ciri muka berlebihan seperti bokser, anjing pemburu darah, seter Gordon, serta kokerspaniel Inggeris dan kokerspaniel Amerika, dan springerspaniel Inggeris.[14]

Rawatan untuk ektropion berbeza-beza bergantung pada keparahan keadaan.[14] Satu-satunya rawatan untuk entropion ialah pembedahan dan mungkin ditangguhkan sehingga anjing berkenaan mencapai usia dewasa kerana semasa masih anak anjing struktur muka haiwan itu masih tumbuh dan berubah. Anjing yang menjalani pembedahan pembetulan untuk kecacatan seperti entropion atau ektropion tidak boleh dipamerkan dalam gelanggang pertunjukan.[13][14]

Pengherniaan cakera spina[sunting | sunting sumber]

Lima orang lelaki dan tiga ekor kuda di pinggir hutan bersama dengan sekumpulan besar anjing
"The Return From Shooting" (1788) oleh Sir Francis Wheatley yang menggambarkan Duke Newcastle, sahabat beliau Kolonel Litchfield dan penjaga mergastua sang Duke, Mansell bersama dengan empat ekor spaniel Clumber

Pengherniaan cakera spina berlaku apabila cakera intervertebra membonjol atau pecah ke dalam kanal vertebra yang menempatkan saraf tunjang. Setelah saraf tunjang dimampatkan, anjing berkenaan mengalami gejala daripada sakit belakang/leher ringan hingga kelumpuhan tungkai, kehilangan deria, dan inkontinens kencing dan tinja. Lokasi paling lazim terlihat ialah kawasan tengah belakang, tetapi ini mungkin berlaku di mana-mana di sepanjang tulang belakang. Kes yang tidak mengakibatkan kelumpuhan dapat dirawat secara perubatan dengan mengurung haiwan berkenaan untuk membatasi pergerakan kepada tahap minimum selama beberapa minggu dan ini dapat disertai oleh ubat-ubatan untuk kesakitan. Pembedahan dapat memulihkan deria pada tungkai anjing ikutan kelumpuhan tetapi kadar kejayaan bergantung pada tahap keparahan pengherniaan.[15]

Displasia pinggul[sunting | sunting sumber]

Displasia pinggul ialah keadaan keturunan yang berlaku dalam kebanyakan baka anjing sehingga takat tertentu. Menurut skor daripada skim The Kennel Club United Kingdom tahun 2001, spaniel Clumber Spaniel mempunyai skor min baka kedua paling teruk. Tambahan pula, tinjauan yang dijalankan oleh Orthopedic Foundation for Animals mendapati bahawa 45.7% daripada spaniel Clumber yang diuji terjejas akibat keadaan ini.[16] Tanda-tanda awal biasanya mula-mula diperhatikan apabila anjing berkenaan berusia antara lima dengan dua belas bulan dan mungkin termasuk lenggok tungkai belakang bergoyang, ketempangan tungkai belakang, pembaziran otot di sekeliling sukuan belakang, keengganan untuk bersenam dan keletihan semasa bersenam, ketidakupayaan untuk menaiki tangga atau melompat ke atas. Anjing berkenaan dapat kelihatan bongkok dengan belakang melengkung dan dalam kes paling parah mungkin menggerenyet dengan kesakitan apabila menggerakkan tungkai belakangnya. Rawatan perubatan dapat berbeza-beza daripada pemberian ubat tahan sakit kepada pembedahan pembetulan bergantung pada keparahan keadaan.[17]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dua ekor anjing mirip spaniel yang dilukis dalam hitam putih. Teks di bawah imej menyuratkan - "Brass" dan "Judy," spaniel Clumber, harta milik G. Vernon, Esq., of Hanbury Hall
Sebuah lukisan dua ekor spaniel Clumber dari 1858
Seekor anjing putih hampir menyeluruh dengan ekor terpotong dan lapis bulu lengkap
Seekor spaniel Clumber dari 1915

Sejarah baka ini tidak pasti sebelum pertengahan abad ke-19. Salah satu teori ialah bahawa ia berasal dari Perancis, dengan pernyataan bahawa Duc de Noailles pada masa Revolusi Perancis memberikan kenel spaniel berharga beliau kepada Duke Newcastle di Clumber Park di Nottinghamshire.[18] Teorinya berbunyi, bahawa spaniel Alp yang kini pupus dibiakbakakan dengan anjing pemburu baset, dan anjing gunung Pyrénées. Teori kedua ialah bahawa ia diturunkan daripada jenis lama Bleinheim spaniel, yang kemudiannya digabungan ke dalam baka King Charles spaniel.[19]

Yang pasti ialah baka ini mendapat namanya sempena Clumber Park[18] dan bahawa penjaga mergastua Duke Newcastle, William Mansell, dikreditkan dengan perkembangan dan penambahbaikannya. Putera Albert, pasangan kepada Ratu Victoria, ialah seorang penggemar dan pempromosi baka ini, begitu juga putera baginda Raja Edward VII, yang membiakbakakannya di estet Sandringham di Norfolk.[5] Baka ini ditunjukkan di England dari tahun 1859 dan selanjutnya.[5] Ia dirujuk dalam diari Ratu Victoria: pada 16 Oktober 1840, baginda menyuratkan, "Berjalan keluar sejurus selepas sarapan sebelum Albert pergi menembak. Dia membawa 7 ekor spaniel Clumber bagusnya bersama-sama dengan kami dan kami pergi ke Lereng, dengan seorang penjaga mergastua tua sangat lucu, Walters, supaya aku dapat melihat cara anjing-anjing itu menemukan buruan. Anjing-anjing itu merupakan anjing baka begitu tersayang."[5]

Sehingga pertengahan abad ke-19, pembiakbakaan spaniel Clumber kebanyakannya terbatas kepada kebangsawanan. Semasa Perang Dunia Pertama, pembiakbakaan dihentikan sepenuhnya sehingga menyebabkan angkanya menurun kepada rekod terendah. Pada tahun 1925, Raja George V mengembakan semula satu susur galur spaniel Clumber di Royal Kennel dan digunakan di padang di Estet Sandringham.[20]

Sh. Ch. Raycroft Socialite, yang dibiakbakakan oleh Rae Furness dan dimiliki oleh Ralph Dunne dari Kaunti Cavan, Ireland, memenangi penghormatan rebutan Best in Show dalam Pertunjukan Keseratus Crufts 1991.[21]

Spaniel Clumber buat masa ini diiktiraf sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club United Kingdom, yang bermaksud ia merupakan baka dengan kurang daripada 300 pendaftaran baharu setiap tahun. Spaniel lain yang diiktiraf sedemikian merupakan spaniel padang, spaniel air Ireland, dan spaniel Sussex.[22]

Spaniel Clumber di Amerika Utara[sunting | sunting sumber]

Walaupun baka ini tidak ditunjukkan secara meluas di Amerika Syarikat sebelum lewat tahun 1960-an, pada tahun 1844, Leftenan Venables, seorang pegawai rejimen British yang ditempatkan di Halifax, Nova Scotia, memperkenalkan spaniel Clumber ke Amerika Utara.[23] Spaniel Clumber pertama yang tersenarai dalam daftar AKC, yang direkodkan pada tarikh tahun 1878, ialah Bustler, seekor anjing jingga dan putih yang dimiliki oleh Benjamin Smith dari Nova Scotia. Spaniel Clumber menjadi salah satu daripada sepuluh baka pertama yang diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1884.[23]

Spaniel Clumber pertama dimasukkan dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club pada tahun 1878.[24] Juara Clussexx Country Sunrise ("Brady"), yang dibiakbakakan oleh Doug Johnson dan dimiliki oleh Richard dan Judith Zaleski dari Florida, menjadi satu-satunya spaniel Clumber yang memenangi Best in Show di sana pada tahun 1996. Samantha, kini pesaing bersara berusia enam tahun menempati tangga ke-1 dalam kategorinya untuk spaniel Clumber dan bertanding dalam Kaston Kennels, rumah bagi Vanitonia Show Kennel yang masyhur di dunia. Ia kini menetap di Lake Forest Il.[25]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: سڤانيئل کلمبر; bahasa Inggeris: Clumber spaniel

Kutipan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Clumber Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). CanaDog.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2009. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  2. ^ a b c d e f Palika, Liz (2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 203. ISBN 978-0-470-00921-5.
  3. ^ Smith, Steve (2002). The Encyclopedia of North American Sporting Dogs: Written by Sportsmen for Sportsmen (dalam bahasa Inggeris). Willow Creek Press. m/s. 136. ISBN 978-1-57223-501-4.
  4. ^ a b "Clumber Spaniel (AKC Sporting Group)". Telemark Productions (dalam bahasa Inggeris). iams.com. 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mei 2009. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  5. ^ a b c d "Clumber Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). Kennel.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mac 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  6. ^ "Clumber Spaniel Dog Breed Profile" (dalam bahasa Inggeris). K9Obedience.co.uk. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  7. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 43
  8. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 45
  9. ^ Alderton, David (2006). Top To Tail (dalam bahasa Inggeris). David & Charles PLC. m/s. 134. ISBN 978-0-7153-2589-6.
  10. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 49
  11. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 50
  12. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  13. ^ a b "What is entropion?" (dalam bahasa Inggeris). Canine Inherited Disorders Database. 11 Mei 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2009. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  14. ^ a b c "What is ectropion?" (dalam bahasa Inggeris). Canine Inherited Disorders Database. 8 November 2003. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  15. ^ Lundgren, Becky. "Intervertebral Disk Disease (Herniations of the Disk)" (dalam bahasa Inggeris). VeterinaryPartner.com. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  16. ^ "Hip Dysplasia Statistics: Hip Dysplasia by Breed" (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Februari 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  17. ^ "Hip Dysplasia" (dalam bahasa Inggeris). Maklumat penjagaan kesihatan Provet. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  18. ^ a b Spiotta-DiMare (1999): hlm. 41
  19. ^ Farrow, James (1912). The Clumber Spaniel (dalam bahasa Inggeris). The Illustrated News Company.
  20. ^ "Clumber Spaniels" (dalam bahasa Inggeris). TerrificPets.com. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  21. ^ Presnall, Ed (Jun 2006). "Clumber Spaniel FAQ" (dalam bahasa Inggeris). Clumber.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Jun 2008. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  22. ^ "An Introduction to the Vulnerable Native Breeds". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Januari 2013. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  23. ^ a b Spiotta-DiMare (1999): hlm. 42
  24. ^ "Breed Records: Sporting Group". Westminster Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2013. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  25. ^ "A History of Clussexx". Clussexx Clumber Spaniel (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Januari 2011. Dicapai pada 9 Mac 2024.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Spiotta-DiMare, Loren (1999). The Sporting Spaniel Handbook (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series. ISBN 978-0-7641-0884-6.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]