Kepercayaan akhirat Mesir Purba

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Adegan daripada Papirus Hunefer ini (s. 1375 SM) menunjukkan jantung Hunefer ditimbang di atas neraca Maat dengan bulu kebenaran, oleh Anubis, dewa berkepala jakal. Dewa Thoth dengan kepala burung sekendi, jurutulis para dewa, mencatat keputusannya. Jika jantungnya lebih ringan daripada bulu itu, Hunefer dibenarkan masuk ke akhirat. Jika tidak, dia dimakan oleh raksasa Ammit. Lukisan seperti ini merupakan ilustrasi biasa dalam kitab orang mati Mesir.[1]

Kepercayaan akhirat Mesir Purba mempunyai pelbagai upacara yang berkaitan dengan budaya mereka. Agama merupakan pengaruh utama kerana ia adat yang menghubungkan semua orang Mesir. Contohnya, banyak dewa Mesir membimbing jiwa si mati di akhirat. Dengan perkembangan teknologi tulisan, idea-idea agama ditulis dan cepat tersebar ke seluruh masyarakat Mesir. Untuk memastikan perjalanan yang selamat, teks-teks dicipta yang memberikan panduan dan penjelasan tentang perkara-perkara yang perlu diketahui oleh si mati. Teks-teks ini mengukuhkan dan memulakan kepercayaan akhirat Mesir.

Agama Mesir mempercayai tiga perkara selepas mati: terdapatnya alam ghaib, kehidupan abadi, dan kelahiran semula jiwa. Alam ghaib, juga dikenali sebagai alam kubur atau Duat, hanya boleh disampai melalui makam orang yang baru meninggal dunia. Apabila seorang jiwa memasuki alam ghaib, mereka akan berdepan dengan sebuah dewan penuh dengan patung-patung dewa, termasuk dewa Horus, yang mempunyai kepala burung falkon. Jalan ke alam ghaib ini mungkin berbeza untuk raja dan rakyat biasa. Selepas masuk, roh akan bertemu seorang dewa penting yang lain, Osiris. Osiris akan menilai kebaikan jiwa orang itu dan, jika layak, akan membenarkan orang itu hidup damai di akhirat. Orang Mesir purba percaya "hidup abadi" itu kelahiran semula selama-lamanya. Oleh itu, jiwa-jiwa yang telah menjalani hidup yang baik akan dibawa berjumpa Osiris untuk dilahirkan semula.[2]

Pelbagai amalan perlu dilakukan semasa hidup untuk mencapai hidup akhirat yang ideal. Ini mungkin termasuk berlaku adil dan mematuhi akidah agama Mesir purba. Di samping itu, orang Mesir menekankan upacara-upacara yang perlu dibuat selepas seseorang meninggal dunia. Maksudnya orang yang masih hidup bertanggungjawab menjalankan upacara-upacara terakhir yang diperlukan supaya si mati dapat mulakan perjalanan ke akhirat. Akan tetapi, akhlak oleh si hidup dan si mati, serta mematuhi adat-adat, perlu dijaga untuk menjaminkan perjalanan si mati adalah lancar di alam ghaib.

Orang Mesir ingin bekerja dan meluangkan masa dengan aktiviti kesukaan mereka di akhirat.[3] Sungai dan alam sekitar dengan tanah yang subur untuk bertani dipercayai wujud di akhirat, dan lukisan objek-objek seperti perahu pada dinding makam dipercayai akan menjadikannya wujud di akhirat untuk orang yang menggunakan objek itu sebelum mati.[3]

Amalan pengebumian[sunting | sunting sumber]

Upacara Pembukaan Mulut dilakukan pada mumia sebelum di depan makamnya. Anubis memegang mumia si mati. Gambar daripada Papirus Hunefer, Kitab Orang Mati Dinasti ke-19 (s. 1300 SM)

SI mati perlu menghadapi banyak halangan sebelum dapat ke peringkat akhir dunia akhirat. Walau bagaimanapun, dengan bantuan orang yang hidup, si mati dibekalkan perlindungan dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk dilahirkan semula di akhirat.

Makam[sunting | sunting sumber]

Reka bentuk dan skala makam perkuburan Mesir berbeza-beza mengikut zaman, walaupun fungsinya tetap sama. Walaupun kebanyakan makam dibina semasa si mati masih hidup, makam Mesir dibina untuk menempatkan mayat si mati tetapi juga berfungsi untuk menghantar jiwa ke alam baka.[4] Kebanyakan benda yang ditemui di dalam makam bergantung pada status orang yang dikebumikan. Walau bagaimanapun, untuk membantu si mati, kebanyakan makam dihias dengan teks yang bertujuan membimbing jiwa yang telah meninggal ke alam baka, sesuatu yang boleh didapati oleh semua orang.[5] Sebuah pintu palsu dipercayai adalah ambang antara dunia orang hidup dan orang mati yang melalui mana dewa atau roh si mati boleh masuk dan keluar.[6] Makam-makam firaun dipenuhkan dengan harta yang banyak. Barangan kubur dan harta biasanya milik peribadi, bekalan untuk melancarkan perjalanan si mati ke akhirat atau persembahan kepada para dewa.

Teks-teks akhirat[sunting | sunting sumber]

Berabad-abad lamanya, orang Mesir menghiasi makam dan keranda mereka dengan mantera dan teks suci yang diharap dapat membantu si mati di akhirat. Dengan berkembangnya budaya Mesir, teks-teks ini juga berkembang dan menjadi lebih kompleks dan terperinci.

Teks Piramid[sunting | sunting sumber]

A
Teks Piramid dalam piramid makam Teti I

Teks Piramid ialah mantera-mantera suci pertama yang pernah diukir pada dinding piramid-piramid diraja Mesir. Bermula dari zaman Kerajaan Lama, teks-teks ini digunakan khas oleh firaun Mesir untuk menghias dinding makam mereka. Walau bagaimanapun, Permaisuri-permaisuri Mesir dan pegawai-pegawai tinggi pun mula meletakkan Teks Piramid di makam mereka. Tujuannya adalah untuk membantu firaun menyelesaikan perjalanannya di akhirat, dengan menyampaikan mendiang raja tentang jalan yang dia patut lalui dan bahaya yang mungkin ada di sepanjang jalan.[7]

Teks keranda[sunting | sunting sumber]

Pada zaman Kerajaan Pertengahan Teks Piramid digantikan dengan Teks Keranda. Ia mantera yang ditulis pada keranda si mati. Teks ini bertujuan untuk melindungi si mati di akhirat dan memberikan mereka dengan sihir pengubah bentuk yang mereka akan perlukan dalam perjalanan. Teks-teks Keranda ini lebih mudah didapati, jadi rakyat biasa Mesir pun berpeluang untuk mencapai hidup di akhirat. Selain itu, koleksi Teks-teks Keranda yang dikenali sebagai Kitab Dua Jalan berfungsi sebagai pedoman terawal ke akhirat.[8]

Kitab Orang Mati[sunting | sunting sumber]

Kitab Orang Mati ialah koleksi mantera daripada Teks Piramid dan Teks Keranda. Pada zaman Kerajaan Baru, Kitab Orang Mati biasanya dicatat pada papirus. Namun, ia juga boleh ditemui di dinding makam, keranda dan pembalut mumia. Seperti Teks Keranda, mantera-mantera dalam Kitab Orang Mati digunakan oleh semua orang. Mantera-mantera ini memberikan nasihat, perlindungan dan pengetahuan kepada si mati semasa melalui alam ghaib.[9]

Kitab Alam Ghaib[sunting | sunting sumber]

Jam ke-11 buku Amduat

Kitab Alam Ghaib mengandungi pelbagai teks yang menerangkan alam ghaib kepada si mati dan berfungsi sebagai panduan untuk perjalanan terakhir mereka. Disebabkan si mati dianggap melakonkan semula kitaran kelahiran semula Ra di akhirat, teks-teks ini berfokus pada separuh kedua perjalanan dewa matahari melalui alam baqa pada waktu malam. Kitab Alam Ghaib lebih awal, yang merangkumi Amduat dan Kitab Gerbang, terbahagi kepada dua belas bahagian, melambangkan dua belas jam yang dewa matahari lalui di alam baqa. Kitab-kitab terkemudian, seperti Kitab Gegua dan Kitab Bumi, lebih teratur dengan seksyen asing untuk menceritakan naratifnya. Kesemua kitab ini juga mengandungi ilustrasi terperinci tentang alam ghaib, dan ia sering diukir pada keranda dan dinding makam.[10]

Kitab-kitab Langit[sunting | sunting sumber]

Kitab-kitab Langit terdiri daripada tiga teks akhirat bertajuk, Kitab Nut, Kitab Siang dan Kitab Malam. Teks-teks ini diukir di siling makam dan menekankan peranan dewi Nut dalam kehidupan akhirat Mesir.[11]

Keranda[sunting | sunting sumber]

Keranda dalam budaya Mesir berasal dari Kerajaan Lama. Semasa era ini, keranda agak ringkas dengan sisi yang sama ukuran dengan perincian kecil. Ia mempunyai tiga bukaan, satu untuk jiwa Ka lalui dan dua yang nampak seperti mata. Lama-kelamaan, keranda mula berubah. Menjelang Kerajaan Baru, keranda bukan sahaja lebih popular malah dijual kepada orang. Keranda kini menggambarkan si mati, dalam rupa, bentuk dan perhiasan.[12] Si mati juga sering digambarkan dengan pakaian putih, melambangkan kesucian jiwa selepas diadili di Dewan Maat.[13] Cara kedudukan mayat juga penting bagi orang Mesir purba. Awalnya, mayat akan diletakkan mengiring dengan kepala mereka diarahkan ke selatan. Kemudiannya mayat terlentang, dan kepala si mati lebih disukai jika dihadapkan ke utara.[14]

Proses pemumiaan[sunting | sunting sumber]

Isis (kiri) dan Nephthys (kanan) sebagai layang-layang di usungan satu mumia, abad ke-13 SM

Orang Mesir purba memumiakan si mati kerana mereka percaya mayat perlu dipelihara agar si mati dilahirkan semula di akhirat.[15] Pada mulanya, mereka sangka seperti Ra, jasad mereka atau Khat, akan bangkit semula selepas mereka menyelesaikan perjalanan mereka melalui alam ghaib.[16] Apabila orang Mesir sedar mayat mereka akhirnya akan mereput, mereka mula menganggapnya bejana untuk roh si mati. Mereka potong-potong mayat dan balutkannya untuk memeliharanya, andai kata roh mereka kembali.[17] Skarab jantung, sejenis azimat berbentuk kumbang, digunakan sebagai perhiasan yang dipakai oleh firaun yang telah mati. Fungsi skarab jantung adalah untuk mendiamkan jantung semasa ia ditimbang di alam kubur bagi memastikan ia tidak berbohong terhadap si mati.[18] Skarab jantung sering diletakkan di atas jantung dan diikat di bawah pembalut mumia. Ini untuk memastikan ia tidak boleh dikeluarkan daripada mumia.[19]

Persembahan pengebumian[sunting | sunting sumber]

Ramai orang Mesir fikir makam ialah rumah si mati, jadi persembahan perlu diletakkan berhampiran mayat si mati.[20] Orang Mesir percaya walaupun sudah mati, roh akan terus hidup kerana nyawa adalah asing daripada jasad. Nyawa dipanggil Ka, dan ia dianggap jiwa yang tidak boleh mati. Ba adalah satu lagi bahagian jiwa yang boleh bergerak-gerak dan tinggal di dalam Ka.[21] Persembahan yang ditinggalkan untuk si mati termasuk pakaian dan perhiasan berharga, tetapi persembahan yang paling penting adalah makanan,[22] kerana walaupun Ka bercerai dari badan, ia masih boleh lapar.[21]

Perjalanan ke akhirat[sunting | sunting sumber]

Af atau Afu (biasanya dikenali sebagai Afu-Ra), bentuk Ra berkepala biri-biri mengembara ke Duat di Sungai Nil alam ghaib (12 jam malam dan alam barzakh) di atas tongkang Mesektet bersama-sama dengan Sia (kiri dan depan tongkang) dan Heka (kanan dan belakang tongkang), dikelilingi oleh dewa ular pelindung, Mehen

Orang Mesir purba mempunyai teori tentang perjalanan ke akhirat, yang mereka berlaku dalam beberapa peringkat. Dalam fasa pertama, mereka percaya ada pengangkutan yang akan bawa jiwa mereka ke hidup abadi. Setiap orang perlu melalui pelbagai laluan tetapi mereka tidak diberi peluang untuk memilihnya; ia bergantung pada status mereka. Perkara yang paling penting dalam menentukan laluan mereka adalah betapa pentingnya dia dalam komuniti. Walaupun orang berbeza, kepercayaan mereka tentang hidup selepas mati datang daripada ideologi agama. Contohnya, orang dulu-dulu menggunakan agama untuk menjelaskan banyak fenomena seharian, sebelum sains bertambah maju. Bayangkan, peredaran matahari belum ada penjelasan jadi mereka mencipta cerita agama untuk menjawab soalan begitu. Kerana peristiwa alam dijelaskan oleh agama, aspek-aspek agama lain pula mula mengikut pola-pola yang wujud dalam hidup dan alam semula jadi. Contohnya, mereka menyangka perjalanan ke alam ghaib, tempat orang-orang mati pergi, bermula pada waktu malam. Apabila terbitnya matahari, hari baharu bukan sahaja tiba tetapi kehidupan baharu juga.[23]

Kapal untuk ke alam ghaib adalah khas untuk mendiang firaun. Orang Mesir percaya dewa matahari Mesir, Ra, pergi ke alam ghaib dengan kapal ketika matahari terbenam. Untuk meniru ekspedisi harian Ra, orang Mesir purba membina kapal model, dalam pelbagai saiz, yang akan dikebumikan dengan firaun. Contohnya, di sebelah Piramid Khufu penyelidik menemui kapal Khufu, sebuah kapal sebesar kapal biasa. Ini bukan sahaja menunjukkan kesetiaan kuat orang Mesir kepada pemimpin mereka tetapi dedikasi mereka untuk memastikan hidup abadi untuk semua. Senang kata, banyak apa yang si mati perlu sampai ke alam baqa bergantung pada yang masih hidup. Untuk memastikan firaun tiba ke destinasi terakhirnya, rakyatnya membina pelbagai jenis perahu untuk keberangkatannya. Ini bermakna masyarakat perlu bersatu dan tolong-menolong, atau idea mereka untuk hidup selama-lamanya dan kepercayaan mereka akan berakhir. Maka, membantu orang lain mencapai keabadian adalah penting dalam budaya Mesir, dibuktikan dengan perahu-perahu hebat yang dikebumikan dengan pemerintah mereka.[24]

Satu lagi cara seseorang boleh masuk ke dalam alam baqa adalah dengan keranda. Raja kadangkala juga menggunakan keranda—atau jika mereka tidak beriman kepada menggunakan kapal untuk ke alam baqa—tetapi rakyat biasa tidak ada pilihan. Jadi, kaedah ini lebih biasa dan membayangkan ada cara lain dan lebih biasa untuk sampai ke sana. Perbezaannya adalah sementara perahu membawa si mati ke dewa matahari Ra, keranda dipercayai akan membawa mereka ke dewi langit Nut. Setiap keranda ada hubungan dengan orang yang di dalamnya. Dalam kata lain, setiap keranda dibuat mengikut pemahaman si mati tentang akhirat, tetapi semuanya bertujuan untuk membantu si mati mencapai keabadian.[24]

Ani dan isterinya menghadap 'tujuh gerbang Rumah Osiris'. Di bawah, mereka menemui sepuluh daripada 21 'lawang misteri Rumah Osiris di Padang Mensiang'. Semua gerbang dijaga oleh dewa-dewi khas.[25]

Perjalanan ke akhirat tidak mudah. Ada pelbagai gerbang, pintu dan tonggak pedaka di Duat,[26] dan si mati mesti melaluinya. Gerbang-gerbang ini ada dewa penjaganya, kadangkala lebih daripada 1,000 dewa menjaganya,[27] menurut teks-teks pengebumian purba. Setiap pintu gerbang dikawal oleh seorang dewa kecil, biasanya yang nampak seperti separa manusia dan separa haiwan dengan pisau yang sangat besar.[27] Dewa-dewa penjaga ini hanya memberikan laluan kepada si mati yang dapat sebut nama rahsia dewa itu, seperti "kata laluan".[27] Disebabkan tu, si mati akan dikebumikan dengan lembaran yang mengandungi nama dewa-dewi ini. Banyak dewa ini diberi nama yang ganas dan menyebutkan kuasa menakutkan mereka. Nama-nama dewa ini boleh jadi menggerunkan seperti "Dia yang menari dalam darah" dan "Dewi Kemarahan", atau tidak berbahaya seperti "Dewi Mazbah".

Bahagian Kitab Orang Mati yang menunjukkan Timbangan Jantung di Duat. Osiris digambarkan bersemayam di dalam kuilnya

Orang Mesir Purba menganggap Wepwawet sebagai sebagai pembuka jalan ke dan melalui Duat, membantu roh orang mati. Walau bagaimanapun, tidak semua yang meninggal dunia berpeluang untuk pergi ke alam baqa. Disebabkan yang masih hidup yang tentukan jika si mati dapat pergi ke akhirat, mereka juga berkuasa untuk menghalang si mati mencapai hidup abadi. Jadi, yang hidup boleh menghalang individu-individu yang tidak layak untuk hidup buat kali kedua. Cara yang paling terkenal termasuk pancung, yang apabila dibuat dipercayai akan membunuh orang itu buat "kali kedua". Kematian kedua dengan pacung dianggap akan menghancurkan peluang untuk hidup semula. Seperti yang dinyatakan dalam teks-teks Mesir, hal ini amat ditakuti tetapi ia kebanyakkannya berlaku kepada pemberontak atau penderhaka kepada raja. [28]

Penghakiman si mati[sunting | sunting sumber]

Timbangan Jantung di Dewan Maat seperti yang digambarkan dalam Papirus Hunefer (Dinasti ke-19, s. 1300SM)

Bagi orang Mesir purba, si mati akan diadili oleh dewa-dewa Mesir dengan menilai kebaikan jiwa si mati. Idea ini berdasarkan kepercayaan Mesir bahawa orang akan hidup abadi. Mengadili jiwa-jiwa ini adalah bahagian terpenting untuk ke akhirat. Oleh itu, banyak lukisan adegan pengadilan ini muncul dalam teks-teks Mesir tentang akhirat. Setiap jiwa dihakimi satu per satu untuk memasuki akhirat. Apabila si mati selesai melalui alam ghaib, mereka tiba di Dewan Maat. Di sini, kesucian mereka akan menentukan jika mereka akan dibenarkan masuk ke Kerajaan Osiris.[29]

Papirus Ani: sebahagian daripada 42 Hakim Maat dapat dilihat, terduduk dan dalam saiz kecil
Ammit "Pembaham Si Mati", dan (di atas) tasik api yang dijaga oleh babun-babun, daripada papirus Nebqed (Dinasti ke-18, kira-kira 1391-1353 SM)

Tugas pertama si mati ialah menyebut nama keempat-empat puluh dua Penilai Maat dengan betul, sambil menyatakan dosa yang mereka tidak buat semasa hidup.[30] Proses ini menunjukkan bahawa si mati tahu setiap nama hakim atau Ren itu, membuktikan mereka suci daripada dosa. Selepas si mati mengesahkan mereka tidak berdosa, si mati diberikan neraca yang digunakan untuk menimbang jantung mereka dengan bulu Maat.[31] Biasanya, Anubis dewa yang menjalankan ujian ini. Jika jantung si mati seimbang dengan bulu Maat, Thoth akan mencatatnya dan mereka akan dipersembahkan kepada Osiris, yang akan membenarkan mereka masuk ke Sekhet-Aaru. Walau bagaimanapun, jika jantung mereka lebih berat daripada bulu itu, ia akan dimakan oleh Dewi Ammit, menghapuskan jiwa si mati selama-lamanya.[32]

Tasik api[sunting | sunting sumber]

Sungai dan tasik berapi di alam ghaib terdapat dalam karya seperti Teks Keranda dan Kitab Orang Mati. Di tepiannya terdapat perapian atau babun yang membakar. Ra akan melalui tasik ini dalam perjalanannya melalui Duat, dan membaharukan kapalnya.[33][34] Bab 126 Kitab Orang Mati menyebut adegan ini dan teks itu ditujukan kepada "empat babun yang duduk di haluan Tongkang Ra."[35] Tasik itu salah satu bahaya di Duat dan ia mempunyai dua sifat. Babun-babun yang menjaga tasik mampu menyegarkan dan melindungi si mati jika mereka tahu doa yang betul, tetapi jika sebaliknya akan memusnahkan si mati. Pada Dinasti ke-21, terdapat manusia-manusia di dalam tasik itu. Mereka mewakili musuh-musuh raja atau para dewa dan mereka akan dihapuskan secara abadi di dalam tasik itu. Dengan cara ini, si mati dapat mengelak daripada menghadapi nasib yang sama dan dapat menentang kuasa kekacauan, sama seperti Ra.[36] Am-heh, yang namanya bermaksud "pembaham berjuta-juta" atau "pemakan keabadian",[37] ialah dewa pemburu alam ghaib yang berkepala anjing dan tinggal di dalam tasik api tersebut.[38]

Kelahiran semula[sunting | sunting sumber]

Ada banyak cara untuk orang Mesir memastikan nasib mereka. Banyak tindakan yang orang Mesir buat selepas kematian adalah untuk mempengaruhi keputusan para dewa dan membenarkan mereka hidup untuk kali kedua.

Selepas diadili, semua makhluk dipercayai akan kembali ke rahim Ibu Dewi. Dalam peringkat ini, jiwa bertemu dengan bekas jasadnya yang dipulihkan. Contohnya, di dalam Kitab Orang Mati terdapat beberapa rangkap yang berbunyi, "Aku menyatukan anggota badanmu, Aku menahankan lelehanmu, Aku mengelilingi dagingmu, Aku menghalau cairan pembusukanmu, Aku menyapu bꜣwmu, Aku mengesat air matamu, Aku menyembuhkan semua anggota badanmu, setiap satu bersatu dengan yang lain; Aku mengelilingimu dengan hasil dewi tenunan, Aku melengkapkanmu dan membentukmu sebagai Ra."[39] Kemudian makhluk terlanjang itu mendekati Dewi dan memasuki rahimnya sebagai anaknya. Kepercayaan ini sangat serupa dengan kelahiran dewa matahari Ra, yang memasuki rahim dewi itu setiap malam, dan dilahirkan semula dengan terbitnya matahari.[40] Hubungan Ra dengan akhirat sangat terkait dengan naratif agama yang menjelaskan terbit dan terbenam matahari.[23]

Akhirnya, keabadian yang diingini oleh orang Mesir purba tercermin dalam hidup abadi. Dengan melakukan kebaikan semasam hidup, mereka akan dapat hidup buat kali kedua selama-lamanya.

Jantina[sunting | sunting sumber]

Menurut pakar Mesir Kathlyn M. Cooney,[41] wanita Mesir purba terpaksa mentakrifkan semula jantina mereka dengan memakai ciri-ciri yang lebih maskulin. Osiris, raja alam baqa, dipercayai berkuasa kerana kejantanannya. Dewa-dewa dikaitkan dengan kebangkitan kerana kelelakian mereka, sedangkan dewi-dewi mempunyai peranan yang lebih berwaspada. Kepercayaan ini berasal daripada idea bahawa dewa pencipta asal adalah lelaki. Patung-patung dan gambaran lain menonjolkan sifat maskulin dewa pencipta mereka, khususnya dengan menunjukkan zakarnya yang tegak. Jadi, untuk meredakan dewa mereka, makam dan keranda wanita mempunyai ciri-ciri maskulin. Ini merangkumi pengubahsuaian seperti penggabungan nama, yang mana wanita menulis "Osiris" sebelum nama mereka sendiri pada keranda mereka. Ini menunjukkan wanita meminta bantuan daripada dewa yang mampu lahir semula, kerana jantina mereka menghalang mereka.[41]

Sekhet-Aaru[sunting | sunting sumber]

Lukisan Aaru di makam Sennedjem di Deir el-Medina.
Gambaran "Padang Mensiang" dalam Papirus Ani, kini berada di Muzium British.

Sekhet-Aaru, "Padang Mensiang", adalah destinasi terakhir untuk semua jiwa yang dibenarkan lahir semula. Konsep ini berkembang pada Dinasti Kelima.[42] Sekhet-Aaru dipercayai sebagai syurga dan nampak seperti ini: sebuah kawasan yang hijau dan subur, dipenuhi dengan air terjun dan keajaiban semula jadi yang lain.[43] Seni Mesir, seperti Papirus Nebseni, menggambarkan tempat ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian dibayangkan sebagai pulau, dan kapal atau perahu adalah perlu untuk menerokainya.[44]

Orang yang diberikan pergi ke Padang Mensiang adalah para dewa dan jiwa yang soleh. Kesuburan tanahnya sangat penting kerana di situ letaknya dua ganjaran hidup abadi: akses ke Sungai Nil, dan kebolehan menanam makanan. Disebabkan ini, si mati boleh makan dan minum juadah yang sama dimakan oleh para dewa. Kepercayaan ini mengukuhkan idea bahawa dengan menjadi abadi, manusia juga dapat mendekati sifat dewa. Ganjaran khas ketiga tinggal di Sekhet-Aaru ialah kebolehan berkomunikasi. Si mati dapat menyampaikan fikiran dengan satu sama lain, para dewa, dan orang-orang yang telah meninggal sebelum ini.[42]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Egyptian Book of the Dead". Egyptartsite.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-09-26. Dicapai pada 2012-08-18.
  2. ^ Mojsov, Bojana (2001). "The Ancient Egyptian Underworld in the Tomb of Sety I: Sacred Books of Eternal Life". The Massachusetts Review. 42 (4): 489–506. JSTOR 25091798.
  3. ^ a b Williams, Ann R., penyunting (2022). Treasures of Egypt: A Legacy In Photographs from the Pyramids to Cleopatra. Foreword by Fredrik Hiebert. Washington, D.C: National Geographic. m/s. 109. ISBN 978-1-4262-2263-4.
  4. ^ Morenz, Siegfried (1960). Egyptian Religion. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 194–201.
  5. ^ Amenta, Alessia (2002). "The Egyptian Tomb as a House of Life for the Afterlife". Egyptological Essays on State and Society: 18–26.
  6. ^ Bard, KA (1999). Encyclopedia of the Archaeology of Ancient Egypt. NY, NY: Routledge.
  7. ^ Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 1–6.
  8. ^ Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 7–11.
  9. ^ Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 13–22.
  10. ^ Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 26–111.
  11. ^ Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 112–135.
  12. ^ "Artifacts: Mummy Cases, Coffins, and Sarcophagi, Mummification, Online Exhibits, Exhibits, Spurlock Museum, U of I". www.spurlock.illinois.edu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-30.
  13. ^ Cooney, Kathlyn M. (2010). "GENDER TRANSFORMATION IN DEATH: A Case Study of Coffins from Ramesside Period Egypt". Near Eastern Archaeology. 73 (4): 230. doi:10.1086/NEA41103940. JSTOR 41103940.
  14. ^ Raven, Maarten J. (2005). "Egyptian Concepts on the Orientation of the Human Body". The Journal of Egyptian Archaeology. 91: 37–53. doi:10.1177/030751330509100103. JSTOR 3822392.
  15. ^ Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 188–189.
  16. ^ Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 194.
  17. ^ Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 188–200.
  18. ^ Andrews, Carol (2007). "Amulets" In The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt. Oxford University Press.
  19. ^ Liszka, Kate (2015). "Scarab Amulets in the Egyptian Collection of the Princeton University Art Museum". Record of the Art Museum, Princeton University. 74: 4–19. ISSN 0032-843X. JSTOR 26388759.
  20. ^ Morenz, Siegfried (1960). Egyptian Religion. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 202.
  21. ^ a b Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 190.
  22. ^ Morenz, Siegfried (1960). Egyptian Religion. Ithaca, New York: Cornell University Press. m/s. 201.
  23. ^ a b Janák, Jiří (2003). "Journey to the Resurrection. Chapter 105 of the Book of the Dead in the New Kingdom". Studien zur Altägyptischen Kultur. 31: 193–210. JSTOR 25152890. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Janák 2003" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  24. ^ a b Taylor, John H. (2001–2004). Death and the Afterlife in Ancient Egypt (dalam bahasa Inggeris). University of Chicago Press. ISBN 9780226791647. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Taylor 2004" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  25. ^ Taylor 2010, p.143
  26. ^ "Minor Netherworld Deities of Ancient Egypt". www.touregypt.net (dalam bahasa Rusia). Dicapai pada 2018-04-23.
  27. ^ a b c Wilkinson 2003, pp. 81–2.
  28. ^ Picardo, Nicholas S. (2007). ""Semantic Homicide" and the So-called Reserve Heads: The Theme of Decapitation in Egyptian Funerary Religion and Some Implications for the Old Kingdom". Journal of the American Research Center in Egypt. 43: 221–252. JSTOR 27801614.
  29. ^ Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 136, 152.
  30. ^ Coogan, Michael D. (2013). A Reader of Ancient Near Eastern Texts: Sources for the Study of the Old Testament,"Negative Confessions". New York: Oxford University Press. m/s. 149–150.
  31. ^ Budge, Wallis. Egyptian Religion: Egyptian Ideas of the Future Life. New York: Bell Publishing Company. m/s. 161–162.
  32. ^ Coogan, Michael D. (2013). A Reader of Ancient Near Eastern Texts: Sources for the Study of the Old Testament,"The Weighting of the Heart". New York: Oxford University Press. m/s. 150–154.
  33. ^ Wilkinson, Richard H. (1992). Reading Egyptian Art : a hieroglyphic guide to ancient Egyptian painting and sculpture (ed. 1998). London: Thames and Hudson. m/s. 161. ISBN 0-500-27751-6. Dicapai pada 1 October 2022.
  34. ^ Faulkner, Raymond O.; Goelet, Ogden Jr.; Andrews, Carol A. R. (1994). Dassow, Eva von (penyunting). The Egyptian Book of the Dead : the Book of Going Forth by Day. San Francisco: Chronicle Books. m/s. 168. ISBN 978-0-8118-0767-8. Dicapai pada 1 October 2022.
  35. ^ Faulkner, R. O. (1985). Andrews, Carol (penyunting). The Ancient Egyptian Book of the Dead (ed. 1993). London: British Museum Press. m/s. 115. ISBN 0-7141-0946-0.
  36. ^ Boyschou, Melissa (2011). Destruction by Fire: Interpreting the Lake of Fire Vignette from Two Twenty-First Dynasty Funerary Papyri (Tesis). University of Memphis.
  37. ^ Budge, E. A. Wallis (1911). A Hieroglyphic Vocabulary to the Theban Recension of the Book of the Dead. AMS Press. ISBN 9780404113353.
  38. ^ "gizmodo.com". Gizmodo. 17 February 2015. Dicapai pada 2016-10-11.
  39. ^ Hays, Christopher B. (2012). ""My Beloved Son, Come and Rest in Me": Job's Return to His Mother's Womb (Job 1:21a) in Light of Egyptian Mythology". Vetus Testamentum. 62 (4): 607–621. doi:10.1163/15685330-12341088. JSTOR 23496681.
  40. ^ Budge, Sir Ernest Alfred Wallis (1901). The Book of the Dead: An English Translation of the Chapters, Hymns, Etc., of the Theban Recension, with Introduction, Notes, Etc (dalam bahasa Inggeris). Open Court Pub. mother.
  41. ^ a b Cooney, Kathlyn (Kara). "Gender Transformation in Death: A Case Study of Coffins from Ramesside Period Egypt".
  42. ^ a b Budge, E. A. Wallis (2013-02-20). Egyptian Ideas of the Afterlife (dalam bahasa Inggeris). Courier Corporation. ISBN 9780486158679.
  43. ^ Bonacker, Wilhelm (1950). "The Egyptian "Book of the Two Ways"". Imago Mundi. 7: 5–17. doi:10.1080/03085695008591952. JSTOR 1149949.
  44. ^ Budge, E. A. Wallis (1908). Eyptian Ideas Of The Future Life (dalam bahasa Inggeris).