Geografi Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Templat:Geografi Negara

Iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak berhampiran khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung, meskipun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

Fakta[sunting | sunting sumber]

Malaysia terletak di Hemisfera Utara, iaitu bahagian utara dari Garisan Khatulistiwa. Ia terdiri daripada 2 kawasan utama yang dipisahkan oleh Laut China Selatan (531.1 kilometer persegi). Kedua-dua kawasan berbentuk muka bumi yang hampir sama, iaitu pinggir laut yang landai, hutan tebal dan bukit bukau. Iklimnya ialah khatulistiwa tetapi bagi sesetengah tempat di Malaysia, terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan utara Sabah mengalami iklim monsun tropika.

Semenanjung Malaysia, meliputi seluas 131,598km² bersempadan dengan Negara Thai di utara dan Singapura di selatan manakala Sabah yang seluas 73,711km² dan Sarawak yang seluas 124,449km² bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Malaysia terbahagi kepada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Negeri yang terbesar merupakan Sarawak ,melebihi 124,000km². Pahang yang mempunyai keluasan 35,965 km² merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia manakala Perlis yang seluas 795 kilometer persegi adalah negeri yang terkecil.

Negeri Sabah dan Sarawak terletak di pulau Borneo. Negeri Sabah terdiri daripada lima bahagian, iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat, dan Pedalaman. Wilayah Persekutuan Labuan, dengan keluasan 91km² adalah terletak di persisiran pantai barat Sabah. Sarawak terdiri daripada Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Kapit, Bintulu dan Kota Samarahan.

Malaysia berhampiran dengan khatulistiwa antara garisan lintang 1 dan 7 Utara dan garisan bujur 100 dan 119 Timur dan tertakluk kepada pengaruh laut dan perubahan sistem angin yang bertiup dari Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Lazimnya iklim di sini terbahagi kepada musim monsun barat daya dan monsun timur laut. Purata suhu di hampir keseluruhan Malaysia ialah antara 21 C hingga 32 C. Kelembapannya dikatakan agak tinggi.

Putrajaya ialah pusat pemerintahan yang baru kerajaan persekutuan yang dibina untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. Pejabat Perdana Menteri telah berpindah ke Putrajaya pada 1999 dan kesemua pejabat kerajaan pusat dijangka di Putrajaya pada 2005. Hanya beberapa pejabat kerajaan akan dikekalkan di Kuala Lumpur, selain Parlimen. Bandar raya lain termasuk Ipoh, George Town, Johor Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu.

Angin[sunting | sunting sumber]

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek.

Monsun barat daya biasanya bermula pada setengah terakhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir September. Angin lazim pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah, iaitu di bawah 15 knot.

Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia serta bahagian utara dan pantai timur laut Sabah lebih terjejas dengan tiupan angin yang boleh mencapai 30 knot kelajuannya, atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari Siberia (luruan angin musim sejuk).

Semasa musim-musim peralihan monsun, angin pada amnya berkelajuan lemah dan arahnya berubah-ubah. Pada kedua-dua musim ini, palung khatulistiwa merentangi Malaysia.

Dalam tempoh dari April hingga November semasa taufan kerap kali terbentuk di barat Pasifik dan bergerak ke arah barat merentasi Filipina, angin barat daya di kawasan barat laut pantai Sabah dan kawasan Sarawak menjadi lebih kuat dan boleh mencapai 20 knot atau lebih.

Sebagai negara yang dikelilingi oleh laut, kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah besar, terutamanya semasa hari tidak berawan. Pada keadaan petang yang terang cahaya matahari, bayu laut dengan kelajuan antara 10 dan 15 knot selalunya terjadi dan bayu ini boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pedalaman. Dalam keadaan malam langit terang, proses sebaliknya berlaku di mana bayu darat yang lebih lemah kelajuannya boleh terjadi di kawasan pantai.

Taburan hujan[sunting | sunting sumber]

Corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi tempatan menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pedalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini. Adalah lebih baik taburan hujan di Malaysia diterangkan mengikut musim.

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia[sunting | sunting sumber]

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama:

(a) Bagi negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November hingga Januari merupakan bulan-bulan yang mempunyai curahan hujan yang maksimum, manakala Jun dan Julai mempunyai curahan hujan yang minimum.

(b) Corak hujan di kawasan selain kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia menunjukkan dua tempoh hujan maksimum yang dipisahkan oleh dua tempoh hujan minimum. Maksimum utama biasanya berlaku pada bulan Oktober hingga November, manakala maksimum sekunder berlaku pada bulan April hingga Mei. Di kawasan barat laut, minimum utama berlaku pada bulan Januari hingga Februari, manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Jun hingga Julai. Di lain-lain tempat, minimum primer berlaku pada bulan Jun hingga Julai, manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Februari.

(c) Corak hujan di kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia lebih dicorakkan oleh kejadian 'Sumatera' pagi pada bulan Mei hingga Ogos dan corak maksima serta minima berganda tidak wujud. Oktober dan November adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum, manakala Februari adalah bulan yang mempunyai hujan minimum. Maksimum pada bulan Mac hingga Mei dan minimum pada bulan Jun hingga Julai tidak wujud atau kurang jelas.

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak[sunting | sunting sumber]

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama:

(a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua-dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama, iaitu Januari, manakala bulan untuk hujan minimum berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai, manakala di kawasan timur laut pantai Sabah, hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah aturan ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut, iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih separuh daripada hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak.

(b) Kawasan pedalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walaupun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos, sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Long Akah menerima hujan tahunan purata yang melebihi 5,000 milimeter.

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum utama berlaku pada bulan Oktober dan maksimum sekunder berlaku pada bulan Jun. Minimum utama berlaku pada bulan Februari manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Ogos. Walaupun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada kedua-dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum utama adalah jelas lebih rendah berbanding sekunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda.

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan-kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos, manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober.

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan yang sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-bulan lain.

Taburan suhu[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah negara yang terletak berhampiran dengan Garisan Khatulistiwa, Malaysia mengalami suhu yang hampir seragam sepanjang tahun. Perbezaan tahunan suhunya adalah kurang daripada 2°C kecuali bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia serta bahagian utara dan timur laut Sabah yang kerap dipengaruhi oleh luruan angin musim sejuk dari Siberia semasa monsun timur laut yang berlaku pada musim sejuk Hemisfera Utara. Walau bagaimanapun, perubahan suhu tahunannya kurang daripada 3°C.

Julat suhu harian adalah besar, antara 5°C hingga 10°C bagi stesen-stesen berhampiran pantai dan antara 8°C hingga 12°C bagi stesen-stesen di pedalaman, tetapi suhu harian yang tinggi seperti yang terdapat di kawasan benua tropika tidak pernah dialami. Walaupun siang selalunya panas, waktu malam sejuk di mana-mana kecuali semasa monsun barat daya, yang mana pada waktu malam boleh dikatakan agak hangat.

Walaupun perubahan bermusim dan bertempat suhu secara perbandingan adalah kecil, dalam beberapa hal ia dapat ditentukan. Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat perubahan suhu yang jelas semasa monsun timur laut dan ini terdapat di kawasan pantai timur, manakala di Sabah, bahagian utara dan timur lautnya juga menunjukkan perubahan suhu yang jelas. Bagi negeri Sarawak, tiada perubahan suhu yang jelas dapat ditentukan. Suhu purata bulanan adalah paling tinggi pada bulan April dan Mei, sementara suhu purata bulanannya paling rendah pada Disember dan Januari.

Purata suhu harian di kebanyakan daerah di timur Banjaran Besar adalah rendah berbanding dengan daerah di barat. Perubahan-perubahan nilai ini adalah disebabkan suhu harian yang rendah yang dialami di kawasan daerah timur semasa monsun timur laut, hasil daripada hujan dan litupan awan yang luas. Sebagai contoh, di daerah Kuala Terengganu semasa monsun timur laut, suhu pada waktu siang jarang mencapai 32°C dan kerap kali tidak mencapai 27°C sekiranya hujan lebat melanda, manakala di Sandakan, Sabah, semasa monsun timur laut, iaitu musim hujan bagi daerah ini, suhu maksimum bagi setiap hari dalam bulan Disember hingga Februari, jarang mencapai lebih daripada 31°C walaupun tanpa hujan serta suhu minimum dalam bulan-bulan ini kadang-kadang boleh turun sehingga di antara 23°C dan 24°C. Beberapa keadaan yang telah dicatatkan menunjukkan bahawa suhu tidak melebihi 24°C, iaitu suhu terendah yang dicapai pada waktu malam di kebanyakan tempat. Purata suhu pada waktu malam biasanya antara 21°C hingga 24°C. Tetapi nilai suhu di hampir semua stesen boleh menurun jauh lebih rendah daripada suhu tersebut. Malam yang sejuk biasanya diikuti dengan siang yang panas.

Kelembapan bandingan[sunting | sunting sumber]

Seperti yang diperkatakan, Malaysia menpunyai kelembapan yang tinggi. Purata kelembapan bandingan bulanannya adalah diantara 10% hingga 90%, dan berubah mengikut tempat dan bulan. Bagi sesuatu kawasan yang khusus, julat purata kelembapan bandingannya berubah dari minimum 3% (Bintulu) ke maksimum lebih kurang 5% (Alor Star). Di Semenanjung Malaysia, julat minimum terdapat di Sitiawan di mana purata kelembapan bandingan berubah-ubah dari nilai serendah 80% dalam bulan Februari ke setinggi hanya 88% dalam bulan Februari. Julat maksimum pula terdapat di kawasan barat laut Semenanjung (Alor Star) di mana purata kelembapan bandingan berubah-ubah dari 72% hingga 87% pada bulan Februari.

Adalah diperhatikan bahawa di Semenanjung Malaysia, kelembapan bandingan minimum biasanya terdapat pada bulan Januari dan Februari, kecuali bagi negeri-negeri pantai timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, di mana kelembapan bandingan minimumnya adalah pada bulan Mac. Kelembapan bandingan maksimum pula lazimnya adalah pada bulan November.

Seperti dalam kes suhu, perubahan harian kelembapan bandingan adalah lebih besar berbanding dengan perubahan tahunan. Purata minimum hariannya boleh mencapai serendah 42% semasa bulan-bulan kering dan menghampiri setinggi 70% semasa bulan-bulan lembab. Bagaimanapun, purata harian maksimumnya pula tidak banyak berubah dari satu tempat ke satu tempat, iaitu melebihi 94% dan mungkin mencapai setinggi 100%. Negeri-negeri di barat laut, iaitu Kedah dan Perlis serta utara Sabah mempunyai perubahan kelembapan bandingan harian terbesar.

Cahaya dan sinaran matahari[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semula jadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun, adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung kecuali tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam cahaya matahari sehari.

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan jumlah cahaya matahari yang diterima mengikut musim dan tempat. Secara purata, Alor Star dan Kota Bharu menerima lebih kurang 7 jam cahaya matahari sehari, sementara Kuching hanya menerima 3.7 jam sehari secara purata dalam bulan Januari. Selain itu, Alor Star menerima nilai maksima sebanyak 8.7 jam sehari secara purata pada bulan yang sama.

Sinaran matahari adalah berkaitan rapat dengan tempoh cahaya matahari. Perubahan bermusim dan bertempatnya adalah lebih kurang sama dengan cahaya matahari.

Sejatan[sunting | sunting sumber]

Antara semua faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhu merupakan dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermakna kurangnya cahaya matahari dan seterusnya, kekurangan sinaran matahari akan menyebabkan suhu yang rendah. Ujian daripada data-data sejatan menunjukkan bahawa bulan-bulan berawan atau berhujan mempunyai kadar sejatan yang rendah, sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai, salah sebuah stesen yang letaknya di tanah rendah, mempunyai sejatan purata yang terendah dalam sehari, iaitu 2.6 mm pada bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai sejatan purata yang tertinggi, iaitu 6.0 mm sehari, dalam bulan April.

Bagi kawasan-kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, suhu udara serta kadar sejatannya adalah rendah, sementara kawasan-kawasan tanah rendah mempunyai sejatan purata tahunan sebanyak 4 mm hingga 5 mm sehari. Selain itu, Cameron Highlands hanya mempunyai kadar sejatan sebanyak lebih kurang 2.5 mm sehari.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]