Rosli Khamis
Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq (1958 - 30 Januari 2008) merupakan seorang penulis lirik yang terkenal. Beliau sering bergandingan dengan M. Nasir dalam membuat lagu baru. Selain menggunakan nama Loloq beliau juga sering menggunakan nama Nurbisa untuk lirik ciptaanya. Beliau yang berasal dari Singapura turut berlakon dalam beberapa buah filem seperti "Man Laksa" dan drama.
Bapanya, Rosli Dayut berasal dari Masjid Tanah, Melaka adalah bekas polis Tanah Melayu. Ibunya, Maimunah adalah Cina mualaf. Hasil perkahwinannya dengan Hariyah Yaacob, Loloq dikurniakan tiga anak iaitu Krsty Nur, Jaevn Nur dan Yasha Nur.
Kerjaya seni [sunting]
Loloq mula aktif dalam bidang penciptaan lagu bermula tahun 1987. Beliau mula menumpahkan idea menulis lirik pada usia 27 tahun, Loloq pada kehidupan silamnya merupakan seorang lelaki yang menjalani kehidupan tanpa arah tuju. Dari Singapura, dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun. Beliau pernah terlibat dengan najis dadah selama enam tahun, mengikut ajaran Tasauf dan menjadi kutu rayau, dperjalanannya menemui paksi apabila bertemu M. Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit sekitar tahun 1980-an.[1]
Pada waktu itu, beliau yang merupakan seorang penganggur dengan beraninya memujuk M.Nasir dan Amy menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan ke dalam album mereka.
Sejak tahun 1990, Allahyarham menjadi penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas milik M. Nasir dan telah menghasilkan sehingga 500 buah lirik lagu. Antara lirik lagu beliau yang pernah popular ialah Di Ambang Wati ( Wings ), Nur Nilam Sari ( Awie & Search ), Laila Namamu Teratas( Search ), Gemuruh ( Search & Wings ), Mantera Semerah Padi ( M . Nasir ), Kita Peng - Yu ( XPDC ) Ratu Sanubari ( Saleem ) Aladdin 'Gosok' (Spider) dan banyak lagi. Beliau pernah mendapat Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik 2007 di tanah kelahirannya atas sumbangan beliau yang berjasa dalam industri seni.
Selain hebat menulis seni kata lagu, Loloq juga dilihat hebat dalam bakat lakonannya. Antara filem yang pernah dibintanginya seperti Sara Embun, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa dan pernah membintangi sebuah telemovie "Orang Kasar" turut berlakon bersama Eman Manan. Beliau juga pernah beraksi di pentas teater suatu masa dulu dalam persembahan teater Bukit Kepong arahan Othman Ghani dan drama sitcom Awie Record.
Semasa hayatnya beliau pernah dikurniakan beberapa anugerah seperti penulis lirik terunggul dan menerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11 menerusi lagu Dewa Dewi nyanyian kumpulan Spider menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul lima tahun berturut-turut.[perlu rujukan]
Selain itu, Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakkan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Beliau juga turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalnya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M Nasir. Bagaimanapun, filem itu tidak dapat disiapkan sehingga sekarang. Lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Loloq berjudul "Angkasawan" yang dinyanyikan oleh kumpulan Butterfly.[2]
Kehilangan [sunting]
Beliau telah meninggal dunia setelah empat hari terlantar di Hospital Pakar Damansara pada 30 Januari 2008 pukul 1.30 tengah hari akibat pendarahan otak. Penulis lirik ini telah menjalani pembedahan di kepala pada 29 Januari 2008 setelah menghidap pendarahan serius di kepala. Akibat terlalu banyak kandungan karbon dioksida di dalam paru-paru, kesannya melibatkan keseluruhan sistem dalaman badannya. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Hariyah Yaacob dan tiga sahabat lain.[3]
Jenazah Allahyarham Loloq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh selepas solat Asar.[4]
Rujukan [sunting]
- ↑ Tengku Suzana Raja Hamat dan Maliah Surip Perginya seorang genius seni Kosmo!, 2008-02-01
- ↑ Tengku Suzana Raja Hamat dan Maliah Surip Loloq tidak mahu dilihat lemah Kosmo!, 2008-02-01
- ↑ Saharudin Mustafa "Loloq meninggal dunia" Utusan Malaysia, 2008-01-30.
- ↑ "Loloq minta rahsiakan penyakit – Isteri" Utusan Malaysia, 2008-01-31.