Misha Omar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Misha Omar
Latar belakang
Nama lahir Samiha @ Aisah Binti Omar
Kelahiran 6 Januari 1982 (32 tahun)
Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Genre Pop, Ballad
Pekerjaan Penyanyi
Penggubah
Penerbit rakaman
Penulis lirik
Pelakon
Model iklan
Pengacara
Tahun aktif 2002 – sekarang
Label Sony BMG Malaysia

Samihah Binti Omar atau nama komersialnya Misha Omar (dilahirkan pada 6 Januari 1982 di Kota Bharu, Kelantan) adalah seorang penyanyi pop wanita Malaysia berbangsa Melayu yang sehingga kini telah memenangi 5 trofi Anugerah Juara Lagu, 4 Anugerah Industri Muzik, 3 Anugerah Era & sebuah trofi Festival Filem Malaysia & Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Beliau berasal dari Machang, Kelantan dan mula menceburi bidang seni suara sejak berusia 19 tahun setelah menyertai pertandingan Bintang RTM 2001. Populariti beliau memuncak setelah meraih kejayaan menerusi lagu Bunga-bunga Cinta, dan terus bertahan popular hingga setanding dengan populariti penyanyi wanita lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Jaclyn Victor sekaligus menjadi antara penyanyi wanita paling berpengaruh dan terlaris di era 2000an.

Beliau juga antara segelintir artis yang berjaya menempa nama di peringkat Asia terutama setelah memenangi anugerah emas di Anugerah Muzik Asia di Shanghai pada 2003. Misha pernah dua kali dicalonkan di MTV Asia Awards serta terpilih membuat persembahan di MTV World Stage pada 2009. Beliau juga adalah antara artis Malaysia pertama yang mempunyai akaun VEVO di laman Youtube serta lagu-lagunya juga antara lagu Malaysia yang terawal terjual di laman i-Tunes.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Pembabitan awal (2001-2002)[sunting | sunting sumber]

Misha, anak keempat dari tujuh beradik kepada seorang pesara kerajaan; minat menyanyi sejak kecil dan sering menyanyi karaoke bersama keluarganya di Kota Bharu, Kelantan. Peminat setia penyanyi Liza Hanim ini seringkali menyanyi lagu Liza di dalam bilik mandi hingga suatu hari Misha dicabar memasuki pertandingan nyanyian. [1] Bakat Misha mula dikesan apabila beliau menyertai Bintang RTM 2001 yang mana, pertandingan ini adalah yang pertama kali dan satu-satunya pertandingan nyanyian amatur yang disertainya sebelum bergelar artis. Menerusi pertandingan nyanyian yang disiarkan setiap minggu di saluran TV1 itu, Misha berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang finalis pada peringkat akhir pertandingan tersebut.

Ketika mara ke peringkat akhir, Misha mendendangkan lagu nyanyian asal Salamiah Hassan berjudul Menghitung Hari dan Antara Yang Manis (Anita Sarawak). Pertandingan peringkat akhir itu turut disertai penyanyi-penyanyi seangkatan Misha yang menempa nama menerusi penglibatan dalam pertandingan ini seperti Sarah Raisuddin, Farawahida, dan Amir Mahiyidin (vokalis kumpulan Sofazr). Juara pertandingan tersebut; Azharina Azhar dan naib juara disandang oleh Asmidar. Kesemua mereka meraih perhatian dunia seni suara dalam tempoh sepuluh tahun selepas pertandingan. Meskipun tidak bergelar juara, namun bakat Misha contohnya disedari oleh komposer terkenal Adnan Abu Hassan. Adnan menawarkan kontrak rakaman di bawah payung BMG Music (M) Sdn Bhd pada awal 2002. Suara Misha pertama kali dirakamankan untuk album kompilasi khas Pasti Hits Adnan vs Azlan yang dipasarkan pada Julai 2002 menerusi lagu hits Bunga-bunga Cinta. Mendengar vokalnya yang lunak tapi mantap, memberi harapan bahawa Misha mampu menjadi penyanyi terkenal, sekali gus bakal mengulangi kejayaan anak didik Adnan seperti Fauziah Latiff, Siti, Dayang dan Liza.

Fenomena Bunga-Bunga Cinta (2003)[sunting | sunting sumber]

Misha merupakan penuntut tahun 2 jurusan Pengurusan di Universiti Tun Abdul Razak ketika suaranya pertama kali berkumandang di radio tanahair. Ketika lagu Bunga-bunga Cinta meledak di corong-corong radio, Adnan & adiknya Azlan Abu Hassan bekerjasama menyiapkan album sulung Misha yang dinanti-nantikan banyak pihak. Adnan turut mengundang komposer terkenal Indonesia, Tohpati untuk sama-sama merakamkan suara Misha. Ketika dalam proses rakaman Misha menunjukkan kebolehannya sebagai penulis lirik melalui lagu ciptaan Adnan bertajuk Kau Yang Amat Ku Sayang dan Lilitan Asmara. Lirik itu penuh bermakna kerana dihasilkan secara spontan dan dalam waktu yang singkat ketika berada dalam studio rakaman. Belum berkesempatan mencipta nama, namun bakat Misha dalam arena seni suara mula menjadi perhatian komposer dan penyanyi jazz luar negara, Jim Brickman, yang sanggup memberikan lagu untuk dirakamkan semula oleh Misha selepas dia mendengar demo tape yang dihantar pihak BMG Music tidak lama sebelum itu.

Album sulung beliau berjudul Misha juga berada di pasaran pada 28 Oktober 2002 dan ternyata mendapat sambutan hangat. Single kedua berjudul Lilitan Asmara juga mendaki carta radio dengan pantas diikuti single ketiga pada Januari 2003 berjudul Halaman Cinta. Album Misha terjual sebanyak 10,000 unit pada 2 bulan pertama dipasaran.Pada 30 Oktober 2002, Misha terpilih untuk menjadi artis pembukaan konsert kumpulan pop terkenal United Kingdom, Westlife. Konsert sempena acara perlawanan bola sepak antara Westlife dengan artis rock tanah air untuk Westlife Showcase & Soccer Extravaganza Live in Concert 2002. Misha menyampaikan lagu Bunga-bunga Cinta dan Destiny di hadapan lebih 30,000 penonton namun mendapat sorakan boo daripada penonton yang rata-rata tidak mesra lagu-lagu Melayu. Misha ternyata malu namun terus menggagahkan diri untuk menghabiskan nyanyian. Biarpun disorak sebegitu rupa, dek kerana nyanyian live beliau yang baik, Misha mula menjadi perhatian media-media urban contohnya New Straits Times menamakan Misha sebagai "The Next Big Thing".

Pada 12 Januari 2003, Misha telah membuat persembahan di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-17 (2002). Pada 25 Januari pula, Misha diberi peluang untuk membuat persembahan penutup bersama penyanyi seangkatan lain seperti Siti Sarah & Elyana dalam majlis Anugerah Media Hiburan. Misha juga menjengah pasaran Singapura apabila diberi peluang membuat persembahan di Anugerah Pesta Perdana, anjuran saluran Suria.Pada bulan Mac 2003 juga, impian sekian lama Misha tertunai apabila dipanggil menjadi artis jemputan dalam rancangan Hiburan Minggu Ini bersama Liza Hanim. Liza Hanim ternyata senang dengan kehadiran Misha, tambahan Misha merupakan salah seorang peminat setianya.

Ketika ini nama Misha sering dibandingkan dengan Siti Sarah sementelah Sarah ternyata lebih popular daripada beliau. Persaingan sihat diantara Misha & Sarah diteruskan dalam penganugerahan Anugerah Planet Muzik apabila kedua-duanya dicalonkan untuk kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Pun begitu, tuah menyebelahi Sarah. Walaubagaimanapun, kemunculan Misha di atas pentas anugerah berprestij itu mengalunkan lagu Bunga-bunga Cinta ternyata menarik perhatian penggiat seni Indonesia terutamanya komposer Anang dan isterinya, Krisdayanti. Misha sekali lagi tewas kepada Sarah apabila dicalonkan untuk kategori Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 10. Selain itu, Misha juga tercalon untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) dan juga Lagu Terbaik untuk lagu Bunga-bunga Cinta ciptaan Adnan.

Pada Julai 2003, Misha muncul dengan album repacked Misha dengan mempertaruhkan single keempat Terpana dan kemudian popular dengan single kelima Semoga Abadi ciptaan Imaniar Noorsaid. Dalam pada itu bakat lakonan Misha pertama kali dipersembahkan menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu apabila beliau muncul sebagai artis undangan dalam episod Dilema pada 8 Ogos 2003. Biarpun hanya untuk suka-suka tetapi Misha memperoleh banyak tunjuk ajar daripada pemain sitkom tersebut yang begitu berpengalaman apatah lagi ia dirakam secara langsung dari studio. Misha mula menyinar apabila memenangi anugerah Artis Baru Pilihan di Anugerah Era 2003 menewaskan saingan seperti Sarah, Ezlynn dan Waheeda. Pada bulan Oktober 2003, Misha dipertandingkan di Festival Muzik Asia Shanghai yang mengiktiraf nyanyian artis baru seluruh Asia. Tuah berpihak kepada beliau apabila meraih anugerah Piala Emas dan juga Persembahan Vokal Terbaik menerusi dua buah lagu iaitu Bunga-bunga Cinta dan Lilitan Asmara. Misha berjaya menewaskan nama-nama popular seperti The Honeys (China).

Berturut daripada kejayaan itu, Misha disenaraikan ke Anugerah Juara Lagu ke 18 juga menerusi lagu Bunga-bunga Cinta. Pelbagai pihak telah meramalkan penguasaan Misha dan akhirnya beliau berjaya membawa pulang trofi juara keseluruhan AJL beserta anugerah Vokal Terbaik menewaskan penyanyi yang jauh lebih senior seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Mus dari kumpulan May, Ning Baizura dan Yassin Sulaiman. Kejayaan besar di Shanghai dan Anugerah Juara lagu berjaya menaikkan jualan album itu kepada 35,000 Unit dan mendapat Anugerah Cakera Platinum. Ia adalah suatu pencapaian yang hebat memandangkan kehadiran cetak rompak yang berleluasa menjadikan kebanyakkan artis hanya sekadar terjual 15,000 unit satu album tetapi Misha berjaya mencatat jualan album melebihi 60,000 unit. Album pertamanya itu berjaya melonjak ke tangga pertama Carta RIM pada minggu pertama Januari 2004.

Populariti memuncak (2004 - 2006)[sunting | sunting sumber]

Dalam tempoh masa yang singkat, populariti Misha mampu menandingi populariti artis-artis lain seperti Siti Sarah, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza. Misha bukan sahaja dikenali di Malaysia, nama beliau juga turut menjadi sebutan oleh peminat-peminatnya di Singapura dan Brunei. Misha juga meraih lebih sepuluh anugerah dalam tempoh setahun pertama penglibatan beliau serta dicalonkan di anugerah MTV Asia menerusi kategori Artis Pilihan Malaysia serta dijemput bergandingan bersama kumpulan Good Charloote sebagai penyampai anugerah. Pada tahun 2004 Misha mula memulakan langkah dengan melibatkan diri sebagai penyanyi latar untuk filem Pontianak Harum Sundal Malam menerusi lagu berhantu berjudul Pulangkan. Tidak lama selepas itu Misha ditawarkan untuk membintangi filem terbitan pengarah box-office Yusof Haslam menerusi filem aksi GK3 The Movie. Memegang watak sebagai adik kepada Inspektor Aleeza (lakonan Abby Abadi), Misha dicalonkan untuk memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke 18, namun tewas kepada aktres Sharifah Amani. Sebelum filem pertamanya ditayangkan, Misha muncul dengan album kedua berjudul Aksara pada 17 Mei 2004. Minggu pertama di pasaran album ini terus melonjak ke tangga pertama Carta RIM. Lagu-lagu seperti Pulangkan dan Dedebu Cinta menjadi siulan ramai dan meneruskan lagi legasi kemasyhuran penyanyi ini.

Misha terus mengorak langkah apabila memenangi pelbagai anugerah dalam bidang muzik seperti gelaran Artis Wanita Pilihan di Anugerah Era 2004, Juara Kategori Balada & Persembahan Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke 19, Pemenang Lagu Terbaik di Anugerah Hits 1 menerusi lagu Pulangkan dan sebagainya. Serentak dengan kejayaan album Aksara, Misha ke Indonesia untuk melebarkan sayapnya selepas lagu-lagu seperti Bunga-bunga Cinta dan Semoga Abadi popular di sana. Lagu Dedebu Cinta mula mendapat perhatian dan seterusnya Misha berpeluang muncul dalam banyak program TV di sana. Antara rentetan peristiwa yang melingkari zaman kemuncak penyanyi ini adalah ketika Misha terlibat dalam kes emel layang terhadap Siti Nurhaliza yang ada menyebut nama Misha sebagai artis baru yang dicemburui penyanyi itu. Penyanyi veteran Datuk Sharifah Aini dituduh memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza. Beliau didakwa menyiarkan beberapa tuduhan tertentu yang memfitnah Siti Nurhaliza melalui emel kepada adik angkatnya Ahmad Shaharil Jamaluddin, pensyarah di sebuah kolej di Pulau Pinang, pada 24 Ogos 2004. Kes tersebut berakhir dengan dibuang tanpa perbicaraan. Antara kandungan emel layang yang ditulis oleh "Asmah & The Gang" itu berbunyi "Sekarang dia makan hati dgn Misha yg dah bertapak dan sudah digilai di Indonesia, orang menyenangi Misha yg lebih ikhlas dan tidak langsung berpura pura.Misha can speak very good english, easy going, humble and real. Misha tidak perlu berlakun macam CT untuk popular, hai dengar Melodi TV3 hari ni? ramai sangat orang dah komplain tentang betapa sombong nya CT dan keluarga nya, kalau tak kerana peminat siapa CT sekarang.Sign autograph pun kau nak sombong." [2]

Seterusnya Misha mula menumpukan perhatian ke bidang lakonan apabila filem pertama lakonannya GK3 ditayangkan pada 12 Februari 2005. Kesan daripada kejayaan filem itu, Misha disunting pengarah prolifik A Razak Mohaideen untuk membintangi filem Main-main Cinta bersama Adam.Sayangnya filem tersebut gagal mendapat tempat di hati penonton Malaysia biarpun Misha memberi lakonan yang memberangsangkan. Selepas filem terbitan Metrowealth tersebut gagal, Misha seterusnya beralih memberi perhatian kepada bidang nyanyian.

Menerjah era eksklusif (2007 - kini)[sunting | sunting sumber]

Kejayaan dua buah album terdahulu ternyata memberi lebih banyak peluang kepada Misha untuk turut serta dalam penentuan arah album ketiganya. Album tersebut sepatutnya dijadualkan berada dipasaran pada tahun 2006 bagaimanapun mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi album pertama di kalangan artis Malaysia yang diterbitkan secara delay-released. Misha mula merakamkan album tersebut pada tahun 2005 menerusi runut bunyi filem Pontianak Harum Sundal Malam II berjudul Ku Seru. Lagu tersebut mendapat tempat di corong-corong radio dan disifatkan sebagai sebuah lagu yang dirakamkan dengan emosi dan penuh jiwa. Misha dikhabarkan menangis ketika merakamkan lagu tersebut. Ku Seru berjaya layak ke Anugerah Juara Lagu ke 21 pada Januari 2007 namun tidak berjaya mengulangi kejayaan prequel lagu tersebut (Pulangkan) biarpun memberikan persembahan terbaiknya. Seterusnya Misha bekerjasama dengan 3 genius utama dalam industri muzik tanahair iaitu M. Nasir, Ramli MS dan Loloq menerusi lagu Nafas Cahaya. Misha cukup bertuah kerana M.Nasir sendiri mengaguminya, malah bersedia mencipta sebuah lagu yang bersesuaian dengan karektor Misha. Lagu ini pertama kali diperdengarkan di corong radio pada 28 Ogos 2006 dan pada 8 Jun 2006, Misha terlebih dahulu menyanyikannya secara eksklusif di hadapan para peminatnya ketika rakaman Konsert Fenomena RTM (yang kemudiannya disiarkan di kaca TV pada 21 Oktober 2006). Ketika lagu ini dicalonkan di peringkat separuh akhir Muzik-muzik untuk kategori Etnik Kreatif, ramai yang meramalkan lagu ini akan ke final. Malangnya keputusan juri menunjukkan sebaliknya. Ramai pemerhati seni melihat keputusan ini agak mengejutkan memandangkan lagu ini amat baik mutu penciptaannya. Nafas Cahaya akhirnya menebus maruah apabila menang di Anugerah Industri Muzik ke 16, 4 tahun selepas diperkenalkan. Misha juga berkolaborasi bersama penyanyi lain seperti Jaclyn Victor untuk lagu Cinta ciptaan komposer Indonesia, Melly Goeslaw serta lagu Sembunyi bersama Andy daripada kumpulan Flop Poppy. Kedua-dua lagu tersebut mendapat tempat di stesen-stesen radio malah populariti Misha bertahan apabila berjaya mara ke beberapa majlis anugerah.

Hanya pada pada 30 November 2008 album ketiganya yang diberi judul Misha Omar diterbitkan. Single Jawapanmu yang diperdengarkan pada awal tahun tersebut berjaya memikat pasaran urban dan seterusnya Misha tampil dengan lagu yang memberi refleksi tersendiri kepada kerjaya seni muziknya iaitu lagu Cinta Adam dan Hawa. Lagu tersebut ternyata berjaya membuktikan Misha masih ampuh dengan vokalnya apabila berjaya meraih pelbagai anugerah termasuk kejayaan besar di buat pertama kalinya buat Misha sendiri di Anugerah Industri Muzik ke 16 pada 29 April 2009. Misha berjaya meraih 4 anugerah daripada 7 kategori yang dicalonkan. Anugerah Lagu Terbaik untuk Nafas Cahaya serta Album Pop Terbaik menjadi bukti album yang dipasarkan selepas 5 singlenya berjaya di pasaran itu mempunyai kualiti terbaik setanding dengan album-album lain. Lagu Cinta Adam dan Hawa yang juga meraih anugerah Lagu Pop Terbaik berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke 24 yang mana menyaksikan Misha bertanding sebagai artis paling senior bertarung bersama angkatan artis indie dan baru.

Pada tahun 2010 juga impian Misha untuk beraksi di Dewan Filharmonik Petronas di Menara Berkembar Petronas (KLCC) tercapai apabila penyanyi rock lagenda Ramli Sarip mempelawanya membuat persembahan eksklusif dalam Konsert Tafsiran Alam Ramli Sarip pada 11 Mei 2010. Misha di mata Ramli adalah seorang penyanyi wanita berbakat, berpenampilan sopan dan mampu menyanyi dalam lenggok Melayu dengan baik. Penyanyi veteran cukup terharu apabila pelawaan ini diterima baik oleh Misha malah teruja kerana dapat menyanyi bersamanya dan membuat persembahan di DFP buat pertama kalinya. Ekoran itu Misha dilihat mula selesa dengan nilai eksklusif yang ada pada jenamanya. Bermula dengan pembabitannya di pentas teater Muzikal Uda dan Dara pada 7 Julai 2010 dan seterusnya Muzikal Tun Mahathir pada 24 September tahun sama Misha mula dilihat lebih cenderung kepada seni artistik dalam usaha mengasah vokalnya. Persembahan Misha sebagai Dara dalam naskah tulisan sasterawan negara Usman Awang mendapat perhatian pengkritik serta kemunculannya sebagai Datuk Rosnah Majid dalam muzikal tokoh terulung negara mencerminkan transisi baru Misha.

Misha muncul dengan sebuah album kompilasi pada tahun 2011 yang berjudul Dia...Misha dimana ia memuatkan lagu-lagu popularnya serta 3 buah lagu baru. Bagaimanapun Misha tidak merakamkan semula lagu Tuah Melepas Teja yang dinyanyikan di acara Keynote 2010 serta Mahathir, tema muzikal yang disertainya. Album ini dilancarkan secara eksklusif di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2011 yang mana Misha telah mempersembahkan showcase 4 buah lagu di Celebrities Hall of Music serta diberi penganugerahan platinum dan emas menerusi penjualan digital dan album sebelum ini. Selain album, kecintaan Misha terhadap pentas teater bersambung lagi. 2011 nyata mencabar kewibawaan Misha sebagai pelakon teater apabila beliau diberi peluang menterjemah watak bekas wanita pertama Malaysia, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali menerusi Muzikal Tun Mahathir 2 yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 21 Januari 2011. Ternyata Misha ada kelebihan tersendiri kerana pernah berada dalam produksi tersebut sebelumnya menerusi penglibatannya sebagai wartawan TV , Datuk Rosnah Majid. Pada bulan Julai 2011 Misha kembali ke pentas teater membawakan watak anak saudara 2 dalam teater muzikal Mak Dara Nyonya di MATIC.

Misha dilantik menjadi wajah Shisheido pada 7 Mac 2012 sekaligus menjadi artis melayu pertama yang dipilih oleh syarikat kosmetik antarabangsa yang tertua di dunia itu.

Tahun 2013 Misha dijadual muncul dengan album studio keempat yang masih dalam proses pra-produksi. Album tersebut akan menyaksikan kolaborasi Misha bersama M. Nasir buat kesekian kalinya. Malahan kali ini M. Nasir bakal bertindak sebagai penerbit eksekutif. Album ini dijangka akan melancarkan semula jenama baru karier nyanyian penyanyi bersuara merdu ini. Lagu pertama yang bergema di corong radio adalah Angin Syurga ciptaan M. Nasir yang mana ia dipasarkan sebagai single CD menerusi penjualan Set Pilihan Misha berpakejkan produk Shiseido yang berwajah rasmikan Misha pada bulan Julai 2012.

Bidang muzik[sunting | sunting sumber]

Sejak mula menjadi artis rakaman pada 2002, Misha hanya merakam 3 buah album penuh merangkumi 32 buah lagu yang mana 7 daripadanya bergelar juara carta. Secara keseluruhan, kini Misha telahpun merakamkan 38 buah lagu (yang diterbitkan). Kesemua album solo Misha telah terjual sebanyak hampir 200,000 unit dan meletakkan beliau sebagai salah seorang artis wanita paling laris pada dekad 2000an selepas Siti & Ella. [3]

Jenis Vokal
Misha Omar mempunyai vokal bersifat Lyrical Contralto High Soprano yang berada dalam julat C#2 (untuk lagu Pulangkan) hingga E#1 (Cinta Adam dan Hawa) dengan purata 3.2 oktaf. Vokal Misha disifatkan agak sukar untuk diklon oleh penyanyi-penyanyi amatur mahupun profesional. Nada rendah Misha terserlah kehebatannya apabila mampu mengalunkan lagu yang agak sukar seperti Halaman Cinta dan Semoga Abadi. Biarpun begitu, nada rendahnya sering disamakan dengan penyanyi dan komposer Indonesia Melly Goeslaw. Misha adalah salah seorang penyanyi yang begitu hebat dengan teknik melembutkan lagu tonasi nyanyian dengan penggunaan teknik 'crescendo' dan 'decrescendo' terutamanya pada rangkap awalan lagu, supaya lebih 'sampai' emosinya. Beberapa artis yang muncul pasca Misha pula dikaitkan cuba mengklon gaya dan suara Misha contohnya Dayang Erema & Sheila Abdul namun mereka tidak mampu bertahan hingga kini.

Genre Muzik
Jenama Misha Omar amat sinonim dengan genre muzik pop hingga digelar sebagai "Diva Pop Alaf Baru" oleh media dan peminat. Keampuhan vokalnya menyerlah menerusi lagu-lagu berentak balada bermula daripada lagu Bunga-bunga Cinta yang lebih moden susunan muziknya berbanding balad era 90an yang merupakan antara lagu terbaik oleh Adnan Abu Hassan. Album debut beliau dipenuhi dengan lagu-lagu balada yang pelbagai dengan didikan Adnan termasuk lagu Semoga Abadi pula menyaksikan Misha membawakan pop dengan sentuhan R&B. Ketika muncul dengan album kedua, Misha bereksperimen dengan susunan muzik untuk memastikan baladnya lebih segar. Pulangkan ciptaan Ajai menyaksikan sentuhan tradisional menerusi penggunaan alat muzik gamelan menjadi fenomena pada tahun 2004. Gaya sama diperindah lagu menerusi sekuel berjudul Ku Seru yang disusun oleh maestro muzik Roslan Aziz.

Ramli MS & komposer M. Nasir bertanggungjawab meneruskan eksperimentasi terhadap muzik Misha menerusi Nafas Cahaya yang berkonsep etnik fusion dengan iringan orkestra yang mewah. Lagu ini menggunakan full string set olehh KL Symphony Orchestra. Lagu Sembunyi menjadi sinambungan dengan elemen tribe dan mistikal yang kemudian diperpanjangkan lagi menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa yang mewah dengan susunan muzik yang lebih agresif biarpun mempunyai elemen etnik. Terbaru Misha bereksperimentasi menerusi muzik pop progresif menerusi lagu Berlalu yang disusun oleh Mac Chew. Berkonsepkan balada, namun cukup menarik apabila adunan muzik elektronik serta riff gitar yang berat digabungkan pada rangkap kedua lagu ini menjadikan mood nyanyian Misha sedikit gothic sehingga ke penghujung lagu.

Jenama pop Misha Omar sepanjang sedekad pertama bergelar penyanyi papan atas Malaysia ternyata tidak klise sebaliknya sentiasa berani bereksperimen. Biarpun beliau tidak merakamkan album saban tahun, namun dalam jumlah lagu yang sedikit aura dan keunggulan Misha bertapak kukuh di hati pendengar dan pengkritik seni menjadikan beliau sebagai salah seorang penyanyi yang paling selektif dan merakamkan hanya lagu-lagu terbaik.

Album Studio

Album Kompilasi

Lihat di sini untuk senarai Diskografi Misha Omar
Lihat di sini untuk senarai Lagu Misha Omar di Akademi Fantasia

Bidang lakonan & pengacaraan[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Filemografi Misha Omar

Misha lebih sinonim sebagai penyanyi, bagaimanapun tetap mencuba beberapa ruang dalam bidang lakonan. Bermula dengan filem-filem komersial arahan Yusof Haslam dan A Razak Mohaideen, serta muncul dalam beberapa drama TV, kini Misha lebih cenderung ke arah seni persembahan artistik menerusi pembabitan beliau dalam persembahan muzikal di Istana Budaya.

Komersil[sunting | sunting sumber]

Sebagai figura yang popular di Malaysia, nama Misha Omar sering digunakan dalam banyak kempen-kempen kerajaan serta menjadi jurucakap dan wajah produk. Berikut adalah antara produk yang pernah menggunakan nama Misha Omar.

  • Kao - Laurier (2004-2006)
  • Rorine (2005-2006)
  • Listerine (2007)
  • Shisheido (2012- kini)
  • Colourland (2013 - kini)

Sebagai bakat komersil dan kapsul pengiklanan.

  • TM Net (2004)
  • Syairul Baharim - Syawal Collection (2013)

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Misha merupakan penyanyi wanita ketiga yang meraih anugerah terbanyak hanya menerusi bidang muzik selepas Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor diikuti oleh penyanyi veteran Ziana Zain di tangga keempat. Misha juga merupakan artis Malaysia pertama yang memenangi anugerah utama di Festival Muzik Asia Shanghai pada tahun debut pembabitan.

Untuk rekod sehingga 2010, Misha telah memenangi 5 trofi Anugerah Juara Lagu, 4 Anugerah Industri Muzik, 3 Anugerah Era & sebuah trofi untuk Festival Filem Malaysia.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Misha merupakan salah seorang artis yang bijak menyembunyikan kisah peribadi di saat kerjaya di sedang kemuncak. Biarpun sering menjadi buruan tabloid yang dahagakan gossip-gossip liar, Misha tetap dilabel sebagai salah seorang artis yang bersih dan berdisiplin. Penampilan Misha pada penghujung tahun 2006 yang menggayakan potongan rambut ala bob dan pendakap gigi atau braces pernah mengejutkan peminatnya. Ia adalah salah satu usaha beliau untuk menyerlahkan lagi keyakinan beliau sebelum tampil dengan album ketiga. Ini bukan kali pertama beliau memotong pendek rambutnya kerana pernah menggayakan gaya rambut pendek pada tahun 2003.

Mengenai pendakap gigi pula, memang pada mulanya Misha tidak mahu memakainya kerana takut ada kesan pada nyanyian. Tetapi, setelah mendapat nasihat daripada doktor untuk kali kedua, beliau mengambil keputusan untuk memakainya. Setelah tiga minggu memakainya, ternyata ia tiada membawa apa-apa kesan pada nyanyian beliau biarpun agak kurang selesa di awal pemakaian pendakap gigi tersebut. Misha menyanyi dengan pendakap gigi untuk 3 edisi Anugerah Juara Lagu dan persembahan memukaunya di Anugerah Industri Muzik 2009 telah diberi jolokan oleh aktor Afdlin Shauki sebagai Penyanyi Gigi Besi. Misha membuang pendakap giginya pada bulan Julai 2010 ketika menjayakan watak Dara dalam teater Uda & Dara di Istana Budaya sebelum memakai retainer selepas tamat persembahan teater muzikal itu. Penampilan Misha dengan rasmi tanpa pendakap gigi adalah pada tahun 2011 menerusi album kompilasi Dia..Misha dan ternyata mendapat perhatian positif.

Pada tahun 2007 Misha mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Mohd Adam Emir (lahir 2007), pada awalnya beliau tidak mendapat hak penjagaan sepenuhnya. [4] Hanya pada tahun 2009 beliau mendapat hak daripada tuntutan tersebut daripada keluarga asal kanak-kanak itu. Pada tahun pertama itu juga Misha dikaitkan dengan isu pengambilan anak angkat oleh wanita yang belum berkahwin di mana kebanyakan ibu yang belum berkahwin ini mengambil suntikan untuk mengeluarkan susu ibu. Kes ini pernah mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. [5] Selain itu isu Misha menggunakan mikrofon khas bernilai RM11,000 beserta seorang jurutera bunyi juga menjadi polemik di media massa. Harfiyahnya, Misha sendiri telah memulakan trend kepada artis kelas A seperti Siti dan Anuar Zain untuk menggunakan teknologi berkualiti bagi memantapkan persembahan secara langsung mereka. [6]

Misha pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki dalam industri muzik dan juga usahawan. Bermula dengan kisah percintaannya dengan rakan satu kampus pada tahun pertama pembabitan, pemuda yang tidak dikenali itu bagaimanapun tidak berjaya menngikat hati Misha ekoran populariti penyanyi itu yang agak mendadak selepas kejayaan Bunga-bunga Cinta. Kisah cinta Misha yang paling disebut-sebut mungkin ketika bersama pemuzik muda Fiat Hakimi [7] pada tahun 2004 - 2006 yang mana Misha pernah mengabadikan ingatannya terhadap jejaka itu dalam lagu Jawapanmu. Fiat ketika itu sering mengiringi persembahan Misha.[8] Seterusnya Misha dikaitkan dengan maestro muzik ternama Ramli M.S akibat hubungan akrab mereka sebagai mentor-protege ketika proses pembikinan album ketiga. [9] Gossip berlegar apabila Misha membawa kereta BMW yang pernah dimiliki oleh penggubah lagu tersebut. Namun semua itu tidak menjadikan satu ikatan lebih-lebih lagi hubungan Misha - Ramli bertambah erat hanya sebagai mentor dan anak didik hingga kini. Paling mengejutkan adalah gossip cinta di antara Misha dan raja pop Jamal Abdillah sekitar tahun 2009 hingga 2010 ekoran kekerapan Misha diundang untuk berduet dengan Jamal dalam beberapa siri konsert. Namun kesemua gossip cinta ini tidak berakhir ke peringkat yang lebih serius. Terbaru Misha digossipkan sudah berkahwin dengan seorang usahawan automotif asal negerinya sendiri, Kelantan. Namun Misha berkeras menafikan malah menyangkal dakwaan kahwin senyap kerana agak mustahil untuk seorang Misha Omar melakukan perkara itu kerana banyak hati perlu dijaga.[10]

Akhirnya pada 21 Februari 2012, Misha telah selamat mengikat pertunangannya bersama Firos Ezzwan Rossly, berumur sebaya, seorang juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tepat pada jam 1 tengahari. Majlis pertunangan mereka berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga Misha iaitu di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Di majlis itu Misha menggayakan persalinan baju kurung klasik biru rekaan Syaiful Baharim dan menerima lima dulang hantaran berbalas lima. Acara majlis pertunangan itu menyaksikan Misha Omar menerima dua bentuk cincin, merisik dan bertunang, yang disarungkan bakal ibu mentuanya. Menurut Misha, Firos bukanlah orang asing dalam hidupnya sebaliknya adalah sahabat setia malah pernah putus cinta bersama jejaka tersebut pada tahun 2008.[11]

Fakta Ringkas[sunting | sunting sumber]

  • Misha digelar sebagai The Next Big Thing oleh akhbar New Straits Times pada tahun 2002 ketika kemunculan pertamanya menyampaikan lagu secara langsung ketika pembukaan konsert jelajah kumpulan popular Britain, Westlife di Kuala Lumpur.
  • Misha Omar merupakan pemenang anugerah emas di Anugerah Muzik Asia Shanghai ke 5 yang mana menyaksikan beliau sebagai pemenang emas pertama yang memenanginya pada tahun pertama pembabitan dalam industri rakaman. Siti Nurhaliza dan Deja Moss, artis Malaysia yang pernah memenangi anugerah sama sebelum ini, memenanginya pada tahun ke-5 dan ke-3 pembabitan dalam industri muzik.
  • Misha merupakan penyanyi pertama yang memenangi anugerah utama di Anugerah Juara Lagu menerusi lagu debut yang dirakamkannya. Lagu Bunga-bunga Cinta yang dirakamkan pada tahun 2002 merupakan lagu rakaman pertama Misha dan memenangi AJL pada tahun 2003.
  • Misha merupakan pengkritik dalam rancangan TV Akademi Fantasia yang paling muda, beliau hanya berusia 22 tahun ketika dipanggil untuk memberikan komentar di konsert mingguan ke-9, AF 2.
  • Misha pernah bergandingan bersama kugiran punk Amerika Syarikat, iaitu Good Charlotte sebagai penyampai anugerah ketika acara MTV Asia Awards 2004.
  • Ketika berlangsungnya Konsert Jelajah MTV World Stage di Surf Beach Park, Sunway pada 15 Ogos 2009, Misha Omar telah menggantikan penyanyi Taylor Swift untuk berduet dengan kumpulan popular Boys Like Girls menyanyikan lagu Two Is Better Than One.
  • Misha dijemput untuk bergandingan bersama calon-calon Vokal Terbaik AIM 2004 untuk menyanyikan lagu Segalanya ketika acara Anugerah Industri Muzik ke-11 biarpun Misha tidak dicalonkan untuk kategori itu (kerana tidak menerbitkan album pada tahun 2003).
  • Misha diberikan jolokan Diva Muda Malaysia ketika berlangsungnya acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 dimana ketika itu Misha dijemput untuk membuat persembahan bersama 2 biduanita hebat negara iaitu Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza. 2 tahun selepas itu, beliau digelar sebagai Diva Pop ketika penyampai radio Faizal Ismail memperkenalkan Misha yang berduet bersama Raja Pop, Jamal Abdillah menyanyikan lagu Kehebatan Cinta pada Konsert Pengenalan Hot FM.
  • Gelaran Diva Pop Alaf Baharu diberikan kepada Misha oleh majalah Eh! terbitan Mac 2011 apabila beliau ditampilkan sebagai covergirl bersama 2 penyanyi wanita seangkatan iaitu Dayang Nurfaizah dan Mizz Nina serta penampilan Fauziah Latiff. Seiring dengan penampilan di muka depan majalah tersebut, Misha juga terlibat dalam program jualan amal gincu jenama Christian Dior.
  • Menerusi filem Gol dan Gincu pada tahun 2005, nama Misha Omar disebut sebagai salah satu artis kegemaran watak-watak gadis di dalam filem tersebut.
  • Pada musim Aidilfitri tahun 2010, Astro Prima telah menyiarkan sitkom muzikal No 5 Kampung Prima yang mana menampilkan parodi watak Misha Omar menerusi karekter Miza Omar yang dilakonkan oleh pelawak Syuhaida Dottie.
  • Sehingga 2010, Misha merupakan salah seorang artis yang pernah dipertandingkan dalam 3 kategori utama Anugerah Industri Muzik iaitu kategori Lagu Terbaik (5 kali dan menang sekali) dan masing-masing sekali untuk Rakaman Album Terbaik dan Album Terbaik.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]