Himpunan Selamatkan Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Himpunan Selamatkan Malaysia
Tarikh16 September 2023
1:15 – 3:30 petang (WPM)
Lokasi
Kuala Lumpur, Malaysia
Matlamat
Pihak terlibat
Bilangan
800 hingga 2,000 orang

Himpunan Selamatkan Malaysia ialah perhimpunan aman yang diadakan di Kuala Lumpur pada 16 September 2023 bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia. Dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN), perhimpunan ini diadakan bagi meluahkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan dan sebagai protes terhadap pembebasan Mahkamah Tinggi terhadap 47 kes rasuah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan[sunting | sunting sumber]

Perhimpunan aman ini diadakan antara lain bagi menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan protes terhadap keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi atas sabitan 47 kes rasuah.[1] Bukit Bintang pada mulanya ditetapkan sebagai lokasi perhimpunan itu, namun diubah lokasi ke Kampung Baru. Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia dalam satu kenyataan berkata: "Himpunan yang akan turut dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula selepas solat zuhur di Masjid Kampung Baru,".[2]

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) berkata, perhimpunan ini akan diadakan pada 16 September seperti yang dijadualkan meskipun menerima pelbagai reaksi berbeza daripada pelbagai pihak. Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada kebebasan bersuara dan hak rakyat untuk berhimpun.[3] Pada 15 September, Ketua Pemuda Perikatan PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, namun berpendapat, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut.[4] Ahmad Fadhli sebelum ini pernah mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa himpunan tersebut tidak bertujuan akan "menggoncangkan" kerajaan.[5] Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengesahkan bahawa pertubuhan itu menyokong dan turut serta dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia. Menurut presidennya, Syed Hassan Syed Ali, adalah wajib bagi PERKASA bersama mereka yang mahu berhimpun secara aman bagi tujuan mendesak keadilan undang-undang negara ditegakkan tanpa mengira kedudukan mana-mana golongan.[6]

Perhimpunan diadakan serentak dengan acara Keretapi Sarong 2023 pada keesokan harinya,[7][8] bermula di Masjid Jamek, Kampung Baru dengan kehadiran seramai 2,000 peserta berbaju putih meskipun berdepan dengan amaran polis pada awalnya. Ribuan peserta perhimpunan berkumpul di dua lokasi berasingan, iaitu Masjid Kampung Baru dan Balai Polis Dang Wangi. Mereka turut melaungkan "Dakwa Zahid' sambil berarak sebagai bantahan terhadap keputusan pendakwa yang menarik balik kes ini yang berada di peringkat prima facie.[9] Pada masa yang sama, mereka turut melilit kain putih yang ditulis '#Selamatkan Malaysia' di kepala serta memakai selendang bercorak 'Jalur Gemilang' dan menjual baju tersebut pada harga RM20 sehelai kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya.[10] Pemeriksaan polis mendapati trafik kekal terkawal pada hari perhimpunan dengan pematuhan luar biasa oleh pemandu. Biarpun gagal mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman, polis mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan perhimpunan ini berjalan dengan lancar.[11] Perhimpunan bersurai di Kompleks Beli-belah Sogo pada jam 3:30 petang.[12][13]

Maklum balas kerajaan[sunting | sunting sumber]

Pada 12 September 2023, 3 hari sebelum perhimpunan, sebanyak 6 laporan polis telah dibuat terhadap penganjuran perhimpunan ini. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung laporan itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[14] 5 lagi laporan polis juga diterima oleh PDRM berkaitan satu rakaman video di TikTok oleh seorang individu yang menyeru orang ramai turut serta berhimpun dalam perhimpunan itu.[15]

Berdasarkan siasatan awal, menurut Allaudeen, sebanyak 16 individu memberi ucapan semasa perhimpunan itu, manakala laporan polis turut dibuat oleh penganjur di balai polis Dang Wangi sepanjang perhimpunan berlangsung.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Aswany Omar (15 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia: Cara rakyat luah tidak puas hati". Sinar Harian. Dicapai pada 23 September 2023.
  2. ^ Hussaini Amran (14 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia ubah lokasi ke Kampung Baru". Malaysia Gazette. Dicapai pada 23 September 2023.
  3. ^ Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil (13 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia tetap diteruskan, sebahagian daripada kebebasan bersuara - Chegu Bard". Berita Harian. Dicapai pada 24 September 2023.
  4. ^ Umavathi Ramayah (16 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia: Lebih 2,000 peserta berarak ke IPD Dang Wangi buat laporan". Astro Awani. Dicapai pada 23 September 2023.
  5. ^ Mohd Nasaruddin Parzi; Fahmy A Rosli (12 September 2023). "Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia' tak akan goncang kedudukan kerajaan". Berita Harian. Dicapai pada 24 September 2023.
  6. ^ "Perkasa sertai Perhimpunan Selamatkan Malaysia". Bebas News. 15 September 2023. Dicapai pada 24 September 2023.
  7. ^ Sharifah Nur Syafiqah (14 September 2023). "Dua Perhimpunan Pada 16 September: Keretapi Sarong & Himpunan Selamatkan Malaysia". The Rakyat Post. Dicapai pada 24 September 2023.
  8. ^ Aisyah Basaruddin (16 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia atau Keretapi Sarong?". Sinar Harian. Dicapai pada 27 September 2023.
  9. ^ "Ribuan sertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia". Harakah Daily. 16 September 2023. Dicapai pada 23 September 2023.
  10. ^ "Himpunan Selamatkan Malaysia: Kumpulan baju putih dilihat mula berhimpun". Astro Awani. 16 September 2023. Dicapai pada 23 September 2023.
  11. ^ a b "Himpunan Selamatkan Malaysia terkawal tapi tak patuh undang-undang - Ketua Polis KL". mStar Online. 16 September 2023. Dicapai pada 25 September 2023.
  12. ^ Faiz Zainudin (16 September 2023). "Himpunan Selamatkan Malaysia berakhir dengan laporan polis". Free Malaysia Today. Dicapai pada 24 September 2023.
  13. ^ Nor Azizah Mokhtar; Farah Marshita Abdul Patah; Muhammad Yusri Muzamir (16 September 2023). "Perhimpunan berakhir aman". Berita Harian. Dicapai pada 27 September 2023.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  14. ^ Nurul Hidayah Bahaudin (12 September 2023). "Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia, polis terima 6 laporan". Harian Metro. Dicapai pada 24 September 2023.
  15. ^ Nurul Hidayah Bahaudin (13 September 2023). "Polis terima 5 laporan berkait video seru orang ramai sertai Himpunan Selamatkan Malaysia". Harian Metro. Dicapai pada 24 September 2023.