Pertabalan Yang di-Pertuan Agong
Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Jawi: ڤرطبلن سري ڤدوك بڬيندا يڠ دڤرتوان اڬوڠ ) ialah sebuah majlis penuh istiadat bagi merasmikan penakan takhta seseorang raja pemerintah yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong di Malaysia. Majlis ini diadakan di Balairong Seri, Istana Negara.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Perubahan tempat majlis
[sunting | sunting sumber]Majlis Istiadat ini diadakan di Balairong Seri, Istana Negara sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 10 Julai 1980. Sebelum itu, pertabalan baginda diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.[1]
Pemakaian
[sunting | sunting sumber]Upacara Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu hari yang dinamakan sebagai "Hari Kolar". Maka, Kolar harus dipakai bagi semua penerima Darjah Kebesaran dengan Kolar. Apabila memakai Kolar Darjah Kebesaran, selempang bagi Darajah Kebesaran yang sama tidak harus dipakai. Walau bagaimanapun, Selempang bagi Darjah Kebesaran yang lain boleh dipakai. Hanya satu Kolar sahaja yang boleh dipakai dan dipakai dikedua-dua bahu dan terletak sama panjang dari depan ke belakang dengan lencana terletak pada dada. Dalam kes pemakaian formal atau beruniform, Kolar seharusnya dipakai melalui jerumbai. Kolar tidak perlu dipakai ketika Santapan Diraja.
Istiadat
[sunting | sunting sumber]Persiapan
[sunting | sunting sumber]Pada 9.50 pagi Pengawal Tombak Diraja akan mengambil tempat di tempat masuk Balairong Seri. Pada 9.57 pagi, Datuk Paduka Maharaja Lela akan muncul diiringi panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Bading serta panglima yang membawa Alat Kebesaran Diraja seperti Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Dang Perwara juga akan bersiap sedia.
Ketibaan Seri Paduka Baginda
[sunting | sunting sumber]Tepat jam 10 pagi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong akan memasuki Balairong Seri. Ketibaan Baginda berdua akan diumumkan oleh Pengerusi Upacara. Ketibaan Tuanku ke Balairong Seri dimulakan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Baginda, Dang Perwara dan Hulu Balang yang membawa Alat Kebesaran Diraja. Sebaik sahaja Baginda di Pintu Masuk Utama Balairong Seri, Nobat akan mengalunkan lagu "Raja Berangkat". Sebaik sahaja Nobat dimainkan, para hadirin akan berdiri. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam di singgahsana. Datuk Paduka Maharaja Lela, Adikung, Dang Perwara dan panglima akan mengambil tempat.
Permulaan Istiadat Pertabalan
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan upacara. Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan mengumumkan bermulanya Upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas mengadakan pengumuman, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membawa Alat Kebesaran bagi Istiadat Pertabalan ke Balairong Seri. Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan meninggalkan Balairong Seri. Pengerusi Upacara kemudiannya akan mengumumkan yang Alat Kebesaran Istiadat Pertabalan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Nobat akan memainkan lagu "Menjunjung Duli". Datuk Paduka Maharaja Lela memasuki Balairong Seri diiringi Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama Istana Negara bersama panglima yang membawa:
- Al-Quran nul Karim
- Keris Kerajaan
- Watikah Pengisytiharan
- Watikah Ikrar
Penyerahan Al-Quran nul Karim
[sunting | sunting sumber]Ketika tiba di Balairong Seri, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima Al-Quran Nul Karim daripada panglima dan membawanya ke Singgahsana sehingga ke Tangga ketiga dan kini beliau memohon izin untuk menyerahkan Al-Quran Nul Karim kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda akan mengucup Al-Quran Nul Karim dan meletakkannya di meja yang terletak di antara Baginda dan Raja Permaisuri Agong. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan turun dan panglima akan meletakkan alat kebesaran yang lain di atas meja, dan bersama dengan Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama, menuju ke tempat duduk mereka.
Watikah Pengisytiharan
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadapkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang akan membacakan Watikah Pengisytiharan. Selepas mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menjemput Perdana Menteri untuk membacakannya. Datuk Penghulu Istiadat akan tampil ke hadapan untuk mengambil dulang berisi Watikah Pengisytiharan dan, bersama dengan Datuk Paduka Maharaja Lela, mengiringi Perdana Menteri. Perdana Menteri kemudian akan mengambil Watikah Pengisytiharan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan membacakannya. Selepas membacanya, Perdana Menteri akan meletakkan semula Watikah Pengisytiharan, membongkok dan mengundur diikuti Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat yang meletakkan semula Watikah Pengisytiharan di atas meja.
Penyerahan Keris Kerajaan
[sunting | sunting sumber]Datuk Penghulu Istiadat akan mengambil dulang yang mengandungi Keris Kerajaan dan mengiringi Datuk Paduka Maharaja Lela untuk mengadap Baginda. Di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela akan bongkok dan menerima dulang tersebut daripada Datuk Penghulu Istiadat dan mengadap sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Keris Kerajaan. Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Keris itu, mencabutnya dari sarung dan mengucupnya. Datuk Paduka Maharaja Lela turun semula
Penyerahan Watikah Ikrar
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela membongkok dan mengambil dulang yang mengandungi Watikah Ikrar daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menuju ke singgahsana sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Watikah Ikrar, dan kemudian beliau akan berundur dan berdiri di hadapan singgahsana bersama Datuk Penghulu Istiadat. Para hadirin akan berdiri dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membacakan Ikrar.
Selepas Ikrar, Nobat akan memainkan lagu "Raja Bertabal". Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan menaiki singgahsana sehingga tangga ketiga dan menerima Watikah Ikrar dan turun. Dulang yang berisi Watikah Ikrar kemudian diserahkan kepada Datuk Penghulu Istiadat.
Selepas Nobat habis dimainkan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dan diikuti para hadirin di Balairong Seri. Meriam akan dilepaskan sebanyak 21 das apabila laungan pertama itu dilakukan. Lagu Negaraku akan dimainkan ketika tembakan meriam dilepaskan. Yang di-Pertuan Agong akan kembali ke singgahsana dan para hadirin duduk kembali. Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat berundur dan meletakkan semula Watikah Ikrar di atas meja.
Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia Kerajaan dan Rakyat Malaysia
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Perdana Menteri untuk memberikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas mendapat perkenan, Perdana Menteri mengadap Baginda dengan diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa dulang mengandungi ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri akan mengembalikan salinan ucapan itu dan mengadap sembah kepada kedua-dua Seri Paduka Baginda dan berundur untuk kembali ke tempat duduk, diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat.
Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong
[sunting | sunting sumber]Selepas mengiringi Perdana Menteri ke tempat duduk, Datuk Paduka Maharaja Lela sekali lagi mengadap dengan diiringi Datuk Penghulu Istiadat sambil membawa dulang berisi Watikah Titah Ucapan. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Baginda untuk mempersembahkan Watikah Titah Ucapan. Selepas mendapat perkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mengambil dulang berisi Watikah Titah Ucapan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menaiki singgahsana ke tangga ketiga lalu menyerahkan Watikah Titah Ucapan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Watikah Titah Ucapan dan Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menuruni singgahsana. Baginda kemudiannya memulakan titah ucapan.
Selepas Titah Ucapan Baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela akan menghadap ke tangga ketiga lalu menerima watikah tersebut daripada Baginda dan berundur dari singgahsana. Beliau kemudiannya mengembalikan dulang yang berisi watikah kepada Datuk Penghulu Istiadat, mengangkat sembah dan meninggalkan singgahsana. Datuk Penghulu Istiadat mengembalikan watikan ke dulangnya dan meletakkannya di atas meja.
Pembacaan Doa
[sunting | sunting sumber]Pengerusi akan mengumukan pembacaan doa akan bermula. Pegawai Agama Istana Negara akan membacakan doa. Pegawai Agama bersama Datuk Penghulu Istiadat memohon perkenan untuk membacakan doa. Selepas perkenan diperoleh, mereka menunduk dan Pegawai Agama akan membacakan Doa Selamat. Selepas tamat, Pegawai Agama dan Datuk Penghulu Istiadat akan berundur dan kembali duduk di tempat duduk mereka.
Penerimaan al-Quran
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat akan mengadap ke singgahsana ke tangga ketiga untuk menerima al-Quran daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selepas menerima Quran, Datuk Paduka Maharaja Lela akan berundur dari singgahsana. Beliau kemudiannya akan menyerahkan Quran kepada Datuk Penghulu Istiadat.
Istiadat Pertabalan Tamat
[sunting | sunting sumber]Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan Baginda untuk mengumukan bahawa upacara Istiadat Pertabalan telah selamat disempurnakan. Selepas Baginda memperkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengumumkannya.
Keberangkatan Baginda
[sunting | sunting sumber]Pengerusi akan mengumumkan sudah tiba masanya untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk meninggalkan Balairong Seri. Sebaik sahaja para hadiri berdiri, Nobat akan memainkan lagu "Raja Berangkat". Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Penghulu Istiadat dan pembawa Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara akan mengambil tempat mereka di hadapan singgahsana. Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menuruni singgahsana dan meninggalkan Balairong Seri diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa Quran, diikuti Pembawa Cogan Alam dan Cogam Agama, Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara. Nobat akan berhenti bermain apabila Baginda berdua tiba di pintu masuk Balairong Seri dan menuju ke bilik khas.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Syed Mohamed Sharer, Sharifah Nur Shahrizad (23 April 2017). "Istana Negara Siap Sedia Untuk Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15". BERNAMA. Dicapai pada 23 April 2017. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan)