Pergi ke kandungan

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
توانكو سيد سراج الدين جمال الليل‎
Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis
Tuanku pada tahun 2018
Raja Perlis ke-7
Pemerintahan17 April 2000 – kini
Pertabalan7 Mei 2001
Didahului olehTuanku Syed Putra Jamalullail
Raja MudaTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Yang di-Pertuan Agong ke-12
Pemerintahan13 Disember 2001 – 12 Disember 2006
Pertabalan25 April 2002
Didahului olehSultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Diikuti olehSultan Mizan Zainal Abidin
Keputeraan (1943-05-17) 17 Mei 1943 (umur 82) (umur 82 tahun, 8 bulan dan 2 hari)
Arau, Perlis, Tanah Melayu
PasanganTengku Fauziah (k. 1967)
Anakanda
Nama penuh
Syed Sirajuddin ibni Syed Harun Putra
Nama diraja
Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
KerabatJamalullail
AyahandaTuanku Syed Putra Jamalullail
BondaTengku Budriah
AgamaIslam Sunni


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (Jawi: توانكو سيد سراج الدين ابن المرحوم توانكو سيد ڤوترا جمال الليل) merupakan Raja Perlis ketujuh yang memerintah sejak 17 April 2000 hingga sekarang. Baginda juga merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-12. Baginda diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943. Baginda merupakan anakanda kedua daripada 10 putera dan puteri Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tengku Budriah.

Pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula dari 13 Disember 2001, lebih awal dari yang dijangkakan sejurus selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Agong yang sebelumnya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga merupakan Sultan Selangor. Penggal pemerintahan baginda berakhir pada 12 Disember 2006.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perlis pada 30 Oktober 1960 ketika berusia 17 tahun. Baginda mula menaiki takhta sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000, selepas ayahandanya Tuanku Syed Putra mangkat, yang telah menjadi Raja sejak 1945. Baginda berkahwin dengan Tengku Fauziah, anakanda kepada Tengku Abdul Rashid dari Terengganu.

Kehidupan dan pendidikan كهيدوڤن دان ڤنديديقن

[sunting | sunting sumber]

Tuanku Syed Sirajuddin diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943 dan merupakan anakanda kedua daripada 10 putera dan puteri Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tengku Budriah. Baginda mempunyai salasilah keluarga yang berhubung dengan Nabi Muhammad dari sebelah ayahanda baginda serta mempunyai darah keturunan Sultan Pattani dari sebelah bonda baginda. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau sebelum bersekolah di Pulau Pinang mulai tahun 1950. Pada tahun 1960, semasa baginda sedang menuntut di Penang Free School, baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Perlis. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Wellingborough Public School, England selama empat tahun sehingga 1963.

Baginda seterusnya mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (RMAS) pada Januari 1964 dan ditauliahkan pada 18 Disember 1965. Setelah tamat latihan, baginda telah kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Rejimen Kedua Kor Peninjau Diraja pada Disember 1965. Pada tahun 1966, baginda ditukarkan ke Sabah dan kemudiannya ke Sarawak. Dalam tempoh ini, baginda telah berkhidmat melindungi keselamatan negara terutamanya sewaktu Konfrontasi Indonesia–Malaysia yang tercetus selepas pembentukan Malaysia.

Baginda telah berkahwin dengan Tengku Fauziah, puteri kerabat Diraja Terengganu pada 15 Februari 1967 setelah empat tahun mengikat tali pertunangan. Tengku Fauziah yang diputerakan pada 6 Jun 1946 merupakan anakanda kepada Tengku Abdul Rashid ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Putri binti Sultan Ibrahim Petra. Baginda berdua dikurniakan seorang putera iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra dan seorang puteri iaitu Sharifah Fazira. Baginda seterusnya berkhidmat selama beberapa tahun di negeri Pahang sebelum kembali ke negeri Perlis untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab baginda sebagai Raja Muda Perlis.

Pemerintahan ڤمرينتاهن ڤرليس

[sunting | sunting sumber]

Sebagai Raja Perlis

[sunting | sunting sumber]

Pada 17 April 2000, Tuanku Syed Sirajuddin telah dimahsyurkan sebagai Raja Perlis ketujuh selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Syed Putra Jamalullail. Baginda merupakan Raja Perlis yang pertama dilantik selepas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis digubal pada tahun 1948. Baginda telah ditabalkan dalam satu istiadat pertabalan pada 7 Mei 2001 di Istana Arau.[1] Bersama-sama Tengku Fauziah sebagai Raja Perempuan Perlis, baginda berdua sentiasa kasih dan mengambil berat terhadap rakyat, pentadbiran agama Islam serta pembangunan negeri.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong

[sunting | sunting sumber]

Selepas setahun pertabalan sebagai Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 oleh Majlis Raja-Raja bermula dari 13 Disember 2001, lebih awal dari yang dijangkakan sejurus selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Agong yang sebelumnya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga merupakan Sultan Selangor. Baginda telah ditabalkan dalam satu istiadat rasmi pada 25 April 2002 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Sejurus perlantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah melantik putera baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Pemangku Raja Perlis.

Sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda sentiasa berangkat memenuhi persilaan-persilaan rasmi sebagai Ketua Negara dan sering mencemar duli untuk bersama-sama dalam program dan acara bercirikan kebajikan, pendidikan dan sukan. Baginda turut berkenan menubuhkan Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin dan Yayasan Tuanku Fauziah yang bertujuan meningkatkan sosio-ekonomi rakyat serta menghargai individu yang cemerlang dan berketerampilan. Selain itu, baginda juga menjalinkan hubungan diplomatik melalui keberangkatan baginda ke lebih 20 buah negara asing semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. Malah, baginda pernah diberi penghormatan untuk mewakili Ratu Elizabeth II bagi menyempurnakan Istiadat Tamat Latihan Kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 2005.

Penggal pemerintahan baginda yang berlangsung sepanjang lima tahun berakhir pada 12 Disember 2006. Baginda bersama permaisuri berangkat balik ke Perlis seterusnya menduduki semula takhta sebagai Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis sehingga kini.

Perkhidmatan

[sunting | sunting sumber]

Tuanku Syed Sirajuddin pernah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang ketenteraan, antaranya Leftenan Muda Rejimen Kedua Pasukan Peninjau, Kapten Kehormat Rejimen Askar Wataniah, Kolonel Kehormat Rejimen 504 Pasukan Simpanan dan Kolonel kehormat Rejimen Renjer Malaysia. Baginda juga pernah memegang jawatan sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2000 hingga 2001 dan Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2001 hingga 2007.

Terasul, gelaran, kurniaan dan lambang تراسول، ڬلرن، كورنياءن دان لامبڠ

[sunting | sunting sumber]

Terasul dan gelaran تراسول دان ڬلرن

[sunting | sunting sumber]
Gaya bagi
Tuanku Syed Sirajuddin
Rujukan gayaDuli Yang Maha Mulia
Gaya percakapanDuli Tuanku
Gaya alternatifTuanku
  • 17 Mei 1943 – 30 Oktober 1960 : Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail
  • 30 Oktober 1960 – 17 April 2000 : Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis
  • 17 April 2000 – 12 Disember 2001 : Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis
  • 12 Disember 2001 - 13 Disember 2006 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong XII
  • 13 Disember 2006 - kini : Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis

Gelaran penuh baginda ialah: Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.K.M., D.M.N., D.K. (Perak), D.K (Negeri.Sembilan), D.K (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Selangor), D.K. (Pahang), D.K. II(Terengganu), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., Grand Order of King Tomislav (Croatia), Grand Collier De L`Independence (Grand Medal of the Independence) - Cambodia, Grand Croix De L`Ordre (Royal Sash) - Cambodia, Cavaliere Di Gran Croce Decorato Di Gran Cordone (Italy), Qiladah Badr Al-Kubra(Arab Saudi) , Decoration of Omayad - The Finest Decoration (Syria), Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden), Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan), Tuanku Raja Perlis.

Kurniaan كورنياءن

[sunting | sunting sumber]

Tuanku Syed Sirajuddin telah dikurniakan:[2]

Kurniaan Perlis كورنياءن ڤرليس

[sunting | sunting sumber]
  • Perlis :
    • Darjah Kerabat Diraja Perlis (DKP)
    • Darjah Kerabat Perlis Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail Yang Amat Dihormati (DK)
    • Darjah Setia Tuanku Syed Putra Jamalullail (SSPJ)
    • Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (SSSJ)
    • Darjah Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (SPSJ)
    • Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP)

Kurniaan Malaysia كورنياءن مليسيا

[sunting | sunting sumber]

Kurniaan asing كورنياءن اسيڠ

[sunting | sunting sumber]

Lihat juga ليهت جوݢ

[sunting | sunting sumber]

Rujukan رجوكن

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Abd Mutalib, Mohd Hafiz (15 April 2025). "Raikan sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis". Utusan Malaysia. Dicapai pada 4 Januari 2026.
  2. ^ a b The Royal Ark, Perlis genealogical details, p.5
  3. ^ Quirinale website
  4. ^ a b List of Malay rulers (sejak Januari 2013) dengan penerangan darjah

Pautan luar ڤاوتن لوار

[sunting | sunting sumber]
Didahului oleh
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Yang di-Pertuan Agong
2001-2006
Diikuti oleh:
Sultan Mizan Zainal Abidin
Didahului oleh
Tuanku Syed Putra Jamalullail
Raja Perlis
2000-kini
Diikuti oleh:
tiada