Daerah Putatan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daerah Putatan
Peta daerah Putatan
Peta daerah Putatan
Etimologi: Pokok Putat
Lokasi Daerah Putatan
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPantai Barat
Pusat pentadbiranPutatan
Pentadbiran
 • BadanMajlis Daerah Putatan
 • Pegawai daerahMasawi Salleh
Keluasan
 • Jumlah40 km2 (20 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[1]
 • Jumlah68,811
 • Kepadatan1,700/km2 (4,500/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
Nombor platSJ
Laman sesawangmdputatan.sabah.gov.my

Putatan ialah sebuah daerah di Bahagian Pantai Barat, barat negeri Sabah, Malaysia. Daerah Putatan merupakan daerah terkecil dan terpadat di negeri Sabah dengan keluasan hanya 40 kilometer persegi. Pusat pentadbiran bagi daerah ini terletak di Bandar Putatan. Majoriti penduduk di Daerah Putatan merupakan masyarakat Bajau dan Melayu Brunei. Daerah Putatan juga merupakan salah satu kawasan dalam zon Greater Kota Kinabalu.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama Putatan dipercayai berasal daripada nama sejenis tumbuhan iaitu pokok Putat.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Daerah Putatan pada asalnya merupakan sebuah daerah jajahan di bawah Kesultanan Brunei. Pada 24 Mac 1884. Putatan telah diserahkan oleh wakil Kesultanan Brunei kepada William Hood Treacher, Gabenor Syarikat Borneo Utara British.[2]

Sebelum mencapai status daerah penuh, Putatan diwartakan sebagai sebuah daerah kecil gred V dan berstatus pekan dalam Daerah Penampang bermula pada 1 Januari 1997. Pada 18 Mac 1997, Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah daerah kecil. Pada 1 Mac 2007, Putatan telah diwartakan sebagai sebuah daerah penuh manakala pengisytiharan rasminya pula berlangsung pada 30 April 2011.[3]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Daerah Putatan terletak di barat negeri Sabah, tepatnya di tengah Bahagian Pantai Barat. Daerah Putatan bersempadan dengan daerah Kota Kinabalu di utara, daerah Penampang di timur, daerah Papar di selatan dan Laut China Selatan di barat. Bentuk muka bumi Daerah Putatan kebanyakannya ialah kawasan tanah rendah berhampiran pesisir laut. Titik tertinggi di Putatan mencapai ketinggian 240 meter.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Daerah Putatan berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Putatan yang ditubuhkan pada Ogos 2010.[3] Pusat pentadbiran bagi daerah Putatan terletak di Bandar Putatan. Daerah Putatan juga dibahagikan kepada lima buah mukim;

  • Mukim Buit
  • Mukim Lok Kawi
  • Mukim Pasir Putih
  • Mukim Petagas
  • Mukim Putatan

Demografi[sunting | sunting sumber]

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
200033,910—    
201038,764+14.3%
202036,660−5.4%
Sumber: [4]

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Putatan ialah seramai 68,811 orang dengan kepadatan penduduk 1,700 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat padat.[5] Majoriti penduduk di daerah Putatan merupakan Bumiputera termasuklah etnik Bajau, Melayu Brunei dan Kadazandusun.[1]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[5]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 13,363
Bumiputera lain 44,825
Cina 3,955
India 294
Lain-lain 1,053
Bukan warganegara - 5,321
Jumlah 68,811

Agama[sunting | sunting sumber]

Masjid Putatan

Di daerah Putatan, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 79 peratus diikuti agama Kristian sebanyak 17 peratus dan agama Buddha sebanyak dua peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Putatan mempunyai dua buah sekolah menengah utama iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan. Terdapat juga banyak sekolah rendah bagi menampung keperluan pendidikan penduduk daerah ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga merangkap ADUN Petagas, sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah baharu bernilai RM60 juta akan dibina di mukim Petagas dalam daerah ini. Sekolah tersebut akan dinamakan SMK Petagas dan SK Petagas. Katanya, pembinaan sekolah itu amat perlu kerana penduduk semakin bertambah ekoran pembangunan pesat daerah ini.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  2. ^ a b "Sejarah Daerah Putatan". Pejabat Daerah Putatan. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 November 2012. Dicapai pada 18 April 2024.
  3. ^ a b "Latar Belakang MDPtn". Majlis Daerah Putatan. Dicapai pada 18 April 2024.
  4. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  5. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  6. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20120523/wb_08/RM60-juta-bina-SMK-SK-baru-di-Petagas