Pergi ke kandungan

Banjir Malaysia 2014–2015

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Banjir di Malaysia 2014)

Banjir Malaysia 2014–2015 merupakan bencana alam yang melanda Malaysia bermula pada penghujung tahun 2014 hingga awal tahun 2015. Bencana ini disifatkan sebagai antara yang terburuk dalam sejarah negara, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, selain turut menjejaskan Perak, Perlis, Johor, Selangor dan Sabah.[1]

Kejadian ini merekodkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi dalam sejarah negara, dengan melebihi 300,000 orang dipindahkan, mengatasi rekod banjir besar sebelum ini.[1] Di Kelantan, bencana ini dikenali sebagai "Bah Kuning" dalam kalangan penduduk tempatan dan dikaitkan dengan kemusnahan besar harta benda serta infrastruktur, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat setempat.[2][3] Dari segi skala, bencana ini sering dibandingkan dengan kejadian banjir besar terdahulu, namun jumlah mangsa dan keluarga terjejas direkodkan jauh lebih tinggi.[1]

Latar Belakang dan Punca

[sunting | sunting sumber]

Banjir di Pantai Timur lazimnya dikaitkan dengan dua fenomena utama iaitu banjir sungai dan banjir kilat. Banjir sungai berlaku apabila hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu menyebabkan alur sungai tidak mampu menyalurkan kuantiti air yang banyak ke laut.[4] Kesannya, air sungai naik dengan pantas, melimpah sepanjang tebing dan membanjiri kawasan rendah atau didefinisikan sebagai dataran banjir.[4]

Faktor Meteorologi

[sunting | sunting sumber]

Keadaan banjir yang berlaku didorong oleh faktor cuaca yang ekstrem. Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan sebanyak 38 amaran cuaca buruk sejak 18 Disember 2014.[5] Daripada jumlah tersebut, 15 adalah amaran peringkat Merah, 15 amaran Oren dan 8 amaran Kuning.[5]

  • Amaran Merah: Menandakan hujan monsun kuat, ribut tropika dan taufan dengan kelajuan angin sekurang-kurangnya 60 km/j dan hujan lebat sederhana. Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai dengan arus deras berbahaya.[5]
  • Amaran Oren: Melibatkan hujan monsun sederhana atau sistem tekanan rendah dengan angin 50-60 km/j. Ia boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.[5]
  • Amaran Kuning: Kemungkinan berlaku monsun kencang dalam tempoh 24 hingga 48 jam.[5]

Hujan lebat yang berterusan dengan sukatan 400 mm sehari turut direkodkan, yang menjadi penyumbang utama kepada kenaikan paras air.[6]

Kajian Saintifik dan Geografi

[sunting | sunting sumber]

Bencana banjir dahsyat dan luar biasa ini dikatakan yang terburuk dalam tempoh 1,000 hingga 5,000 tahun.[4] Pasukan forensik banjir yang diketuai oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Ibrahim Komoo, menemui dua faktor luar biasa yang mengakibatkan kemusnahan besar iaitu hujan lebat yang ekstrim serta arus deras yang membawa kandungan bahan keladak yang banyak.[4]

Di Kelantan, impak lebih teruk dialami di Kuala Krai dan Dabong kerana lokasinya terletak di antara pertemuan sungai-sungai utama. Kuala Krai dan Dabong berada di pertemuan Sungai Lebir dan Sungai Galas, serta Sungai Galas dan Sungai Pergau.[4]

Di Terengganu, khususnya di Gong Badak dan Mengabang Telipot, Kuala Nerus, fenomena banjir berlaku berbeza daripada banjir sungai biasa. Kawasan rendah sepanjang pantai Terengganu terbentuk daripada siri permatang pasir (gong) dan lekukan (mengabang).[4] Apabila hujan berlaku berterusan selama beberapa hari, pasir menjadi tepu dan paras air tanah naik sehingga ke permukaan, menyebabkan air naik dengan pantas.[4]

Faktor Aktiviti Manusia

[sunting | sunting sumber]

Pasukan pengkaji UMT berpendapat aktiviti pembersihan sama ada untuk pertanian atau pembalakan di kawasan hulu sungai menyebabkan kadar hakisan tanah meningkat ratusan kali ganda.[4] Setiap kali musim hujan, kelodak serta pasir diangkut sama sehingga menyebabkan mendapan di dasar sungai. Longgokan pasir dan lumpur ini menyebabkan sungai menjadi cetek.[4] Apabila paras air meningkat, kuantiti serpihan seperti tumbuhan dan kayu yang banyak berupaya menghakis tebing dan meningkatkan jumlah lumpur yang terapung, menyumbang kepada kemusnahan besar.[4]

Di kawasan bandar, isu perparitan turut dikenalpasti. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui kajian tahun 2013 menganggarkan RM9.32 bilion diperlukan untuk mengatasi banjir kilat di kawasan bandar seluruh negara, meliputi pembinaan infrastruktur sistem saliran dan penyelesaian jangka pendek.[7]

Kronologi Kejadian

[sunting | sunting sumber]

November 2014: Persediaan dan Gelombang Awal

[sunting | sunting sumber]

Seawal 12 November 2014, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah meletakkan seramai 13,000 anggota di seluruh negara dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh.[8] Pada bulan yang sama, kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh telah berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Pahang pada 5 November yang mengorbankan lima nyawa.[8]

Pada 23 November, banjir gelombang awal di Kelantan dan Terengganu dilaporkan semakin pulih. Jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan, dengan paras air sungai utama di Kelantan menghampiri paras normal.[9] Anggota tentera dari 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) telah digerakkan untuk membantu memindahkan mangsa di kawasan berisiko seperti Rantau Panjang.[10] Di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), banjir kilat memaksa pelajar dipindahkan ke asrama kampus dan sesi pembelajaran dihentikan selama dua hari.[11]

Pertengahan Disember 2014: Situasi Memburuk

[sunting | sunting sumber]

Keadaan banjir kembali buruk pada pertengahan Disember. Pada 19 Disember, ketiga-tiga negeri Pantai Timur mencatatkan peningkatan mangsa.[12]

  • Kelantan: Mangsa meningkat daripada 8,505 kepada 15,624 orang. Jajahan Pasir Mas mencatatkan peningkatan mendadak kepada 7,595 mangsa.[12]
  • Terengganu: Mangsa meningkat kepada 8,595 orang dengan Hulu Terengganu mencatat bilangan tertinggi.[12]
  • Pahang: Pusat pemindahan baharu dibuka di Kuantan.[12]

Paras air sungai-sungai utama seperti Sungai Golok, Sungai Kelantan di Tangga Krai, dan Sungai Lebir dilaporkan melepasi paras bahaya.[12]

Menjelang 20 Disember, keadaan di Terengganu semakin buruk dengan 8,613 mangsa dipindahkan. Daerah Besut menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan 3,257 mangsa.[13]

23–25 Disember 2014: Kemuncak Bencana

[sunting | sunting sumber]

Pada 23 Disember, banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang dilaporkan bertambah buruk. Di Kelantan, Jajahan Kota Bharu lumpuh akibat limpahan Sungai Kelantan.[14] Paras air Sungai Galas di Dabong mencecah 42.08 meter (paras bahaya 38 meter) dan Sungai Lebir di Tualang mencecah 40.27 meter (paras bahaya 35 meter).[15]

Pada 25 Disember, jumlah mangsa banjir di lima negeri (Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Perlis) melonjak kepada 90,250 orang.[14][16] Pecahan mangsa mengikut negeri pada tarikh ini adalah:

  • Kelantan: 32,343 orang.
  • Terengganu: 28,991 orang.
  • Pahang: 24,316 orang.
  • Perak: 4,335 orang.
  • Perlis: 265 orang.[14]

Di Taman Negara, Kuala Tahan, usaha menyelamat 102 pelancong yang terkandas dijalankan menggunakan helikopter TUDM dan Bomba.[17]

26–31 Disember 2014: Gelombang Kedua dan Situasi Kritikal

[sunting | sunting sumber]

Gelombang kedua banjir melanda Kuala Krai pada 27 Disember, menyebabkan kenaikan air mendadak pada jam 3 pagi yang memerangkap ramai penduduk.[2] Kawasan ini disifatkan mengalami kemusnahan seperti dilanda tsunami.[2] Pada tarikh yang sama, dilaporkan lebih 100,000 orang telah dipindahkan di seluruh negara, dengan angka mencecah 110,213 hingga 128,952 orang pada waktu puncak.[18][1]

Jalan perhubungan darat ke Kelantan terputus hampir sepenuhnya, memaksa penggunaan helikopter sebagai mod pengangkutan tunggal ke beberapa kawasan kritikal.[18] Di Perak, jumlah mangsa terus meningkat kepada 6,000 orang pada 26 Disember dengan daerah Perak Tengah menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir.[19]

Kawasan Terjejas

[sunting | sunting sumber]

Kelantan merupakan negeri paling teruk terjejas dengan kira-kira 170,000 mangsa, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan mangsa banjir di Malaysia.[1] Sembilan jajahan terjejas teruk iaitu Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli.[14]

Di Kuala Krai, paras air banjir pada 28 Disember 2014 mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah iaitu 34.17 meter, mengatasi rekod banjir besar tahun 1931 (31.31m), 1967 dan 1979 (32.03m).[3] Pekan Kuala Krai lumpuh sepenuhnya. Seorang sukarelawan menyamakan kemusnahan di situ dengan kesan tsunami di Aceh pada tahun 2004, di mana rumah-rumah dihanyutkan arus deras, kereta rosak tersadai, dan dinding bangunan runtuh.[20] Di SMK Manek Urai, kira-kira 500 mangsa terperangkap di tingkat empat sekolah apabila air mencecah paras tersebut sebelum diselamatkan oleh pihak bomba.[21]

Di Kota Bharu, banjir menyebabkan bandar tersebut lumpuh dengan air mencecah atap-atap rumah di beberapa kawasan.[18] Jalan-jalan utama tidak boleh dilalui lori dan kereta.[18]

Terengganu

[sunting | sunting sumber]

Terengganu mencatatkan puluhan ribu mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Daerah Kemaman antara yang teruk terjejas dengan lebih 19,405 mangsa direkodkan pada 25 Disember.[14] Daerah lain yang terlibat termasuk Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut, Marang dan Setiu.[14]

Di Besut, jumlah mangsa mencecah 3,257 orang pada 20 Disember.[13] Di Dungun, Sungai Dungun di Kuala Jengai melepasi paras bahaya (21.60 meter).[13]

Banjir di Pahang membabitkan lapan daerah termasuk Kuantan, Maran, Jerantut, Lipis, Pekan, Temerloh, Rompin dan Bera.[14] Daerah Kuantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 14,350 orang pada 25 Disember.[14]

Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap merekodkan bacaan melepasi paras bahaya.[15] Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di kilometer 126 berhampiran susur masuk Temerloh terpaksa ditutup kepada semua kenderaan pada 27 Disember akibat limpahan air.[22]

Negeri-negeri Lain

[sunting | sunting sumber]
  • Perak: Banjir melanda daerah Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah.[19] Jumlah mangsa meningkat kepada 6,000 orang pada 26 Disember.[19]
  • Perlis: Keadaan banjir bertahan di utara Perlis dengan 265 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan.[14]
  • Sabah: Daerah Beaufort dan Tenom dilanda banjir akibat limpahan Sungai Padas yang mencecah 9.30 meter.[15] Ini merupakan kejadian banjir kali keempat di kawasan tersebut pada tahun 2014.[15]
  • Selangor: Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kajang dengan mendalamkan sungai dan sistem perparitan.[23]

Impak dan Kemusnahan

[sunting | sunting sumber]

Statistik Mangsa dan Kematian

[sunting | sunting sumber]

Bencana ini mencatatkan sejarah dengan lebih 300,000 mangsa dipindahkan, mengatasi rekod banjir 2010 (230,000 mangsa) dan 2006 (140,000 mangsa).[1][5] Kira-kira 100,000 keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.[24]

Sehingga 30 Disember 2014, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 21 kematian dan 10 orang hilang di Pantai Timur.[25]

  • Kelantan: 14 kematian, 4 hilang.[25]
  • Terengganu: 4 kematian, 1 hilang.[25]
  • Pahang: 3 kematian, 2 hilang.[25]

Kebanyakan mangsa di Kelantan mati lemas, melibatkan lapan orang dewasa dan dua kanak-kanak setakat 31 Disember.[26]

Infrastruktur Elektrik

[sunting | sunting sumber]

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menghentikan operasi 2,515 Pencawang Elektrik (PE) di negeri-negeri terjejas demi keselamatan bagi mengelakkan litar pintas, menjejaskan 179,466 pengguna.[27] Di Kelantan sahaja, 1,860 pencawang ditutup.[27] Sebanyak 111 pencawang di empat daerah di Kelantan (Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas) ditutup pada satu masa, termasuk lokasi-lokasi penting seperti Prima Lubok Jong, G-Orange, dan JPN Tunjong.[28]

Pengangkutan

[sunting | sunting sumber]

Infrastruktur pengangkutan mengalami kerosakan teruk. Jambatan dan landasan kereta api di Kampung Kemubu, Dabong runtuh dipukul arus deras.[24] Penduduk terpaksa menggunakan bot untuk menyeberang, mengambil masa lebih dua jam berbanding 5 minit menggunakan jambatan kereta api.[24] Di Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menggerakkan usaha membaiki jalan rosak dan runtuh seperti di Jalan Aring/Tasik Kenyir/Kuala Jeneris.[29]

Kesihatan dan Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Hospital Kuala Krai berhadapan situasi getir apabila terputus hubungan, bekalan elektrik dan air. Doktor terpaksa melakukan intubasi bayi dalam kegelapan dan menggunakan bantuan pernafasan manual kerana bekalan diesel untuk generator hampir habis.[30]

Kementerian Pendidikan menangguhkan sesi persekolahan tahun 2015 selama seminggu kerana 340 sekolah terjejas, sama ada ditenggelami air atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).[31]

Pengurusan Bencana dan Bantuan

[sunting | sunting sumber]

Tragedi ini telah melahirkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelaras pengurusan kecemasan dengan lebih efisien di masa hadapan.[1]

Tindakan Agensi Kerajaan

[sunting | sunting sumber]
  • Majlis Keselamatan Negara (MKN): Mengadapi cabaran besar apabila pasukan pengurusan bencana di peringkat daerah turut menjadi mangsa banjir, menyebabkan "kelumpuhan" komunikasi dan operasi di peringkat akar umbi.[32] Bekalan elektrik yang dipotong juga menyukarkan komunikasi kerana telefon bimbit kehabisan bateri.[32]
  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM): Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memainkan peranan kritikal melalui "Ops Murni". TUDM menggerakkan helikopter Nuri, EC-725 dan pesawat C130H untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa.[33] Sejak 25 Disember, TUDM mengangkut 163,000 kilogram bantuan.[34] Pangkalan Udara Subang dijadikan pusat pengumpulan bantuan 24 jam.[34]
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM): Seramai 947 anggota polis turut menjadi mangsa banjir.[25] Sebuah helikopter Unit Udara PDRM terhempas di Tanah Merah ketika misi bantuan pada 31 Disember, mencederakan empat pegawai.[35]
  • Bantuan Kewangan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bantuan khusus RM500 juta untuk mangsa banjir dan RM50 juta peruntukan segera dari Kementerian Kewangan.[36][37] Bantuan BR1M juga dipercepatkan.[36]

Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Swasta

[sunting | sunting sumber]
  • KHIDMAT Malaysia: Bertindak menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bumbung rumah, sekolah dan premis perniagaan, termasuk operasi menyelamat mangsa di tingkat tiga sekolah.[1]
  • Mercy Malaysia: Membuka klinik bergerak di Kuala Krai dan mengagihkan bantuan makanan, kit kebersihan, serta 7,000 liter diesel ke HUSM dan Machang untuk kegunaan bot penyelamat.[38]
  • Sektor Korporat: AirAsia melancarkan kempen bantuan banjir dengan menyediakan pengangkutan kargo percuma untuk barang bantuan dan mengutip derma.[39] Bank Rakyat menawarkan penangguhan bayaran pinjaman (moratorium) selama enam bulan kepada mangsa.[39] Biro Kebajikan UMNO mengagihkan 30 kontena barangan keperluan.[40]

Bantuan Antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Pusat Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) menyalurkan bantuan darurat yang merangkumi 538 tenda keluarga, 538 peralatan rumah tangga, 1,000 gulung terpal, unit penyimpanan bergerak (MSUs) dan set dapur.[41] Bantuan ini turut disokong oleh Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF).[41]

Isu dan Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Penyebaran Berita Palsu

[sunting | sunting sumber]

Media sosial disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang menimbulkan panik dan mengganggu tugas penyelamat.[42] Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi, menyatakan penyebaran berita palsu boleh menyebabkan bantuan dihantar ke lokasi yang salah.[42] Antara berita palsu yang tular termasuk:

  • Kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen.
  • Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu runtuh.
  • Seluruh Kota Bharu terputus bekalan elektrik.
  • Pengisytiharan darurat di Kelantan.
  • Empangan Kemubu akan dibuka.
  • Pelepasan air Empangan Tasik Kenyir akan menenggelamkan Kuala Berang.[43]

Terdapat juga spekulasi mengenai pelepasan air empangan di daerah Sukhirin, Thailand yang didakwa menjadi punca banjir. MKN menafikan perkara ini dan mengesahkan empangan tersebut tidak wujud.[6]

Kritikan Terhadap Perdana Menteri

[sunting | sunting sumber]

Perdana Menteri Najib Razak dikritik hebat di media sosial kerana gambar beliau bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii tersebar ketika banjir sedang memuncak.[18] Tanda pagar #whereisthepm menjadi trending.[30] Najib kemudiannya memendekkan percutiannya dan pulang ke Malaysia pada 27 Disember untuk meninjau keadaan banjir di Kelantan, termasuk melawat Gua Musang dan Pasir Mas.[44][45]

Isu Darurat

[sunting | sunting sumber]

Walaupun keadaan banjir sangat kritikal, kerajaan tidak mengisytiharkan darurat. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, menafikan dakwaan bahawa Kelantan diisytiharkan darurat dan menegaskan usaha menyelamat sedang giat dijalankan.[46]

Pasca Banjir

[sunting | sunting sumber]

Usaha Pemulihan

[sunting | sunting sumber]

Pasca banjir menyaksikan usaha besar-besaran untuk membina semula kehidupan mangsa. Berita TV9 melalui laporan khas #PulihkanHarapan memaparkan kisah mangsa yang tinggal sehelai sepinggang dan hidup di dalam khemah tanpa sistem perparitan sempurna.[24] Isu penyaluran bantuan rumah sementara dan rumah kekal menjadi fokus utama, terutamanya bagi mangsa yang tinggal di tanah rizab kerajaan atau setinggan.[24] Kumpulan sukarelawan seperti ResQ UPSI dan 3rd Force giat membina rumah sementara untuk golongan asnaf.[24]

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan akan melakukan 'post-mortem' mendalam selepas banjir surut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk faktor penerokaan hutan dan tarahan bukit.[47] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitahkan pembatalan sambutan ambang tahun baru 2015 dan digantikan dengan solat hajat di seluruh negeri.[21]

Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai

[sunting | sunting sumber]

Bagi mengenang peristiwa tragis ini, Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai telah dibina di persimpangan lampu isyarat Guchil.[3] Tugu ini mencatatkan paras air banjir 2014 setinggi 34.17 meter, yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah daerah itu. Tugu tersebut dirasmikan pada 28 Ogos 2016 oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.[3]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 3 4 5 6 7 8 "Lebih 300,000 Mangsa Dipindahkan, Ini Sejarah Banjir Tahun 2014". Siakap Keli. 3 Disember 2021. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  2. 1 2 3 "Ramalan banjir besar setiap 10 tahun imbau memori tragedi 'bah kuning'". Berita Harian. 24 November 2024. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  3. 1 2 3 4 "Tugu peringatan banjir Kuala Krai kenang peristiwa 2014". Sinar Harian. 23 November 2024. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  4. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 "Dua faktor punca banjir besar". Berita Harian. 3 April 2015. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  5. 1 2 3 4 5 6 "Banjir 2014 Bakal Catat Sejarah Terburuk". mStar. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  6. 1 2 "Spekulasi Pelepasan Air Empangan Sukhirin Di Thailand Tidak Benar - MKN". mStar. 21 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  7. ↑ "RM9.32 Bilion Diperlukan Untuk Atasi Banjir Kilat Di Bandar". mStar. 21 Oktober 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  8. 1 2 "13,000 Anggota Bomba Seluruh Negara Sedia Depani Banjir". mStar. 12 November 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  9. ↑ "Banjir Di Kelantan, Terengganu Makin Pulih". mStar. 23 November 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  10. ↑ "Rejimen 21 RAMD bantu pindah mangsa". Harian Metro. 23 November 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  11. ↑ "UniSZA bantu pelajar terbabit banjir". Berita Harian. 19 November 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  12. 1 2 3 4 5 "Banjir di Pantai Timur Semakin Buruk, Lebih 25,000 Dipindahkan". mStar. 19 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  13. 1 2 3 "Banjir di Terengganu makin buruk, 8,613 mangsa dipindahkan". Berita Harian. 20 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  14. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 "Lebih 90,000 mangsa banjir di lima negeri dipindahkan". Astro Awani. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  15. 1 2 3 4 "Terkini: Banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang tambah buruk". Berita Harian. 23 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  16. ↑ "Lebih 90,000 mangsa banjir di 5 negeri dipindahkan". Berita Harian. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  17. ↑ "Usaha bawa keluar 102 pelancong terkandas di Kuala Tahan berjalan lancar". Berita Harian. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  18. 1 2 3 4 5 "Banjir Malaysia paksa 100 ribu orang mengungsi" (dalam bahasa Bahasa Indonesia). BBC News Indonesia. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.{{cite web}}: CS1 maint: unrecognized language (link)
  19. 1 2 3 "Banjir di Perak terus buruk, 6,000 dipindahkan". Berita Harian. 26 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  20. ↑ "Kemusnahan Di Kuala Krai Seperti Kesan Tsunami Aceh". mStar. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  21. 1 2 "Highlight Banjir Terburuk Melanda Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Pahang & Perlis". Vocket. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  22. ↑ "Laluan LPT KM126 Temerloh ditutup akibat banjir". Berita Harian. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  23. ↑ "RM5.5 juta atasi banjir". Harian Metro. 22 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  24. 1 2 3 4 5 6 "TV9 Siar Laporan Khas Mangsa Banjir 2014". Budiey Channel. 4 April 2015. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  25. 1 2 3 4 5 "Banjir: 21 Maut, 10 Hilang Di Negeri Pantai Timur - KPN". mStar. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  26. ↑ "Banjir Kelantan ragut 10 nyawa sejak 18 Disember". Berita Harian. 31 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  27. 1 2 "2,515 Pencawang Elektrik TNB Dihentikan Sementara Kerana Banjir". mStar. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  28. ↑ "Banjir: TNB tutup 111 pencawang di Kelantan". Utusan Malaysia. 29 November 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  29. ↑ "JKR Terengganu mula baiki jalan rosak akibat banjir". Berita Harian. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  30. 1 2 "Worst of Malaysian flood captured on social media" (dalam bahasa English). BBC News. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.{{cite web}}: CS1 maint: unrecognized language (link)
  31. ↑ "Sesi Persekolahan 2015 Ditangguh Seminggu - Muhyiddin". mStar. 29 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  32. 1 2 "Pekerja MKN Mangsa Banjir Punca Bantuan Lewat". mStar. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  33. ↑ "200 penerbangan bantu mangsa". Harian Metro. 31 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  34. 1 2 "163,000kg Bantuan Mangsa Banjir Dihantar Setakat Hari Ini - TUDM". mStar. 29 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  35. ↑ "Helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah ketika misi bantuan banjir". Berita Harian. 31 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  36. 1 2 "Najib umum bantuan khusus RM500 juta bagi mangsa banjir". Berita Harian. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  37. ↑ "Peruntukan segera RM50 juta untuk negeri dilanda banjir". Berita Harian. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  38. ↑ "Mercy Malaysia buka klinik bergerak di Kuala Krai". Berita Harian. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  39. 1 2 "AirAsia Tawar Angkut Barang Ke Kota Bharu Dan Terengganu". mStar. 26 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  40. ↑ "Biro Kebajikan UMNO agih 30 kontena barangan keperluan kepada mangsa banjir". Berita Harian. 25 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  41. 1 2 "Malaysia Dilanda Musibah, ASEAN Berikan Bantuan" (dalam bahasa Bahasa Indonesia). Aktual. 9 Januari 2015. Dicapai pada 2 Januari 2026.{{cite web}}: CS1 maint: unrecognized language (link)
  42. 1 2 "Banjir: Maklumat Palsu Rencatkan Tugas Pasukan Penyelamat - SKMM". mStar. 31 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  43. ↑ "Banjir: Penyebaran Maklumat Palsu Kerja Khianat". mStar. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  44. ↑ "Najib tinjau keadaan banjir di Kelantan". Berita Harian. 27 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  45. ↑ "Najib tinjau keadaan semasa Gua Musang selepas banjir". Berita Harian. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  46. ↑ "Dakwaan Darurat Di Kelantan Tidak Benar - Polis". mStar. 24 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.
  47. ↑ "Kerajaan Buat 'Post-Mortem' Kenal Pasti Punca Banjir". mynewshub. 30 Disember 2014. Dicapai pada 2 Januari 2026.