Gangguan bekalan air Selangor dan Kuala Lumpur 2020

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Gangguan bekalan air Selangor dan Kuala Lumpur 2020 ialah krisis bekalan air yang berlaku pada 3 September 2020, yang diakibatkan oleh pencemaran bau daripada kilang haram yang menyebabkan lebih daripada 1 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur terjejas. Ia berlarutan selama 4 hari bermula 4 hingga 9 September 2020.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Insiden ini bermula apabila sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat di kawasan perindustrian Sungai Gong yang dipercayai beroperasi secara haram sejak 2014.[2] Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh (7) wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur telah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang akibat pencemaran kimia yang dikesan dalam sumber air mentah di Sungai Selangor pada 3 September 2020.[3]

Hasil siasatan, kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang menjadi punca pencemaran bau dan pencemaran air di Sungai Selangor telah ditutup dan disita.[4] Siasatan juga mendapati kilang itu gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai. Kilang tersebut diarahkan ditutup sementara menunggu keputusan siasatan selain pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan. Selain itu, kilang berkenaan pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi kesalahan yang sama.[5]

Berikutan insiden itu, empat pemilik kilang telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dalam pencemaran di kawasan perindustrian di Sungai Gong, Rawang.[6]

Respons pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan[sunting | sunting sumber]

Hari ke-5[sunting | sunting sumber]

Pada 9 September 2020, sehingga jam 7.00 pagi, kesemua 7 wilayah yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

Hari ke-4[sunting | sunting sumber]

Pada 8 September 2020 sehingga jam 7.30 malam, 96.98% bekalan air telah pulih sepenuhnya bersamaan dengan 1,253 daripada 1,292 kawasan keseluruhan. Berbaki 39 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

  1. Wilayah Petaling : 98.36%
  2. Wilayah Klang : 85.31%
  3. Wilayah Gombak : 99.27%
  4. Wilayah Hulu Selangor : 100%
  5. Wilayah Kuala Selangor : 100%
  6. Wilayah Kuala Langat : 100%
  7. Wilayah Kuala Lumpur : 97.57%

Hari ke-3[sunting | sunting sumber]

Pada 7 September 2020 sehingga jam 7.00 malam, 80.88% bekalan air telah pulih sepenuhnya bersamaan dengan 1,045 daripada 1,292 kawasan keseluruhan.

  1. Wilayah Petaling : 92.43%
  2. Wilayah Klang : 39.55%
  3. Wilayah Gombak : 84.67%
  4. Wilayah Hulu Selangor : 100%
  5. Wilayah Kuala Selangor : 99.62%
  6. Wilayah Kuala Langat : 75%
  7. Wilayah Kuala Lumpur : 70.85%

Hari ke-2[sunting | sunting sumber]

Pada 6 September 2020 sehingga jam 6.30 petang, 62.7% bekalan air telah pulih sepenuhnya bersamaan dengan 811 daripada 1,292 kawasan keseluruhan termasuk daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor telah pulih hampir sepenuhnya diikuti daerah Gombak dan Petaling.

  1. Wilayah Petaling : 66.10%
  2. Wilayah Klang : 24.20%
  3. Wilayah Gombak : 66.40%
  4. Wilayah Hulu Selangor : 94.10%
  5. Wilayah Kuala Selangor : 99.20%
  6. Wilayah Kuala Langat : 50.00%
  7. Wilayah Kuala Lumpur : 41.30%

Hari pertama[sunting | sunting sumber]

Pada 5 September 2020, sehingga jam 9.00 malam, perkhidmatan bekalan air telah pulih sebanyak 32.15% dan 384,692 akaun pengguna bekalan air telah pulih dari jumlah 1,196,457 akaun secara keseluruhan.

  1. Wilayah Petaling : 10.20%
  2. Wilayah Klang : 0%
  3. Wilayah Gombak : 0.36%
  4. Wilayah Hulu Selangor : 35.29%
  5. Wilayah Kuala Selangor : 91.70%
  6. Wilayah Kuala Langat : 0%
  7. Wilayah Kuala Lumpur : 0%

Menteri Besar Selangor memberi jaminan 93 buah lori tangki dan 27 buah lori tangki jumbo telah digerakkan ke kawasan yang belum menerima bekalan air. Sebanyak 14,162 botol air berkapasiti 5 liter telah diagihkan setakat ini.[7]

Melalui siaran media pada 5 September 2020, jam 1.00 tengah hari, Pengurusan Air Selangor Sendirian Berhad (Air Selangor) menyatakan tiga (3) peringkat pemulihan bekalan air bersih selama empat (4) hari bermula pada 5 September 2020 (jam 12 tengah hari) hingga 9 September 2020 (jam 6 pagi). Tiga peringkat tersebut merangkumi beberapa kawasan terlibat seperti:

  • Peringkat 1 (667 kawasan - 51.6%)
  • Peringkat 2 (469 kawasan - 36.3%)
  • Peringkat 3 (156 kawasan - 12.1%)

Air Selangor menjangkakan bekalan air bersih akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 9 September 2020.

Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air perlu merobohkan struktur bangunan yang terdapat di tanah tersebut. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak juga akan mengeluarkan Notis 7A selepas ia menjadi punca yang menjejaskan 1,196,457 akaun pengguna bekalan air terawat di daerah Petaling, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur. Beliau juga turut meminta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan air dan elektrik bagi mengelak premis tersebut beroperasi semula.[8]

Ekoran kejadian ini, kerajaan negeri telah dibantu oleh pengendali bekalan air dari negeri-negeri lain melalui khidmat menyediakan 9 buah lori tangki antaranya Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Ranhill SAJ Sendirian Berhad (Ranhill SAJ).[9]

Respons dan tindakan[sunting | sunting sumber]

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap kesan yang dihadapi rakyat negeri Selangor akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan.[10] Krisis tersebut juga mendorong pihak kerajaan Selangor untuk mengkaji pemindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) agar hukuman yang lebih berat diberikan kepada pesalah pencemaran sungai (seperti di bawah).[11] Jabatan Alam Sekitar juga mengkaji pemindaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan tujuan sama.[11]

Perbandingan hukuman terhadap pesalah pencemaran air kini dan cadangan pindaan kerajaan Selangor
Seksyen 79: Larangan pencemaran sesuatu sumber air, Enakmen LUAS 1999 (kini)[12] Cadangan pindaan[11]
(4) "Seseorang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi seratus ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya ..." Denda minimum sebanyak RM200,000 hingga tidak melebihi RM1 juta, dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hanafi Zulkapli pula menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka kertas siasatan mengenai kes ini. Ia dikhuatiri berlaku salah guna kuasa di peringkat penguatkuasaan kerana premis di Sungai Gong tersebut pernah dikompaun[13].

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ahmad Suhael Adnan (4 September 2020). "Gangguan bekalan air dijangka berlarutan 4 hari". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-05. Dicapai pada 5 September 2020.
  2. ^ Hafizul Hilmi Mohd Noor. "Kilang haram penyebab pencemaran sungai sudah beroperasi 6 tahun". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-23. Dicapai pada 9 September 2020.
  3. ^ Norzamira Che Noh (3 September 2020). "1,292 kawasan alami gangguan bekalan air". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-04. Dicapai pada 5 September 2020.
  4. ^ Najmi Suhaimi (7 September 2020). "Kilang punca pencemaran di Sungai Selangor akan dirobohkan". Oh Bulan!. Dicapai pada 9 September 2020.
  5. ^ Norzamira Che Noh (4 September 2020). "Kilang punca empat LRA henti tugas disita". Berita Harian. Dicapai pada 4 September 2020.
  6. ^ Hafizul Hilmi Mohd Noor (5 September 2020). "Pencemaran air: 4 lelaki direman 6 hari". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-05. Dicapai pada 5 September 2020.
  7. ^ Muhd Aminnorrauf Mohd Zoki (5 September 2020). "Pemulihan bekalan air secara berperingkat". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-10-28. Dicapai pada 6 September 2020.
  8. ^ Harits Asyraf Hasnan (5 September 2020). "Kilang punca pencemaran air bakal diroboh - MB Selangor". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-09-09. Dicapai pada 5 September 2020.
  9. ^ Norzamira Che Noh (5 September 2020). "Bekalan air: 281 kawasan pulih sehingga jam 9:30 malam". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-03-03. Dicapai pada 6 September 2020.
  10. ^ "Sultan Selangor dukacita impak ditanggung rakyat, gangguan bekalan air berulang". UMNO Online. 8 September 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-10-19. Dicapai pada 9 September 2020.
  11. ^ a b c "Selangor water polluters to face RM200,000 - RM1 million fine". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 26 September 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 September 2020. Dicapai pada 3 Oktober 2020.
  12. ^ "Enakmen LUAS 1999" (PDF). Lembaga Urus Air Selangor. m/s. 89. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2021-03-03. Dicapai pada 19 Oktober 2020.
  13. ^ Muhammad Azizul Osman (5 September 2020). "Pas Selangor desak SPRM siasat kes pencemar di Sungai Gong". MalaysiaGazette. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-17. Dicapai pada 13 Disember 2020. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)